m y f a m i l y

m y   f a m i l y
Showing posts with label pekan. Show all posts
Showing posts with label pekan. Show all posts

Thursday, September 8, 2011

Merantau buat kerja sambil memburu makanan

Aku berkesempatan ke Tasik Chini dan Pekan lagi. Bukannya aku nak sangat pergi, tapi dah kerja ofis punya pasal, jadi dengan berat hati terpaksalah jugak mengembara dengan Azmi ke tempat yang terpencil tu. Selepas site meeting kat Tasik Chini, kami terus memandu menghala ke Pekan. Tapi kami berhenti dulu di Paloh Hinai. Kat situ ada satu kedai makan kecil yang ada jual masakan ikan sungai. Aku pernah makan kat sini dulu sekali. Memang sedap rasanya. Kali ni aku cari peluang untuk singgah lagi. Waktu kami sampai memang dah ada ramai orang. Aku jenguk kat kaunter lauk. Alamak! Ada tiga jenis ikan sungai yang menjadi favourite aku. Ada patin dan baung masak gulai tempoyak, serta lampam sungai goreng. Aku terpaksa buat lat talilat tamplom untuk pilih ikan mana yang nak dimakan. Kena kat ikan patin. Jadi ikan patinlah yang aku cedok ke dalam pinggan. Yang lain, next time. Memang berselera sungguh kami makan. Mmmmmm...

Restoran Kak Cik Kedai Makan di Paloh Hinai yang jual ikan sungai yang sedap.
Dari Paloh Hinai kami bergegas ke Pekan. Singgah di Masjid Pekan yang gah untuk solat. Aku sebenarnya agak hairan melihat masjid yang sebegitu besar dan cantik kat sebuah pekan yang kecil. Nama pekan tu pun Pekan. Tiba-tiba aku ternampak satu bangunan bertulis, "Tempat Santapan Di Raja". Barulah aku ingat, Pekan adalah bandar di raja negeri Pahang. Patutlah grand! Masjid tu memang sangat luas dan selesa. Dan begitu cantik.

Masjid Pekan yang tersergam cantik.

Menara masjid yang gah.

Ruang dalaman masjid juga cantik.
Dari Masjid kami ke Majlis Daerah Pekan untuk menyelesaikan isu-isu submission plan. Dapat jumpa beberapa orang pegawai yang ada sebahagainnya sedang makan kuih raya ramai-ramai. Segan pulak aku nak tumpang sekaki. Dari Majlis Daerah kami menghala pulang ke Kuala Lumpur. Tapi sebelum tu kami ada satu lagi misi yang perlu dibereskan. Kami nak cari Murtabak Kasturi yang kawan-kawan aku kata hebat tu. Merata aku cari dan bertanya sana sini. Cari punya cari sampai tersesat ke negeri Terengganu, ke Johor dan ke Perak. Tapi oleh kerana aku tak kenal putus asa, akhirnya kami tanya orang Petronas kat daerah Pekan. Katanya sebelah DRB Hicom je. Kami terus ke sana. Dan terlihatlah kami tulisan Murtabak Seri Kasturi. Yah! Inilah dia yang kuidam-idamkan.

Dari jalan besar boleh nampak kedai murtabak ini.
Kami pun singgah. Waktu tu orang tak ramai. Aku pun buat order. Penjual tu kata nak yang RM5 ke nak yang RM7? Aku kata aku nak yang RM7. Itu adalah versi special dan super hebat. Aku pun nengoklah mamat tu tebar tepung dan adun murtabak special. Mula-mula dia buat roti canai kecil empat segi. Itu dipanggil tulang. Lepas tu dia curah telur dan daging kisar. Bau dia punyalah semerbak macam sup kambing mamak yang diperkaya dengan rempah ratus dari tujuh benua. Dia balikkan adunan tadi. Curah lagi telur dan daging kisar. Masa ni aje aku nengok murtabak tu dah tebal 2 inci. Lepas tu dia tebar tepung, dan bungkus overall ke adunan tadi. Wah! Aku ingat dah siaplah. Rupanya dia curah lagi telur dan daging kisar. Whoaaa! Mamat tu buat dengan penuh perasaan dan perasan sampai peluh dia terpercik berbaldi-baldi ke dalam murtabak. Aku tanya dia, "Buat murtabak memang kena banyak goyang ke?" Mamat tu kata, "Ya, biar peluh menitis ke dalam. Barulah rasanya betul-betul kaw!!" Aku sekadar terpegun dalam diam.

Mamat sedang buat murtabak spesel.

Telur bercampur daging kisar dicurah berkali-kali, bagi murtabak tu tebal.
Sesudah masak, lalu dibungkus di dalam kertas cokelat. Aku ingatkan dah siap. Rupanya dia curah lagi satu round telur dengan daging kisar atas bungkusan kertas tadi. Mak datok! Dahsyat sungguh murtabak ini. Bila dah selesai, dimasukkan ke dalam beg plastik. Belum sempat aku capai beg plastik tersebut, lalu dia mencurah satu kali lagi telur dan daging kisar atas beg plastik tadi. Kali ni barulah betul-betul final. Aku memang terkagum sambil tercengang besar mulut aku. Mulut aku ternganga punyalah besar sampaikan boleh masuk sebijik Volkwagon. Lepas bayar, kami pun beredar. Sesampainya di rumah (Kuala Lumpur) aku pun terus membuka bungkusan, memotong dan memakan dengan penuh perasaan. Memang sedap. Ada rasa lembu. Bila makan mesti mau cakap mooooooo!!! Sesiapa yang ada kesempatan datang ke Pekan, cubalah makan Murtabak Seri Kasturi ini. Hebat, memang hebat!

"Okay, tokay kedai. Aku dah tolong promo engko punya murtabak. Lepas ni ko tunggulah kat peti surat aku punya bill invoice. Kurang-kurang lima ribu aku mintak dan makan murtabak free sepanjang tahun. Jangan lambat bayar ya?"

Murtabak yang hampir siap untuk dimakan.

Wednesday, August 24, 2011

Masjid dan murtabak special Pekan

Selasa lalu aku ke Pekan, Pahang dengan Azmi. Keluar rumah lepas sahur, sebelum subuh pasal nak kejarkan meeting pukul 10 pagi. Last-last kami sampai lambat jugak pasal jem kat KL. Tapi rupanya meeting pun tangguh jugak satu jam. Jadi kami kira tak lewatlah untuk meeting yang hanya bermula jam 11 pagi. Siang tu sempat kami bersolat di Masjid Pekan yang baru dan besar. Tapi bukan soal masjid yang nak aku kisahkan. Aku nak cerita pasal murtabak special Pekan.

Masjid Pekan - memang besar dan gah.

Ruang solat Masjid Pekan.

Koridor masjid yang berbumbung tinggi.
Sewaktu kami di Majlis Daerah Pekan, kami jumpa Encik Azmimurad. Lepas dah selesai berurusan dengan dia, En. Azmimurad ada bertanya, "Biasa dengan Pekan?" Aku jawab, "Tak. Baru beberapa kali je datang Pekan." "Cubalah makan murtabak special Pekan. Kawan saya yang cuba tu pun cakap sedap dan lain." "Ada jual kat mana?" tanya aku. "Kat pasar Ramadan pun ada." Kalau kat pasar Ramadan dah kira terpaksa menyimpang dan bukan berada pada laluan balik. Jadi kami putuskan untuk tangguhkan niat nak makan murtabak Pekan ke lain waktu aje.

Aku sendiri tak pernah nengok murtabak Pekan tu macam mana rupa. Apatah lagi kalau makan. Dengar ceritanya dia besar dan tebal. Tebal dia tu pulak mungkin ada dalam sejengkal kot. Ada selapis roti canai kat tengah (dipanggil tulang), dan diselaputi dengan daging kisar kat kedua-dua belah tulang tu. Ofis mate aku Ahmad dan Azni pernah rasa. Ahmad kata daging dia rasa lain, macam daging sup. Azni pulak kata daging dia rasa lembu. Kira okaylah tu, kalau rasa biawak ke, atau rasa tenuk ke barulah haru. Sebenarnya ikut lidah masing-masing. Ada orang suka dan ada yang kurang suka. Inilah yang buat aku nak try jugak satu hari nanti.

Encik Azmimurad dengan murtabak Pekan kesayangannya.

Wednesday, August 3, 2011

Renangan Sempurna

Sewaktu aku, Prof Datuk Mushrifah dan Yuhanis sedang bersoal jawab dengan pembesar-pembesar Majlis Daerah Pekan serta pegawai-pegawai teknikal yang lain di dewan sidang, anak-anak aku, Wanie dan Amier ditemani isteriku sedang berenang-renang dan bermain air di kolam renang di Sempurna Resort Kuantan.

Kami ke Pahang tak bercadang langsung untuk bersuka-ria atau bercuti-cuti Malaysia. Aku ke Pahang atas urusan kerja dan yang lain sekadar menemani aku agar aku tidak kebosanan. Tetapi sejak subuh lagi Amier telah bangun tidur dan begitu teruja apabila menjenguk jendela dan ternampak sehamparan kolam renang yang berwarna-warni. Berkali-kali Amier menyatakan hasratnya untuk pergi berenang. Sedangkan pakaian renangnya tidak kami bawa. Oleh kerana desakan dan kesungguhan Amier merayu agar dia dibenarkan untuk bermain air di kolam, maka isteriku telah membelikan pakaian renang yang baru yang kebetulan dijual di resort tempat kami menginap.

Sudah pastilah Amier sangat gembira. Kakaknya, Wanie juga turut gembira kerana boleh sama-sama bermain air dengan adiknya. Swimming pool di sini sangat berbeza dari kebanyakan yang pernah kami lihat sebelum ini. Saiznya besar. Ada pancutan air di sini sana yang hanya akan beroperasi apabila ada orang yang mandi di dalamnya. Kelainan ini sangat mengujakan. Setidak-tidaknya adalah sesuatu aktiviti yang boleh anak-anak aku lakukan sementara ayahnya tiada di resort. Bila aku pulang dari Pekan, memang jelas kelihatan betapa puasnya anak-anak aku bersantai dan beriadah di kolam yang sangat cetek airnya itu. Aku tumpang gembira melihatkan semua orang gembira.














Tuesday, August 2, 2011

Ada apa kat Pekan?

Hari Khamis lalu ketika rakyat Malaysia sedang kecoh nak menyokong pasukan Harimau Malaya menentang Singapura, aku terpaksa pulak berangkat ke Pahang. Hari Jumaatnya ada perbincangan dengan majlis Daerah Pekan jam 9.30 pagi. Aku tak ada pilihan melainkan kena pergi jugak walaupun mata agak mengantuk malam tu. Aku habiskan jugak nengok game bola kelayakan piala dunia. Dan kesudahannya Malaysia tersingkir dari pertembungan yang selanjutnya. Aku rasa malam tu Malaysia main okay. Cuma apa yang dah berlaku kat Singapura dulu tak dapat diperbetulkan pasal dah berlalu.

Aku bertolak dari rumah jam 11 lebih malam. Aku bawak sekali wife aku dan dua orang anak aku buat teman semasa berada di Pahang nanti. Wife aku sedar aku agak letih dan mengantuk. Lalu diajaknya bersembang sampai kami tiba di Pahang. Dalam keadaan yang sangat gelap tak berapa nampak landmark yang ada. Kami tersesat sedikit sebelum sampai ke tempat penginapan jam 3 lebih pagi.

Lokasi ke Sempurna Resort Kuantan.

Kami menetap di Sempurna Resort Kuantan. Satu malam berharga RM98. Ada 2 biji katil single. Cukuplah untuk kami berempat beranak. Sesampai di bilik aku terus melelapkan mata pasal esok kena cergas nak buat presentation kat Majlis Daerah Pekan. Resort ni pada dasarnya tak berhampiran dengan laut, atau sungai, atau pemandangan yang indah. Jadi dia menyediakan swimming pool yang besar dan dilengkapi dengan permainan air, serta ada juga indoor game kat bahagian lobi. Tapi yang itu kena bayar sikitlah.

Wanie dan Amier bermain computer game.
Nasib baik jugak bawak lap top. Kalau tak anak-anak mesti kebosanan.
Amier sedang khusyuk menengok animation ABC.
Indoor game bola sepak.
Amier cuba menjaringkan gol. Tapi bolanya tak ada pasal tak bayar.
Wanie beraksi di gelanggang bola mini.
Sementara aku pergi meeting, anak-anak bermain game kat komputer lap top dan pergi berenang sambil diawasi oleh wife aku. Resort ada menyediakan sarapan untuk 2 orang. Aku tak ambil breakfast pagi tu. Jadi aku biarkan isteri dan anak-anak aku yang menggunakan kupon sarapan pagi. Sebab aku tau kat Majlis nanti mesti ada makan-makan punya. Dan tekaan ku memang tepat. Presentation ke pihak majlis berjalan lancar dan aku pulang ke resort sebelum jam 12 tengah hari.

Wanie dan isteriku.
Amier gembira dapat makan roti bakar.
Amier sedih sebab roti bakarnya hangus.
Wanie menyapu peanut butter ke atas roti dengan berhati-hati supaya rasanya tidak tercemar.
Bila hampir waktu zuhur, aku terus bergegas ke masjid yang paling hampir iaitu Masjid KIPSAS (Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah). Rasa sangat tenang bila menjejakkan kaki kat masjid. Mungkin terlalu tenang sampai terlena masa khatib membaca khutbah. 

Selepas solat Jumaat kami check out dan bertolak pulang. Singgah sebentar di gerai-gerai membeli keropok lekor, bekal makan dalam kereta. Berhenti pulak lagi di R&R Temerloh pekena ikan patin buah masai gulai tempoyak. Memang kaw dan pedas. Kami sampai Kuala Lumpur kira-kira jam 6 lebih petang. Dan di rumah ada kerja bertimbun-timbun menanti kami. Aduh! Penatnya!

Masjid KIPSAS.
Masa untuk check-out.
Amier tekan loceng panggil orang kaunter.
Balik time.
Urusan kat Pahang dah selesai. Boleh balik.
Wanie pada asalnya tak lapar. Tapi makan jugak nasi berlauk ikan patin dan bihun sup.
Wife aku order air matching dengan baju.
Baru je aku habiskan ikan patin. Macam tak kecukupan.