m y f a m i l y

m y   f a m i l y
Showing posts with label night. Show all posts
Showing posts with label night. Show all posts

Monday, November 5, 2018

Festival Teater Malaysia 2018: Hari kedua - Omongan orang teater

Bahagian 2 (Akhir)

Kita masih lagi berada pada hari yang kedua Festival Teater Malaysia menyaksikan teater Metamorfosa Kosong dari Sarawak. Show dah pun habis sebentar tadi. Para pelakon dan team produksi telah berkumpul dan bergambar dengan para VIP. Para penonton sudah ramai yang keluar dewan auditorium. Lepas ni akan berkumpul di laman luar. Di laman makan bak gerai tepi benteng. Masa kat gerai makan inilah para aktivis teater akan membawang pasal teater yang baru mereka saksikan. Yang punya ilmu, akan berhujah cara seorang ilmuan. Yang tak punya ilmu, akan berhujah mengikut rasa hati masing-masing. Ini lumrah musim festival yang sebegini.

Menanti di foyer dengan penuh debaran.
Akhirnya Halim dan anaknya, Hafiz tiba dengan bergaya.
Dan bergambarlah mereka dengan perasaan gembira.
Tiba-tiba sepantas kilat Marup Mustapah masuk mencelah.
Dan terus menampilkan gaya super heronya untuk tatapan peminat tersayang sekelian.

"Mamak! Teh tarik satu! Roti sardin tak mau bawang satu! Garing aaaahh!!"

Ada yang buat pesanan dengan meninggikan suara. Tapi setelah seketika, pesanan masih tak kunjung tiba. Rupa-rupanya di ruang makan pinggir gerai, tak ada gerai mamak. Semua gerai Melayu. Kena buat pesanan lain. Yang ada dalam menu cuma kebab, nasi lemak, nasi kerabu, laksa, pisang goreng, kentang goreng, dan pelbagai jenis minuman. Yang TAK ada - kari kepala ikan, kari kepala gajah, kari kepala badak air, dan kari kepala zirafah. Itu aje yang aku ingat.

Di gerai makan, Marup ada diskusi serius dengan Along Yusry.
Diskusi serius itu terganggu bila ada kelompok lain yang memulakan bicara soal sukan di tanah air.
Inilah kelompok yang sentiasa menyemarakkan ruang gerai Matic waktu malam.
Mardau dengan dua orang hero Malaya - Abang Lan Zailan dan Abang Mubarak Majid.
Tiada sempadan dalam perbincangan soal teater.
Fais sentiasa menimba ilmu dari orang-orang yang lebih senior.
Tiba-tiba "Awie Wings" datang menghampiri sebelum membuat persembahan sebentar lagi.
Dean Sitara tak terkata apa-apa bila duduk bersebelahan dengan legend rock Malaya.
Suasana macam ni memang best untuk orang-orang teater. Walaupun tempatnya sedikit sempit, kurang tempat duduk, tetapi ini jauh lebih bagus dari suasana yang kelihatan eksklusif dan mewah. Aku masih ingat lagi, masa zaman aku kanak-kanak. Kalau lepas menonton teater di Auditorium Dewan Bandaraya tepi sungai, Allahyarham Ayah akan bawak kami sekeluarga makan kat gerai tepi benteng. Pesanan yang selalu aku buat pada masa tu sudah pastilah soto dan air lencikang. Seronok sangat. Suasana sebegini lebih "intimate", mesra dan akrab sifatnya. Kami bergaul dengan orang-orang yang telah menempah nama dalam persada seni lakonan di tanah air. Rasa macam popular pun ada jugak, walaupun watak aku cuma sebagai pak pacak.

Okay, malam ini kita bergebang. Dan malam esok kita sambung lagi.

TAMAT

Azril Iskandar sangat selesa bergaul dengan kelompok kami.
Kedua-dua Dean Sitara dan Azri Iskandar terkedu duduk di sebelah Rock Legend.
Tuan Presiden Persatuan Teater Malaysia, Sakrani Shamsuddin turut turun padang.
Roslan - inilah gambar yang dinanti-nantikan selama ini.
Anisa dan Marup membelek gambar-gambar lama sewaktu di sekolah rendah dahulu.
Abang Lan Zailan ingin menunjukkan bakatnya dalam bidang silap mata.
Eh! Mana Awie? Omorq! Apa kau dah buat dengan Awie??!
Masih hangat bersembang.
Rakan akrab walau di mana saja.
Fais dan BK. Dua tunggak utama teater dalam katagori teknikal.
Senyuman terakhir malam ini. Esok kita senyum lagi.

Festival Teater Malaysia 2018: Hari kedua - Metamorfosa Kosong

Bahagian 1

16 Oktober 2018 - Izinkan aku sambung kisah Festival Teater Malaysia 2018 yang telah berlalu lebih 2 minggu lalu. Kisah ni memanglah dah sejuk sikit. Tapi boleh bagi panas balik kat microwave oven.

Pada malam kedua, kumpulan jauh yang terbang dari Sarawak, Pertubuhan Teater Sanggar Kreatif Kuching telah membuat persembahan. Drama yang dipentaskan bertajuk "Metamorfosa Kosong" - adaptasi naskhah Les Justes, karya Albert Camus arahan Mohamad Asri Ibrahim. Ini memang merupakan sebuah naskhah yang agak berat. Sempat jugak aku timbang naskhah ini sebelum pementasan dimulakan. Aku timbang naskhah ini, kira-kira lima tan metrik berat dia. Maka faham-fahamlah. Perlu tumpuan yang tinggi. Pemahaman yang mendalam. Baru boleh menghayati.


Metamorfosa Kosong.
Aktivis senior sedang bermesej dengan para produser.
Amran, Mubarak, Lan Zailan dan Rasdi di kerusi penonton.
Dean Sitara, Anisa dan Along Yusry turut hadir menonton.
Happy pasal dapat tiket free.
Halim, Fais dan Marup di suatu sudut auditorium.
Tak sabar-sabar nak menonton teater yang menampilkan naskhah berat ini.
Boleh aku bagi ulasan sikit? Jangan risau. Aku bagi komen yang baik-baik aje. Sebagai seorang penonton. Bukan pengkritik, ya? Masa lampu dinyalakan, terlihatlah sebuah set yang bagi aku agak cantik. Suasana kusam, tapi meyakinkan. Pada satu pertiga persembahan, aku memberikan tumpuan dan fokus yang tinggi. Cuba mengenali watak-watak yang tampil. Seorang demi seorang. Aku cuba fahamkan kisah dan isu yang diketengahkan. Ohhh... tentang perjuangan dalam pemberontakan. Suatu tuntutan kemerdekaan. Kebebasan. Bermula dengan perlahan. Dan momentum dan semarak semangat perjuangan dibangkitkan secara berperingkat. Perlahan-lahan. Menaik dari satu aras ke aras yang lebih tinggi.

Adegan yang paling aku minat dalam persembahan ini adalah ketika watak Fendi dalam penjara. Tangan dan kaki dirantai. Dan beliau diganggu oleh bayangan roh isteri Gabenor yang telah mati terbunuh akibat dibom oleh Fendi. Adegan ini memang best. Masa ni jugak Fendi melakonkan wataknya dengan sangat baik. Aku kagum dengan penghasilan adegan ini. Okay. Komen aku habis kat sini aje. Sekian terima kasih.

Oh ya! Pada permulaan bicara oleh pengacara majlis, beliau TIDAK memaklumkan satu perkara - "Sebarang rakaman gambar atau video tidak dibenarkan melainkan oleh mereka yang telah dilantik secara rasmi oleh pihak pengurusan". Jadi aku pun dengan selambanya mengambil gambar ketika pementasan. Masa cerita Mahkamah Keadilan semalam aku tak ambil gambar pasal larangan itu telah dimaklumkan. Aku kenalah patuh syarat dan peraturan.

Babak dalam Metamorfosa Kosong.
Berbincang cara-cara untuk menjuarai pertandingan ini.
Perdebatan soal siapa yang lebih macho di pentas ini.
Bergambar setelah habis persembahan.
Barisan kru dan pelakon.
Jauh mereka datang merentas Laut China Selatan.
Gembira dapat mempersembahkan yang terbaik.
Ini karaktor Fendi yang aku kagumi.
Bersalaman dengan para VIP.
Tuan Sakrani turut naik ke atas pentas.
Team produksi menghulurkan tangan untuk bersalaman.
Darah berlumuran ditubuh.
Posing bersama tetamu VIP.
Kejadian sebenar yang tak dapat dilupakan oleh semua penonton adalah....... Ketika persembahan sedang berlangsung, kedengaran suara penonton berdengkur dengan kuat sekali. Bukan sekali. Tapi dua kali. Sekali di barisan hadapan. Dan sekali lagi di barisan belakang. Walau siapa pun pemilik suara ini, maafkan sajalah. Gigih mereka bekerja pada siang hari barangkali menyebabkan mereka terlena dalam kegelapan dewan auditorium. Bukan tertidur kerana kebosanan. Itu tafsiran aku.

Habis show, kami pun berkumpul di ruang foyer dan bergambar beramai-ramai macam selalu sebelum ke ruang luar bangunan untuk makan-makan, minum-minum dan sembang-sembang.

Bersambung...

Fais, Along Yusry dan Abang Lan Zailan.
Isteriku tumpang bergambar.
Abang Mubarak dan Roslan turut bergambar bersama.
Tak puas ambil gambar. Ambil lagi.
Okay. Lepas ni kita pergi minum.

Thursday, October 25, 2018

Festival Teater Malaysia 2018: Hari pertama di MATIC

15 Oktober 2018 - Festival Teater Malaysia kembali lagi pada tahun 2018! Kali terakhir dianjurkan pada tahun 2016 di Kedah. Tapi sebelum aku cerita lebih jauh lagi pasal festival pada tahun ini, ada baiknya aku kisahkan dulu sejarah kewujudannya.

Ehem ehem... Apa kata aku ciplak terus dari laman rasmi JKKN ini:

"Menyorot kembali sejarah penganjuran Festival Teater Malaysia (FTM), ia telah mewarnai dunia seni teater sekitar tahun 70-an hingga 1980-an yang dikenali sebagai Pesta Tarian dan Drama. Namun pada 1990, FTM mula dikenali sebagai Pekan Teater dengan format dan pendekatan baru yang lebih memfokuskan kepada genre teater sahaja. Setelah melewati tahun millenium barulah Festival Teater Malaysia dijenamakan pada 2002 dengan pendekatan mesra khalayak."

Terus terang aku katakan, sejak penjenamaan semula Pekan Teater kepada Festival Teater Malaysia pada tahun 2002, sekali pun aku tak pernah jengah ke pentas persembahan ini. Masa era Pekan Teater memang selalu aku datang dan tonton persembahannya, pasal Allahyarham Ayah memang selalu jadi juri yang mengadili.

Festival Teater Malaysia: 15-21 Oktober 2018 di MATIC.
6 kumpulan yang layak ke peringkat akhir.
Tapi, walau apa-apa pun, pada tahun ini aku kembali bersemangat melibatkan diri dalam festival berprestij ini, walaupun hanya sebagai penonton. Dan juru gambar tak rasmi. Dan kadang-kadang tolong sikit-sikit pihak urusetia di mana yang perlu. Tahun ini juga isteri aku menawarkan diri untuk turut teribat membantu pihak Pertubuhan Teater Malaysia (MTN) dalam penganjuran ini bersama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC). Mau tak mau aku terpaksalah terlibat jugak, kannn...

Persembahan Mono Teater pada setiap petang sebelum persembahan oleh kumpulan-kumpulan yang bertanding.

Pada tahun ini, enam kumpulan dari seantero Malaysia hadir untuk berentap merebut piala terulung pada alaf ini. Maksud aku terulung bagi orang-orang teaterlah. Berikut disenaraikan kumpulan-kumpulan yang telah berjaya melepasi peringkat negeri dan zon sebelum layak ke pentas akhir:

1.  Tronoh Teater Shop Kuala Lumpur (TTSKL) (Kuala Lumpur)
Mempersembahkan teater "Mahkamah Keadilan" karya Taufik Al-Hakim, terjemahan Nahmar Jamil, olahan dan arahan Prof. Dr Shark.

2. Pertubuhan Teater Sanggar Kreatif Kuching (Sarawak)
Mempersembahkan teater "Metamorfosa Kosong", adaptasi naskhah Les Justes, karya Albert Camus arahan Mohamad Asri Ibrahim.

3. Politeknik Nilai (Negeri Sembilan)
Mempersembahkan teater "Dilarang Menyanyi Di Bilik Mandi" karya Seno Gumira Ajidarma, olahan dan arahan Noor Idlah Abdul Halim.

4. Persatuan Teater Opera Mimpi (TOPENG) (Perlis)
Mempersembahkan teater "Mat Derih Kola Perlih" karya Namron, dikonstruksi skrip oleh Siti Jasmina Ibrahim, arahan Syafiq Syazim.

5. Kelab Teater Smart (KERTAS) (Melaka)
Mempersembahkan teater "Warga S" karya dan arahan Norhan Fahmie Rayza.

6. Gandingan Waris dan Senandika dari Universiti Malaysia Pahang (Pahang)
Mempersembahkan teater "Asrama Ra" karya Khairunazwan Rodzy, arahan Fendi Shah.

Selain dari pertandingan teater peringkat akhir ini, turut dipersembahkan Santai Mono Teater - idea, konsep dan arahan Amran Nasrudin. Antara aktivis teater yang mengambil bahagain dalam persembahan mono teater ini termasuklah Marup Mustapah, Bard APA, Hj Kamarul AR, Anwar Pisang, Ladin Nuawi, Ain Sufia, Ash Mime, Rosli Mansor, Ramasundran, Chi Azim, Rosli Rahman Adam, Hamzah Tahir, Mardiana Ismail, Rozita Rohaizat, Sani Sudin, Dr Norzizi Zulkifli, Ewal Hafiz, Mubarak Majid, Roslan Madun, Fauziah Nawi, Dato' Ahmad Tarmimi Siregar, dan lain-lain lagi. Tapi aku tak sempat tengok mono teater ni pada hari kerja. Tengok masa hujung minggu ajelah gamaknya.

Marup Mustapah membuat perembahan mono drama pada hari pertama.
Disusuli oleh persembahan dari Haji Kamarul AR.
Izinkan aku bercakap pasal persembahan teater pada malam tu - Teater Mahkamah Keadilan oleh TTSKL. Ceeehhhh... bukan main santun lagi kannn? Maklumlah, aku bukan arif sangat pasal teater. Ilmu pun tak berapa nak ada. Aku rasa macam kurang adil kalau aku kritik persembahan orang lain secara terbuka macam ni, pasal aku sendiri pun tak tau apa yang baik dan apa yang buruk dalam falsafah orang berteater sebenarnya. Jadi aku cuma nak bercerita pasal elemen-elemen yang menarik saja yang sempat aku tonton. Boleh kan? Baiklah...

Kali pertama aku menonton pementasan naskhah ini adalah pada kira-kira tahun 1995, kalau tak silap aku. Pengarahnya ialah Allahyarhamah Rohani Yusoff. Dipentaskan di Paggung Eksperimen, Kompeks Budaya Negara (kini adalah sebahagian daripada tapak ASWARA). Antara pelakon yang terlibat termasuklah Allahyarham Dr Samat Salleh, Abu Bakar Omar dan Afdlin Shauki. Ada lagi beberapa nama besar yang aku dah tak ingat. Persembahan pada masa itu dibuat secara humor dan sangat menghiburkan. Namun sangat tertib dan kemas olahan gerak dan tutur para pelaku.

Persembahan oleh TTSKL pula telah melangkah lebih berani dengan menerapkan unsur-unsur sarkas dalam keseluruhan konsepnya. Penuh warna. Penuh bunyian yang pelbagai, dan karaktor yang bagai badut dari segi penampilannya. Memanglah tidak setanding persembahan yang pernah aku  tonton lebih dua puluh tahun dulu. Tapi keberanian TTSKL dalam bereksperimen itu wajar diberi sokongan positif. Kalau diberi masa lagi, aku pasti persembahan itu akan lebih menyerlah dan kemas. Di antara banyak-banyak watak, aku memilih watak Pemilik Itik Angsa yang paling menarik perhatian. Tapi itu pilihan akulah. Kalian ada hak untuk memilih sesiapa saja yang dirasakan mempamerkan lakonan yang paling mengesankan. Okay. Cukup komentar aku di sini saja.

Mahkamah Keadilan oleh TTSKL.
Selepas show, kami kumpul di luar bangunan. Di laman makan depan surau. Ada beberapa gerai dibuka. Dan meja disusun untuk para penggiat dan peminat teater berkumpul dan bersembang. Berjumpa teman-teman lama. Malah berkenalan dengan teman-teman baru juga. Suasana sebegini memang sangat dinanti-nantikan oleh semua. Duduk santai-santai sampai lewat malam, sebelum pulang ke rumah masing-masing.

Faizal dan Que.
Omorq pun ada juga.
Turut hadir, Marup dan Abang Ibrahim.
Sembang teater.
Gerai nasi lemak dan nasi kerabu.
Kumpulan otai dalam dunia teater.
Aku sangat teruja melihat para otai dalam teater turut hadir memberikan sokongan padu terhadap pengajuran ini. Memang ada yang tidak kukenali nama mereka. Tapi perlahan-lahan aku mencuba untuk mencam dan memahat nama mereka ke dalam benakku. Kerana mereka inilah legasi teater tanah air. Aku sempat makan nasi lemak, minum teh madu ais, dan makan kentang cheese. Enak jugak rasanya.

Ada sebahagian dari kami membuat komentar mengenai persembahan oleh TTSKL sebentar tadi. Aku sekadar mendengar dan menilai dalam hati. Tidak terluah. Ada yang sependapat dengan aku. Ada juga yang berlawanan. Para juri sudah pasti ada pandangan mereka sendiri. Dan ini bakal kita tahu pada malam terakhir festival ini nanti.

Bersambung...

BK dan Marup.
Dean Sitara dan Faizal sangat bersemangat.
Dah berkilo-kilo makanan habis. Namun aktivis teater masih tidak berganjak dari tempat duduk.
Halim Zainal menghitung hari.
Atau barangkali menghitung untung.
Abang Haji kamarul AR bersama teman lama. Dari Terengganu katanya.
Pak Man, Abang Mubarak Majid dan Amran Nasrudin.
Para otai di suatu sudut laman.
Merenung masa depan teater di tanah air.
Masa untuk makan. Maka makanlah semua orang yang ada di sini.
Di sini ada Halim, Abang Ibrahim, Roslan, BK dan Mardau.
Di sini pulak ada Razi, Marup dan Anwar Pisang.
Bicara teater masih belum selesai.
Persidangan yang berlangsung sangat lama.