m y f a m i l y

m y   f a m i l y
Showing posts with label syahmie. Show all posts
Showing posts with label syahmie. Show all posts

Friday, August 13, 2021

Syahmie masuk UiTM Dengkil - Asasi Sains

23 Mei 2017 - Selepas selesai tahun pembelajaran  bersama MRSM Ulul Albab di Gemencheh, dan setelah cuti panjang bila usai musim SPM, Syahmie telah mendaftarkan diri untuk sambung belajar di UiTM Dengkil. Di sini ambil kursus Asasi Sains. Kalau ada rezeki, boleh sambung pelajaran dalam bidang kedoktoran di universiti tempatan. Atau boleh juga memilih kursus lain yang mencabang dari Asasi Sains. Pada hari ini, aku dan isteri menghantar Syahmie mengejar cita-citanya dalam jurusan kedoktoran.

Syahmie dah sedia jiwa dan raga untuk belajar lebih tinggi.

Inilah unit kediaman pelajar putera.

Cantik juga pusat pembelajaran UiTM Dengkil ni.

Syahmie bersama Mama.

Syahmie bersama Akmal.

Aku bersama bapa Akmal. Tak silap aku junior aku sewaktu di MRSM Kota Baru dulu.

Reunion dengan junior.

Syahmie dah berpakat-pakat dengan kawan-kawannya, Adib dan Akmal yang juga bekas pelajar MRSM Gemencheh. Pada waktu yang telah dijanjikan, mereka akan bersama-sama mendaftar agar dapat duduk dalam unit kediaman yang sama. Semuanya telah diatur dengan sempurna. Kira-kira jam 3.00 petang, Syahmie, Adib dan Akmal sudah tercegat di depan pegawai yang bertugas mencatat nama-nama pelajar baru. Setelah mendaftar, barulah mereka masuk ke bangunan kediaman - Kolej Tualang 1.

Syahmie, Akmal dan Adib sedang berurusan dengan petugas pendaftaran.

Banyak betul borang yang perlu diisi.

Had pelawat.

Papan notis untuk makluman semua yang datang mendaftar.

Sedang berkemas di bilik Syahmie.

Cadar MRSM yang masih berjasa.

MRSM tetap di ingatan. 

Kami sama-sama naik ke atas. Mengemas barang-barang yang dibawa Syahmie. Dalam satu unit kediaman itu ada tiga bilik kecil. Dalam satu bilik ada dua buah katil. Syahmie duduk sebilik dengan Akmal. Satu unit boleh menempatkan enam orang pelajar kesemuanya. Banyak kemudahan sukan disediakan. Ada gelanggang bola keranjang, gelanggang futsal, gelanggang takraw, dan yang paling best ada gelanggang tenis juga. Padang bola juga terletak tidak jauh dari asrama. Dari bilik kediaman Syahmie, aku baru perasan, UiTM Dengkil ini dikelilingi oleh banyak tasik terbiar. Nampaknya macam ada banyak ikan yang menghuni di situ. Azamku satu hari nanti, kalau melawat Syahmie, aku nak cari port memancing dan menduga airnya.

(Nota: Sampai Syahmie habis belajar kat situ, sekali pun aku tak pernah pergi memancing kat kolam dan tasik yang aku nampak tu). 

Bila selesai semua urusan pendaftaran dan mengemas bilik, kami pun pulanglah, meninggalkan Syahmie dengan kawan-kawannya untuk meneruskan perjuangan mereka mengejar cita-cita.

Syahmie di dalam bilik. Tenang saja demi mencapai cita-cita.

Berbincang dengan Mama  tentang borang-borang yang perlu diisi.

Macam menjawab soalan SPM gamaknya.

Ada banyak gelanggang sukan di luar.

Dan ada tasik di kejauhan. Bila agaknya boleh memancing di sini?

Bapa Akmal juga sedang membelek borang pendaftaran.

Ini adalah common area untuk pelajar-pelajar belajar.


Monday, May 25, 2020

5 Syawal 2019: Beraya di Senawang

9 Jun 2019 - Pada pagi Syawal hari itu, aku dan isteri telah ke Senawang, Negeri Sembilan untuk menyempurnakan satu hajat yang terpendam. Sambil tu pergilah beraya sekali di rumah yang dituju. Kami ke rumah teman serumah Syahmie di Mesir - Adib. Tujuan kami ialah untuk mengirim kuih raya kepada Adib supaya disampaikan kepada Syahmie nanti di Mesir. Syahmie tak pulang ke Malaysia untuk beraya. Sebab itulah kami nak kirimkan kuih raya buatan sendiri itu. 

Kami singgah kedai beli buah tangan buat keluarga Adib sebelum menghala ke rumahnya. Kedatangan kami disambut dengan baik oleh Adib, serta kedua orang tuanya. Kami dijamu dengan makanan yang enak. Bercerita serba sedikit mengenai pelbagai hal. Dan akhir sekali kami titipkan dua balang biskut raya untuk dibawa ke Mesir. Terima kasih kami ucapkan kepada keluarga Adib. Ada kesempatan yang lain, kami akan bertandang lagi.

Dalam perjalanan ke Senawang.

Dah pun sampai. Sekejap lagi kami nak bagi salam.

Bersama Adib dan bapa Adib, Datuk Ibrahim.

Bergambar di ruang tamu.

Bersama Datuk dan Datin yang baik hati.



Lagu raya 2020: Simfoni Raya

Semalam aku telah memperdengarkan dua buah lagu raya. Pertama, lagu ciptaan Amier berjudul Tibanya Syawal dan kedua lagu ciptaan aku berjudul Insaf Syawal. Kali ini aku nak memperdengarkan lagu ciptaan Syahmie pula. Sebenarnya lagu ni telah dicipta dan telah dirakam pada tahun 2019 yang lalu. Masa tu Syahmie masih di Mesir lagi. Syahmie tak dapat beraya dengan kami pada tahun lepas. Jadi lagu raya inilah yang dikirimkan kepada kami. Tapi aku tak sempat nak meng-upload lagu ini dalam blog. Bagi aku, ini ialah antara lagu yang aku suka untuk mendengar. Rentak irama Malaysia modern. Untuk dipendekkan cerita, jom kita sama-sama mendengar dan terhibur, tanpa perlu membuat apa-apa penilaian mengenainya.

Syahmie ketika di Mesir.



Tajuk lagu: SIMFONI RAYA
Komposer: Syahmie
Lirik: Syahmie
Penyanyi: Syahmie
Susunan muzik: Syahmie
Video: Syahmie

Sambutlah kasih cinta yang suci
Kasih terjalin di Aidilfitri
Tua dan muda, miskin dan kaya
Sambut bersama hari yang mulia

Di pagi Syawal takbir bergema
Melafaz syukur pada Yang Esa
Segak bergaya, insan beraya
Riang gembira tidak terkata

Korus:
Ayuhlah semua kita raikannya
Hulurkan salam ikatan mesra
Tidak lupa pada yang sudah tiada
Sekudus doa buat mereka

Adat budaya tidak dilupa
Kunjung-mengunjung jiran tetangga
Rancak suasana, bagai berirama
Simfoni raya beralun indah
Simfoni raya beralun indah

Hari raya ini kumemohon restu
Hati terpaut pada kasih ibu bapa
Desa yang tercinta itu yang dituju
Bagi meraikan bersama-sama

Korus:
Ayuhlah semua kita raikannya
Hulurkan salam ikatan mesra
Tidak lupa pada yang sudah tiada
Sekudus doa buat mereka

Adat budaya tidak dilupa
Kunjung-mengunjung jiran tetangga
Rancak suasana, bagai berirama
Simfoni raya beralun indah
Simfoni raya beralun indah



Sunday, June 24, 2018

Lagu Raya 2018: Raya Terindah

Raya tahun ni kami perdengarkan lagi lagu raya baru untuk pendengar-pendengar lagu raya yang budiman. Macam tahun lepas, aku mintak anak-anak aku yang dah cukup umur untuk mencipta melodi dan lirik lagu raya. Kali ni masa yang aku berikan lebih panjang dari dulu supaya penghasilan lagu raya lebih bermutu dan tidak tergesa-gesa. Tanpa membuang masa, Syahmie telah menghasilkan sebuah lagu baru. Siap dengan music arrangement nya yang tersendiri. 

Perdengarkanlah lagunya:






RAYA TERINDAH

Komposer: Syahmie
Lirik: Syahmie
Penyanyi: Syahmie
Susunan muzik: Syahmie
Video: Wanie

Bergema suara takbir
Sayu indah dan berseri
Tiba jua hari yang dinanti
Ayuh bersama kita syukuri

Yang jauh juga yang dekat
Pulang berhimpun bersama
Mengharapkan restu dan berkat
Ayah dan bonda yang tercinta

(Chorus)
Kakak abang keriangan
Berpakaian serba indah
Cantik segak dan menawan
Bagi menyambut hari raya

Aidilfitri
Hari penuh kebahagiaan

Aidilfitri
Kaya miskin meraikan

Salam dihulur meminta keampunan
Yang telah pergi doa disampaikan

Aidilfitri
Kuberdoa pada Tuhan

Aidilfitri
Jiwa suci kudambakan

Hari yang murni kita saling memaafi
Raya terindah kita kecapi

(Chorus)

Raya terindah kita kecapi


 
 

Saturday, May 12, 2018

Tenis anak-beranak lagi

12 Mei 2018 - Kami main tenis berdua lagi. Minggu lepas tak berkesempatan pasal ada urusan lain. Badminton pun tak main jugak pada hari Rabu lepas pasal ada PRU-14. Sebelum bulan Ramadan ni, aku ingat nak bersenam sikitlah. Club TTC ada buat booking court. Tapi pada petang hari Ahad. Aku tak dapat join. Jadi aku pun call-lah court kat Jalan Duta. Court cuma kosong pada pagi hari Sabtu aje. Pagi hari Ahad penuh. Aku pun confirm-kan kat petugas yang aku nak gunakan court pada hari Sabtu jam 9-11 pagi. Aku kejutkan Syahmie yang sedang berbaring. "Jom siap main tenis". Syahmie terus bergegas bangun.

Court tenis Jalan Duta agak panas. Setelah warming up, kami mulakan permainan satu set. Pertarungan kali ni lebih sengit dari biasa. Aku cepat letih bila bermain di bawah matahari yang agak terik. Syahmie mendahului aku 3-2, bila tiba-tiba perutku berasa tidak dapat membendung isi kandungan yang sepatutnya telah kubebaskan awal pagi tadi. Aku lantas ke tandas menunaikan hajat agar permainanku nanti lebih selesa.

Selepas selesai qadha' hajat. kami sambung main. Syahmie yang mempunyai stamina dan kepantasan yang lebih mula mengatasiku 4-2. Masa tu aku memang dah lembik. Tapi permainan diteruskan juga sampai point terikat 6-6. Aku menjangkakan kali ini Syahmie akan berjaya mengalahkan aku untuk pertama kalinya. Kami main tie breaker. Dalam keadaan kedua-dua kami penat, akhirnya aku berjaya menundukkan Syahmie 7-6 (8-6). Tapi aku tak kisah kalau kalah kepada Syahmie pun. Performance Syahmie sekarang dah jauh lebih baik dari dulu. Semoga semakin hebat dengan latihan yang berterusan.

Court banyak yang kosong, dan panas sangat terik.
Kedua-dua kami menggunakan reket yang berat - >300 gram.


Wednesday, March 7, 2018

Tenis di Duta dua beranak

4 Mac 2018 - Minggu ini kelab tenis TTC yang aku anggotai tak buat booking court kat Taman Tasik Titiwangsa. Jadi pada hari Sabtu petang, aku call lah pejabat Kompleks Tenis Jalan Duta nak tempah gelanggang. 

"Hello. Hari Ahad ni ada court kosong?" tanya aku santun.

"Inche, esok court sudah punuh. Ada tunamen. Itu ATP, WTA, sumua ada. Grand Slam pun ada juga," balas petugas kaunter yang berketurunan India itu.

"Ok, tak apalah," jawabku hampa.

Aku cuba hubungi Hanafi, kot-kot dia ada main tenis pada hari Ahad nanti. Bolehlah aku tumpang sekaki. Mesejku melalui whatsapp tidak dibalas. Aku berfikir sejenak. Aaaahhhh! Tak kisahlah. Esok nanti aku akan ajak Syahmie ke Titiwangsa dan redah aje mana-mana court yang kosong. Kami akan main di situ sampai penyewa court datang.


Main tenis anak beranak.

Di Titiwangsa, kereta penuh parking di mana-mana. Aku kena park jauh sikit dari tempat biasa. Dari jauh aku nampak ada court kosong di sebelah hadapan. Wajahku mula mempamerkan ceria. 

"Jom Amie. Jom kita serang court yang kosong tu," ajak ku.

Tanpa membuat regangan otot, kami terus mencapai reket dan memulakan permainan ringan-ringan. Tak sampai pun sepuluh minit kami bermain, si penyewa gelanggang pun datang masuk menghampiri kami. Alamak! Aku ajak Syahmie beredar. Sempat jugak aku menegur sapa si penyewa tadi dengan senyuman.

Otakku tak putus-putus berfikir. Aku capai telefon bimbit. Aku call lagi Kompleks Tenis Jalan Duta. Tanya soalan yang sama seperti semalam - ada court kosongkah? Kali ini responnya berbeza. Court kosong ada! Apa lagi, aku pun cakaplah aku nak sewa dari jam 9.00 pagi sampai jam 11.00 pagi. Aku cuba juga ajak beberapa teman tenis ku untuk bermain sama. Tapi masing-masing ada urusan lain. Jadi aku bermain berdua ajelah dengan Syahmie. 

Kami main tenis dengan rentak yang sangat perlahan. Tak beria-ia nak mengejar bola. Main sekejap, duduk rehat. Santai-santai. Aku main satu set dengan Syahmie. Aku menang 6-4. Saja nak bagi Syahmie praktis pukulan tenisnya. Kira-kira jam 10.40 pagi, kami mula beredar dari situ. Hatiku puas dapat main tenis. Tapi jauh di lubuk hatiku, aku lebih puas dapat beriadah bersama anakku Syahmie dalam sukan yang sama-sama kami minati. Ini akan menjadi kenangan panjang buat aku dan Syahmie. Sudah tentu!

Syahmie dengan gaya tersendiri.

Monday, July 3, 2017

Lagu raya eksklusif keluarga 2017: Komposer-Adisarah

Bahagian 2

Setelah lagu Raya Kali Ini ciptaan Syahmie dirakamkan, menyusul pulaklah lagu raya ciptaan aku berjudul Cahaya Aidilfitri. Syahmie buat music arrangement pakai i-phone dia aje. Pakai application Garage Band katanya. Aku tak pandai pakai. Jadi aku suruh Syahmie buat muzik untuk aku. Aku cuma bagi instruction dan bagi chord aje. Yang lain aku serahkan kepada Syahmie untuk settle-kan. Dan hasilnya adalah seperti berikut.

Gandingan father and son.
Dengarkanlah lagu ciptaan aku ini,  Cahaya Aidilfitri  (klik link ini) :


Lagu: CAHAYA AIDILFITRI
Nyanyian: Syahmie
Ciptaan: Adisarah
Lirik: Adisarah
Susunan muzik: Syahmie
Video: Wanie 

Cukup sebulan kita berpuasa
Lapar dahaga kita bersama
Bagai mereka yang tidak upaya
Hidup serba tiada

Agar diri lebih bertaqwa
Muhasabah pekerti dan jiwa
Semoga amalan semua diterima
Segala dosa-dosa diampuni-Nya

Chorus:
Kini telah menjelma cahaya aidilfitri
Seharusnya raga bersih suci diri
Penuh pengabdian kepada Ilahi
Dan bersyukur nikmat diberi

Ziarah-menziarahi saudara dan taulan
Dengan wajah ceria terukir senyuman
Sambil menikmati pelbagai hidangan
Tulus ikhlas bermaafan
Di hari raya...

Ulang chorus.



Sunday, July 2, 2017

Lagu raya eksklusif keluarga 2017: Komposer-Syahmie

Bahagian 1

27 Jun 2017 - Aku mencabar anak-anak aku untuk mencipta lagu dan senikata lagu raya. Dan aku sendiri akan mencipta satu lagu. Fresh dan original. Kalau bolehlah. Of course, kami ni tak biasa cipta lagu. Kalau ada persamaan dengan lagu yang dah ada kat pasaran, itu kami tak dapat nak sangkal. Tapi aku memberi sepenuh kredit kepada anak-anak aku, Syahmie, Wanie dan Amier kerana berjaya menyiapkan lagu dalam masa beberapa hari sahaja.

Syahmie tengah recording suara.

Perdengarkanlah lagu ini ciptaan Syahmie - Raya Kali Ini  (klik link ini) .




Lagu: RAYA KALI INI
Nyanyian: Syahmie
Ciptaan: Syahmie
Lirik: Syahmie
Susunan muzik: Syahmie
Video: Wanie

Raya kali ini, Sebuah memori
Manis kurasai, Pahit kutangisi

Raya kali ini, Nikmat pemberian
Yang Maha Memberi, Pada setiap insan

Chorus:
Oh sungguh bermakna
Raya kali ini
Keluarga tetangga
Saling memaafi

Indah tak terperi
Raya kali ini
Terus bersemadi
Dalam sanubari

Raya kali ini, Kusemaikan cinta
Merawat segala, Luka yang membarah

Raya kali ini, Mengajarku erti
Cereka cinta sebenar, Kucari sekian lama

Chorus.


Saturday, April 1, 2017

Syahmie dan SPM: Debaran keputusan dan reunion

Bahagian 3 (Akhir)

Okay. Sekarang semua orang kat dewan dah tahu siapa yang mendapat 11A. Malah mereka yang mendapat keputusan straight A's tu telah dipersembahkan di atas pentas sebentar tadi. Maka yang selebihnya perlulah beratur mengikut kelas masing-masing untuk mendapatkan slip keputusan peperiksaan SPM. Kesuspenan masih belum habis lagi. Baik bagi pelajar, mahupun orang tua masing-masing.

Syahmie bersama Salihin dan teman-teman yang lain sebelum mendapatkan keputusan peperiksaan masing-masing.
Beratur seorang demi seorang mendapatkan slip peperiksaan.
Syahmie masih di belakang. Terasa lambat pulak masa bergerak.
Syahmie mendapatkan slip keputusannya.
Baca Bismillah dulu sebelum buka sampul.
Aku dan isteri menunggu di tepi meja petugas. Isteriku lebih terasa debaran yang memuncak. Syahmie kelihatan tenang bersama teman-temannya. Aku - tak taulah. Debaran tetap ada. Konfiden pun ada jugak. Kedua-duanya berbaur. Sejurus Syahmie memperolehi envelope dari petugas, kami terus meminta Syahmie untuk mengeluarkan slip keputusan. Membiarkan Syahmie melihat dulu keputusannya sebelum kami. Syahmie melihat sepintas lalu. Katanya lebih kurang, "Tak expect Chemistry yang dapat B, ingatkan Biology." Slip diberikan kepada kami. Kami lihat sepintas lalu jugak. Syahmie dapat 10A dan 1B. Lebih kkhusus lagi, 4A+, 4A, 2A- dan 1B+. Tahniah buat Syahmie! Isteriku lantas memeluk erat anak sulungnya itu. Gembira tidak terkata. Aku turut gembira dan berbangga dengan pencapaian anugerah Allah ini. Salah seorang teman akrab Syahmie, Salihin juga mendapat 10A 1B. Tahniah. Pelajar-pelajar yang lain kami tak tahu pulak keputusan mereka.

Isteriku memeluk erat Syahmie kerana pencapaian cemerlangnya.
Ibu dan ayah kepada Salihin turut gembira dengan pencapaian anaknya itu.
Bersama Ustaz Haziman (Quran & Sunnah).
Tahun ini keputusan subjek Al Quran dan Sunnah semakin meningkat.
Bersama Pengetua Tn Hj Ghazi.
Sebelum bersurai, Syahmie menyatakan hasratnya untuk bergambar dengan guru-guru yang pernah mengajarnya. Bukan kesemua guru-guru itu ada di dalam dewan. Beberapa orang yang kebetulan ada di situ telah bergambar dengan Syahmie. Tuan Pengetua Tn Hj Ghazi juga tidak terkecuali. Syahmie bersalam-salaman dengan teman-temannya di dalam dewan. Dan aku turut mengambil gambar Syahmie berlatar belakangkan MRSM Gemencheh sebagai kenangan. Selepas itu barulah kami menghala ke Gemas untuk makan tengah hari sebelum bergerak pulang ke Kuala Lumpur.

TAMAT

Bersama Cikgu Rahman (BM) & Cikgu Abdullah (Sejarah).
Bersama Cikgu Rahisyam (BM).
Terpampang banner ini di dinding dewan sekolah.
Slip keputusan peperiksaan Syahmie.
Syahmie dan MRSM Gemencheh.
Gambar ini akan jadi lejen.
Sambil memegang slip keputusan peperiksaan.
Ada kesempatan, Syahmie bolehlah ke sini lagi untuk menaburkan bakti buat sekolah lamanya.