m y f a m i l y

m y   f a m i l y
Showing posts with label lake. Show all posts
Showing posts with label lake. Show all posts

Wednesday, August 5, 2020

Memancing setelah tenis

28 Jun 2020 - Setelah selesai bermain tenis di Jalan Duta, aku, Syahmie dan Amier terus bergerak ke Tasik Pandan Perdana. Kami nak repeat memancing di sini, setelah tempoh hari Syahmie berjaya menaikkan tiga ekor ikan puyu bersaiz besar. Cuma kali ini kami tak bawa umpan cacing pasal cacing kat kedai dah tak ada stok. Umpan kami pada hari itu cuma cengkerik dan ulat satu inci. Dan sesekali kami casting pakai soft plastic. 

Kami terlihat beberapa ekor ikan dolphin membuat aksi akrobatik di tengah tasik.

Syahmie mencuba casting menggunakan soft plastik.

Target untuk memperolehi ikan kerapu dan senangin.

Masih belum mendapat hasil.

Seekor ikan barracuda terlepas dari mata kail.

Aku sangat mengharapkan agar Amier mendapat ikan. Biar dia rasa macam mana seronoknya bila sang ikan menyapa di hujung tali. Bila tali mula menegang ditarik ikan. Bila hujung joran melendut disentap ikan. Dan bila ikan di air berjaya dinaikkan ke darat setelah mengarau tali di dalam kekili. Keseronokan itu semua tak dapat digambarkan dengan kata-kata. Perlu dirasai sendiri oleh Amier untuk mengetahui hakikat kepuasan memancing.

Namun hari itu bukanlah hari kami. Bukan hari Amier. Bukan hari aku. Malah bukan hari Syahmie juga. Jangankan menaikkan ikan, umpan yang disua langsung tak diusik sang ikan. Kami sekadar sembang-sembang kosong anak beranak sambil menanti kehadiran ikan. Setelah agak lama memancing tanpa mendatangkan hasil, kami akhirnya memutuskan untuk pulang saja. Mungkin aku boleh bawa Amier memancing di kolam bayar yang ikan-ikannya sangat mudah dipancing - di Kolam Pancing Tepian Rimba di Hulu Langat. Kalau kolam itu dah beroperasi, aku akan membawa Amier ke sana. Tunggu dan lihatlah nanti kesudahannya macam mana.

Menanti kehadiran ikan dengan penuh sabar.

"Oh ikan, oh ikan kenapa tak mau timbul?"

Hasil yang diperolehi Amier hanyalah plastik hanyut.



Friday, July 31, 2020

Memancing di Tasik Pandan Perdana

13 Jun 2020 - Akibat wabak Covid-19 yang melanda dunia, kerajaan Malaysia telah mengarahkan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac 2020. Masa tu aku dan teman-teman sepejabat bekerja dari rumah. Kami tak banyak keluar rumah. Duduk mengurungkan diri dalam pekarangan rumah saja. Waktu-waktu rehat atau cuti, aku banyak menonton video dalam You Tube. Antara channel favourite aku ialah channel main gitar finger style "Alip Ba Ta", channel tennis, channel ping-pong dan channel memancing. Aku biasa tengok channel Chai Fishing, Mubin Saat, Man Kumpau dan lain-lain lagi.

Oleh kerana dah terlalu selalu tengok video memancing, maka otak aku pun dah mula terfikir bilakah agaknya aku boleh turun ke kolam untuk memancing. Akhirnya peluang itu tiba, bila ada kelonggaran diberikan oleh kerajaan Malaysia. Tempat memancing yang free dan paling dekat dengan rumah aku ialah Tasik Pandan Perdana. Jadi aku pun membuat segala persiapan memancing dan mengajak anak-anak aku Syahmie dan Amier. Jom kita ke sana!

Pandangan Tasik Pandan Perdana.
Memasang joran bagi memancing ikan.
Amier sangat gembira berpeluang mengendalikan jorannya sendiri.
Tak sabar menanti ikan makan umpan.
Amier sangat teruja bila kuajak pergi memancing. Amier tak pernah handle batang joran sendiri. Kali ini aku bagi dia peluang berbuat demikian. Aku ajar dia cara pegang joran dengan betul dan cara nak membuat casting. Happy sungguh aku tengok Amier. Sekarang Amier cuma perlu menunggu dengan sabar sehingga ada ikan yang sudi menjamah umpan. Lama juga aku dan Amier menunggu. Namun habuannya masih tidak diperolehi. Sebaliknya Syahmie pula yang berjaya menaikkan ikan puyu, seekor demi seekor. Sejumlah tiga ekor kesemuanya. Saiz ikan puyu itu pun boleh tahan juga besarnya. Tak pernah aku mendapat ikan puyu sebesar itu. Pakai umpan cacing aje pun.

Ikan puyu bersaiz bagak berjaya dipancing Syahmie.
Warnanya kuning keemasan. Pakai umpan cacing.
Ikan kedua yang Syahmie dapat. Aku tumpang bergambar aje.
Ini pun ikan puyu juga. Pakai umpan cacing juga.
Ikan puyu ketiga berjaya dipancing Syahmie.
Ketiga-tiganya bersaiz gadang.
Sewaktu kami sedang memancing, datang seorang pemancing ikan tegar yang agak  biasa dengan tempat itu. Beliau yang berketurunan India menceritakan segala pengalaman beliau ketika memancing ikan di Tasik Pandan Perdana. Macam-macam ikan pernah diperolehinya. Patin, toman, leekoh, malah arowana juga pernah beliau perolehi. Aku pun pernah membaca blog pemancing-pemancing Tasik Pandan Perdana. Memang wujud ikan-ikan itu pada suatu ketika dulu. Kata pemancing itu lagi, beliau dulu pernah memancing ikan tanpa memperolehi apa-apa selama setahun. Ikan-ikan di tasik itu bersekolah katanya. Susah hendak diperdaya atau dijinakkan. Tapi lama-kelamaan, berkat kesabaran dan ketekunan mempelajari tabiat ikan-ikan di situ, akhirnya membuahkan hasil juga. Tapi pada hari kami memancing itu, beliau nampaknya "kumpau" lagi.

Setelah tiga ekor ikan puyu berjaya dinaikkan Syahmie, tiada lagi ikan lain yang berjaya kami pancing, walaupun kami bertukar lokasi. Kira-kira jam dua belas tengah hari, kami pun berkemas untuk pulang. Seekor ikan puyu kami hadiahkan buat kakak iparku, Kak Timah. Lagi dua ekor kami bela. Dah semakin sihat ikan yang dua ekor itu dalam akuarium di rumah. Ada masa, kami akan repeat lagi. Biarlah kali ini Amier pula yang merasa menaikkan ikan dari dasar Tasik Pandan Perdana.

Kami terus menanti kehadiran ikan dengan memasang lima batang joran.
Ada sedikit getuan. Tetapi tidak mengena.
Semakin lama menanti, semakin sepi dari usikan sang ikan.
Yang hadir hanyalah pepatung yang sedang asyik memakan mangsa.
Kelihatan ada juga pengunjung lain yang turut memancing.
Matahari sudah mulai memuncak.
Amier tukar lokasi.
Aku pun ikut Amier. Tapi masih hampa.
Inilah dua dari tiga ikan puyu yang berjaya kami pancing.
Seronok sangat bila melihat ikan-ikan ini berenang-renang dalam balang plastik.



Saturday, March 21, 2020

Memancing di tasik UiTM Dengkil

23 Februari 2020 - Dah lama aku berangan-angan nak memancing di salah satu tasik yang ada di sekeliling UiTM Dengkil. Sejak anak sulung kami, Syahmie belajar di situ lagi pada kira-kira dua tahun yang lalu. Kini Wanie pula yang menuntut ilmu di sana. Jalan pintas ke pintu masuk utama juga nampak gayanya telah dibuka. Salah satu tasik yang ada di kawasan itu terletak betul-betul di sebelah jalan besar. Semakin geram aku melihat tasik luas yang cantik itu tersergam tanpa diganggu. Berkobar-kobar semangatku untuk menduga ikan-ikan di air yang bermukim di situ.

Luas sungguh tasik ini. Ada beberapa tasik yang seumpama ini di kawasan UiTM Dengkil.

Aku rasa ikan-kan besar berselindung di sebalik ranting-ranting di dalam tasik.

Pancingan telah dimulakan.

Suatu petang, isteriku telah mencadangkan kepadaku untuk kami mencuba nasib di tasik Dengkil itu. Kami memang dah bercadang nak melawat Wanie pada petang itu. Bolehlah singgah sebentar di tepi tasik. Kebetulan pula, cacing tanah yang kubeli minggu lalu masih ada lagi berbaki. Tanpa banyak soal, aku menyetujui cadangan itu.


Ikan pertamaku. Satu-satunya ikan yang berjaya dinaikkan.

Isteriku turut memancing.

Menanti ikan memakan umpan.

Kami jumpa Wanie dulu di asrama. Ajak dia pergi ke tasik sekali. Sesampainya di tasik, Wanie dan Sabriena duduk dalam kereta. Aku dan isteriku pergi ke tepi tasik untuk memancing. Dalam perjalanan kami ke sana, kami terserempak dengan seorang pemancing yang baru selesai memancing menggunakan umpan soft plastik. Aku tanya, "Dapat ikan tak?" Jawabnya, "Tak dapat." Banyak ke ikan di sini? Ikan jenis apa ada kat sini?" tanya kami lagi. "Ish ish ish... Kat sini dulu ada macam-macam jenis ikan. Ada toman, haruan, jenahak, kerapu, tongkol, senangin, kurau dan GT. Kalau nasib baik, kadang-kadang boleh dapat blue marlin!" Mendengar itu, aku semakin bersemangat. Kata pemancing itu juga, tilapia memang banyak di situ. 

Kami terus memulakan pancingan menggunakan umpan cacing dan roti. Tak lama menanti, umpan cacingku dirembat seekor ikan tilapia sebesar tiga jari. Lalu aku lepaskan kembali ke tasik setelah kuambil gambarnya. Getuan-getuan kecil memang terasa. Tetapi tiada yang kasar nampak gayanya. Olak-olak air yang besar juga sangat kurang. Mungkin salah port kot? Tetapi aku yakin, tasik yang sebesar ini takkanlah tak ada ikan bersaiz gadang? Aku berazam untuk kembali ke sini dan menyiapkan diriku bagi memburu ikan marlin yang menjadi legenda di sini!

Joran teleskopik light weight yang sangat berguna.

Isteriku casting pakai cacing.

Walaupun tak dapat menaikkan ikan, hati tetap terhibur.

Sebelum ke UiTM, kami singgah bertemu teman kepada Syahmie - Zukri (bakal doktor).

Tuesday, March 10, 2020

Memancing di taman tasik comel

22 Februari 2020 - Cacing-cacing tanah di kedai Ah Fatt (bukan nama sebenar) bagai sedang melambai-lambaiku ketika aku menghampiri kedai itu. Aku tak dapat menolak permintaan mereka agar aku membela mereka, dan menghulurkan mereka ke mulut ikan-ikan di air. Aku bayar RM2.50 untuk sebungkus cacing tanah yang segar-bugar. Lalu aku beredar.

Kira-kira jam 6.30 petang, kami sekeluarga telah ke Taman Tasik Sentosa Rimba (bukan nama sebenar) untuk memancing. Aku pernah melihat beberapa kali ada orang memancing di situ. Ini adalah kali pertama kami ingin mencuba nasib kami di sini setelah pihak berkuasa tempatan mencantikkan taman tasik ini. Tanpa berlengah, aku terus meyiapkan set pancingku. Cacing yang kubeli tadi kutancapkan pada mata kail halus yang sangat tajam, Lalu kulemparkan ke air, mengharapkan ada yang sudi menyambutnya. Isteriku pula melemparkan mata kail bersalut roti ke dalam tasik. Kita lihat siapa yang kena dulu.

Menanti dengan sabar dan penuh harapan.
Isteriku mendapat ikan yang pertama - seekor anak tilapia.
Ini pula adalah ikan pertamaku. Tilapia juga.
Bergambar sebelum kulepaskan.
Ikan tilapia dari dekat.
Seekor lagi ikan tilapia.
Tak lama menanti, seekor anak tilapia menarik rakus tali pada joran isteriku. Comel ikan itu. Tetapi terlalu kecil untuk digulai atau digoreng. Lalu kami lepaskan semula agar ia boleh membesar sebagai juara di tasik itu. Selang beberapa minit, pancingku pula yang mengena. Ikan dari spesis yang sama dengan saiz yang lebih kurang sama besarnya. Walau pun kecil aku berasa sangat seronok dan terhibur kerana dah berzaman juga kami tak menaikkan ikan dengan joran dan mata kail.

Tiba-tiba datang seekor kucing jantan jalanan mendekatai kami. Wajahnya serius. Tiada senyuman langsung yang terukir di bibirnya. Dia menyapa kami dengan sapaan yang tidak kami fahami dengan jelas. Katanya, "Meouww..." Kami mengajak kucing itu untuk duduk di samping kami serta mendoakan kami agar memperolehi ikan yang lebih besar yang boleh kami berikan kepada kucing itu untuk dimakan. Kami tak perlu menanti lama. Seekor ikan kerapu lombong tiba-tiba membawa umpanku jauh. Aku menyentap. Lalu kukarau tali menggunakan kekili sehingga ikan kerapu lombong itu berjaya kubawa naik ke darat. Setelah bergambar, aku lucutkan mata kail dari mulut ikan itu. Lalu kulempbarkan ikan itu ke arah kucing jantan tadi. Mengharapkan ia akan sudi menjamahnya. Kucing itu sekadar menghidu. Namun tidak terdetik untuk menjadikan ikan itu sebagai juadah petangnya.

Seekor kucing jantan menghampiri kami.
Aku memperolehi seekor kerapu lombong.
Ikan ini sama tarafnya dengan kerapu laut. Si kucing dah mula bersuara.
Meneruskan pancingan.

Umpan roti yang dihulur oleh isteriku akhirnya disambut baik oleh seekor lampam yang sisiknya berwarna keemasan. Aku tak pasti jenis lampam yang berjaya dinaikkan isteriku. Aku menegur ikan itu dengan berkata, "Kabare?" Kalau ikan lampam jawa sudah pasti ia akan menjawab, "Waras." Tetapi itu tidak berlaku. Maknanya ikan itu bukanlah dari spesis lampam jawa. Sejurus melihat ikan itu bergelek-gelek di daratan, si kucing jantan tadi terus menghampiri dan mengiau meminta ikan itu diberikan kepadanya. Tanpa keberatan, aku pun menghulurkan ikan itu. Si kucing menggonggong ikan dan membawanya pergi untuk dimakan. Nampak berselera sungguh ia makan. Sampai licin!

Bergambar dengan ikan lampan yang diperolehi isteriku.
Boleh tahan juga saiznya.
Sedap kalau digoreng.
Ikan lampam kebanggaan.
Aku memperolehi seekor lagi ikan tilapia kecil.
Si kucing membawa lari ikan lampam.
Mencari port yang sesuai untuk dimakan.
Aku dapat ikan oren. Kuat juga tarikannya.
Sabriena turut teruja.
Rasa isi ikan ini sebiji seperti buah oren.
Bergambar sebelum kulepaskan kembali ke air.
Kerapu lombong ini juga perlu kulepaskan.

Kami meneruskan lagi pancingan dan mendapat beberapa ekor lagi ikan bersaiz anak. Kira-kira jam 7.20 petang, kami dihampiri seorang pemuda bermotorsikal. Katanya kepada kami, "Tempat ni tak boleh memancing sebenarnya." Ohhh... ya ke? Baru kami tahu. Aku melepaskan ikan kerapu lombong dan ikan oren yang baru kupancing kembali ke dalam tasik. Ikan-ikan itu sangat gembira bila kulepaskan mereka sambil bersorak "Horreeeyyyy!!!" dengan kuat sekali. Memang kami pun sudah mahu bergerak pulang kerana maghrib sudah mendekat. Kami puas dapat pancing dalam lebih kurang setengah jam. Next time dah tak boleh datang memancing di sini lagi gamaknya. Kena cari port yang lain pula.

Sedapnya ikan lampam ini.
Kalau masak kari tentu lagi sedap.
"Aku nak makan sampai licin," kata sang kucing.