m y f a m i l y

m y   f a m i l y
Showing posts with label market. Show all posts
Showing posts with label market. Show all posts

Wednesday, June 16, 2021

Bintulu: Jengah ke pasar tamu

Bahagian 3

10 Ogos 2018 - Bangun pagi kami berasa cergas setelah berehat lama di ParkCity Everly Hotel. Masih terasa-rasa keenakan makan malam di Anjung Selera. Masih terbayang-bayang lagi udang galah saiz mega yang kami ratah semalam. Kami turun ke kafeteria hotel untuk bersarapan pagi agak awal juga. Hidangan ala buffet dengan pelbagai menu makanan membolehkan kami memilih makanan dari "genre" apa yang ingin kami masukkan ke dalam perut kami. Memanglah tak semewah hotel lima bintang. Tapi kira okay-lah. Pagi-pagi mana larat nak melantak banyak-banyak.

Sarapan waktu pagi memang sesuatu yang kami nanti-nantikan.

Nak ambil mood dulu sebelum memulakan makan.

Breakfast berdua aje.

Sarapan western style.

Simple tetapi menarik.

Ini adalah telur dadar spesel.

Memang menyelerakan.

Bergambar di luar hotel.

Sekejap lagi nak bersiar-siar.

Berlatar belakangkan ParkCity Everly Hotel.

Selesa juga bermalam di sini.

Dengan peralatan untuk memulakan perjalanan.

Inilah kereta Perodua yang kami sewa.

Setelah bersarapan, kami terus naik kereta dan menghala ke pasar awam di bandar Bintulu. Ia dikenali sebagai Tamu Bintulu. Kami pun masuklah ke dalamnya. Kami memang suka ke pasar-pasar asing untuk melihat kepelbagaian dan keunikan barang-barang jualannya. Aku ternampak ada longgokan ikan air tawar yang dijual. Antaranya ikan haruan, belida, ketutu dan kaloi serta udang galah. Sebahagian dari ikan-ikan ini memang sukar untuk diperolehi di pasar-pasar awam di Kuala Lumpur. Di pasar-pasar tani pun belum tentu boleh jumpa. Aku juga tertarik melihat sayur-sayuran dan ulam-ulaman (termasuk pucuk midin) yang tak pernah aku lihat sebelum ini. Kebetulan aku memang suka sangat makan ulam. 

Selain dari itu, ada juga beberapa jenis kayu-kayan yang aku tak pernah dengar dan lihat pun. Antaranya ialah kulit kayu "selukai". Ia digunakan untuk menghalau nyamuk dengan membakar sedikit kayu ini. Dan sejenis bau akan dikeluarkan oleh kulit kayu ini yang menyebabkan nyamuk-nyamuk bertempiaran melarikan diri tanpa menoleh ke belakang lagi! Ada lagi satu namanya kayu "langgir" atau mungkin "langir". Ia digunakan seperti syampu untuk menghilangkan gatal-gatal di kepala. Kayu ini perlu ditumbuk menjadi serbuk sebelum boleh digunakan. Kedua-dua jenis kayu ini telah digunakan oleh masyarakat kaum Iban secara meluas zaman-berzaman. 

Di Tamu Bintulu.

Macam-macam khazanah ada di dalamnya.

Di dalam Tamu Bintulu.

Sebahagian daripada ikan -ikan air tawar yang dijual.

Banyak betul ikan belida. Orang kata sedap dibuat fishball.

Ini kulit kayu "selukai" untuk menghalau nyamuk.

Ini kayu "langgir" (langir) untuk dijadikan syampu kepala.

Kami ke Tamu Bintulu atas beberapa sebab. Selain untuk melihat budaya setempat, kami juga ingin membeli oleh-oleh untuk dibawa pulang ke Kuala Lumpur, dan diagih-agihkan kepada jiran-jiran dan adik-beradik. Kalau ke Sarawak, sudah pastilah kami mencari ikan terubuk kering masin yang sangat terkenal dengan keenakannya. Kami singgah di dua gerai yang berasingan. Satu milik peniaga suku kaum Melayu. Dan satu lagi milik peniaga suku kaum Iban. Di gerai milik peniaga Iban itu, kami ternampak sejenis anyaman seperti ketupat tetapi sangat kecil dari segi saiznya. Kami tanya pemilik gerai. Katanya, itu adalah anyaman yang digunakan oleh suku kaum Iban untuk upacara kebudayaan mereka. Sebagai cenderahati, kami telah diberi beberapa bentuk anyaman berkenaan untuk dibawa pulang sebagai kenang-kenangan.

Kami di gerai milik peniaga suku kaum Iban.

Ikan terubuk kering masin dipaketkan dengan kemas.

Anyaman untuk kegunaan upacara kebudayaan suku kaum Iban.

Peniaga ini memberi cenderahati anyaman ini kepada kami.

Antara barangan yang dijual.

Sebelum beredar, kami berjalan ke pasar Tamu 2 yang terletak betul-betul di sebelah Tamu Bintulu. Kami bertanya peniaga-peniaga di situ, di mana boleh kami melihat "ulat sagu" yang sangat popular di Sarawak. Mereka menyuruh kami meninjau di pasar Tamu 2 ini. Kami bukan nak makan ulat sagu tu, cuma nak melihatnya saja. Mana mau tekak kami menelan ulat yang bergerak-gerak seperti alien tu! Hahahah... Sayangnya ulat sagu tidak dijual pada pagi itu. Kata orang tempatan, biasanya ia dijual pada hari Ahad. Maknanya hari lusalah. Hari ini hari Jumaat. Dan malam nanti kami perlu terbang ke Kuala Lumpur. Tak apalah. Lain kali sajalah. Insya Allah. Seterusnya kami pulang semula ke hotel. Tengah hari nanti nak jalan-jalan lagi di bandar sebelum pulang pada sebelah malamnya.

Bersambung...

Terliur aku melihat sayur-sayuran hijau ini, bagaikan kambing yang terliur melihat rumput segar.

First time aku tengok buah ni. Nama buah ini aku pun dah tak ingat. Buah embang kot? Sejenis mangga hutan.

Nampak macam sedap. Menyesal juga aku tak beli dan cuba rasa.

Inilah cenderahati yang kami perolehi dari peniaga suku kaum Iban tadi.

Dua jenis anyaman.

Anyaman dilihat dari jarak dekat.


Monday, February 11, 2013

Kisah kerang dan ketam

Ingat tak kisah aku pergi pasar borong kat Selayang minggu lepas? Semasa kat sana, aku cari jugak kot-kot ada orang jual kerang. Selalunya memang ada. Tapi pada hari tu, aku tak jumpalah pulak. Mungkin aku tak perasan kot. Beli kerang kat situ memanglah murah banyak. Satu kampit kalau tak silap aku ada seberat 8 atau 9 kilo. Oleh kerana tak jumpa, aku terpaksalah singgah kat pasar borong lama yang terletak kat sebelah jalan, pasal ayah aku dah pesan masa kat rumah. Kesian kat dia kalau aku tak belikan.

Barang kat pasar borong lama tu mahal sikit dari pasar borong besar sebelah dalam. Tapi apa boleh buat, aku belilah jugak sikit - kira-kira dalam lima kilo je. Sekilo dia jual RM4. Aku angkat 5 kilo. Kena bayar kat penjual tu RM20. Ada jugak jenis kerang yang lebih murah, tetapi saiznya agak kecil sedikit. Cuma besar sikit jer dari saiz kepala lalat.

Kerang yang telah direbus.
Kulit kerang yang telah dimakan isinya.
Masa kat rumah, selepas dicuci, orang gaji aku pun pergilah merebus kerang tersebut menggunakan air dan api. Masak kerang tak memerlukan masa yang lama. Bila api dinyalakan aje, kebiasaannya kerang akan terus mati terkejut, walaupun sebelum ia dimasukkan ke dalam air panas tu. Kerang memang mudah kena penyakit jantung. Sebab tu dia mudah mati. Dan bila semua kerang telah siap dimasak, kami pun mulalah memakan kerang rebus tersebut. Aku rasa akulah yang makan paling banyak sekali. Jumlah isi kerang yang aku makan aku rasa ada dekat 7 kilo kot. Tapi yang paling pelik sekali ialah, dalam kerang tu ada pulak anak ketam yang telah menjadi diet utama para penduduk kerang semuanya. Kalau setakat sekor dua ekor tu kira biasalah jugak. Tapi ini boleh dikatakan hampir setiap kerang ada ketam kecil di dalamnya. 

Ketam-ketam tu kami tak buang. Sebaliknya kami kumpul. Dan jumlah berat ketam kecil yang terkumpul ada kira-kira dekat 10 kilo jugaklah. Ketam yang telah terkumpul tu, kami masak kari sebahagiannya. Ada jugak dimasak tiga rasa, masak lemak cili api dan masak rendang ketam. Semua masakan tu memang sangat sedap. Kami berasa sangat bertuah pasal niat di hati nak beli kerang, tetapi kami dapat jugak merasa memakan ketam.

Ketam-ketam kecil yang banyak berkeliaran di dalam tubuh jasad si kerang.

"Nak cari ikan, nak cari ikan"

Kira-kira minggu lepas, aku ke Pasar Borong Selayang lagi. Bukan pasar borong lama kat tepi jalan. Tapi pasar borong yang baru sikit, yang memang menjual ikan dan sayuran secara borong. Lama betul aku tak ke sana. Tapi kali ni terpaksa pergi jugak, untuk mendapatkan ikan-ikan segar yang murah, yang baru aje ditangkap dari laut lepas, sama ada dari dalam negara, ataupun dari luar negara, termasuklah Thailand, Filipina, Jepun, Arab Saudi, Australia dan Alaska. 

Banyak jugak ikan yang aku beli. Mak aku pesan, kalau jumpa ikan kecik-kecik yang murah, belilah banyak sikit. Lalu aku pun terjumpa ikan longkang yang lebih kecil dari ikan bilis. Ikan tu harganya memang sangat murah. Satu kilo baru 20 sen. Aku pun belilah ikan tu sampai 5 tan. Selain ikan, aku jugak membeli sayur-sayuran yang jugak sangat murah. Satu batang pokok cili dengan buahnya yang rimbun baru singgit setengah. Jadi aku belilah macam-macam sayur. Dan bila semua sayur-sayur tu aku bawak balik kat rumah aku, rumah aku tu dah jadi macam hutan Amazon lah pulak gamaknya. Tapi dengan pergi pasar borong ni, memang banyaklah saving-nya. Tapi kena bangun dan pergi awal. Seelok-eloknya sebelum jam 8.00 pagi.

Pemandangan pasar borong pada tahun 1837.

Friday, August 3, 2012

Ish ish ish...Gebunya dia...

Ish ish ish... Gebunya dia... Tapi apa yang gebu? Budak jantan ke, budak pompuan yang gebu tu? Ish, bulan-bulan posa ni tak syoklah cakap pasal budak gebu. Aku nak cakap pasal makanan yang gebu. Kalau korang nak tau makanan apa yang gebu sangat tu, meh ikuti isi kandungan blog aku seterusnya. Biar aku kisahkan perihal gebu-menggebu ni.

Operasi mencari dan terjah sedang dilaksanakan.
Beberapa minggu sudah, kami telah diberi tahu yang anak buah kami yang sorang tu, Syauki, anak Kak Uda dah jadi usahawan kecil dengan kengkawannya kat pasar Ramadhan. Syauki dan geng jual popia basah. Popia tulah yang sebenarnya gebu sangat, dan diberi nama Popia Gebu oleh Syauki dan sekutunya. Maka pada hari Ahad lepas, kami pun pergilah menjejak kat mana lokasi Syauki berniaga.

Di sekitar kawasan pasar Ramadhan Pasar Muhibbah, Taman Nirwana.
Katanya Popia Gebu ni dijual di sekitar Taman Nirwana, kat sebelah Pasar Muhibbah. Lokasi tu taklah jauh dari rumah kami. Jadi aku dan isteri pun pergilah ke lokasi yang telah dikenal pasti dan mencari kedudukan gerai Syauki secara tepatnya. Pasar Ramadhan kat situ memang sangat happening. Makanan punyalah banyak. Kalau ikutkan nafsu hidung dan nafsu mata, memang segala benda nak dibeli. Semua nampak sedap-sedap. Bahkan bunga api yang dijual jugak aku nengok macam sedap jugak. Mmmmmm.... Kami terus bertawaf kat sekitar pasar Ramadhan. Tak jugak jumpa lokasi Syauki beroperasi. Oleh kerana agak penat, kami telah sewa sebuah teksi untuk buat round kat kawasan pasar Ramadhan tu semata-mata untuk mencari port Syauki.

Setelah kira-kira sembilan round bertawaf, barulah kami jumpa gerai tu. Terpampang besar tulisan "POPIA GEBU". Lepas tu kami nampak pulak Syauki tersengih bila terpandang kelibat kami. Confirm, ituah gerai yang kami cari-cari sejak tadi. Memang nampak tengah sibuk betul geng Popia Gebu tu. Masa kami datang, kami nampak ada empat budak lelaki yang menjadi tukang siapkan popia, letak inti, letak serbuk macam-macam, dan gulung. Ada sorang budak perempuan tukang panggil orang ramai untuk singgah gerai, dan ada sorang lagi budak perempuan jadi cashier. Semua orang nampak sangat sibuk.

Dah jumpa pun gerai Popia Gebu.
Harga popia yang berpatutan.
Tak putus-putus orang datang ingin membeli popia yang terhebat seantero dunia ni. Beratur punyalah panjang - ada dekat dua kilometer orang beratur. Tapi oleh kerana kami ni pakcik dan makcik Syauki, maka kami dapat gunakan kaunter warga emas. Jadi kami dapat bahagian kami lebih cepat. Kami order sepuluh biji semuanya. Kawasan gerai dan meja menggulung popia sangatlah bersih. Aku siap buat imbasan bakteria, memang tak ada seekor kuman pun yang berlegar-legar kat kawasan tu. Kebersihan memang diutamakan.

Terpaksa beratur panjang untuk merasa air tangan Syauki.
Rasa popianya juga sangat hebat. Aku nengok pembeli-pembeli yang regular semuanya berbadan gebu-gebu akibat makan popia gebu ni. Intinya diperbuat daripada sayuran yang segar, dipetik khas dari ladang terpilih dari Cameron Highland. Sambalnya pulak diperbuat daripada cili yang mempunya bentuk yang paling cantik dan licin serta merah menyala dengan kepedasan pada tahap yang telah dikaji akan kesesuaiannya. Dan tepung popianya pula diperbuat daripada tepung gandum yang ditanam sendiri di belakang rumah dalam pasu bunga. Semuanya memang sangat asli, segar dan original. Harganya juga tak mahal. Sesiapa yang tak tau nak makan apa untuk berbuka nanti, tak kiralah warga KL atau warga negeri-negeri lain, atau warga dunia seluruhnya, malah warga alien sekali pun, jomlah datang dan beli serta makan Popia Gebu istimewa ini. Pasti tak menyesal dan pasti lidah anda akan terkenang-kenang akan kelazatannya. Cubalah!!!

Jejaka idaman in action!
Sedang tekun bekerja. Tak boleh tegur, nanti salah resipi.
Popia yang telah sedia untuk digulung.
Tauke popia gembira pasal banyak masyuuukkk...

Monday, June 25, 2012

Memburu ikan-ikan yang besar

Dari seminggu ke seminggu niatku nak ke Pasar Borong Selayang untuk memburu ikan-ikan bersaiz mega terpaksa kutunda kerana terikat dengant urusan-urusan lain yang lebih penting. Akhirnya pada Sabtu lepas dapat jugak aku ke Selayang dalam keadaan separuh mengantuk untuk mencari mangsa yang selanjutnya. Aku sampai kat kawasan pasar pada jam tujuh lebih pagi. Masih banyak lagi ikan-ikan yang bergelimpangan di atas lantai untuk dibeli oleh pembeli-pembeli ikan yang tegar. Masa kat rumah lagi mak aku dah pesan suruh carikan ikan tenggiri dan ikan parang. Maka setelah bertawaf keliling pasar, akhirnya aku beli ikan parang dengan harga RM15 sekilo. Ikannya masih cantik lagi, dan ada telur kat dalam perut dia.

Cuba tengok matanya yang masih terbuka, maknanya ikan tu masih bernyawa.
Aku nampak jugak ikan tenggiri. Harganya RM20 sekilo. Aku nak cari yang lebih murah dan lebih kecil. Pusing punya pusing, aku jumpa yang lebih kecil sedikit, tapi harganya lebih mahal iaitu RM22 sekilo. Akhirnya aku terpaksa beli ikan kat tempat yang mula-mula aku nengok tadi. Berkilo-kilo ikan aku bawak balik kat rumah, termasuklah ikan sardin, kembung, dan kerisi serta udang dan kerang.

Yeahkh!! Berjaya aku menangkap ko!
Di rumah, tibalah waktu ikan-ikan perlu disiang. Sewaktu ikan tenggiri tadi hendak disiang, tiba-tiba ia melompat melentik lenting. Oh tidak! Apakah ikan ini masih bernyawa. Dan aku pun menggunakan segala kederat yang aku ada untuk bertarung dengan ikan tenggiri tadi habis-habisan, bagaikan Ultraman melawan raksasa. Setelah hampir sejam bertarung, barulah akhirnya ikan tenggiri tadi menyerah kalah. Itu pun selepas aku menggunakan pancaran laser dari silangan tangan aku. Pada waktu malamnya, kepala ikan tadi telah dibuat masak kari. Masa menjamah ikan tadi, kesan laser tadi masih terasa di lidahku. Lidahku hangit sedikit. Tapi rasa ikan tenggiri itu memang sedap. Maklumlah, ikan fresh!!!

Ikan tenggiri dah mengaku kalah...

Monday, April 2, 2012

Jerung yang terkandas

Turun ke laut Selayang pada awal-awal bulan ni memang dah jadi rutin bulanan aku. Panas terik ke, atau hujan lebat ke, aku akan redah jugak untuk mendapatkan lauk buat santapan sekeluarga. Pagi tu, lepas subuh aku naik bot aku dengan enjin 1500 kuasa kuda belang Afrika, lalu meredah arus deras sungai MRR2. Aku pun tak tau kenapa orang dulu-dulu panggil sungai tu MRR2. Mungkin sebab sungai tu banyak buaya kot. Dan MRR2 tu mungkin bermaksud Manyak Rangkak Ratah Tuuuuu... yang bermaksud "banyak sang rangkak (buaya) meratah bangkai kat situ"!

Okaylah, aku selamat sampai kat tengah laut Selayang setelah kira-kira setengah jam aku membawa bot selaju 90 hingga 100 batu notika. Laut tak bergelora. Banyak nelayan yang macam aku memasang jaring, pukat, rawai, memancing dan ada jugak mengaran dan membom ikan kat perairan situ. Dengan menggunakan alat sonar ikan aku, aku dapati ada banyak ikan tenggiri bermain-main di muka air mengejar ikan-ikan sardin atau selayang yang beribu jumlahnya. Aku pulak, setelah melabuhkan umpan dan jaring, sekadar dapat naik ikan siakap, kerisi, beliak mata, seekor tenggiri, selayang dan udang kertas.

Bot-bot nelayan yang ditambat di jeti muara laut Selayang.
Sedang aku dalam proses menarik jaring ke atas bot, tiba-tiba aku telah diserang dengan tiga ekor great white shark sebesar bot pukat tunda setiap satu. Peluh jantan aku mencucur deras macam air pancut kat KLCC. Jerung-jerung itu cuba membaham bot yang aku naiki. Tetapi, dengan menggunakan kepakaranku dalam bidang pergigian, aku telah menggigit ekor serta sirip atas jerung-jerung itu sampai putus yang menyebabkan mereka jadi hilang arah dan hilang panduan. Aku tersenyum lebar. Dalam kekalutan yang melanda jerung-jerung itu, aku pun sempat memberikan beberapa tumbukan padu pada rusuk kiri setiap ikan itu sampai mereka senak dan pengsan. Lalu aku seret mereka naik ke dalam bot aku. Oleh kerana bot aku terlalu kecil, tak muatlah pulak nak menempatkan jerung-jerung itu. Lalu aku bagi kepada seorang nelayan lain yang berada pada bot bersebelahan dengan bot aku. Aku pulang ke rumah dengan berasa sangat penat dan letih. Tapi syukur, semua telah selamat.

Tiga ekor great white shark yang kecundang.

Tuesday, February 21, 2012

Turun ke laut lagi...

Bila freezer kat rumahku dibuka, nampak jelas kandungannya telah berkurangan. Kelibat ikan-ikan berenang-renang dah tak kelihatan. Maka kami tau bahawa telah tiba masanya untuk aku, seorang nelayan turun ke 'laut' mencari rezeki yang halal berupa ikan-ikan segar dari pelbagai spesis.

Maka pada hari Sabtu lepas, aku telah ke 'laut' yang terletak di Selayang. 'Laut' tidak bergelora pada pagi tu. Ombak setinggi seinci pun tak kelihatan. Para nelayan nampak bersesak-sesak mendapatkan ikan di perairan terbuka. Bermacam-macam ikan telah aku dapatkan, termasuklah siakap, kembung, sardin, kerisi dan keli. Ingatkan nak tangkap great white shark dan ikan paus biru. Tapi memandangkan bonet kereta aku terlalu kecil, maka aku batalkan saja niat asalku itu. Udang agak kurang di perairan, maka harganya agak melambung.

Bila sampai di rumah, aku punggah semua hasil tangkapan ku yang seberat puluhan kilo dan mula menyiang ikan-ikan itu. Kepala-kepala ikan kembung aku asingkan untuk direbus dan dibagi kepada kerabat kucing-kucingku di luar sana. Kepala ikan yang telah dicuci bersih menggunakan sabun Breeze dan sedikit Clorox, dimasukkan ke dalam periuk kecil. Ditambah pulak dengan air paip dari Syabas yang telah ditapis menggunakan penapis Diamond. Pergh! Menengoknya saja telah mengundang seleraku untuk menjamah kepala ikan tadi. 

Bila siap direbus, kepala-kepala ikan itu diadun pulak dengan nasi putih keluaran tempatan dan diramas menggunakan tangan yang berbau hanyir ikan. Dan bila disuakan aje kat kucing-kucingkku, berebut-rebut mereka makan sampai tak perasan mak mentua kucing tu lalu kat belakang. Aku yang melihat kucing-kucingku berselera makan, terus terbuka pulak seleraku untuk menjamah sama. Siap berebut-rebut dan bertolak-tolak antara aku dan kucing-kucingku agar masing-msing dapat merasa kehebatan dan kelazatan kepala ikan rebus bersulam nasi. Lepas makan, semua kucing kepuasan. Aku juga kepuasan dan terus lentok untuk seketika sampai tiba waktu asar.

Kepala ikan kembung yang menjadi idaman kucing-kucing se-Malaya.