m y f a m i l y

m y   f a m i l y
Showing posts with label drinks. Show all posts
Showing posts with label drinks. Show all posts

Saturday, April 13, 2013

Kisah kopi

Bagi  penggemar-penggemar kopi, tentu mereka tau jenis-jenis kopi yang pelbagai kat muka bumi ni. Malah kat Malaysia aje ada berpuluh jenis kopi yang yang saling bersaing sesama sendiri untuk mendapat perhatian dari peminum-peminum kopi tegar. Aku memang minat minum kopi. Tapi bab merasa kopi tu aku tak pulak arif. Aku rasa semua kopi lebih kurang sama aje rasa dia. Jenis kopi yang aku tau cuma kopi Hang Tuah, kopi Hang Jebat, kopi Hang Kasturi, kopi Hang Lekir, kopi Hang Lekiu, dan kopi Hang Nak Pi Mana? Dan kalau di Indon pulak ada kopi taik musang, kopi taik tenuk, kopi taik gajah, dan kopi taik hidung. Tapi sejak kebelakangan ni, aku tau pulak ada satu kopi yang namanya kopi Tenom Sabah. Inilah satu jenis kopi yang sangat hebat dari Sabah.

Kopi tenom Sabah dalam gelas spesel.
Pada suatu malam, selepas main badminton macam biasa, kami ke sebuah warung berdekatan untuk minum-minum. Aku order teh halia macam biasa. Abang Zai dan Abang Zahid pulak order kopi tenom Sabah. Masa first time order kopi tenom ni, semua orang berasa sangat teruja pasal dapat guna gelas khas, dan dapat biskut bulat dua keping. Masa mula-mula dapat gelas khas tu, Abang Zai dan Abang Zahid pun menekanlah tombol yang ada pada gelas tu berkali-kali. Niatnya supaya kopi tu lebih sebati bercampur dengan air panas. Tapi rupanya semakin berselerak serbuk keladak kopi tu ke seluruh gelas. Makin susah nak minum. Lepas tu Zila mulalah membuat ulasan dan penerangan pasal penggunaan tombol gelas, yang sebenarnya merupakan penapis serbuk kopi versi moden. Lepas tu barulah kami tahu cara menggunakan tombol tu dengan lebih professional. Lepas ni bolehlah kami kerap meng-order kopi menggunakan gelas khas ni tanpa perlu berasa segan dan malu kerana telah tau teknik dan cara-cara penggunaannya dengan betul.

Abang Zahid dan Abang Zai peminat kopi tenom Sabah.

Tuesday, March 19, 2013

Minuman ekzotik

Kekadang aku memang ada terfikir, betapa hebatnya permainan Abby di gelanggang badminton. Pergerakannya yang lincah, penuh bertenaga, liuk tangannya yang mengelirukan, serta jumping smash dan pukulan kilasnya yang sangat kencang bak hali lintar. Aku tertanya-tanya, dari mana datang tenaganya? Dan bila aku nengok permainan Faridz pulak, mampu menjangkaukan tangannya untuk mencapai tangkis yang jauh, reflek tangannya yang tangkas dan bingkas. Aku tersoal-soal, dari mana datang kederatnya? Kemudian aku lihat pulak permainan Ali. Memang permainan Ali agak berbeza dari pemain-pemain lain, tapi kemampuan Ali untuk bersilat ketika menampan bola, mengepak-ngepak tangan ketika menyambut tangkis. Ini membuatkan aku terfikir, dari mana agaknya datang fleksibiliti ototnya? Dan aku terus tertanya-tanya...???

Ada rahsia di sebalik minuman yang kelihatan normal ini.
Segala persoalan ini terungkai pada malam hari Rabu minggu lepas apabila Abby membuka mulut dan mengisahkan rahsia mereka bertiga. Mereka bertiga, Abby, Faridz dan Ali adalah pengamal sejenis minuman ekzotik yang sangat misteri. Kebiasaannya, Abby akan membeli segelas air "Each-A-Cup" dan memeramnya di dalam kereta selama tiga hari tiga malam. Tiada apa-apa yang istimewa mengenai air ini sebenarnya. Tetapi air ini dapat menarik beratus-ratus ekor lipas untuk terjun membunuh diri di dalam gelas yang disediakan. Dan khasiat sebenarnya, datang dari lipas-lipas ini!!! Aku telah melihat dan meneliti sendiri lipas yang bercampur dengan air ini. Ia bukan lipas biasa, tetapi ia adalah sejenis lipas purba yang berasal dari sebuah kepulauan kecil di bahagian timur laut Nigeria. Lipas ini dikenali sebagai "lipas kuno Nigeria" atau nama saintifiknya ialah "nigerica roach exellcosis". Cecair yang dikeluarkan oleh lipas-lipas ini boleh menjana minda serta otot untuk menjadi lebih cekap, tangkas dan bertenaga. Ia biasanya digunakan oleh pemburu-pemburu haiwan di hutan-hutan Nigeria.

Biji-biji manik ini telah menarik minat jutaan lipas untuk menghurungi air di dalam gelas ini.
Dua dari ratusan ekor lipas yang telah dikeluarkan.
Taufik sebenarnya ingin mencuba, tapi tekaknya berasa loya dan hasrat untuk meminum air itu telah dibatalkan. Kalau tidak, sudah tentu permainan Taufiq jugak akan menjadi bualan hangat di kalangan kaki-kaki badminton tanah air. Pesanan untuk semua, malam-malam yang berikutnya, kalau turun ke gelanggang lagi, minuman berperisa lipas Nigeria ini dah tak boleh digunakan lagi, pasal ia melanggar syarat permainan bersukan antarabangsa.

Abby dan Ali kelihatan lebih cergas setelah menghirup minuman hebat itu.
Taufiq tak tergamak hendak merasai minuman yang disuakan kepadanya.



Tuesday, August 23, 2011

Air tebu terhebat

Hujung minggu lalu kami melawat abang iparku Pak Andak berniaga air tebu di Kampung Ampang Indah (dekat kawasan Lembah Jaya). Masa kami datang tu perniagaan baru dimulakan. Pak Andak tengah sibuk melenyek batang-batang tebu ke dalam mesin. Laju betul Pak Andak buat kerja. Memang expert. Pak Andak dibantu oleh dua orang anaknya, Hidayat dan Taufik. Hidayat dan Taufik jadi salesmen yang menjual barangan yang diniagakan.

Tebu yang dilenyek Pak Andak merupakan tebu yang terpilih yang diimport khas dari Filipina dan Jamaica. Rasanya sangat manis sampaikan sesiapa yang muka masam akan terus tersenyum kegembiraan. Kemanisan tebu itu pulak adalah yang original dan tidak diletak pemanis tiruan seperti serbuk sakarin atau serbuk equal. Aku sempat ternampak beberapa orang yang lalu lalang asyik tersenyum aje dengan selamba. Rupanya mereka telah pekena air tebu special Pak Andak masa sahur tadi. Belilah air tebu Pak Andak dengan harga RM2.00 satu jag (kalau tak silaplah).

Pak Andak tengah tekun bekerja.

Amier kagum dengan ketangkasan Pak Andak.

Hidayat membantu Pak Andak mengumpul dan menapis air tebu.

Tuesday, March 1, 2011

Minum dulu baru sihat

Dah macam sinonim antara kami dan air power TTDI yang selalu aku ceritakan. Hari Ahad lepas kami minum lagi air power kat tempat Bakar & Erin. Kali ni Wanie pun ikut sama. Amier pulak bila diajak memang terus tak menolak. Dia memang dah suka sangat datang kat situ bermain-main dengan anak-anak Bakar & Erin. Amier berlari-lari ke hulu ke hilir, ketawa terjerit-jerit macam rumah dia sendiri pulak. Puas aku suruh dia slow-kan volume suara dia, tak nak mengganggu orang lain. Tapi Amier peduli apa. Dah puas minum, main dan sembang-sembang, kami pun pulang dengan kelegaan.


Friday, February 25, 2011

Amier dan klinik air power

Semalam aku dapat MC dari doktor pasal demam menggigil (macam lagu Lefthanded tu). Siang tu aku buat jugak sikit-sikit kerja ofis kat rumah dan terpaksa berhenti bila hujan turun lebat dan kilat sabung-menyabung. Dulu sekali komputer aku pernah kena sambar petir sampai berapi! Bila petang wife aku call ajak minum air power kat Taman Tun Dr Ismail (tempat tuisyen kawan kami Bakar & Erin).

Kami pun ke TTDI dengan meredah jam yang sangat dahsyat. Dikhabarkan banyak kawasan kat KL dinaiki air sampatkan Smart Tunnel pun terpaksa ditutup bagi memberi laluan kepada air yang melimpah ruah. Akhirnya kami sampai jugak ke destinasi dekat nak maghrib. Amier ikut kami walapun dia tak minum air power. Amier cuma minum susu cokelat je yang menjadi kegemarannya.

Sesampai di situ kami terus minum macam biasa dan mengulangi ke tandas berkali-kali macam biasa.  Yang aku nak kisahkan kat sini adalah pasal Amier. Selalunya Amier akan menyampuk kalau orang lain bercakap-cakap dengan mamanya. Tak boleh siapa-siapa berinteraksi dengan mamanya. Mama cuma kena beri perhatian kat dia saja. Tapi semalam Amier lebih sporting dan beramah mesra dengan Bakar, Erin dan Aisyah (anak Bakar & Erin). Siap ketawa-ketawa, sengih-sengih dan sama-sama main I-Pad lagi. Sebelum balik Amier mendapat satu dukungan dari Bakar dan Erin pulak membekalkan setin air soya. Lepas ni lagilah Amier nak datang situ agaknya pasal layanan hebat yang diterimanya. 

Pagi tadi aku rasa lebih segar dan bertenaga dan demam pun dah kebah dan bersemangat datang ke ofis menyudahkan kerja-kerja yang tertangguh.


Monday, February 21, 2011

Tempat minum-minum dikenalpasti

Ingat lagi tak pada episod yang dulu pasal tempat minum air sihat? Siang tadi kami sempat pergi lagi pasal aku pun kebetulan cuti - ada hal nak dibereskan. Aku pergi dengan wife, ayah mentua, mak mentua & kakak ipar. Kali ni aku  pergi time orang makan tengahari. Waaahhh... santai sungguh aku nengok orang-orang yang minum-minum kat situ. Mereka berempat semuanya minum, dan lepas minum masing-masing bergilir-gilir melawat kamar kecik. Aku aje yang tak minum pasal perut aku tak semena-mena meragam. Kalau minum takut terkucil tak tentu arah jadinya.

Aku nengok kat luar kedai ada beberapa orang petugas mengempen orang yang lalu lalang untuk minum air khasiat yang disajikan. "Mari, mari minum air power! Tak payah panggil jin hijau nak mintak Super Power. Masuk ke kedai ini dan minum, anda terus jadi power!" Aku jugak sempat ternampak dua orang India berpelukan dengan seorang petugas Cina ketika keluar dari kedai tu. Teringat aku iklan 1 Malaysia kat tv bilamana seorang Singh, seorang Melayu dan seorang Cina berpelukan kat warung. Macam tulah lagaknya.


Tuesday, February 15, 2011

Juara F1 kerana air power!

Lepas main tenis, aku, wife dan anak dara aku Wanie pergi bersarapan kat TTDI. Apa lagi, sarapan air power-lah sebanyak 3 gelas. Kali ni aku minum dengan penuh selamba sekali. Wanie yang baru kali kedua minum masih tersekat-sekat nampaknya. Lepas minum, bayar, dan bersalaman, kami terus meninggalkan perkarangan tempat minuman itu.

Dalam kereta tiba-tiba Wanie keluh kesah, resah dan tak menentu duduknya. Rupa-rupanya perutnya dah mula menampung air yang banyak yang dah mula nak terburai. Oleh kerana tak berjumpa tandas berdekatan, aku pun terpaksalah menekan minyak sekuat mungkin. Kebetulan Alonso & Hamilton sedang memandu F1 kat lebuhraya DUKE dengan laju sekali. Aku pulak tanpa rasa segan silu telah memotong mereka dengan kelajuan mencecah 500 kmj sehingga gagal di kejar oleh kedua-dua jaguh F1 itu.

Sampai di rumah, anak aku Wanie terus meluru ke bilik air bagi melunaskan hajatnya. Dalam diam, rupanya aku pun hampir terkucil dan mujur sempat pulang ke rumah dengan selamat.


Sunday, February 13, 2011

Air power lagi?

Dah jadi sebahagian dari routine aku nampak gayanya untuk minum air power setiap hari. Kali ni kami terpaksa ke pejabat Bakar & Erin di Taman Tun Dr Ismail untuk mendapatkan bekalan air tersebut. Kali ni aku boleh habiskan air sebanyak 3 gelas besar dengan lebih cepat dari biasa. Anak bongsu aku, Amier yang barangkali agak kebosanan mula menyampuk-nyampuk bila mamanya bercakap-cakap dengan Erin. Semua orang yang ada kat situ merasa geram dengan keletah Amier yang meliuk lentok, berlari ke sana-sini sambil tersengih-sengih. Tambahan pulak dengan pipinya yang tembam dan tubuhnya yang bulat - sedap untuk dipeluk. Kami pulang kira-kira jam 2 petang lebih. Waktu tu selera makan aku dan makin bertambah kerana meminum air power berkenaan.



Saturday, February 12, 2011

Minum air sihat lagi?

Malam tadi kami dikunjungi teman lama dari Kelang - Bakar & Erin. Mereka bawak air kesihatan yang pernah aku minum kat Plaza Pantai minggu lepas. Kali ni satu rumah aku nak try minum air tu, termasuklah mak ayah aku, kakak aku & anak aku. Wife aku bantu Erin membuat ramuan untuk dijamu seisi keluarga. Aku dan mak aku menghadapi masalah nak menghabiskan 3 gelas besar air yang disuakan. Kali ni perutku tak menggelodak seperti pertama kali aku menikmati minuman hebat ini. Tapi ayah aku terpaksa berulang kali melawat kamar termenung kerana keadaan perutnya yang agak sensitif. Dekat jam 10 malam barulah Bakar & Erin pulang meninggalkan kami dengan perut-perut yang tak pasti macamana ragamnya nanti.


Tuesday, February 8, 2011

minum untuk sihat


Hari Ahad lalu, 6 Feb 2011, isteri aku dapat jemputan sarapan kat bangunan Plaza Pantai (yg duduk tepi Federal Highway). Ingatkan sarapan apa, rupanya sarapan minuman air kesihatan. Aku nengok ramai jugak orang kat "kelab" minum-minum tu. Relaks je diorang pegang gelas besar sambil teguk air power. Aku, isteri & kakak aku pun buatlah order satu set. Ingatkan cuma segelas je kena minum, rupanya kena telan sampai 3 gelas besar air perasa pelik-pelik. Nak termuntah jugaklah masa mula-mula minum tu. Ada rasa "high" sikit-sikit, macam lepas pekena air daun ketum (macam pernah rasa je...). Ramuannya dirahsiakan, dan dibancuh di satu bilik khas oleh petugas-petugas terlatih. Satu gelas untuk "flush" perut & buang segala toksik. Gelas kedua untuk tenaga. Gelas ketiga ada fibre dan herba.


 Lepas minum tu kami pun berangkat pulanglah. Tiba-tiba perutku meragam bagai nak terburai isi perut dibuatnya. Ini mesti pasal toksik dalam badan dah nak terkeluar ni. Aku pun terpaksa menekan pedal minyak dan memecut sampai mencecah 300 kmj. Kebetulan seorang polis pelatih yang sedang bersiar-siar di pusat bandar ternampak aku memecut laju. Lalu menahan kereta aku menggunakan kederat Superman-nya. Aku lalu menekan brek mengejut. Dan skrin tingkap aku bukak. Polis tu menjengah & bertanya, "kenapa bawak laju ni?" Aku panik seketika, tetapi setelah menarik nafas, aku gunakan ilmu peguam yang aku belajar dari cerita Ally McBeal kat tv dulu. Jawabku, "mengikut Akta Alam Sekitar 999, sisa toksik tak boleh dibuang merata-rata & mencemarkan dunia ini. Kalau encik menahan saya, maka enciklah yang akan dipertanggungjawabkan terhadap kemusnahan alam sekitar ini nanti". Kini giliran polis tu pulak yang terkedu. Tanpa banyak bicara, dia melepaskan aku pergi dengan ucapan "selamat memandu" dan melambai-lambaikan tangannya ke arah aku.