m y f a m i l y

m y   f a m i l y
Showing posts with label kiosk. Show all posts
Showing posts with label kiosk. Show all posts

Friday, March 27, 2015

Roti canai di kedai Mastura

31 Januari 2015 -Okay. Pagi ni tetiba kami lapar. Bila dah lapar, sudah pastilah nak kena makan. Fikir punya fikir punya fikir (dekat lima hari jugaklah kami dok memikir), akhirnya kami buat keputusan nak pergi ke gerai kawan sekolah wife aku kat sekitar Kg Pandan. Nama kawan wife aku tu ialah Mastura. Kedai dialah yang kami akan pergi untuk makan sarapan pada pagi tu.

Rupanya isteri aku dah berpakat dengan kawan dia yang sorang lagi, Sharifah, untuk sama-sama breakfast kat situ. Apa yang hebat kat kedai Mastura ni ialah dia punya roti canai. Roti canai dia kalau kita makan, terasa dia punya canai sampai ke perut. Usus tu rasa macam dicanai-canai. Kuah dal dia pun jugak hebat. Terasa perut macam kena be-DAL. Itu aku tak cakap pasal kopi dan teh tarik dia lagi. Punyalah kaw, sampaikan kat dalam gelas tu boleh ternampak bayangan cow yang bagi susu untuk minuman tu. Kalau aku, minum satu baldi pun bagaikan tak puas. Memang hebat. Walau pun menu dia tak banyak, tapi roti dan minuman panasnya memang ternyata hebat, dan sering dikunjungi ramai pelanggan dan memang menjadi kegilaan para remaja di masa ini. Cubalah datang dan anda akan tahu kehebatan yang aku maksudkan itu ternyata benar!

Bersama Sharifah a.k.a. Kak Pah.
Masih bersama Sharifah.
Tauke kedai, Mastura turut bergambar bersama.

Wednesday, February 18, 2015

Sarapan di gerai Lelawati

10 Januari 2015 - Pada suatu pagi, aku, isteri dan Syahmie pergi ke gerai kawan sekolah wife aku, Lelawati, untuk bersarapan pagi. Dah pakat-pakat dengan kengkawan yang lain nak sarapan pagi ramai-ramai kat situ. Patutnya berkumpul sekitar jam 9 pagi. Tapi bila kami sampai jam 10 pagi, sorang pun tak sampai lagi. Yang ada cuma tauke kedai - Lelawati dan beberapa orang pelanggan sedang makan dan minum pagi.

Alizan sampai dan join minum semeja dengan kami.
Tauke kedai, Lelawati duduk bersembang dengan kami.
Tanpa buang masa, aku dan Syahmie terus aje buat order, "Nasi mandy Arab dengan mandy kambing satu! Beef steak well done tiga! Air nak fresh mango blended campur aiskerim vanila 2 scoop gelas besar!" "Errr... pakcik, kat sini tak jual semua tu. Kalau nak nasi lemak dengan kopi-o adalah," jawab salah sorang pekerja Lelawati. "Oh. Ya ke? Kalau cenggitu, bagi ajelah nasi lemak dengan teh tarik. Tarik kasi panjang, tapi buih tak nak banyak". "Ok, siap!" Dan aku dan Syahmie pun memulakan memakan juadah yang kami order dengan penuh berselera sekali.

Faizal pun sampai jugak.
Berbincang pasal GST, NST dan TNT.
Alizan menceritakan pengalamannya menyaman lima orang menteri sekali gus kerana letak kereta merata-rata.
Tak lama kami kat situ, Alizan pun sampai. Kemudian Faizal jugak sampai. Dan lepas tu, Shidi jugak sampai. Selepas aku dan Syahmie selesai makan dan minum, kami pun nak membuat bayaran kepada Lelawati. Tapi telah dipintas oleh Shidi, "Biar aku yang bayar". Kemudian Faizal menyampuk, "Korang dah biasa bayar. Kali ni biar aku pulak yang bayar". Lelawati nampaknya bagaikan tak puas hati. "Aku tauke kedai. Biar aku aje yang belanja korang makan pagi ni". Sorang pakcik tua yang duduk di meja sebelah, yang dari tadi mendengar perbalahan kami telah mencelah, "Apa ribut-ribut ni? Anak semua jangan susah. Biar pada pagi ni, pakcik aje yang bayar". Seorang makcik berbaju kurung kedah yang kebetulan lalu kat situ tetiba masuk campur. "Hoi korang semua! Tak reti-reti lagi?! Aku kata, biar aku aje yang bayar! Ada faham?!!!" Kami semua berpandangan antara satu sama yang lain bila mendengar nada suara makcik tadi yang agak keras dan marah. 

Kemudian kami, termasuk makcik dan pakcik tadi terus aje berbalah mulut tak sudah-sudah. Masing-masing nak membayar makan sarapan pagi tu. Sampai dekat tiga jam kami berbalah. Akhirnya Alizan telah meniup wisel dan menggunakan kuasa veto-nya sebagai penguatkuasa DBKL. "Selaku penguatkuasa yang berpegang kepada prinsip Rukun Negara, aku mengisytiharkan pada pagi ini biar aku yang belanja. Pasal hari ni adalah hari birthday aku. Segala bantahan adalah ditolak sama sekali! Siapa menentang, akan disaman." Kami mendengar. Dan kami akur.

Shidi terpegun mendengar cerita Faizal tentang cara-cara melebatkan rambut dengan menggunakan sejenis tonik ramuan rahsia.
Sejenak menikmati aroma teh tarik yang segar.
Beberapa orang kawan lain turut datang agak lewat sedikit termasuklah Azizan, Ina, Nori dan lain-lain. Majlis bersurai selepas makan tengah hari masakan Lelawati. Terima kasih kepada yang membelanja kami. Sekian, terima kasih.

Bercerita pasal bisnes MLM.

Tuesday, July 31, 2012

Gerai Ramadhan di sisi jalan

Pada hari Sabtu lepas, kami sempat berbuka puasa dengan ayah mentuaku di rumah kakak iparku di Gombak. Di depan rumah, kami nengok ada gerai kecil bawah khemah kecil, dan turut ada meja dan juadah kuih muih dan makanan lain untuk dijual kepada penduduk setempat yang lalu-lalang kat situ. Ohh... kakak iparku buat business kecil-kecilan pada bulan puasa. Baguslah tu. Tukang jualnya ialah Syura, Intan dan Ika. Tapi masa kami datang tu, Mak Uda dan Pakcik Karim pun ada sama. Jadi anak-anak mereka turut jadi tukang jual. Dan bila kami sampai, anak-anak aku pulak join jadi tukang jual. So, semua sekali tukang jual ada kira-kira dalam 9 orang. Ramai tu. Orang yang datangnya runcit-runcit aje.

Dari jauh, ternampak sebuah gerai...
Juru jual berhimpun mengatur strategi untuk melariskan jualan.
Menu juadah jualan yang terdapat di sini.
Masa Amier jadi jurujual jugak, dia pun berteriaklah, "Kuih-kuih! Karipap ada! Donut ada! Roti ada! Mari-mari!" DIa main sebut aje entah apa-apa jenis makanan. Yang tak ada dalam menu pun Amier sebut jugak kuat-kuat. Dan statement yang paling memikat pembeli ialah bila Amier kata, "Free-free!!!" Cepat-cepat kami tutup mulut Amier. Nanti orang yang datang ingatkan itu gerai subsidi makanan untuk rakyat Gombak.

Antara juadah yang dijual.
"Mari! Mari! Beli kuih sedap!!!" jerit Amier.
Gerai makanan ni sebenarnya baru masuk hari kedua dibuka. Sambutan pada hari tu nampak gayanya lebih baik dari hari sebelumnya. Orang baru nak perasan dan kenal, memang makan masa sikit. Gerai tu ada menjual mi goreng, roti jala, kuih keria, kuetiau goreng, samosa, popia basah dan popia goreng. Orang lebih ramai datang pada waktu dah nak berbuka puasa. Mungkin kalau nak pergi pasar Ramadhan dah tak sempat, sebab pasar Ramadhan terletak sebelah jalan besar, lebih jauh dan terlalu sesak. Nak parking pun payah. Jadi lebih mudah beli kat situ aje.

Belajar menjadi usahawan.
Masakan Mak Anjang memang sedap. Cuma orang ramai masih tak tau lagi. Tak apalah, bagi masa sikit lagi, lepas ni berduyun-duyunlah orang datang membeli kat situ. Pembantu jualan sembilan orang pun nanti belum tentu boleh handle puluhan malah ratusan orang yang datang nak membeli kuih muih yang Mak Anjang masak. Lepas ni gerai ni kena extend  lagi sampai ke tengah jalan. Dan lepas ni boleh terus buat kedai tiga tingkat kat depan jalan tu. Itu semua bila orang ramai dah mula membanjiri gerai Mak Anjang seprti semut membanjiri gula. Semoga business Mak Anjang lebih mantop dan maju.

Ika sebagai penyelia gerai.
Sedang melayan pembeli roti jala yang enak.

Monday, June 25, 2012

Kenapa ramai sangat orang makan cendol?

Hari Ahad lepas kami ke Gemencheh melawat Syahmie yang belajar di MRSM di situ. Balik ke Kuala Lumpur agak lewat petang jugaklah. Kami semua belum makan tengah hari lagi (kecuali Ayah Atan). Jadi perut agak kelaparan jugaklah. Selepas berbincang, wife aku suggest kami makan kat suatu gerai yang menjadi tumpuan ramai di kawasan Pulau Sebang. Aku setuju. Nak jugak tau, apa yang menyebabkan ramai orang datang makan kat situ. Gerai Pulau Sebang ni terletak kira-kira 2 kilometer dari pintu masuk utama A-Famosa Resort.

Iklan gerai cendol yang popular.
Bila kami sampai, kami nengok masih ada banyak jugak kereta yang parking kat situ. Maksudnya masih ada ramai lagi pelangganlah. Kami pun turun kereta mencari tempat duduk dan meja kosong. Setelah duduk, kami pun meminta pesanan makanan. Yang aku tahu, kat sini memang popular dengan cendolnya. Jadi aku dan isteri aku pun order-lah cendol, walaupun pada masa tu aku lebih teringin nak minum air panas. Tapi aku nak tau jugak sedap tak sedapnya cendol yang dijual. Kerana itulah juadah yang paling popular di sini. Masing-masing membuat order masing-masing. Aku yang kelaparan turut order nasi goreng kampung. Dan sementara menanti makanan siap dimasak, kami turut order keropok lekor goreng sebagai starter.

Atuk Atan dan Faiisal menanti pesanan sampai.
Bersama Salleh yang turut serta dalam rombongan ini.
Sementera menanti tiba nasi goreng yang dipesan.
Faiisal dan bukit rimba.
Tak lama kemudian, sampailah makanan yang kami pesan. Yeah! Nasi goreng kampungku telah sampai. Aku mula menjamah....Nyam nyam nyam. Okay. Masakannya tak mengancam langsung. Sedikit di bawah par. Keropok lekornya, biasa-biasa aje. Tetapi... cendolnya... Biar aku kisahkan dari segi rupa bentuk cendol tu dulu. Dari segi fizikalnya, cendol tu tak nampak menarik langsung. Isi cendol tu sendiri putus-putus dengan warna hijau yang tak menawan sanubari. Tetapi bila aku mencedok kuah cendol tu, terdengar kocakan air kuah cendol di dalam sudu yang sebegitu gemersik sekali. Itu belum rasa lagi tu. Bila aku rasa aje, aku hampir pitam menahan perasaan. Rasa cendolnya sangatlah... (Bersambung selepas iklan sabun basuh cap Kambing Hitam).

Okay, nasi dah sampai. Jom makan!
Masing-masing sedang mengisi perut yang kosong dengan makanan.
(Kita bersambung dari episod lepas). ...dan rasa cendolnya sangatlah enak! Bukan kuah dia yang enak. Tapi isi cendol tu sendiri yang sedap. Ia lembut, tak rasa esen, halus, suci, bagaikan menghirup cacing tanah yang telah dibasuh dengan sabun Dettol dan direndam dalam cecair pelembut Softlan. Korang pernah makan cacing yang macam tu? Memang macam tulah rasa isi cendolnya. Sebijik! Aku rasa itulah isi cendol paling sedap yang aku pernah makan. Nampak gayanya, gerai ni memang pakar buat cendol, tapi tak pakar buat masakan lain. Tak apalah. Janji ada satu kepakaran yang unik pun sudah memadai untuk melonjakkan tahap populariti gerai ini. Yang jugak agak best ialah, gerai ini terletak sebelah dusun durian yang aku rasa memang milik tuan kedai ni. Maka suasananya sangatlah aman damai, walaupun terletak di tepi jalan. Setelah makan dan minum, kami pun beredar dengan perasaan yang sangat puas.

Amier habis makan nasi goreng cina satu pinggan.
Di dusun durian bersebelahan gerai.
Buah durian banyak yang dah gugur. Kat pokok dah tak banyak buah.