m y f a m i l y

m y   f a m i l y
Showing posts with label motivation. Show all posts
Showing posts with label motivation. Show all posts

Tuesday, June 14, 2016

Kem Motivasi Lubok Manggis: Selesainya sebuah sessi yang hebat

Bahagian 5 (Akhir)

Selesai dan selamatlah sudah satu agenda murni membimbing anak-anak ke arah mendekatkan diri kepada Allah, dan mengingatkan ibu bapa akan pendekatan yang wajar dalam mendidik anak-anak. Setelah semua aturcara beres dilaksanakan, para peserta kem dianugerahkan dengan sijil penyertaan yang diagih-agihkan melalui fasilitator dan ketua kumpulan. Amier dan Wanie turut mendapat satu sijil setiap seorang.

Acara menyampaikan sijil penyertaan.
Sijil penyertaan terus diberikan.
Hadiah khas diberikan menurut kategori.
Saleh mendapat hadiah kategori warna baju sama dengan warna beg.
Lagi hadiah diberikan.
Imam Muda ini juga mendapat hadiah khas.
Hadiah kepada peserta terus diagih-agihkan.

Sesudah memberikan sijil, hadiah-hadiah khas turut diberikan kepada anak-anak ini mengikut kecemerlangan ketika menjalani aktiviti di dalam kem. Kumpulan Wanie dan Amier mendapat hadiah masing-masing dalam kategori yang berbeza. Hadiah berupa makanan ringan dan minuman ringan. Tak seorang peserta pun yang pulang dengan tangan kosong. Dan yang paling penting, mereka pulang dengan sedikit kefahaman tentang hidup, penghargaan kepada ayah dan ibu, disiplin diri, dan macam-macam lagi.

Tahniah kepada Ustaz Bakhtiar Fitri dan para fasilitator yang telah berusaha keras dalam menjayakan program ini. Ia wajar diteruskan dan ditingkatkan lagi promosinya agar lebih ramai anak-anak yang terlibat dalam aktiviti membina diri ini. Tahniah khusus kepada anak saudaraku, Akid kerana menceburkan diri dalam bidang yang mulia ini. Pak Usu sangat bangga dengan awak! Kita semua khalifah di atas muka bumi ini. Maka jadilah khalifah yang mentaati semua perintah Allah dan sunnah Rasulullah (s.a.w.).

TAMAT.


Kata-kata penutup dari Ustaz Bakhtiar.
Diakhiri dengan tasbih kifarah.
Anak-anak tak sabar-sabar nak pulang ke pangkuan mak dan ayah.
Bergambar beramai-ramai sebelum pulang.
Satu lagi group photo.
Berebut-rebut mendapatkan hadiah.
Amier dah ambil sedikit, terus dia blah. Cukup.
Bergambar dengan Ustaz Bakhtiar Fitri.
Satu lagi gambar dengan Ustaz Bakhtiar.
Famili Akid dengan Ustaz Bakhtiar Fitri.
Akid cemerlang sebagai fasilitator.
Bergambar di luar kem sebelum pulang.
Kat luar kem, penjaja aiskerim beratur mendapatkan pelanggan. Kami beli sedikit aiskerim buat bekalan.

Kem Motivasi Lubok Manggis: Berdoa dan menyanyi

Bahagian 3

Oops! Korang perasan tak sesuatu? Aku dah masukkan blog entry 'Bahagian 4', tapi 'Bahagian 3' belum lagi. Ni baru nak masukkan ni. Tak apalah. Bagi cerita tunggang terbalik barulah ada unsur-unsur suspen sikit. Barulah boleh box-office! He he he...

Wanie sedang mengisi borang hijau - permohonan untuk memasuki pertandingan nasyid peringkat planet-planet.
Amier tak tahu cara nak jawab borang hijau pasal soalannya mengenai Teori Matematik Tambahan.
Terus mendengar taklimat dari Ustaz Bakhtiar.
Berdiri menghadap ibu bapa sambil berdoa beramai-ramai.
Masih berdoa.
Dan terus berdoa.
Doa itu adalah senjata umat Islam.
Ustaz Bakhtiar turut membaca doa.
Mukamil baca doa makan pasal kebetulan dia tengah lapar pada masa tu.
Amier pulak baca doa masuk tandas, pasal dia rasa macam nak terkucil.
Doa keampunan untuk ibu bapa turut dibacakan oleh anak-anak ini.
Doa penutup pula dibacakan.
Okay! Sebelum scene syahdu dan tangisan, sebenarnya ada scene baca doa dan menyanyikan lagu tema kem ini - 'Hambamu' yang telah dipopularkan oleh Mawi dan Akhil Hayy. Sepertimana yang aku kisahkan sebelum ini, para peserta telah beramai-ramai membacakan doa yang agak panjang di hadapan ibu bapa. Wanie kata doa tu dia biasa baca masa kat sekolah Maahad Hamidiah. Amier pulak menghafaz sebahagian aje doa yang diberikan. Setelah selesai membaca doa, barulah anak-anak diminta menyanyikan lagu tema 'HambaMu'.

Meh aku lampirkan lirik lagu 'HambaMu' supaya semua boleh menyanyi kalau tau melodinya. Selamat menyanyi: 

Hambamu - Mawi ft. Akhil Hayy (Lagu Tema Imam Muda Musim 2)

Owh ho..
Owh ho..

Ke arah satu perjalanan
Dalam sebuah kehidupan
Demi untuk mengecapi
Hasrat murni di dalam hati

Usaha dengan doa
Masanya akan tiba
Dengan restu Illahi
Kelak pasti akan ditemui

Chorus:
Suluhkan cahaya di hati terang (Allah)
Tunjukkan jalan seandainnya hilang (Allah)
Tegakkan perjalanan yang bakal ditempuh
Tegakkan semangat bila runtuh,
Setibanya disisiMu ku berserah,
Terimalah ku
Hamba Mu Allah

Owh ho owh ho
Hambamu Allah…..

Sekiranya takdir menguji
Cekalkanlah hasrat di hati
Semoga kesusahan bisa
Mengajar erti terus asa

(Ulang Chorus)

HambaMu Allah
HambaMu Allah

Bersambung...

Latihan taekwondo - cara menumbuk dengan betul.
Gaya anak-anak ketika menyanyikan lagu 'HambaMu'.
Amier sangat bersemangat ketika menyanyikan lagu tema ini.
Ustaz Bakhtiar mengetuai nyanyian beramai-ramai.
Masih lagi menyanyi.
Dan terus menyanyi.
Dah habis menyanyi. Sekarang masa untuk dengar tazkirah dari Ustaz Bakhtiar.
Anak-anak mendengar dengan penuh konsentrasi.

Tuesday, June 7, 2016

Kem Motivasi Lubok Manggis: Penghargaan kepada ibubapa

Bahagian 4

Agenda hari ketiga sebelum bersurai adalah menghimpunkan anak-anak dan para ibu bapa. Di dewan acara, kami melihat anak-anak membacakan doa yang telah diberikan pada hari pertama kem bermula. Panjang doanya. Aku sendiri pun tak hafal. Kemudian anak-anak menyanyikan lagu tema kem ini - lagu bertajuk Hambamu nyanyian Mawi dan Akhil Hayy. Best jugak lagu dia. Bersemangat aku nengok Amier menggayakan penumbuk tangan kanannya. Bak master taekwondo lagaknya.

Ustaz Bakhtiar sedang menerangkan sesuatu yang sangat penting kepada semua.
Mengisahkan hal yang pernah berlaku ke atas salah seorang peserta kem.
Para peserta memberi penuh perhatian kepada cerita Ustaz Bakhtiar.
Seterusnya Ustaz Bakhtiar mula memberikan ceramah motivasinya mengenai anak-anak, mengenai ibu bapa, mengenai pertalian di antara keduanya. Syahdu jugak jadinya aku. Ustaz Bakhtiar seterusnya menayangkan dua video bagaimana pentingnya peranan ibu dan bapa dalam memberi semangat kepada anak-anak, dan dalam membentuk jati diri anak-anak. Bila video ni ditayangkan, aku dah makin syahdu. Pagi ni aku memang dalam mood syahdu nampak gayanya. Pagi-pagi masa breakfast, ketika sedang makan nasi lemak dan paru goreng, aku teringat kat Allahyarham Ayah aku. Bertakung air mata kejap. Lepas tu masa kat kem, Ustaz Bakhtiar pulak bagi cerita sedih. Dengan background music yang feeling-meeling pulak tu.

Aku masih cuba control kesayuan aku di sebalik kamera yang aku pegang. Kalau rasa macam nak nangis aje, aku akan ambil gambar. Tapi semakin lama semakin banyaklah pulak air mata terkumpul kat mata aku yang tak berapa besar ni. Air mata bertakung terlalu banyak, macam boleh buat ternak ikan air tawar aje. Aku pakai stapler, pakai cellotape, pakai paku tekan, pakai sealant, supaya air mata tak mengalir kat pipi. Walaupun aku telah berusaha keras, namun empangan air mata tak dapat dibendung lagi. Di satu sudut di sebelah kanan mataku, ia mula keluar. Mengalir di pipi, masuk ke dalam mulut. Masin rasanya. Tapi masih kurang perisa. Aku kesat air mata tadi. Keluar dan mengalir lagi. Terus menerus, sampai tak dapat aku kawal lagi. Last-last aku biarkan aje ia mengalir. Sebanyak mana sekali pun aku tak kisah. Keluarlah. Keluarlah lagi. Inilah pertama kali aku menangis kat depan orang ramai, kat public. Dan aku tak kisah. Walaupun kelihatannya kurang macho. Pasal orang lain pun menangis jugak macam aku.

Ustaz Bakhtiar Fitri - motivator dalam kem kali ini.
Kem 'Aku Membesarkan Seorang Khalifah'.
Ustaz Bakhtiar menayangkan sebuah video yang menyayat hati serta memberi ulasan mengenainya.
Anak-anak sudah mula berasa sebak.
Setelah puas memberi motivasi, Ustaz Bakhtiar lantas mempelawa anak-anak untuk tampil ke hadapan dan memberikan penghargaan kepada ibu dan ayah secara terbuka. Tak perlu lama menanti, seorang anak perempuan bergegas tampil ke hadapan sambil teresak-esak menangis. Dalam kepayahan, anak itu mengucapkan sesuatu yang tak dapat kufahami sepenuhnya kerana pertuturannya yang bersulam dengan tangisan. Tapi aku sangat kagum dengan keberaniannya. Bila ibunya dijemput ke hadapan, anak ini terus memeluk erat ibunya. Sangat menyentuh hati.

Anak ini merupakan orang yang pertama ke hadapan untuk memberi penghargaan kepada ayah dan ibunya.
Mendakap erat ibu.
Anak ini turut memperkatakan sesuatu. Tetapi kedua orang tuanya tidak hadir pada pagi itu.
Anak ini berjanji untuk mentaati ayah dan ibunya.
Amier masih di situ.
Pertalian keluarga yang utuh.
Seorang lagi anak kecil tampil ke hadapan.
Beberapa orang anak telah turut ke hadapan memberikan kata-kata penghargaan kepada kedua orang tuanya. Kesemuanya berbicara sambil menangis teresak-esak. Ustaz Bakhtiar bertanya lagi, "Siapa lagi yang nak bagi penghargaan kepada mak ayah dia? Sila datang ke hadapan". Sesekali aku menjeling ke arah Wanie dan Amier. Mereka kelihatannya berada dalam 'silent mode'. Tanpa disangka-sangka, Wanie tiba-tiba mengangkat tangan untuk pergi ke hadapan. Aku agak terkejut jugak. Bila dihulurkan mikrofon, Wanie mula berkata-kata. Perkataan-perkataannya antara kedengaran dan tidak, kerana Wanie turut menahan sebak. Anehnya aku tidak pulak berasa sayu atau terharu dengan apa yang dikatakan oleh Wanie. Tetapi aku berasa sangat-sangat-sangat bangga dengan Wanie. Wanie berani, tak macam selalu. Wanie konfiden, tak macam kebiasaannya. Wanie telah keluar dari kepompong keselesaannya untuk belajar menjadi rama-rama yang cantik.

Bersambung...

Wanie juga turut ke hadapan untuk memperkatakan sesuatu.
Pertuturan Wanie tidak begitu jelas kerana disulami dengan sebak.
Aku sangat bangga dengan Wanie.
Sijil penyertaan diserahkan kepada para peserta.
Saleh selaku ketua Kumpulan 2 menerima sijil penyertaan bagi pihak semua peserta dalam kumpulannya.
Turut menerima sijil penyertaan.