Setelah selesai menepung tawar pada hari persandingan Ardy & Zila Ahad lalu, aku dan isteri mencari tempat duduk untuk makan. Tapi apakan daya, tempat duduk dah full house. Maka di saat kami masih tercari-cari lokasi sesuai untuk melabuhkan punggung dan menghadap juadah tengah hari tiba-tiba kami diajak oleh Kak Long dan Abang Zai untuk turut menyertai mereka ke meja santapan di raja. Kami pun tak lepaskan peluang kerana seingat aku kali terakhir aku makan kat meja pengantin ialah ketika aku jadi pengantin tahun 1996 dulu.
Sayangnya pada hari itu perutku agak sebu dan tak begitu ceria. Jadi aku ngadap makanan-makanan lazat yang terhidang pun tanpa perasaan terliur untuk menjamahnya. Aku cuma makan seciput nasi, berlaukkan seciput ayam, diiring dengan seciput sayur. Tapi aku makan banyak buah-buahan seperti anggur, epal dan tembikai kerana pada saat itu makanan yang berupa buah-buahanlah yang dapat menambat selera aku. Udang panjat nanas pun cuma 2 ekor saja yang berjaya memanjat masuk ke tembolokku. Sesudah makan, mengambil hadiah dan bersalaman, kami pun bergerak pulang meninggalkan perkarangan rumah pengantin.
No comments:
Post a Comment