m y f a m i l y

m y   f a m i l y

Tuesday, July 30, 2019

Hari Olahraga MAHISS: Tarik tali!

Bahagian 10

Setelah puas berlari-lari, acara yang selanjutnya adalah untuk pelajar putera yang perkasa. Bak Badang. Bak Hercules. Ini adalah acara yang kami semua nanti-nantikan. Ini jugalah acaranya yang Amier sertai. Amier merupakan satu-satunya pelajar tingkatan satu yang terlibat dalam sukan ini kerana tubuhnya yang agak besar. Amier mewakili Rumah Biru. Masa peringkat saringan, Amier telah dipilih oleh kapten untuk turut beradu. Tetapi pada pusingan final, kapten telah memilih peserta yang lebih senior dan berpengalaman. Amier terpaksa duduk di bangku reserve sahaja. Tak apalah. Mungkin tahun depan boleh beradu kekuatan lagi. Lawan Rumah Biru adalah Rumah Hijau. Rumah The Incredible Hulk!

Pasukan Rumah Biru sedang menyiapkan diri masing-masing.
Menanti arahan dari pengadil.
Tali masih belum boleh diangkat.
Tali pun diangkat. Bersedia untuk ditarik.
Masing-masing sudah bersedia.
Satu pasukan ada sepuluh penarik tali yang gagah perkasa. Aku duduk di sebelah Team Rumah Biru. Sejurus hon dibunyikan, para penarik tali pun menariklah tali kapal sebesar batang kelapa dengan sekuat hati. Tug of war ini berlangsung dalam tempoh yang sangat lama. Keringat jantan bercucuran dari tubuh-tubuh sasa. Membasahi padang rumput hingga menjadi sawah bendang yang sarat menampung air. Tali beranjak seinci demi seinci. Dan akhirnya memihak ke pasukan Rumah Hijau. Pusingan pertama, Rumah Hijaulah yang telah merangkul kemenangan. Ada satu pusingan lagi. Pasukan Rumah Biru masih ada lagi harapan. Tetapi kali ini mereka perlu lebih gigih berusaha, bertahan dan menarik secara strategik. Kalau mahu menang.

Masing-masing sudah mula menarik tali.
Badan menyendeng, menambah beban buat pasukan lawan.
"Bertahan!!!"
Argh! Bagai tak mampu memberikan tentangan.
Guru pasukan Rumah Biru memberikan dorongan dan semangat.
Anchor sudah tergolek kecundang.
Bangkit kembali dan terus bertarung.
Hampir tewas.

Kali ini aku duduk di sebelah pasukan Rumah Hijau. Mereka kelihatan lebih konfiden. Sebelah kaki sudah melangkah ke gerbang kemenangan. Hanya lagi selangkah untuk memuktamadkan kemenangan itu. Pasukan Rumah Biru pula masih belum mahu mengalah. Kapten pasukan menyusun kembali ahlinya. Kuda-kuda dipasang kemas. Jejak ditancap padu ke bumi. Besedia untuk sebarang kemungkinan. Hon dibunyikan lagi. Pengendali pasukan masing-masing berteriak keras. "Tarikkk!! Tahannnn!! Tarrriiikkk!!! Tahhhaaannn!!!" Terserlah keperkasaan pasukan Rumah Hijau. Sedikit demi sedikit mereka menarik pasukan lawan hingga melepasi garisan kemenangan. Dan hon dibunyikan lagi tanda pertandingan telah pun tamat. Dan pasukan Rumah Hijau kini sah bergelar juara pertandingan tarik tali pada tahun ini.

Bersambung...

Pasukan Rumah Hijau berdiri penuh yakin.
Tali diangkat secara cermat.
Dan tali pun ditarik beramai-ramai.
Bergerak ke belakang sedikit demi sedikit.
Semakin hampir mengecapi kemenangan.
Tubuh semakin direndahkan. 
Usaha berpasukan.
Lagi satu milimeter untuk menang.
Ah! Liat pulak pasukan Rumah Biru ni!
Satu lagi henjutan sebelum mengecapi kejuaraan.


Thursday, July 25, 2019

Hari Olahraga MAHISS: Lari bak lipas kudung

Bahagian 9

Larilah. Dan terus berlari. Lariiiiiiiiii........... Jauuuuuuuuhhhhh..... Sampai puncak. Sampai ke awan. Sampai bulan dan bintang. Kejar cita-cita. Jangan biar ia pergi. Tapi dalam kes kali ini, mereka perlu berlari pantas untuk segera sampai ke garisan penamat. Lepas tu, barulah boleh berjalan. Atau duduk. Atau baring. Setelah tamat perlumbaan.

Lari laju-laju,
Sampai hujung padang,
Rajin baca buku,
Jadi orang terbilang.

Pecut terus pecut,
Sampai garis penamat,
Adik jangan takut,
Semua akan selamat.

Berdiri atas podium.
Sangkut pingat di tengkuk,
Banyak makan sodium,
Nanti dahi berlekuk.

(?????????? Hahahaha..... Pantun apakah ini?)

Bersambung...

Anak-anak MAHISS bermain kejar-kejar.
Siapa sampai cepat boleh makan aiskerim.
Berlari perlu beriring langkahnya.
Biar nampak cantik ketika melangkau.
Senyum sikit untuk kamera.
Larian berhalangan. Kali ini dalam air.
Halangan pertama telah dilepasi.
Sekarang lari atas rumput pula.
Lepas ni lari atas pokok.
Jangan laju sangat. Had laju kat sini cuma 15 km/jam.
"Aku si nombor satu!"
Bermesyuarat di atas padang.


Tuesday, July 23, 2019

Hari Olahraga MAHISS: Larian diteruskan

Bahagian 8

Masih ingatkah lagi kisah larian dalam sukan olahraga di MAHISS? Mesti kalian ingat kisah tu dah tamat, kan? Salah! Ada lagi! Malah banyak lagi kisah dan gambar-gambar yang masih belum aku kongsikan. Maka ikutilah sambungan kisah temasya sukan olahraga Maahad Hamidiah ini.

Pemenang bangga mendapat hadiah.
Memperagakan pingat masing-masing.
Gaya juara.
Acaranya - larian 5 meter?
Acara olahraga diselang-selikan dengan penganugerahan pingat kepada pemenang bagi acara yang telah dilangsungkan sebelum ini. Terpancar jelas pada riak penerima pingat emas, perak, mahupun gangsa, kepuasan dan kegembiraan dengan anugerah sukan itu. Yang tiba-tiba menarik perhatian penonton adalah ketika tampilnya watak Peter Pan versi pria-wanita yang agak aneh yang turut menerima pingat dalam salah satu acara yang disertai. Penonton memberikan tepukan gemuruh sambil membiaskan tawa lucu.

Peter Pan melintas di hadapan penonton untuk menerima pingat.
Diiringi oleh seorang pengapit.
Jangan marah: Peter Pan dapat pingat emas!
Pelajar puteri berbaris menerima pingat.
Hadiah bagi acara larian pelajar puteri pula.
Acara larian pelajar puteri telah diadakan lebih awal lagi.
Seronok betul bila menerima pingat.
Tahniah kepada kami!
Acara 4 x 10 kilometer.
Penonton menyaksikan dengan penuh menyokong.
Memberikan tepukan gemuruh.
Menerima pingat kemenangan.
Ini pula acara 4 x 2 kilometer lompat katak.

Setelah beberapa sesi penyampaian hadiah dijalankan, kembali lagi dengan acara larian yang semakin memanas dan hangat. Aku pun dah tak ingat apakah acaranya secara khusus. Yang pasti, ia adalah suatu larian. Larian paling pantas. Bagai dikejar anjing. Rottweiler. Bagai dikejar harimau. Cheetah. Bagai lipas kudung. Belalang tempang. Cengkerik OKU. (Betul ke peribahasa macam tu?) Dan penonton masih sabar dan setia di tempat duduk masing-masing tanpa ada rasa ingin untuk berganjak walau seinci pun.

Bersambung...

Acara larian pelajar lelaki diteruskan lagi.
Semakin lama semakin laju.
Mencapai tahap larian sepantas kilat di awan.
Pelajar perempuan kembali menerima pingat.
Suka dan bangga.
Di tepi padang masih ramai yang menonton dan memberi sokongan.
"Come on Rumah Merah! Rumah Biru! Rumah Hijau! Rumah Kuning!"