m y f a m i l y

m y   f a m i l y
Showing posts with label ketupat. Show all posts
Showing posts with label ketupat. Show all posts

Wednesday, January 15, 2020

Periuk, ketupat dan kera

10 Jun 2019 - Ini kisah raya tahun lepas. Kekadang kami mudik ke Ampang hulu, dan kembali ke Ampang hilir, kerana ada urusan-urusan tertentu yang perlu dilunaskan. Di tepi jalan kami terlihat sebuah gerai yang menjual pelbagai jenis periuk. Ada periuk aluminium. Ada periuk tanah liat. Ada periuk elektrik. Malah periuk yang lebih canggih dan terkini juga ada dijual. Tetapi itu semua tidak menarik perhatian kami. Yang menjadi tarikan pada kala itu ialah periuk kera - sejenis periuk yang sering digunakan oleh kelompok kera untuk memasak makanan kegemaran mereka. Periuk itulah yang berjaya menarik perhatian kami. Dan yang lebih istimewa, periuk-periuk itu telah pun digunakan untuk memasak ketupat. Dan aroma yang terbit darinya sangatlah mengancam keharmonian kalbu.

Harganya sedikit mahal. Tetapi kami beli juga untuk merasa keenakan ketupat periuk kera itu. Kami bawa ke rumah Kak Timah untuk dimakan bersama-sama. Sebahagian lagi kami bawa pulang untuk diberikan kepada ibu kami. Rasa ketupat periuk kera ini sangatlah lemak. Seperti lemak kolesterol. Isinya pula sangat lembut. Betullah seperti kata jiran kami sang monyet yang selalu bertenggek di pokok nangka belakang rumah - rasa ketupat periuk kera memang sangat enak. Cuma saiznya saja agak kecil. Pada edisi akan datang, aku akan cuba mendapatkan ketupat periuk gorila atau ketupat periuk King Kong pula. Tentu lebih besar dan lebih banyak pula isinya.

Sebahagian dari ketupat periuk kera yang kami beli di tepi jalan.


Wednesday, October 17, 2012

Jom belajar cara buat ketupat

Siapa yang nak belajar buat sarung ketupat? Walaupun raya puasa dah berlalu, raya haji tetap akan mendatang. Jadi, masih sesuai untuk buat ketupat, pasal musim raya akan tiba lagi. Masa raya puasa yang lepas, aku memang berpulun membuat ketupat. Biasanya, isteri aku yang sangat expert buat ketupat akan membuat berpuluh biji ketupat untuk persiapan raya. Tapi pada tahun ni, tugas membuat ketupat secara besar-besaran telah digalas oleh aku. Adik aku pun ada buat banyak jugak, selepas dia pulang bercuti di rumah kami.

Sarung ketupat yang dah siap dianyam.
Aku belajar buat ketupat dari kawan aku masa kat MRSM Pengkalan Chepa dulu. Belakang asrama kami ada pokok kelapa yang rendah. Tiap-tiap petang daun kelapa tu habis kami kerjakan. Maklumlah, nak praktis buat ketupat. Nama kawan aku tu Mughni Bahari. Sekarang dia dah jadi doktor pakar. Macam-macam jenis ketupat Mughni ajar aku. Antaranya termasuklah ketupat sate, ketupat bawang, ketupat sintok/pasar, dan ketupat bantal. Dan selanjutnya, Mughni turut mengajar kami membuat jenis ketupat yang lebih kompleks seperti ketupat tilam, ketupat katil, ketupat kapalterbang boeing dan ketupat stadium bola sepak. Tapi setelah lama tak praktikkan, banyak dari jenis ketupat ni aku dah lupa kaedah membuatnya.

Memperagakan ketupat bawang.
Tahun ni, daun kelapa yang kami perolehi kecil-kecil dan pendek-pendek belaka. Susah betul nak menganyam daun yang saiz kecil macam tu. Ketupat yang jadi pun comel-comel semuanya. Tak kisahlah. Janji ada sarung, dan adik akulah yang kemudian mengisi kelongsong ketupat ni dengan beras pulut dan kemudian memasaknya di dalam periuk nasi elektrik. Tugas aku selepas tu ialah memakan ketupat yang dah masak dengan rendang ayam dan daging. Memang hebat berkhasiat. Try-lah buat sarung ketupat. Memang fun!!!

Amier turut bersemangat nak anyam ketupat.

Sunday, August 28, 2011

Kursus buat ketupat bersama Atuk Atan

Segalanya bermula petang Sabtu semalam apabila melihat seikat daun kelapa yang dibeli untuk dijadikan sarung ketupat. Anak-anak aku berminat untuk mempelajarinya. Isteriku menyuruh anak-anakku belajar dari Atuk Atan. Atuk Atan tak keberatan. Sebelum tu para peserta diminta untuk mendaftar di kaunter pendaftaran dan mengisi beberapa borang bagi merekodkan keanggotaan para peserta kursus. Isteriku adalah yang paling cekap membuat ketupat, tapi untuk mengajar, suatu tahap kesabaran yang luar biasa perlu ada pada diri si pengajar kerana para pelajarnya semuanya masih terlalu baru dalam jurusan ini.

Atuk Atan memulakan demonstrasi.

Wanie dan Intan nampaknya agak terkial-kial untuk memahami tunjuk ajar Atuk Atan. Syahmie yang telah pun berusia 12 tahun nampak lebih konfiden dan mulai memahami rahsia di sebalik pembuatan anyaman sarung ketupat. Atuk Atan cuma ajar buat ketupat yang paling simple - ketupat sate. Atuk Atan juga sebenarnya mahir jugak membuat ketupat bawang dan ketupat pasar.

"Mula-mula ambil daun kelapa. Jangan pulak ambil daun pisang."

Bermula dengan tiga orang pelajar, akhirnya pelajar Atuk Atan telah meningkat semakin ramai. Semuanya merupakan cucu-cucunya sendiri. Fakehah, Nurin, Nana dan Nabiha antara yang turut mencuba nasib menghasilkan sarung ketupat yang pembuatannya sangat berseni itu.

"Gerakkan ekor dia. Jangan gerakkan kepala dia," pesan Atuk Atan.

Atuk Atan hampir hilang sabar mengajar cucunya yang kerap tersalah faham.

Fakehah memerhati dengan tekun lentok tangan Atuk Atan.

Nana meracik daun kelapa halus-halus untuk dibuat bunga rampai versi daun kelapa.

Antara ramai-ramai pelajar Atuk Atan, nampaknya Syahmie telah melangkah agak terkehadapan. Dalam diam Syahmie telah menghasilkan lapan biji ketupat sate tanpa bantuan sesiapa. Wanie yang agak kecewa kerana tak dapat menyiapkan  walaupun satu sarung ketupat walaupun telah berusaha keras sempat menitiskan air mata kesedihan.  Aku yang bersimpati terpaksalah memujuknya. Hasil usaha sepetang semalam dapatlah disiapkan kira-kira empat puluh biji sarung ketupat yang akan digunakan pada malam raya. Oh, aku? Aku tau jugak baut ketupat. Tapi aku cuma pandai buat ketupat bawang aje. Itu pun terkial-kial. Dulu aku belajar dari kawan Jawaku, Mughni Bahari ketika di MRSM Kelantan. Masa tu aku tau buat ketupat sate, bawang, pasar (sintok) dan ketupat bantal, yang paling susah. Tapi banyak yang aku dah lupa. "Dr Mughni, tolong ajar balik cara buat ketupat bantal".

Ketupat ular lidi, hasil buah tangan Atuk Pon.

Syahmie dengan ketupat sate pertamanya, tanpa bantuan sesiapa.

Wanie dengan ketupat terkecil di dunia yang dibuat bersama dengan mamanya.