m y f a m i l y

m y   f a m i l y
Showing posts with label kuala ampang. Show all posts
Showing posts with label kuala ampang. Show all posts

Tuesday, June 19, 2018

Kawan sekolah rendah kahwinkan anak

31 Mac 2018 -  Pada suatu hari yang hening sebelum Malaysia beralih kerajaan baru, aku telah mendapat satu pesanan melalui laman whatsapp dari seorang teman lama. Teman lamaaaaa sangat. Dan memang dah terlalu lamaaaaa sangat kami tak berjumpa. Sekadar bertemu text dalam group whatsapp. Nama temanku itu ialah Azmi Hussin. Teman sekolah rendah kat Kuala Ampang. Beliau nak kahwinkan anak. Ada buat majlis perkahwinanlah di Putrajaya. Masa tu tak ada clash program. Jadi aku pun bertekadlah nak pergi bersama seisi keluargaku.

Nak cari parking memang agak susah. Puas jugaklah aku bertawaf mengelilingi Putrajaya Sentral. Walaupun tempat parkirnya besar, namun sesak padat dengan kereta yang pelbagai. Akhirnya aku putuskan untuk parkir di satu ramp yang kebetulan ada sedikit ruang kecil cukup untuk kutempatkan keretaku.

Amier dan Sabriena sedang asyik menikmati juadah orang kahwin.
Wife aku pun dah nak selesai makan.
"Apa pandang-pandang?" tanya Sabriena.
Amierlah yang paling bersemangat makan pada tengah hari itu.
Goodies bag - jodoh doktor bertemu doktor.
Dah selesai makan.
Sedang berkira-kira nak ambil dessert pulak.
Sampai-sampai aje di ruang majlis, aku terus cari Azmi. Tak susah nak nampak Azmi. Tubuh yang tinggi dan besar berbusana Melayu warna kuning mudah kucamkan dari jauh. Mujur wajah terkini Azmi telah kulihat terlebih dahulu dalam group whatswapp. Kalau tidak, memang tak mungkin dapat aku mengenal raut muka temanku ini yang telah lebih 40 tahun tidak kujumpa.

Sejurus bertemu Azmi, kami terus bersalaman dan berpelukan ala-ala al-Arabia ya habibi, ya maulana. Azmi tengah sibuk masa tu. Jadi kami uruskan dulu keperluan tembolok kami. Kebetulan memang kami tengah lapar waktu itu.

Di suatu sudut fotografi.
Tiga beranak sedang ber-posing.
Amier jadi cameraman pulak.
Sabriena dah nak terbaring pasal dah terlalu kenyang.
Masih di photo booth.
Sabriena di papan tanda.
Kami tak perlu menunggu lama untuk mencari tempat duduk. Ada ruang kosong, cukup untuk menempatkan kami empat beranak. Syahmie dan Wanie tak dapat ikut sebab mereka masih belajar di asrama. Juadah yang terhidang untuk tetamu agak pelbagai juga. Dan enak-enak rasanya. Kami pun makanlah sampai kenyang. Sekenyang-kenyangnya. Nasi dan dessert, semua aku makan. Kek pengantin pun aku nak makan. Tapi aku dihalang oleh orang-orang kat sekeliling pasal kata mereka kek pengantin masih belum dipotong lagi. Oh! Ya ke? Tak apalah.

Pengantin dan upacara memotong kek.
Memotong kek jauh lebih mudah dari membedah pesakit.
Alamak! Terlupa pulak nak bagi ubat bius kat kek ni.
Setelah seketika kami kat situ, barulah aku berjumpa lagi dengan Azmi untuk mengucapkan terima kasih kerana menjemput. Kami bergambar satu familli. Tapi kami tak sempat berbual panjang pasal sebagai bapak pengantin, Azmi memang sangat sibuk pada hari itu. Maknanya kami kena berjumpa lagi pada lain masa yang lebih sesuai untuk bertanya khabar dan mengikuti perkembangn semasa diri masing-masing. Selain Azmi, aku sempat jugak bertemu dengan Zuhaimi dan Zaiton yang turut hadir pada majlis itu. Ada beberapa teman yang lain telah sampai lebih awal dan telahpun beredar. Sekali lagi terima kasih buat Azmi. Dan tahniah kerana menerima menantu lelaki yang sama-sama doktor seperti anak perempuan beliau.

Bergambar bersama bapak pengantin perempuan.
Azmi Hussin - dulu slim dan rendah sikit. Sekarang aku kena mendongak untuk melihat wajahnya.
Terima kasih kerana menjemput kami sekeluarga.


Thursday, June 25, 2015

Menjenguk sekolah Kuala Ampang setelah sekian lama

14 Jun 2015 - Masa tu kami dalam perjalanan nak balik ke rumah mengikut lebuhraya AKLEH. Tetiba wife aku kata nak tengok sekolah aku yang lama. Amier pun dari dulu memang tak pernah tengok sekolah rendah aku tu. Dan aku sendiri pun memang teringin nak nengok apakah rupa bentuk dan perkembangan sekolah pertama aku tu. Aku belajar di situ dari tahun 1972-1977. Kami pun menyimpanglah menghala ke Ulu Kelang menuju ke sekolah. 

Sebenarnya aku pun dah ingat-ingat lupa lokasi jalannya. Main ikut naluri aje. Syukur. Mujur tak sesat. Pembangunan dah semakin berkembang. Tapi taklah terlalu berbeza dari dulu. Skala pembangunannya masih lebih kurang sama. Pasar masih ada lagi kat sebelah sekolah. Nama-nama jalan masih yang sama. Padang bola/pendidikan jasmani masih yang sama jugak. Dan masih aktif seperti dulu dengan perlawanan bola sepak yang memang kerap dijadualkan berlangsung di situ.

Papan tanda sekolah.
Cuba nengok bangunan surau kat belakang aku tu. Jangan pulak nengok perut aku yang dah membuncit tu!
Aku pun sampailah kat depan pintu pagar sekolah. Dulu tak ada surau. Dulu ada pokok besar tempat murid-murid berteduh. Dah ada surau kira lebih baiklah. Tertulis di papan tanda - Sekolah Kebangsaan (1) Kuala Ampang. Kalau tak silap aku, sekolah tu dulu dipanggil SRJK (Inggeris) Ulu Kelang (1 & 2). Aku sekolah 1. Allahyarhamah kakak aku sekolah 2. Lepas tu entah tahun berapa entah dia bertukar nama menjadi Kuala Ampang. Sama ada tahun 1975 atau 1976 agaknya. 

Pagar sekolah yang telah di-upgrade sikit.
Pagar kecil untuk pelajar-pelajar masuk.
Masa aku parking kereta kat pagar sekolah, guard yang kat pondok guard tu keluar dan hendak membuka gate sekolah. Aku terkejut jugak. Kedatangan aku bagaikan sangat-sangat dialu-alukan. Seperti VVIP lagaknya. Lalu aku keluar dari kereta, dan berjumpa dengan guard tu. Bila dia nengok muka aku, baru dia kata, "Saya ingat Guru Besar tadi. Dia pun ada kereta yang macam ni (Exora)". Aku sekadar tersenyum. Boleh aje aku kata, "Saya Guru Besar baru sekolah ni. Tolong bukakkan pintu pagar ni. Segera!" Tapi aku tak cakap macam tu. Sebaliknya aku cuma menyatakan kepada guard tadi tujuan aku datang ke situ adalah untuk melawat sekolah rendah yang telah lama aku tinggalkan. 

"Maafkan hamba wahai tuan hamba. Kedatangan pacal patik yang hina ini adalah untuk melihat sekolah hamba yang telah berkurun hamba tinggalkan kerana merantau jauh ke negeri orang". Lebih kurang macam tu aku cakap kat dia. Guard tu pun faham akan maksud aku, dan membiarkan aku mengambil gambar dari luar pagar. Setelah mengambil gambar, kami pun pulanglah dengan perasaan puas hati dan penuh dengan nostalgia zaman kanak-kanak Ribena.

Pandangan sekolah dari tepi padang bola.
Bangunan sekolah masih yang lama jugak. Tahan betul sekolah ni.