m y f a m i l y

m y   f a m i l y
Showing posts with label cat. Show all posts
Showing posts with label cat. Show all posts

Saturday, August 8, 2020

Binatang buruan di depan rumah

4 Mei 2020 - Pada suatu petang yang tenang, kucing yang kami bela yang diberi nama Mak Kucing @ Macochayng telah mempersembahkan kepada kami satu pemberian yang tidak kami sangka-sangka sama sekali. Ia adalah seekor tupai yang diburu sendiri oleh Mak Kucing. Kami selalu menganggap Mak Kucing itu bersikap pemalas, suka tidur dan makan, dan mempunyai najis yang sangat besar. Nyatanya Mak Kucing mahu kami sedar bahawa persepsi kami mengenai dirinya itu salah. Sama sekali salah. Mak Kucing mahu membuktikan dirinya mampu bergerak cergas. Mampu memburu dengan baik. Buktinya, seekor tupai telah berada betul-betul di hadapan pintu rumah kami. Wah! Hebatnya Mak Kucing!

Setelah diamat-amati haiwan yang berada di depan pintu rumah kami itu, kami menyedari, haiwan itu BUKAN-lah tupai sebenarnya. Ia adalah sejenis tikus pokok atau dalam bahasa Inggeris disebut "Tree Shrew". Sebenarnya anak aku yang bagi tahu kepada kami tentang ini. Aku ingat itu tupai. Rupanya lain sikit. Tree Shrew ini memang banyak di kawasan rumah kami. Binatang ini sebenarnya lebih suka makan serangga kecil, berbanding tupai yang suka makan buah-buahan dan kekacang. Jadi, bila-bila kalian nampai binatang macam tupai yang melompat-lompat di atas pokok, tengok dulu betul-betul - adakah itu tupai atau pun Tree Shrew?
Mak Kucing bawa balik binatang buruan.
Tupai atau tree shrew?




Tuesday, May 26, 2020

5 Syawal 2019: Jom beraya di rumah Kak Esah

9 Jun 2019 - Pada sebelah petang, rumah kami dikunjungi oleh sepupu-sepupuku dari Kajang. Pada sebelah malamnya pula, kami sekeluarga terus berangkat ke Gombak untuk ke rumah kakak iparku - Kak Esah. Macam-macam perkara menarik yang berlaku di rumah Kak Esah ketika kunjungan kami pada hari itu. Ada makanan yang lazat-lazat. Ada permainan game hari raya special. Ada persembahan artis terkenal zaman dulu dan zaman sekarang. Ada roller coaster dan merry-go-round. Lepas tu ada superhero Avengers turut singgah beraya di rumah Kak Esah. Kalau tak silap aku Ironman, Hulk dengan Spiderman yang datang pada malam itu. Thanos pun datang jugak. Sempena bulan raya ni, geng-geng Avengers dah maafkan Thanos dan konco-konconya. Macam mana Ironman dan Thanos boleh hidup balik? Pakai petik jarilah... Hehehe... Cuma sayangnya, masa tu aku terlalu excited sampai terlupa nak ambil gambar semua kejadian yang best tu. Yang ada cuma gambar meow ni ajelah sebagai bukti. Terserahlah kepada kalian. Nak percaya boleh, tak nak percaya pun boleh...


Meow ni duduk kat depan pintu masuk rumah.

Tugas Meow ialah untuk menyambut tetamu yang datang.

Serta mengucapkan selamat jalan kepada tetamu yang balik.

Baju raya Meow ni simple aje - cuma ikat bandana kat leher.


Saturday, March 21, 2020

Kucing dan khasiat botol merah

27 Januari 2020 - Satu dunia sedang berkata-kata soal virus Corona dan penyakit Covid-19. Dan beberapa hari yang lalu YAB Perdana Menteri Malaysia telah mengumumkan perintah Mengawal Pergerakan mulai 18 Mac 2020 sampailah hujung bulan Mac 2020. Aku mengharapkan dosa-dosaku dan dosa seluruh umat Islam diampunkan Allah. Dan kita mengambil iktibar dari apa yang sedang berlaku ini. Jaga kesihatan. Jaga kebersihan diri. Duduk di rumah. Tingkatkan amalan soleh.

Tetapi kali ini aku bukan nak bercerita tentang virus atau pun penyakit. Aku nak berkisah soal botol berisi air warna merah - petua orang tua-tua untuk menghindar kucing dari merapat. Tapi aku tidak pasti ini adalah petua dari kebudayaan siapa. Tak salah mencuba, kan? Jadi kami pun terus bereksperimentasi dengan teori botol berisi air warna merah ini. Yang kami cuba jauhkan ialah kucing-kucing yang suka kencing dan membuang najis di kawasan rumah kami.

Di hampir setiap sudut depan rumah, kami tempatkan botol-botol berisi air warna merah ini. Sekali pandang macam mujarab. Nampak gayanya dah tak ada kucing-kucing jantan jalanan datang membuat 'tanda' di kawasan rumah kami. Syukur. So far so good. Itulah fikir kami pada mulanya. Tetapi rupanya ada seekor kucing yang masih tak makan saman dengan amaran yang sebegini. Biar aku kenalkan siapakah kucing yang dimaksudkan itu.

Botol air merah di bukaan tepi pagar - laluan masuk kucing-kucing liar.
Botol air merah di tepi tiang - target kucing jantan suka merembeskan air kencing.
Satu lagi tiang yang dikawal rapi oleh botol air merah.
Botol air merah atas tempayan.
Dia asalnya seekor kucing betina jalanan yang memang suka melepak di rumah kami. Hidungnya selalu berhingus. Kulitnya seperti orang kena eczema. Tapi muka dia comel. Matanya besar macam mata kartun. Perutnya buncit, macam kucing bunting. Oleh kerana kami ingat ia sedang mengandung, maka kami namakan kucing itu "Mak Kucing". Nama glamour-nya ialah Maco Chayng. Baru sekarang kami sedar sebenarnya dia tak mengandung. Memang perut dia buncit dan keras. Sampai sekarang dia tak pernah beranak. Oleh kerana Mak Kucing suka sangat lepak di rumah kami, akhirnya kami terus bela dia dan bagi dia makan setiap hari.

Dalam banyak-banyak kucing yang ada di kawasan rumah kami, Mak Kucing lah yang paling kurang cerdik sikit. Dari dulu sampai sekarang, dia memang suka membuang najisnya yang sangat besar di satu penjuru rumah tepi pintu. Dah letak botol berisi air merah pun nampak gayanya masih tak jalan. Dia masih jugak memerut di spot yantg sama. Aku rasa kucing ni IQ dia kurang sikit. Sebab setiap kali dia melepas, tak sedikit pun berasa bersalah di atas perbuatannya.

Okay. Cukuplah setakat itu. Tak nak mengumpat lebih-lebih. Takut dia berasa hati.

Mak Kucing selalu memilih spot terbaik untuk melelapkan matanya.
Kehadiranku disedarinya.
Berasa terganggu dan sedikit marah.
Nak menyambung tidur semula.
Lokasi pembuangan najis oleh Mak Kucing.

Friday, June 17, 2016

Si cilik meow!

12 Mei 2016 - Kali ni aku nak cerita kisah ringan-ringan aje. Kisah anak kucing. Kami ada dua ekor kucing yang dah lama kami bela. Satu bernama Isabel. Satu lagi bernama Tenton (tapi anak-anak kami panggil Temtem). Tenton ni adalah anak saudara kepada Isabel. Tetapi mereka selalu bergaduh. Sekarang Isabel dah fobia dengan Tenton pasal selalu kena marah dengan Tenton. Isabel membawa diri dengan mencari makan di tong-tong sampah.

Yang ini bernama Kepompong.
Kepompong sedang dibelai.
Tenton ada beberapa ekor anak. Batch awal ada dua ekor - Nofa dan Cameron. Tapi dah lama kami tak nampak Nofa. Tak taulah apa khabarnya. Batch yang kemudiannya ada tiga ekor - Kepompong, Penakut dan satu lagi belum ada nama. Yang dalam gambar ni adalah Kepompong dan Penakut. Sekarang ni yang masih ada kat rumah kami adalah Penakut sekor aje. Yang lain dah hilang entah ke mana. Tenton memang dah biasa beranak. Kalau kesemua anak dia masih hidup, aku rasa ada dekat sejuta ekor kot anak dia. Wallahu a'lam.

Kepompong dan Penakut dalam dakapan.

Thursday, December 11, 2014

Kisah pendek Si Kechik

17 November 2014 - Kami dapat jemputan untuk menghadiri satu mesyuarat penduduk Kampung Baru di Hotel Regency, Kuala Lumpur. Pihak Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bercadang untuk membuat satu pembangunan yang melibatkan sebahagian tanah penduduk Kampung Baru. Tanah ayah aku nampak gayanya terlibat kali ni. Mesyuarat itu dipengerusikan oleh individu berpengaruh di Kampung Baru - Dato' Seri Matshah Safuan. Tapi bukan pasal isi kandungan mesyuarat tu yang nak aku kisahkan. Kali ni aku nak kisahkan pasal satu makhluk kecil yang kami temui di Hotel Regency pada malam itu. Kami gelarkan ia si Kechik.

Si Kechik tengah bermain-main di rumah Kak Esah.
Sesampainya di parking lot tingkat 6, Hotel Regency kat kawasan Chow Kit tu, kami terdengar suara anak kucing mengiau lantang tak henti-henti. Tapi kami tak berapa endahkan bunyi itu sebab kami perlu bergegas masuk ke bilik mesyuarat yang bakal berlangsung tak berapa lama lagi. Mesyuarat tamat kira-kira jam 11 malam (kalau tak salah aku lah). Dan kami terus menghala ke tempat parkir untuk pulang. Suara anak kucing mengiau tadi masih kuat kedengaran. Kami cuba mencari punca suara ngiauan itu. Manalah tau, kot-kot ada anak kucing tersangkut kat tempat tinggi, atau terjatuh dalam lubang.

Badannya sangat kecil. Tapi aku rasa umurnya dah agak lanjut.
Cari punya cari, kami temui seekor anak kucing yang sangat kecil tanpa ibu berlegar-legar di planter box tepi parking. Kami belai ia untuk seketika. Kemudian kami berangkat pulang. Ketika kami baru nak melangkah pergi, anak kucing tadi beria-ia nak ikut kami. Kami cuba tinggalkan ia jauh-jauh, dan cepat-cepat nak masuk ke dalam kereta. Anak kucing itu masih lagi mengikut kami. Kami letak anak kucing tadi lebih jauh lagi. Kami masuk ke dalam kereta sepantas kilat. Start enjin. Tekan minyak dan pecut 150 km/jam. Anak kucing tadi masih mengekori kami. Kami dikejar dari simpang ke simpang. Dari selekoh ke selekoh. Dari highway ke highway. Bagai adegan kejar-mengejar dalam cerita Fast And Furious 1, 2, 3, 4, 5 dan 6. Akhirnya kami mengalah. Kami bawak ia pulang. Dan menamakan anak kucing tadi si Kechik kerana tubuhnya yang sangat-sangat kecil.

Si Kechik menumpang susu salah seekor ibu kucing kat rumah Kak Esah.
Sebenarnya si Kechik bukan saja lapar. Tetapi ia jugak inginkan teman. Tak kiralah temannya itu seekor kucing ataupun manusia. Badan si Kechik banyak kurap dan kutu. Kutu pada badan Kechik sangatlah besar. Sekor kutu tu saiz dia dekat nak sama dengan saiz badan Kechik. Kami hantar Kechik ke hotel haiwan. Pusat jaga  haiwan tu mandikan Kechik dengan syampu Head & Shoulder yang boleh hilangkan kelumumur, kurap dan kutu 99.99 %. Lepas mandi, bulu si Kechik jadi lembut dan wangi. Kira-kira keesokan harinya, aku perasan dah tak kedengaran suara si Kechik lagi. Rupa-rupanya si Kechik telah hilang dari rumah kami. Tak taulah apa yang terjadi pada si Kechik. Kami cuma mengharapkan yang terbaik buat si Kechik. Biarlah dia sihat dibela oleh orang-orang yang sayangkan haiwan kecil seperti si Kechik.


Sunday, September 22, 2013

Gambar anak-anak Isabel

Februari 2013 - Inilah kira-kira tarikh gambar anak-anak kucing ini diambil. Masa ni semua anak kucing tu masih comot lagi, dan jalan pun terhoyong-hayang pasal lutut masih lemah lagi. Inilah anak-anak Isabel. Tapi kesemua anak-anak kucing ni dah tak ada. Ada yang dah mati. Ada yang dah hilang tak dapat dikesan. Tapi Isabel dah ada anak-anak baru - empat ekor semuanya. Rumah kami memang tak putus-putus ada kucing. Yang satu hilang, akan ada yang lain mengganti. Dan turut ada bersama kucing-kucing ni ialah bau-bauan yang kurang enak, hasil dari kumbahan dari perut mereka. Begitulah adat membela kucing.

Salah sekor dari kucing-kucing ni ialah Comel Tak Kak Ton.

Friday, August 30, 2013

Kucing-kucingku yang telah pergi...

Aku perlihatkan wajah-wajah anak-anak Isabel, cucu-cucu Snowcat, anak-anak saudara Snowie. Nama-nama mereka pun aku tak tahu. Yang aku tahu cuma sekor aje. Isteri aku bagi nama sekor yang paling kembang bulunya - "Comel Tak Kak Ton". Panjang betul nama dia. Tapi aku panggil Kak Ton aje. Sekarang semua mereka dah pulang ke tanah. Mereka mati secara misteri. begini kronologinya:

Masa mereka baru dilahirkan, kami simpan mereka kat sangkar depan rumah. Tiap-tiap hari Isabel kena masuk kandang tu untuk menyusukan anak-anaknya. Bila agak-agak dah besar sikit, barulah kami letak kat kandang belakang. Masa tu dia dah pandai berak. Baunya semerbak harum. Jadi kami letak kat belakang supaya kat porch rumah tak bau busuk. Semakin besar, kami lepaskan kucing-kucing tu dari sangkar. Tapi kami masih biarkan mereka bermain-main kat belakang. Tapi mak mereka, Isabel pergi ajar anak-anak kucing tu hala tuju ke bahagian depan rumah. Kami tak boleh buat apa. Itu anak Isabel. Dialah yang paling berhak menentukan nasib dan masa depan anak-anaknya sendiri.

Si mata biru.
Aku tak tau nama dia siapa.
Baru bertatih.
Belum pandai main sepenuhnya.

Kami agak gusar, takut-takut anak-anak kucing tu digilis tayar kenderaan yang lalu lalang dengan laju bak F1. Tapi anak-anak kucing tu nampaknya macam telah diajar oleh Isabel untuk berhati-hati dengan objek bergerak yang dipanggil kereta, lori, motor, kereta kebal dan trailer. Maka kesemua mereka terselamat dari bahaya kenderaan. Namun mereka tetap mati juga. Satu persatu. 

Kami tak dapat pastikan dengan jelas punca sebenar kematian mereka. Walaupun bedah siasat telah dilakukan oleh Unit Forensik, namun jawapannya masih tak dapat kami perolehi. Lalu kami rumuskan bahawa mereka mati sebab keracunan makanan. Dulu, pakcik dan makcik mereka pun ada jugak yang mati secara misteri. Mereka akan terberak-berak, badan lemah dan akhirnya mati. Aku sempat terhidu bau mulut salah sekor kucing yang ada. Baunya busuk macam bangkai. Aku rasa ada sesuatu yang telah melumpuhkan sistem dalaman kucing-kucing tu. Dan kesemua kucing-kucing tu mati tanpa sempat mereka membesar menjadi dewasa. Di sini aku perlihatkan gambar-gambar mereka dengan telatah masing-masing.

Inilah Comel Tak Kak Ton.
Kucing-kucing dalam beg angkut.
Amier dengan Si Mata Biru.
Bermain dengan  Kak Ton.
Kucing-kucing ni belum betul-betul nakal lagi.
Ketakutan.
Amier seronok bermain dengan anak kucing.
Si hitam yang ketakutan,

Tuesday, April 9, 2013

Si pemburu jalanan

Snowie dan Isabel adalah dua ekor kucing adik beradik, satu mak dan satu bapak yang kami bela bersama kucing-kucing lain dari kerabat yang sama. Snowie - si jantan yang sangat manja. Tak suka merayau, suka duduk kat rumah, kalau makan nak dilayan, dan lain-lain perangai Snowie yang mengalahkan sifat-sifat kucing betina. Isabel pulak adalah seekor mak kucing beranak lima. Anak-anak Isabel masih dalam sekolah tadika lagi. Isabel lebih independent, walaupun tubuhnya lebih kecil dan tidak sesasa abangnya Snowie. Itu adalah tingkah Snowie dan Isabel di mata kami saban hari.

Tetapi, kedua-dua kucing ini mempunyai suatu karaktor yang berbeza apabila malam, atau dinihari menjelang. Sesekali kami dapati ada bangkai cicak, tikus atau burung yang bergelimpangan di porch depan rumah. Pada awalnya kami tidak pasti angkara siapa, sehinggalah beberapa kali kami ternampak kedua-dua adik-beradik ini meratah rakus bangkai-bangkai haiwan yang telah terbujur itu. Ohhhhh..... rupa-rupanya, mereka berdua ini adalah pemburu jalanan yang sangat handal. Kami tidak pasti bagaimana mereka memburu - sama ada bersendirian atau berdua. Tapi yang pasti, mereka ada kaedah tersendiri bagi menjerat mangsa-mangsa yang malang.

Seekor merpati tumbang dikerjakan Snowie dan Isabel.
Komponen tubuh tikus yang tidak dimakan: 1.kaki hadapan 2.muncung bermisai 3.kaki belakang 4.ekor.
Habis rabak tubuh dan bulu merpati ini.
Isabel sangat beselera meratah daging merpati hingga ke tulang.
Pernah sekali, kami terlihat kelibat seekor anjing rottweiler yang telah tergolek dog di depan pintu rumah kami. Dan ada beberapa kali pulak, kira-kira enam ekor lembu tak berkandang telah terbujur mati di porch rumah kami angkara kucing-kucing pemburu jalanan ini. Tapi yang paling mengejutkan kami ialah, pada suatu hari kami telah membawa kedua-dua Snowie dan Isabel ke Zoo Negara untuk melihat haiwan-haiwan di sana. Tiba-tiba, ketika di kandang gajah, Snowie dan Isabel telah menyerang gajah itu dengan penuh kesungguhan, seperti dalam cerita KL Gangster. Lemah longlai gajah jantan yang perkasa itu. Nasib baiklah badan gajah tu tersangat berat, kalau tidak, sudah pasti Snowie dan Isabel akan mengheret tubuh gajah tadi hingga ke depan rumah. Wahai penjenayah, berhati-hatilah dengan dua ekor kucing ini. Mereka lebih ganas dari pitbull, lebih pantas dari cheetah, lebih licik dari serigala, dan lebih perkasa dari seladang. Penjaga rumah yang setia dan berani. Waspadalah!!!

Isabel masih meratah merpati.
Snowie sedang menikmati daging burung. Tak taulah kami itu burung apa. Mungkin jugak burung ostrich kot.
Sekor lagi burung menjadi mangsa. Perutnya sudah terbarai.
Tikus ini mati terkejut kerana terlalu takut dengan Snowie dan Isabel.

Thursday, March 14, 2013

Isabel dah beranak

Akhirnya Isabel pun beranak. Anak yang dilahirkan ada lima ekor semuanya. Masa baru lahir, anak-anak Isabel nampak macam colour hitam semuanya. Bila dah besar sikit barulah nampak corak badan mereka dengan lebih jelas. Nama anak-anak Isabel adalah seperti berikut: Upin, Apin, Gopal, Ying dan Yaya. Tapi sampai sekarang aku masih tak tau pemilik nama-nama anak kucing tu secara khusus. Isabel tak macam kakaknya Brownie. Dia sangat tekun dan pandai menjaga anak secara bertanggungjawab. Sedangkan Brownie, kami terpaksa kurung dia dengan anak-anak supaya dia tak lari dari menunaikan tanggungjawabnya menjaga anak-anak. Anak-anak Isabel kami simpan dalam kandang besar. Kalau nak menyusu, Isabel akan mengiau mintak masuk kandang. Kalau dah menyusu, Isabel akan mengiau lagi nak mintak keluar kandang pulak. Kami ada jugak ajar Isabel suruh sebut "masuk" dan "keluar". Tapi lidah Isabel nampaknya sangat payah nak menyebut perkataan-perkataan yang kami ajarkan kepadanya. Nanti kalau anak-anak Isabel dah semakin remaja, kami akan pindahkan pulak mereka ke sangkar belakang rumah, sampailah mereka cukup besar untuk dibebaskan. Aku rasa kat belakang rumah aku nanti akan jadi zoo kucing gamaknya. Asalkan kucing-kucing kami ni semua tak menyusahkan jiran-jiran, sudahlah.

Isabel melayan anak-anaknya.
Isabel - ibu kucing yang bertanggungjawab.

Tuesday, February 12, 2013

Pembebasan dan kemerdekaan

Kali ini aku nak berkisah pasal sesuatu yang agak serius sikit. Soal kemerdekaan. Bermula dari penjajahan oleh pihak Portugis, Belanda dan Inggeris ke atas Melaka. Dan kemudian ke atas seluruh Tanah Melayu. Termasuklah penjajahan oleh pihak Jepun jugak ke atas Tanah Melayu. Kemudian, penjajahan minda kebaratan ke atas pemikiran dan minda rakyat Malaysia yang timur. Wah! Mesti korang dah pening-pening lalat bila aku bukak kisah sejarah pasal kemerdekaan, kan? Okaylah, untuk memenuhi permintaan ramai, aku bagi ringan sikit tajuk hari ni. Aku cerita pasal pembebasan dan kemerdekaan kucing ajelah.

Ini Temtem yang paling bijak. Amier kata ejaan nama dia sebenarnya macam ni: Tame-Tame.
Ini Tinton - yang paling mesra dan manja dengan kami.
Salah satu kucing aku tu namanya Brownie. Dia dah pun bersalin kira-kira beberapa bulan yang lepas kat Hospital Pakar Kucing Se-Malaysia. Dapat anak kembar! Tapi kembar tak seiraslah. Anak dia dua betina dan satu jantan. Yang betina tu nama dia Temtem dan Arabade. Yang jantan tu nama dia Tinton. Kami saja bela kucing-kucing tu kat sangkar belakang rumah, supaya bau najisnya nanti tak semerbak ke seluruh ruang hadapan rumah. Dan jugak bagi membiasakan anak-anak kucing tu kat sekitaran belakang rumah. Kalau duduk kat depan rumah, asyik kena langgar kereta dan mati aje. Pada kira-kira bulan lepas, kami rasa anak-anak Brownie dah cukup besar dan pastinya ingin bergerak bebas. Maka kami secara rasminya telah membuka pintu kandang luas-luas agar semua kucing-kucing tu boleh hidup bebas tanpa dilingkung oleh pagar-pagar dawai yang menyesakkan.

Ini Brownie - mak kepada semua anak kucing tadi.
Ini Arabade yang paling penakut.
Semua kucing tu sangat teruja bila dapat keluar. Terutamanya Brownie, pasal Brownie memang pada asalnya hidup bebas sebelum dia dikandangkan. Cuma Arabade aje yang nampaknya macam ragu-ragu dan mungkin belum bersedia untuk berhadapan dengan dunia luar yang lebih mencabar. Jadi si Arabade ni duduk aje tercegat kat satu corner dalam kandang tanpa berhasrat untuk keluar. At least belum untuk masa yang terdekat ni. Sedang yang lain-lain telah mula merayau-rayau cuba menyesuaikan diri dengan sekelilingnya.

Mendukung Arabade yang mempunyai bulu paling lembut.
"Saya merasmikan perasmian membuka pintu kandang".
Pintu kandang telah dibuka, tetapi kucing-kucing di dalamnya masih terpinga-pinga.
"Jom. Every body, keluar!"
Brownie mencari jalan keluar.
Brownie keluar dulu. Yang lain akan menyusul.
Temtem asyik dok mengikut aje ke mana Brownie pergi.
Tapi sebenarnya, dalam masa kucing-kucing tu berada di dalam kurungan, si Temtem telah terlebih dulu menerokai dunia luar secara bersendiri. Mungkin Temtem yang lebih bijak telah mencari jalan/lubang keluar dari kandang dan pergi merayau-rayau bersendirian. Bila time makan, Temtem akan pulang ke kandang  untuk makan dan menyusu. Bila siang, Temtem akan kembali keluar bermain. Adik-beradiknya yang lain nampak gayanya tak berapa pandai atau berani untuk mengikut jejak langkah Temtem.

Arabade masih tak pasti sama ada nak keluar atau tidak.
Meneroka longkang yang hamis.
Sekarang semua kucing-kucing tu dah lepas bebas. Tapi Brownie dan Temtem nampak gayanya masih berasa takut untuk menghampiri kami. Barangkali takut ditangkap dan dikurung lagi. Arabade dan Tinton boleh didekati dan didukung serta dibelai. Tapi ada satu masalah besar lain pulak yang muncul. Kucing-kucing tu sekarang suka berlegar-legar dan bermain-main di rumah jiran aku yang sorang tu. Kekadang dia berak kat sekitar kawasan rumah jiran kami. Dan khuatir jugak kucing-kucing tu pergi tangkap anak ayam yang dibela oleh jiran kami. Tak terfikir pulak nak bela kucing boleh jadi komplikated macam ni!

Temtem di balik semak.
Siapakah pulak yang memanjat pokok rambutan tu?