m y f a m i l y

m y   f a m i l y
Showing posts with label review. Show all posts
Showing posts with label review. Show all posts

Friday, April 6, 2018

D'Jeram Grill & Steamboat

11 Februari 2018 - Nun di suatu sudut dunia, bagai terdampar di pantai, disuluh mentari, bersinar di pasir putih..... Fuh! Letih betul kalau bercerita macam ni. Dah macam baca sajaklah pulak. Aku cuma nak kisahkan pasal sebuah restoran yang pernah diusahakan oleh ipar dan biras aku. Sebuah restoran makanan grill dan steamboat. Terletak di Jalan Jati, Pantai Remis, Jeram, Kuala Selangor. Bersebelahan dengan Restoran Aroma Ikan Bakar. Nama kedainya ialah D'Jeram Grill & Steamboat!

Banner tertera nama restoran dan orang yang boleh dihubungi untuk tempahan.
Pandangan dari luar.
Ruang meletak kenderaan yang luas.
Selain dari tempat makan, D'Jeram Grill & Steamboat turut menyediakan kemudahan untuk pengunjungnya seperti surau, bilik penginapan, dan asrama. Tapi yang best dan syioq-nya tempat ni adalah faktor lokasinya. Ia duduk di sebelah pantai. Bayangkan ajelah, sambil makan-makan, sambil sembang-sembang, sesekali angin pantai bertiup nyaman. Dan bila matahari mula terbenam, langit menjadi kemerahan bercampur jingga. Memang sangat cantik. Itulah yang seronoknya tempat makan ini.

Surau untuk kegunaan pengujung bersolat.
Tertera di hadapan kedai makan.
Menu istimewa pada setiap masa.
Kanak-kanak suka yang ini.
Aku suka yang ini.
Bagi peminat makanan bercengkerang, pilihlah sendiri.
Jeruk masam pun ada. Boleh buat pemanis mulut. Atau juga pembuka selera.
Suasana pantai ketika air surut.
Pantai yang berselut, tetapi tetap tenang kalau dipandang.
Airnya telah pergi nun jauh ke tengah.
Tak jauh dari paya bakau.
Biar aku bagi tau sedikit maklumat pasal bayaran untuk makan di sini:

Satu kepala - RM25.00
Kanak-kanak - RM12.00
Konsep "all you can eat". Makan sampai gemuk! Asalkan jangan membazir.
Dibuka jam 4 petang.
Tapi kalau buat tempahan, boleh aje datang untuk makan tengah hari.
Bayaran sewa bilik dan asrama, tak pulak aku tahu. Yang ini korang kena try telefon tuan tanah.

Pandangan dari belakang.
Cantik dengan pokok kelapa rendah tumbuh di sepanjang bangunan ini.
Kalau korang dapat peluang, pergilah jalan-jalan di tepi pantai. Waktu air tengah surut, memang jauh mata memandang melihat darat. Ada lebih satu kilometer gamaknya. Dan kalau air pasang besar pulak, memang sampai ke tebing perginya ombak. Bagi peminat aktiviti memancing, boleh saja mencuba nasib menjinak sembilang. Paling-paling tidak pun, duri dan belukang memang sangat sudi menjamah umpan.

Amier dan Mama memilih makanan.
Masing-masing dengan pilihan masing-masing.
Sekitar jam 6 petang, kami dah mula mencari tempat duduk yang strategik. Kami cuma berempat. Syahmie dan Wanie masih belajar di asrama pada ketika ini. Jadi mereka tak dapat bersama kami. Memang dah lama sangat kami tak pekena menu grill dan steamboat ni. Aku memang peminat grill. Anak-anak aku peminat steamboat. Wife aku peminat kedua-duanya. Saat memiih makanan di peti sejuk merupakan saat yang sangat mengujakan. Masing-masing bawak pinggan sendiri, memilih makanan mengikut cita rasa pada ketika itu. Aku suka daging dan sotong. Tapi demi kesihatan aku kena kurangkan makan kedua-dua makanan tu. Tapi untuk kali ini, aku bedal aje secukup rasa. Esok-esok barulah aku berpantang kembali.

Proses memasak sedang dijalankan.
Nampak berselerakan?
Masa untuk makan pulak.
Enjoy sungguh kami makan.
Waktu makanan dimasak, sama ada di atas grill atau secara steamboat, aroma makanannya sangat-sangat menusuk kalbu. Selera terus terbuka. Menambah keenakan tatkala bayu laut menghembus, dan langit bertukar menjadi jingga. Kami makan sampai dah tak larat nak makan lagi. Maklumlah - all you can eat lah katakan. Makan rehat, makan rehat pun boleh jugak. Sambil lepak-lepak tengok langit dan bulan. Kami solat maghrib dulu sebelum pulang ke Kuala Lumpur dengan perasaan yang sangat gembira. Jomlah!!!

Makan pakai chopstik lebih mencabar.
Amier masih memasak.
Matahari dah mula terbenam.
Kalau pandai adjust lighting, lagi cantik pemandangan ini sebenarnya.
Amier turut mengambil gambar.

Wednesday, March 28, 2012

Cuti di Melaka - Food review: Muara Sg Duyung

Bahagian 11

Malam hari Sabtu di Melaka, kami makan kat suatu lokasi yang berbeza. Kali ni adik aku pulak yang bagi cadangan. Dia ajak kami makan ikan bakar jugak, tapi kat Muara Sungai Duyung. Menggunakan GPS pada handphone wife aku, kami redahlah malam menuju ke destinasi. Jaraknya agak jauh jugak dari tempat penginapan kami. Lokasinya juga agak terpencil, duduk di sebelah muara yang penuh dengan jeti dan sampan-sampan nelayan. Aku memang suka betul dengan pemandangan macam ni. Tapi pada waktu malam, tak berapa nampak sangat sungai dan kapalnya.

Depan restoran.
Kat tempat ni, walaupun jauh dari jalan besar, namun cukup ramai orang yang berkunjung. Aku dan Farid kena parking jauh jugak kat kegelapan pasal parking kat tempat terang lagi dekat dah penuh. Aku beratur dengan adik aku untuk pilih lauk dan membuat pesanan. Kami ambil ikan siakap, jenahak, kerapu, sotong, ketam dan kupang satu kilo. Masakannya, orang kedai tu yang bagi idea.

Aku dan adikku sedang memilih lauk.
Farid turut membantu memberikan idea pemakanan sihat.
Lepas pilih lauk, kami pun tunggulah kat tempat duduk sebelah sungai. Cantik pemandangan, walaupun malam. Kalau siang mesti boleh nengok ikan berenang-renang, penguin menggelongsor dan anjing laut berjemur. Terasa jugak sesekali angin laut menampar muka, dush, dush, dush, aduh! Kuat benar kau tampar muka aku sampai merah pipi!

Wanie gembira pasal kejap lagi dia boleh makan.
Nasi lemak pun ada kalau nak makan.
Menanti dengan ceria.
Sayur kailan terhidang. Tapi kami tak habis makan pun.
Berlatar belakangkan kapal nelayan.
Pemandangan yang cantik.
Okay, order dah nak sampai.
Setelah beberapa ketika, makanan pun sampai. Mula-mula sampai sayur kailan ikan masin. Tapi rupa dia tak memberangsangkan. Dan rasanya... rasanya pun tak berapa kaw. Tapi bila sampai lauk pauk, huh! Terangkat rasanya! Ikan kerapu masak tiga rasa - sangat hebat. Siakap bakar cili - haw liaw! Kupang masak cili - menangis! Ketam masak cili - aduhai terduduk! Jenahak bakar cili - marvelous! Sotong goreng tepung - superb! Pokok pangkalnya semua sedap. Cuma sayurnya aje yang agak kurang. Tapi memang restoran ni pakar lauk, sebab tulah lauk dia power!

Aduh! Sedapnya makanan ini!
Kupang masak cili ni memang hebat.
Semua lauk-pauk dia fresh-fresh belaka. Ikannya bagaikan baru dipancing dari sungai bersebelahan. Ketamnya jugak bagai baru ditangkap dari lubuk sesaat tadi. Malah masa aku nak makan ketam tu, aku siap kena beradu tenaga dengan ketam yang dah dicilikan. Siapa yang kalah akan jadi habuan yang menang. Nasib baik aku menang. Jadi akulah yang dapat makan ketam tu. Isi ketam tu sangat fresh, lemak dan manis. Seolah-olah siapa yang makan isi ketam tu akan kena kencing manis.

Banyak betul lauk pauk.
Boleh ke habis semua ni?
Semua orang makan banyak walaupun dah kenyang.
Nak makan perlu ada fokus.
Ketam cili yang tewas di tanganku. He he he...
Malam ni kami makan memang sangat puas. Masakannya dahlah lazat, kuantitinya pulak dahlah banyak. Memang dah nak meletup perut kami dibuatnya. Malam tu kami berbelanja RM300 lebih. Tapi semua adik aku yang belanja. Syukur. Balik nanti tinggal tidur ajelah. Next time kalau ada rezeki, boleh datang lagi...

Habis! Tinggal sampah aje.
Perut dah nak meletup.

Cuti di Melaka - Food review: Parameswara

Bahagian 10

Malam hari Jumaat kami merancang-rancang untuk makan di mana. Kat tepi-tepi jalan memang banyak gerai-gerai yang buka, menanti pelanggan untuk bertandang dan menjamu selera di premisnya. Isteri aku kata nak makan ikan bakar. Secara sepontan, aku menjawab, "Umbai". Itu ajelah tempat yang aku tau kalau nak dikaitkan dengan ikan bakar. Jadi isteri aku pun google-lah kat internet lokasi dan review mengenai Medan Ikan Bakar kat Umbai ni. Tempatnya agak jauh dari Ayer Keroh. Menghala ke Muar. Dalam satu blog tulisan seseorang yang tak dikenali, dia kata ikan bakar kat Umbai memang hebat! Dia suruh pergi kat kedai yang bernama Parameswara. Tempat nilah yang paling ramai dikunjungi orang. Sepatutnya menyajikan hidangan yang sangat lazat.

Pintu masuk Medan Ikan Bakar Parameswara.
Selepas solat maghrib, kami pun berangkatlah ke Umbai. Bekalan kami ialah peta yang disediakan oleh penjaga kaunter di Philea Resort serta arahan-arahan dari penulis blog akan lokasi medan ikan bakar ini. Aku rasa ada lebih 20km jauhnya dari tempat kami duduk. Akhirnya ketemu jugak lokasi yang kami nak tuju. Cukup lega bila dah sampai. Memang betul kata penulis blog. Orang memang ramai. Nak parking kereta pun payah. 

Memilih lauk pauk.
Kat kawasan Umbai tu ada banyak kedai ikan bakar. Ada kedai Pak Mat Tempe, ada kedai Mak Dara, ada kedai Haji Bakhil, malah kedai Labu Labi pun ada. Tapi kat kedai-kedai tu semua, suasana sangat lengang. Ada kalanya, tauke kedai masak lauk makan sendiri. Tapi, di kedai Parameswara orang punyalah ramai. Mungkin sebab Parameswara ni nama raja Melaka kot. Sampai sesak nafas kalau berasak kat dalam restoran tu. Mesti kedai ni masakannya sangat sedap dan hebat. Pasal tu lah banyak orang berkunjung ke sini. Dari gaya pelanggan yang datang, aku rasa kebanyakannya dah biasa datang ke sini. Kami baru first time. Tapi wife aku dah buat kajian cara-cara nak buat order kat restoran ni. Meh aku kisahkan sikit kaedahnya.

Mula-mula cari meja kosong. Duduk. Kira macam booking tempatlah. Sorang beratur pilih ikan dan lauk, dan bagi tau kat tukang ambil order, masakan apa nak dibuat dengan lauk pauk tu. Ada pilihan bakar, masak tiga rasa, sweet sour, asam pedas, goreng, black pepper dan macam-macam lagi. Kalau tak tau nak masak apa, boleh mintak orang kedai tu suggest-kan. Aku ambil ikan siakap, ikan jenahak, ikan pari, ketam dan sotong. Resipi dia, hentam sajalah. Sayurnya ialah kailan ikan masin.

Lihatlah dunia! Aku menang piala.
Setelah ambil order, kita akan dibagi satu piala kemenangan. Piala tu ialah untuk diletakkan di atas meja makan. Bila pelayan nampak piala yang tertulis nombor tu, dia akan datang dekat dan ambil order air pulak. Lepas tu tunggulah sampai masakan siap dan dihidangkan kepada kita. Sementara tu dia akan bagi otak-otak untuk kita balun dulu. Tapi kena bayarlah.

Yana dan Wanie menanti makanan.
Bilalah agaknya makanan nak sampai.
Syahmie dan ayahku.
Kakakku dah start makan nasi lemak dulu.
Tak lama menunggu, makanan pun sampai. Kami berasak-asak untuk mendapatkan makanan yang kami idam-idamkan sedari dulu. Lauk pauk boleh dimakan dengan nasi putih atau nasi lemak. Mula-mula aku serang sotong goreng tepung dulu. Hmmmm... Okaylah. Aku makan pulak siakap steam. Bolehlah... Aku cuba pulak jenahak tiga rasa. Sedap jugak... Aku bedal ketam masak black pepper. Orait jugak... Dan akhir sekali aku cuba pari bakar kosong. Cam ni aje pari bakar dia?

Baca doa. Jom kita makan!!!
Kami makan dengan semangat sampai habis lauk pauk yang banyak kami order tadi. Secara terus terang aku rasa masakannya average aje. Taklah hebat. Antara semua masakan yang kami jamu, yang paling sedap ialah kailan ikan masin. Betul! Memang kailan dia yang paling sedap. Lauk dia tak seberapa. Dalam erti kata lain pakar ikan bakar ni sebenarnya adalah pakar masak sayur. Masakan lauk pauk kurang menyerlah. Tapi itu ikut lidah akulah. Lidah orang lain, lain pulak rasanya. Ada orang suka makan temboyak. Ada orang tak makan. Ada orang suka budu. Ada orang tak suka. Makna kata orang ramai yang dah jadi regular customer kat situ memang suka benarlah dengan cara masakan dia. Cuma bagi aku, ada lagi kedai yang masak lauk lebih sedap dari ni.

Ayahku mengambil sayur kailan ikan masin yang sedap.
Makan dengan penuh konsentrasi.
Banyak lagi lauk untuk dihabiskan.
Yana suka makan. Hari-hari Yana makan.
Makanan suka Yana. Hari-hari makanan dimakan oleh Yana.
Makan malam tu mak aku yang belanja. Dua ratus lebih jugaklah jumlah semuanya. Kami puas hati walaupun tak sebagaimana yang kami harapkan. Lepas tu aku singgah pulak beli kuih bakar Melaka dari gerai kat tepi medan ikan bakar tu. Rasanya boleh tahan jugak. Aku beli tiga ketul dengan harga RM10. Di bilik, kami tidur nyenyak selepas perut kekenyangan meratah lauk yang cukup banyak di Umbai.

Ibuku belanja makan malam tu.
Gerai jual kuih bakar Melaka.