m y f a m i l y

m y   f a m i l y
Showing posts with label wira. Show all posts
Showing posts with label wira. Show all posts

Tuesday, March 13, 2018

Selamat tinggal Wiraku

14 Januari 2018 -Wiraku dilahirkan kira-kira hampir 17 tahun dahulu, pada tahun 2001. Tetapi ia duduk di bawah jagaanku hanya pada tahun 2002. Masa tu aku bekerja di Brickfields. Baru dapat bonus sikit. Dan aku menemukan Wiraku ini di sebuah kediaman kecil, di sekitar Ampang Hilir. Maka berurusanlah aku dengan Bank EON untuk memiliki Wira warna putih ini.

Wira adalah kereta keduaku selepas Nissan Sentra. Tapi merupakan kereta baru yang pertama yang aku miliki. Sentra ialah kereta second hand milik Allahyarhamah kekandaku. Bangganya aku memiliki Wira yang putih melepak bak Qu Putih. Rajin sungguh aku memandikannya setiap minggu (cuma pada peringkat awal sajalah).

Susuk tubuh Wiraku dari belakang. Bumper-nya dah mula melondeh.
Dari sisi. Menjadi tempat istirahat kucing-kucingku serta lain-lain kucing yang singgah di rumahku.
Dengan Wira, aku telah merantau jauh bersama keluargaku. Hingga ke Johor. Hingga ke Bukit Merah. Hingga ke Sungai Petani. Sampai terbatuk-batuk kadang-kadang kerana terlalu penat berjalan. Dan aku akan bagi ubat dan tonik supaya Wiraku sihat kembali. Tetapi semakin tua usia Wiraku, semakin tak dapat dielakkan lagi segala tulang temulang yang mereput dan anggota tubuh yang melemah. Wiraku cuma bertahan. Setakat yang ia mampu.

Wiraku pernah beberapa kali ditimpa kemalangan. Yang paling teruk adalah ketika aku dan ibuku dalam perjalanan ke Pasar Borong Selayang sesudah subuh. Pagi terlalu gelap tanpa cahaya dari lampu jalan. Wiraku terlanggar tiang lampu yang melintang di tengah jalan. Wiraku berpusing-pusing macam gasing seperti dalam filem Hollywood. Mujur aku dan ibuku tidak tercedera. Sekadar sakit otot sahaja. 

Lebih setahun setengah Wiraku tersadai di depan rumah. Tidak bergerak ke mana-mana. Cukai jalannya dah lama mati. Berhabuk berdebu tubuhnya. Hancing dikencing kucing. Tetapi Wiraku tidak pernah mengeluh. Diam menerima takdirnya. 

Wiraku sering sakit. Baterinya kong. Gear box-nya rosak. Kalau masuk gear 4 atau 5, pasti dia menendang. Brake pad pun dah haus. Dengar cerita, ada masalah alternator lagi. Bumper depan jatuh. Bumper belakang longgar. Absorber longlai. Meter reader sangkut. Tapi pendingin hawanya masih berfungsi dengan baik. Masih boleh menyejukkan tubuh yang kepanasan.

Kira-kira seminggu setelah gambar-gambar ini kuambil, Wiraku telah kuserahkan kepada seseorang yang kupanggil Abang Ujang. Sepupu kepada teman akrabku, Hj Noris. Aku tolak dengan harga RM800. Tak sempat aku ucapkan selamat tinggal kepada Wiraku. Sekadar memerhatikan dari jauh, sambil naluriku melambai-lambai sayu.

"Selamat tinggal Wiraku!"

Bahagian dalam. Sudah terserlah keriput wajahnya.
Tempat duduk belakang.

Sunday, March 22, 2015

Kereta aku dimasuki orang!

12 Februari 2015 - Malam tu kereta aku tak berkunci. Pagi harinya, ketika aku nak hantar Amier ke sekolah, aku ternampak pintu kereta aku tak tertutup rapat. Alamak! Macam ada something happened aje. Aku terus cepat-cepat bukak pintu kereta aku. Aku nengok sun block flap kat atas kepala telah ditundukkan. Pintu compartment semua terbukak. Tempat ash tray pun terbukak jugak. Aku semak segenap kereta, kot-kot ada apa-apa yang hilang. Tak ada! Phew. Nasib baik. Lega rasa di dalam hati.

Setelah menghantar Amier ke sekolah, aku kena pergi kerja pulaklah dengan wife aku. Masa nak pakai sun glasses, barulah aku tersedar. Rupanya sun glasses jenama Ray Ban aku yang kena curi. Arghhh!!! Tak apalah. Salah aku. Lepas ni aku kena lebih berhati-hati. Kerana penjenayah sentiasa menanti peluang yang terbuka.

Pintu kereta agak renggang.
Ada orang bukak pintu ni ke?
Pintu compartment terbuka.
Pintu compartment yang kecil ni pun terbuka jugak.
Kat sinilah sun glasses aku letakkan dulu.
Penghadang silau matahari pun tertolak ke bawah.

Tuesday, August 20, 2013

Bumper keretaku yang sakit

Kami baru aje pulang dari hospital setelah melawat ibuku yang terlantar di wad Hospital Ampang kira-kira sebulan yang lalu. Secara tak semena-mena, sebuah motor kapcai yang ditunggang oleh seorang anak muda keturunan Cina melanggar keretaku di bahagian sisi depan. Aku terkejut beruk! Sebijik macam beruk terkejut. Namun tidak seorang pun di antara kami yang cedera. Tapi bumper hadapan kereta Proton Wira ku terus jatuh tertanggal dan terkulai layu. Aku terpaksa memberhentikan keretaku. Anak muda tadi turut memberhentikan motor yang ditungganginya.

Kereta Wira burukku bersulam tali.
"Alamak boss! Bumper sudah tanggal laaaa... Tak boleh sambung balik laaaaa..." Pemuda Cina tadi agak suspen melihat tingkahku yang bagai The Incredible Hulk. Tapi persepsinya terhadap aku meleset sama sekali. Aku tak marah langsung. Aku cuma cari seutas tali atau dawai di tepi jalan untuk mengikat bumper yang jatuh tadi. Kami jumpalah jugak beberapa utas tali rafia yang sesuai untuk digunakan. Dengan penuh kepayahan, aku mengikat bumper keretaku kepada badan kereta. Pemuda Cina tadi turut membantu tanpa perlu aku menyuruh-nyuruh.

Tali rafia kuning dianyam begitu rapi dan teliti.
Setelah mengikat tali, aku rasa kereta Proton Wira burukku nampak lebih indah dan berseri pulak. Dan kini trend dan design macam ni telah menjadi ikutan anak-anak muda di seluruh Malaya. Malah dengar ceritanya, pemandu-pemandu F1 pun ada yang berminat nak ikat bumper kereta yang macam aku buat tu. Sebelum beredar, sempat jugak aku memberi kata-kata nasihat kepada pemuda Cina tadi:

"Wahai anak muda! Jika menunggang motor, hendaklah kamu berhati-hati agar tidak terlanggar kereta lagi. Topi keledar hendaklah dipakai sepanjang masa, tak kira panas ataupun hujan. Sekian terima kasih". Anak muda tadi terus insaf dan berjanji tidak akan melanggar kereta Wira ku lagi. Dia mungkin akan langgar kereta lain pulak. Mungkin kereta Mercedes. Mungkin jugak kereta BMW.

Sungguh indah dan cantik hiasan riben pada bumper keretaku ini.