m y f a m i l y

m y   f a m i l y
Showing posts with label catfish. Show all posts
Showing posts with label catfish. Show all posts

Friday, May 1, 2020

Family Day 2019 @ Jeram: Menduga lautan Jeram

Bahagian 20

Setelah puas kami bergambar beramai-ramai di atas pasir, kini tibalah ke acara yang dinanti-nantikan oleh sebahagian besar kaum bapa. Itulah dia acara memancing ikan di pesisir pantai Jeram. Cukup lama kami menunggu air laut pasang. Akhirnya pada kira-kira jam 4 petang, barulah nampak air laut semakin merapat ke pantai. Dan balingan umpan ke tengah sudah boleh dilakukan. Aku bawa bersamaku empat batang joran untuk pertandingan memancing ini. Dua untuk aku, satu untuk isteriku, dan satu lagi untuk Amier yang juga teringin nak mencuba nasibnya memancing di pantai. Tak ada undang-undang khusus cara macam mana nak mengikat perambut dan mata kail. Jadi aku menggunakan teknik mata rambai. Satu joran ada dua atau tiga mata kail bagi memastikan peluang ikan mengena lebih tinggi.

Ada beberapa kategori yang dipertandingkan pada musim kali ini:
1. Kategori ikan tercepat naik darat
2. Kategori ikan terbesar/berat
3. Kategori ikan terbanyak

Tak kiralah ikan spesis apa sekali pun. Bahkan kalau ikan duyung yang naik sekali pun akan dikira untuk pemarkahan.

Joran sudah disiapkan sejak awal pagi lagi.

Ini waktu aku memancing di awal pagi. Tiada hasil.

Kumpau di pagi hari.

Amier bersemangat nak memancing bersamaku.

Aku pasang joran dan membuat balingan. Kalau dapat ikan, Amier akan karau tali.

Menanti joran melengkung ditarik ikan di tengah panas.

Masih belum ada apa-apa tindak balas dari laut.

Joran-joran tersusun dengan kemas.

Siapalah yang sudi menjamah umpan yang disajikan.

Kebanyakan kami menggunakan umpan udang pasar. Ada udang besar, dan ada juga udang kecil. Di sini pantainya berselut. Kalau kat kawasan selut ni selalunya yang banyak ikan belukang a.k.a. ikan blues gang a.k.a. ikan sarjan misai. Ikan ini bukanlah dari jenis spesis yang digemari ramai kerana sifatnya yang suka makan macam-macam seperti sampah, bangkai, selut, kereta kebal dan kapal selam Rusia. Tapi di kawasan ini, kami diberi tahu ikannya lebih cermat dari segi diet mereka. Maknanya kalau nak buat lauk pun boleh saja. Takda hal.

Syauqi dan Abang Zahid menanti sambaran ikan di bawah teduhan atap pelepah kelapa.

Cuaca memang tengah panas terik pada waktu ini.

Faridz memancing ikan menggunakan kaedah membaling bola keranjang ke arah ikan yang timbul.

Geng-geng kumpau.

Aku mencangkukkan umpan udang pasar di mata kail, dan melontarkan umpan jauh ke tengah, sehingga hampir sampai ke pulau Sumatera. Belum pun sempat aku mengarau tali untuk menegangkannya, tiba-tiba joranku melendut, membengkok dengan sentapan kuat dari hujung tali. Aku lantas menyentap kuat, dan mula mengarau tali yang tersimpan dalam kekili. Dekat tiga hari jugak aku mengarau tali sebelum akhirnya aku terlihat kelibat ikan berenang menghala ke pantai diseret olehku. Kail tertancap kemas di bibir ikan. Bila kubawa dekat, ternyata ikan itu ialah ikan belukang. Besarnya boleh tahan juga. Mungkin hampir mencecah satu kilo. Aku menjerit kegembiraan bagaikan Tarzan the Ape Man. Juara kategori ikan terpantas didaratkan sudah pun sahih menjadi milikku. Aku perlu mencari ikan yang lebih besar dan dalam bilangan yang banyak agar aku dapat memenangi kategori-kategori yang lain juga.

Ikan pertama yang berjaya dinaikkan dalam pertandingan ini. Seekor belukang.

Gembiranya aku tidak terkata.

Bersama Amier yang sangat bersemangat.

Kalau dah pandai nanti bolehlah buat balingan sendiri.

Bersama Amier dan isteri tersayang.

Peserta-peserta lain nampak gayanya masih gagal menaikkan ikan. Ada joran yang ditarik ikan marlin seberat 50 kilogram, namun gagal didaratkan kerana tali perambut putus. Ada pula beberapa peserta yang umpannya dimakan ikan GT (giant trevally) namun gagal dinaikkan kerana mata kail patah. Seorang peserta berjaya menarik ikan kerapu bara 7 kilogram, tetapi gagal membawanya ke pantai kerana joran patah. Dan seorang peserta yang lain umpannya dibaham oleh hammer head shark seberat 100 kilogram, namun ikan itu berjaya menarik pemancing tersebut ke tengah laut. Ketika tempoh memancing hampir tamat, umpan yang terpasang di pancing Wawan telah diratah rakus oleh seekor ikan. Ikan itu berjaya didaratkan. Seekor ikan belukang jantan berskala lebih besar dari ikanku yang tadi telah berjaya dinaikkan. Oh, by the way, macam mana nak tahu ikan belukang jantan dengan betina? Jawapannya ialah, kalau ada misai itulah ikan jantan. Kalau tak ada misai, itulah ikan betina. Akhirnya juara kategori ikan terbesar jatuh kepada Wawan. Yang lain-lain aku pun dah tak ingat. Kami memancing sehingga maghrib, baru kami berhenti.

Bersambung...

Wawan menaikkan ikan belukang pada waktu senja.

Inilah ikan terbesar pada pertandingan kali ini.

Belukang pun belukanglah. Janji juara!!!

Syauqi masih belum dapat hasil.

Kami memancing sehingga matahari terbenam.

Dan buat posing romantik sikit. Hehe...


Monday, August 5, 2019

Patin, kambing dan ayam mengamuk dalam perut

4 Ogos 2019 - Ini kisah baru berlaku semalam. Masih segar lagi. Tengah hari semalam, waktu tengah lapar, aku pekena nasi dengan ikan patin masak tempoyak. Masakan ni didatangkan khas dari Temerloh. Banyak jugaklah aku makan. Penuh nasi dalam pinggan. Sampai membukit. Tiga jam lepas tu, aku pekena pulak nasi mandy al-Arabia. Nasi arab ni dibeli sempena menyambut hari jadi anak saudara aku, Yana. Nasi arab dibedal bersama kambing dan jugak ayam. Round yang ni pun aku makan boleh tahan jugak banyaknya. Tiga jam lepas tu, aku telan pulak mi wantan. Kali ni kami makan kat medan selera di Sungai Ramal, Kajang selepas melawat Amier di asrama. Pekena pulak dengan air lencikang sejuk. Memang sangat mengancam!

Lepas tu kami ke Dengkil hantar Wanie. Dan kemudian ke Cyberjaya hantar sabun ke rumah teman. Lepas tu kami terus balik. Dalam perjalanan balik, tatkala menghampir ke Kuala Lumpur, tiba-tiba perut aku bagai menggelodak. Tali perut ni seolah-olah telah disimpul-simpul. Terpaksa aku menahan senak sambil memandu. Bila kami semakin hampir ke Ampang, aku mula berasa mual. Macam nak muntah. Loya dan lawyer bergabung membuat tekakku tak senang duduk. Bila sampai aje kat depan rumah, aku pun terus keluar dari kereta dan terus muntah. Muntah dan terus muntah. Berpanjangan. Membuak-buak muntahku di laman rumah. Habis keluar semua segala nasi, mi, patin, kambing dan ayam. Berketul-ketul. Memang aku makan pun tak kunyah dengan sempurna.

Bila dah selesai muntah, terus aku baring atas tilam. Pakai selimut dan terus tidur. Tak mampu nak buat apa-apa dah. Syukur, esok paginya bila bangun barulah aku berasa lega. Dan terus aku ke pejabat menyambung kerja.


Monday, December 11, 2017

Nelayan malam di Tepian Rimba

1 Disember 2017 - Hidup sebagai nelayan memang tidak mudah. Perlu meredah ombak yang ganas di laut luas untuk mencari rezeki yang halal buat keluarga yang disayangi. Kami tak terkecuali. Atas desakan hidup, kami berempat - aku, isteri, Syahmie dan Amier telah meredah gelita malam menuju rimba raya sebelum tiba di destinasi untuk menuai hasil laut dalam di Hulu Langat. Kami bertolak dari rumah kira-kira jam 9.40 malam dan tiba di lubuk sang ikan pada kira-kira jam 10 malam. Di laut, tak banyak nelayan tempatan yang turun. Nelayan asing pun tak kelihatan. Suasana agak tenang. Kedengaran bunyi cengkerik dan katak bersahut-sahut. Dan sesekali bunyi air berkocak bila ikan-ikan melibaskan ekornya ke permukaan air.

Memasang joran sejurus sampai di tempat memangcing.
Amier menjadi tuan manager yang memastikan semua berjalan lancar.
Isteriku segera memancing dan melabuhkan umpan ke dasar air.
Nelayan tegar - aku dan isteri.
Teruja berpeluang untuk memancing di larut malam.
Aku bawa bersamaku, lima batang joran. Satu untuk aku - yang ringan dan mudah untuk dikendalikan. Satu untuk isteriku. Dan satu lagi untuk Syahmie. Dua lagi kuletakkan di sisi bot. Tidak kugunakan. Kalau perlu, barulah akan aku siapkan kail dan umpannya. Amier tidak memancing. Amier bercadang untuk membuat laporan dan lintas langsung akan aktiviti kami ketika memancing ikan di samudera luas. Kami memilih satu lubuk terpencil di suatu teluk  yang memang biasa kami kunjungi. Umpan cengkerik dan daging serta pedal ayam kami gunakan untuk memikat sang keli berkumis melenting. Setelah setengah jam berlalu, tiada sebarang getuan dari penghuni air. Kami masih menanti dengan sabar. Fikirku, mungkin kerana gelap malam, ikan-ikan tidak nampak kelibat umpan yang membuai-buai di dasar lautan ditolak ombak.

Isteriku dengan joran teleskopik yang telah banyak berjasa.
Syahmie juga bertungkus-lumus berusaha untuk menaikkan ikan.
Amier sedang meceritakan detik-detik cemas ketika menaikkan ikan jerung putih di perairan Australia kira-kira tiga tahun lalu.
Syahmie sedang menjejak keli.
Amier turut mencuba untuk menaikkan ikan.
Memancing bersama ibu dan anak.
Secara tak semena-mena, seorang petugas laut dalam bergerak ke arah kami dengan membawa bot pukat tunda yang sarat dengan ikan keli. Dilepaskan semua ikan itu ke laut, hampir dengan tempat kami memancing. Kami sangat teruja. Sempat jugak aku mengucapkan terima kasih kepada petugas tadi. Kami lantas melontarkan umpan kami ke arah ikan-ikan yang bermain-main di gigi air. Dan sang keli mula membaham umpan dengan rakus. Dan setiap bahaman berakhir dengan mulut ikan tersangkut pada mata kail yang tajam bak sembilu nipah. Satu per satu si ikan keli kami naikkan, dan dimasukkan ke dalam jaring besi. Kami mula menghitung seekor demi seekor sehingga kami tak terhitung lagi jumlahnya.

Syahmie berbangga dengan ikan tilapia bersaiz tiga jari yang berjaya dipancingnya.
Isteriku berjaya menjerat seekor keli yang agak kasar.
Syahmie bertungkus-lumus berusaha melepaskan mata kail dari mulut ikan keli.
Seekor ikan keli yang terkapai-kapai dalam kehampaan.
Syahmie yang telah lama tidak memancing, berasa agak cuak untuk menusukkan cengkerik ke mata kail. Malah pada awalnya, turut berasakan kekok untuk melepaskan mata kail dari mulut ikan keli yang telah berjaya dipancing. Terpaksa aku mengajar dan mengingatkan kembali akan teknik menyediakan umpan dan melepaskan mata kail. Sehingga akhirnya Syahmie faham dan mengerti apa yang perlu dilakukan.

Syahmie menjinjing ikan seberat 9 kilogram.
Menimbang ikan.
Aku dan anak-anak terunaku.
Cukup tiga jam memancing, kira-kira jam 1.15 pagi pada ketika itu, kami berhenti memancing dan mula menimbang hasil tangkapan kami. Jumlah tangkapan ialah kira-kira 9 kilogram kesemuanya. Dan aku membuat bayaran kepada petugas lautan. Satu jam memancing berharga RM11. Tiga jam memancing berharga RM32. Kalau tiga orang yang memancing, perlu membayar sejumlah RM96. Okay-lah, okay-lah. Kami bukan memancing di lautan laaaahhh. Kami memancing kat kolam bayar Tepian Rimba. Tutup jam 3 pagi. Tapi nak pancing sampai waktu tu memang tak berapa nak laratlah. Dan nak membayar pun mahal jugak harganya.

Dalam kereta kami bermain teka-teki. Siapa yang dapat meneka jumlah ikan yang telah berjaya kami pancing akan dikira sebgai pemenang. Hadiahnya adalah, tepukan gemuruh dari seluruh ahli Persatuan Nelayan Sedunia. Aku teka 36 ekor. Syahmie teka 35 ekor. Isteriku teka 40 ekor. Dan Amier teka 47 ekor. Di rumah, kami hitung keli yang ada dalam bakul. Ada 47 ekor ikan keli dan seekor anak ikan tilapia. Wow! Amier lah yang telah berjaya meneka dengan paling tepat! Hebat jugak Amier meneka. Ikan-ikan itu disiang oleh orang gajiku. Dan sebahagiannya telah pun dimasak. Inilah lubuk ikan yang tak pernah mengecewakan kami. Pada lain masa, kami berharap untuk bisa membawa pulang sang patin, pacu dan baung.

Ikan keli yang berjaya dipancing.
47 ekor ikan keli kesemuanya.
Menimbang ikan sebelum pulang.
Kira-kira seberat 9 kilogram.
Inilah kolam memancing ikan Tepian Rimba di Hulu Langat.


Sunday, September 27, 2015

Memburu 50 keli di Tepian Rimba

30 Ogos 2015 - Pada masa cuti sekolah dulu, aku sempat mengajak wife aku dan Syahmie untuk memancing keli di lubuk Tepian Rimba, Hulu Langat. Ikan kat sini taklah besar sangat. Taklah berkilo-kilo beratnya. Tapi setakat nak dapatkan keli tu rasanya tak susah sangat. Malah tempat ni dah menjadi medan aku melayan gatal tangan nak menggulung tali di gelendung untuk menaikkan ikan.

Aku dan Syahmie sebelum memulakan pancingan laut dalam.
Syahmie menanti umpannya diragut ikan. Hari ini jamahan ikan agak kurang bagi Syahmie.
Port ini biasanya banyak keli berkeliaran.
Anak ini sering mengendeng kat kami nak tumpang pancing. Namanya aku dah lupalah.
Aku dibantu oleh anak ini ketika memancing.
Melepaskan mata kail yang tersangkut di mulut sang keli.
Aku meletakkan sasaran 50 ekor ikan keli dalam masa 3 jam pada ekspedisi kali ini. Maknanya satu orang patut dapat naikkan 17 ekor ikan secara purata. Mengikut pengalaman lalu, aku nengok Syahmie dah pandai memasang umpan dan melepaskan ikan keli dari mata kail. Sebab tulah sasaran aku kali ni agak tinggi. Sehari sebelum ke kolam pancing, aku telah membeli umpan seperti cengkerik dan jantung ayam. Ini memang merupakan killer bait untuk ikan yang berkumis tebal bak Datuk K ini.

Bergambar bersama Bob (nama yang aku berikan kepada anak ini).
Two thumbs up.
Kami terus memulakan pancingan setelah sampai di kolam. Kami duduk kat port yang biasa kami pancing. Tapi kali ini keli bagaikan tak berapa galak menjamah cengkerik, mahupun jantung ayam. Malah selepas keli dilepaskan ke kolam pun, tingkah keli masih dingin terhadap umpan yang dihulurkan. Bakul ikan kami masih belum penuh. Tetapi aku masih berfikiran positif. Target 50 ekor keli masih kuharapkan dapat dicapai. 

Masa terus berjalan sehinggalah cukup tempoh memancing kami selama 3 jam. Menyedari target 50 keli ku  itu masih belum tercapai, aku tambah lagi setengah jam. Dan setengah jam berlalu dengan sangat pantas. Aku tak pasti sasaranku telah tercapai atau tidak. Tetapi dalam hatiku terdetik, setakat 40 ekor keli lebih sudah pasti ada di dalam bakul. Kami timbang berat kesemua ikan. 7.5 kilo kesemuanya.

Isteriku menghadiahkan anak ini sedikit imbuhan kerana telah menaikkan tilapia merah untuk kami.
Keli dalam bakul. Tilapia merah di tangan.
Oh ya! Ketika memancing, kami telah didatangi oleh seorang anak berbadan sado yang mengendeng-ngendeng nak memancing dengan kami. Dia datang dengan ayahnya yang memancing ikan tilapia merah. Aku nengok dalam bakul ayah anak itu, penuh dengan tilapia merah. Memang beliau sudah pakar memancing ikan itu, fikirku. Sesekali kami benarkan anak itu menggunakan joran kami untuk memancing ikan. Anak itu kelihatannya sangat arif dengan selok-belok dunia memancing. Dia juga telah berjaya menaikkan seekor ikan tilapia merah untuk kami. Kami sempat bergambar dengan anak itu sebelum meninggalkan kolam pancing.

Tiga orang pemancing tegar.
Bakul ikan ditimbang.
Sebelum berangkat pulang.
Jumlah ikan seberat 7.5 kilogram.
Dari kolam pancing, kami ke sebuah restoran mamak berdekatan. Kami order rojak dan nasi beriyani ayam. Boleh tahan jugak rasanya, especially dia punya rojak. Lain dari yang lain. Kami pekena air durian belanda ice-blended. Bukan main fancy lagi presentation dia. Tapi rasa dia biasa-biasa aje.

Di rumah, aku hitung jumlah ikan keli yang berjaya kami pancing. Adakah target 50 keli berjaya dicapai. Satu, dua, tiga, empat, lima, enam,..... dan tiga puluh sembilan! Alamak! Kurang seekor aje nak jadi 40 ekor. Jadi jumlah tangkapan kami adalah 39 keli dan 1 tilapia merah. Syukur. Target memang tak tercapai. Tapi kepuasan memancing tetap dirasai. Walaupun cuma si keli bermisai galak!

Rojak mamak spesel. Sedap jugak rojaknya.
Nasi beriyani lauk ayam. Boleh tahan jugak masakan yang ini.
Ice-blended durian belanda. Sangat fancy hiasannya.