m y f a m i l y

m y   f a m i l y
Showing posts with label gemencheh. Show all posts
Showing posts with label gemencheh. Show all posts

Saturday, April 1, 2017

Syahmie dan SPM: Debaran keputusan dan reunion

Bahagian 3 (Akhir)

Okay. Sekarang semua orang kat dewan dah tahu siapa yang mendapat 11A. Malah mereka yang mendapat keputusan straight A's tu telah dipersembahkan di atas pentas sebentar tadi. Maka yang selebihnya perlulah beratur mengikut kelas masing-masing untuk mendapatkan slip keputusan peperiksaan SPM. Kesuspenan masih belum habis lagi. Baik bagi pelajar, mahupun orang tua masing-masing.

Syahmie bersama Salihin dan teman-teman yang lain sebelum mendapatkan keputusan peperiksaan masing-masing.
Beratur seorang demi seorang mendapatkan slip peperiksaan.
Syahmie masih di belakang. Terasa lambat pulak masa bergerak.
Syahmie mendapatkan slip keputusannya.
Baca Bismillah dulu sebelum buka sampul.
Aku dan isteri menunggu di tepi meja petugas. Isteriku lebih terasa debaran yang memuncak. Syahmie kelihatan tenang bersama teman-temannya. Aku - tak taulah. Debaran tetap ada. Konfiden pun ada jugak. Kedua-duanya berbaur. Sejurus Syahmie memperolehi envelope dari petugas, kami terus meminta Syahmie untuk mengeluarkan slip keputusan. Membiarkan Syahmie melihat dulu keputusannya sebelum kami. Syahmie melihat sepintas lalu. Katanya lebih kurang, "Tak expect Chemistry yang dapat B, ingatkan Biology." Slip diberikan kepada kami. Kami lihat sepintas lalu jugak. Syahmie dapat 10A dan 1B. Lebih kkhusus lagi, 4A+, 4A, 2A- dan 1B+. Tahniah buat Syahmie! Isteriku lantas memeluk erat anak sulungnya itu. Gembira tidak terkata. Aku turut gembira dan berbangga dengan pencapaian anugerah Allah ini. Salah seorang teman akrab Syahmie, Salihin juga mendapat 10A 1B. Tahniah. Pelajar-pelajar yang lain kami tak tahu pulak keputusan mereka.

Isteriku memeluk erat Syahmie kerana pencapaian cemerlangnya.
Ibu dan ayah kepada Salihin turut gembira dengan pencapaian anaknya itu.
Bersama Ustaz Haziman (Quran & Sunnah).
Tahun ini keputusan subjek Al Quran dan Sunnah semakin meningkat.
Bersama Pengetua Tn Hj Ghazi.
Sebelum bersurai, Syahmie menyatakan hasratnya untuk bergambar dengan guru-guru yang pernah mengajarnya. Bukan kesemua guru-guru itu ada di dalam dewan. Beberapa orang yang kebetulan ada di situ telah bergambar dengan Syahmie. Tuan Pengetua Tn Hj Ghazi juga tidak terkecuali. Syahmie bersalam-salaman dengan teman-temannya di dalam dewan. Dan aku turut mengambil gambar Syahmie berlatar belakangkan MRSM Gemencheh sebagai kenangan. Selepas itu barulah kami menghala ke Gemas untuk makan tengah hari sebelum bergerak pulang ke Kuala Lumpur.

TAMAT

Bersama Cikgu Rahman (BM) & Cikgu Abdullah (Sejarah).
Bersama Cikgu Rahisyam (BM).
Terpampang banner ini di dinding dewan sekolah.
Slip keputusan peperiksaan Syahmie.
Syahmie dan MRSM Gemencheh.
Gambar ini akan jadi lejen.
Sambil memegang slip keputusan peperiksaan.
Ada kesempatan, Syahmie bolehlah ke sini lagi untuk menaburkan bakti buat sekolah lamanya.

Syahmie dan SPM: Keputusannya adalah...

Bahagian 2

Kami menunggu di dewan besar agak lama jugak sebenarnya. Dari 9.30 pagi membawa ke 10 pagi. Membawa pulak lagi ke 10.30 pagi. Masih tak kelihatan guru Pengetua di mana-mana. Sehinggalah jam 11 pagi. Barulah Pengetua Tuan Hj Ghazi dan YDP Muafakat Ir Zahairi melangkah masuk ke dalam dewan dengan langkahan yang agak pantas menuju pentas. Tuan Pengetua memulakan bicaranya dengan kata alu-aluan kepada seluruh yang hadir. Dan kami juga diberi tahu yang Tn Haji Ghazi bakal bersara pada awal bulan April 2017. Sejenak terdetik kesayuan dalam hati kami yang mendengar. Ini adalah pengumuman keputusan SPM yang terakhir bagi beliau. Malah pada hari itu jugak sebenarnya beliau sedang bercuti. Datang ke MRSM Gemencheh semata-mata untuk mengumumkan keputusan peperiksaan besar ini.

Di screen besar terpampang segala maklumat mengenai keputusan SPM.
Pengetua Tuan Haji Ghazi memulakan bicara.
Serius pertuturannya.
Menyampaikan maklumat terkini mengenai pencapaian pelajar dalam SPM 2016.
Tuan Hj Ghazi & Ustaz Huda menyampaikan sijil kepada pelajar-pelajar yang mendapat 11A.
Sebelum membuat sebarang pengumuman mengenai keputusan pelajar secara khusus, berapa orang yang dapat straight A's, siapakah pelajar-pelajar itu, Tuan Pengetua telah membuat pengumuman secara umum mengenai pencapaian pada tahun itu. Secara menyeluruh, ada sedikit penurunan dari segi pencapaian pelajar tahun 2016 berbanding tahun 2015. Namun ada beberapa subjek yang meningkat dari tahun sebelum itu. Antaranya ialah Bahasa Melayu, Matematik, Matematik Tambahan dan Pendidikan Al Quran dan Sunnah. Perbandingan di antara kesemua MRSM, Gemencheh jatuh di tempat ketiga di belakang MRSM Tun Ghafar Baba dan MRSM Taiping. Dan merupakan yang terbaik di antara ketiga-tiga MRSM Ulul Albab yang menduduki SPM tahun 2016. Tahniah kepada kesemua calon!

Akhirnya, masa yang ditunggu-tunggu pun tiba. Pengumuman keputusan SPM tahun 2016. Berapa orang yang dapat 11A? Dan siapakah mereka dalam senarai elit itu? Pengetua mengumumkan terdapat 18 orang kesemuanya. Bercampur lelaki dan perempuan. Bagi menghentikan debaran para ibu dan bapa, pihak sekolah lantas mengumumkan nama-nama mereka yang mendapat 11A. Seorang demi seorang.

Aidil - pelajar pertama yang disebut namanya. Aidil dah tau dia mendapat 11A melalui online SMS.
Adam - 11A.
Syahmi - 11A. Nama pun Syahmi jugak.
Aiman - 11A.
Anis - 11A.
Syadiyah - 11A.
Alif - 11A.
Aidilfitri - 11A. Tahun ini hari raya  sangat menyeronokkan bagi beliau.
Husna - 11A.
Nurin - 11A.
Farhanah - 11A.
Fatimah - 11A.
Alisa - 11A.
Mariah - 11A.
Mariah anak YDP Muafakat.
Tahap konfidenku agak tinggi, serta mengharapkan salah seorang dari mereka adalah Syahmie sendiri. Tiba-tiba nama Syahmi disebut dan dipanggil. Oh! Tapi itu Syahmi yang lain. Kawan Syahmie yang seorang tu namanya Syahmi jugak. Nama-nama pemilik 11A terus dipanggil. Sehinggalah ke nama yang terakhir. Yang ke-18!

"Dan pelajar terakhir yang mendapat 11A adalaaaaah..........."

Hatiku semakin berdebar-debar.

"Muhammaaaad................."

Debaranku semakin memuncak.

"Syaaaaaaaaaa........."

Debaranku sudah tak terbendung lagi.

"Syaaaaaaaaaakiiiiiiiiiiiiirrrrrrrr!!!"

Oh. Okay. Confirm bukan Syahmie. Tapi aku okay aje. Aku masih konfiden, kalau pun Syahmie tak mendapat 11A, harus saja keputusan yang diperolehinya masih lagi pada tahap yang hebat. Cuma untuk mengetahui keputusan SPM Syahmie, perlulah tunggu sebentar. Beratur mendapatkan keputusan dari petugas di dewan. Dan debaran kedua pula yang bakal menghantui ku.

Bersambung...

Syakir - 11A. Memang buat suspen ketika nama beliau diumumkan.
Sebahagian pelajar yang mendapat 11A berbaris untuk diambil gambar mereka.
Terpancar keseronokan pada wajah-wajah mereka.
Pelajar-pelajar lelaki yang mendapat 11A. Tahniah!

Monday, March 27, 2017

Syahmie dan SPM: Menjengah kembali ke sekolah

Bahagian 1

16 Mac 2017 - Tarikh ini macam tak bagi makna apa-apa kepada kebanyakan orang. Betul kan? Sebab memang kebanyakan orang tak ada kena mengena langsung dengan tarikh ni. Tapi tarikh ini adalah sangat-sangat penting dan keramat kepada sebahagian orang. Khususnya buat calon-calon yang telah menduduki peperiksaan SPM pada tahun 2016 lalu. Hari ini merupakan hari keluarnya keputusan SPM yang dinanti-nantikan oleh semua yang bersangkutan. Dan hari yang sangat mendebarkan kepada calon-calon SPM 2016 dan ibu bapa mereka. Kami tidak terkecuali.

Dewan tempat keputusan SPM 2016 akan diumumkan.
Para pelajar perlu beratur di sini untuk mendapatkan keputusan mengikut kelas masing-masing.
Dari kiri: Syahmie, Akmal dan Aiman.
Di kafeteria, anak-anak berebut-rebut mendapatkan makanan dan minuman berkhasiat.
Sambil minum, sambil tengok handphone.
Anak-anak mendapatkan tempat duduk yang paling strategik untuk memulakan makan.
Tak silap aku ini nasi ayam.
Berselera sungguh mereka makan. Aku tumpang seronok.
Dari tahun 2011 aku dah target nak memancing kat sini. Kalau Ustaz Muslim masih di sini, aku nak mintak tolong dia bagi pass kebenaran untuk memancing.
Kami diberi tahu keputusan akan keluar sekitar jam 10 pagi. Maka kami telah bertolak dari Kuala Lumpur sekitar pukul 7.15 pagi, setelah solat subuh. Kami ingin menjadi di antara yang terawal sampai ke sekolah. Nak ambil mood dulu. Biar tak terkejut bila menerima keputusan periksa nanti. Sarapan pun tak sempat. Memang kami sangat tergesa-gesa. Aku pandu kereta pun sangat laju, sampaikan terlajak kereta kami ke Singapura. Terpaksa aku patah balik dari Singapura ke Gemencheh. Kali ni bawak slow sikit. Takut terlajak kali kedua sampai membawak ke Perlis pulak. Akhirnya kami sampai jugak dengan selamat kira-kira jam 9.30 pagi. Syukur.

Pentas masih kosong.
Antara yang terawal masuk ke dalam dewan.
Pelajar-pelajar Tingkatan 5 - Lutfi dan Umar sebagai pengacara bersama.
Seronok dapat berjumpa kembali setelah sekian lama.
Seronok di luar, tapi gementar di dalam.
Para petugas sedang berbincang cara bagaimana untuk melaksanakan tanggung jawab secara efisien.
Para staf MRSM sedang menjalankan tugas masing-masing.
Aidil telah mengetahui keputusannya lebih awal melalui on-line SMS. Rakan-rakan memberikan ucapan tahniah di atas pencapaian cemerlangnya.
Sekelompok yang lain masih meneka-neka keputusan masing-masing.
Melakukan aktiviti sampingan bagi menghilangkan gemuruh.
Masa tu dewan masih lengang. Tak ramai orang yang ada kat kawasan sekolah. Cuma ada beberapa buah kereta aje. Dan beberapa orang pelajar yang berlegar-legar mencari teman. Syahmie terserempak dengan kawan-kawannya yang sampai awal. Kami biarkan Syahmie bersembang dengan kawan-kawan yang ada kat situ. Sementara aku dan isteri yang sedang kelaparan dan kehausan pergi mencari kafeteria yang letaknya bersebelahan dengan surau. Kami pekena air panas, dan duduk berehat sambil melihat tingkah anak-anak bersemangat makan nasi ayam yang dijual di kafeteria. Mereka makan dengan sangat berselera.

Bersambung...

Umar masih menjadi pengacara majlis sambil mendendangkan lagu-lagu Melayu asli serta ghazal..
Syahmie bersama Syakir dan Akram.
Masih bersama Syakir dan Akram. Tak salah aku, Syakir datang dari Pahang.
Zul yang berbaju merah join sekaki.
Masih duduk bersama berempat.
Imran yang berbaju hijau pun nak enter frame.
YDP Muafakat Ir Zahairi dan Pengetua Tuan Hj Ghazi.
Berdoa beramai-ramai untuk kebaikan bersama.
Syahmie bersama Syakir, Adib dan Zul