m y f a m i l y

m y   f a m i l y
Showing posts with label nephew. Show all posts
Showing posts with label nephew. Show all posts

Monday, June 8, 2020

Syauqi bertunang di Perak: Tragedi di Masjid Di Raja Ubudiah

Bahagian 10 (Akhir)

Kami masih di pusat pembuatan labu sayong. Dan kami masih mencuba-cuba untuk menghasilkan produk yang terbaik menggunakan skill dan kemahiran yang kami miliki. Oh! Sekarang dah tiba giliran aku untuk menunjukkan bakat yang terpendam. Aku pun menyarungkan apron pada tubuhku. Perlahan-lahan. Penuh yakin. Wajahku serius. Menandakan aku tengah fokus. Pada tahap yang tertinggi. Konsentrasiku tidak boleh diganggu-gugat. Kedua-dua tanganku dibasahkan dengan menggunakan air yang bertakung dalam baldi di sebelahku. Aku menyedut nafas panjang. Panjang macam keretapi KTM Utara-Selatan. Segumpal tanah liat kuambil dan kuletakkan di atas mesin putar khas. Dan bermulalah aliran kreativitiku, bersulam dengan kemahiran tinggi yang luar biasa. Sebuah perjalanan pun bermula.

Setelah seketika aku membentuk tanah liat, aku meminta dari brader pembuat labu, segumpal lagi tanah liat untuk kuadunkan dengan gumpalan tanah liat yang asal. Dan aku terus meminta dan meminta selonggok tanah liat dalam kuantiti yang sangat banyak. Orang-orang di sekelilingku berasa hairan. Dan masih tak dapat merumuskan apakah yang ingin aku hasilkan dari kuantiti tanah liat yang sebegitu banyak sekali. Setelah hampir sejam aku menguli dan mengadun tanah liat itu, terbentuklah sebuah banglo mewah tiga tingkat, tujuh bilik, yang sangat cantik dengan rekabentuk dari senibina moden dan canggih. Ini semua dihasilkan dengan menggunakan tanah liat sahaja. Dan cuma dalam masa kurang satu jam! Semua orang di sekelilingku berasa sangat terpegun. Waaahhh!!! Dan banglo itu telah kujual dengan harga 4 juta ringgit Malaysia kepada pemilik kedai labu sayong itu. "Pakcik kayo! Pakcik kayo!!!" jerit ku. Kuat.

Okay-lah, okay-lah. Sebenarnya aku punya pasu yang paling senget-benget sekali. Dan rupa pun yang paling tak semenggah. Tanganku rupanya masih tak pandai nak control pressure pada tanah liat untuk membentuk rekabentuk pasu yang cantik. Itulah yang sebenarnya berlaku.


Memulakan membentuk tanah liat.

Belum apa-apa dah senget.

Berusaha untuk membetulkannya.

Aduh! Langsung terpeleot.

Inilah hasil tanganku yang kreatif.

Dan menjadi kebanggaanku sepanjang hayat.

Giliran Syura untuk mencuba.

Menggunakan kemahirannya dalam ilmu tumbuh-tumbuhan.

Menghasilkan sesuatu yang organik.

Pasu yang sangat filosofikal sifatnya.

Mama memakaikan apron pada tubuh Sabriena.

Mama membantu Sabriena menguli tanah liat.

Sabriena berasa sangat teruja.

Seronok bila tangannya dapat dikotorkan dengan tanah liat.

Siap ada lengkuk-lengkuk lagi di tepi pasu.

Membentuk dengan berhati-hati.

Akhirnya Sabriena berjaya menghasilkan sebiji pinggan kecil.

Sabriena berasa bangga dengan hasil tangannya yang cantik.

Seterusnya Syura, Sabriena dan Wanie pula yang mencuba melaksanakan tugas membentuk pasu dari tanah liat. Seronok melihat mereka bertungkus-lumus menghasilkan sebiji pasu dengan tangan mereka sendiri. Dalam kepayahan, akhirnya terhasil juga kraf tangan yang unik rekaannya. Dan menjadi kebanggaan seluruh keluarga dan warga pekan Sayong. By the way, nak mencuba buat pasu pakai tanah liat ini tak perlu bayar apa-apa. Percuma saja. Sesudah selesai sesi membuat pasu, kami pusing-pusing di kawasan produk dipamerkan. Memilih beberapa biji pasu yang cantik untuk dibawa pulang. Setelah membayar kepada pemilik kedai, kami beredar dengan berasa sangat puas kerana telah menimba pengalaman yang sangat berharga.


Wanie memulakan operasi.

Diperhatikan oleh Mama dari jauh.

So far so good.

Bentuknya juga nampak cantik.

Final touch sebelum dipotong tapaknya.

Sikit lagi nak touch up.

Bila dah siap, senget jugak rupanya.

Menara jam di round about Kuala Kangsar.

Berpusing-pusing di round about ini.

Pemandangan Sungai Perak dari jauh.

Pagi ini Sungai Perak lebih tenang dan jernih airnya.

Kami telah meneruskan perjalanan untuk pulang ke Kuala Lumpur. Kami memutuskan untuk berhenti solat di Masjid Di Raja Ubudiah di Kuala Kangsar. Masjid ini sangat popular dan menjadi mercu tanda penting bagi bandar Kuala Kangsar. Aku berasa sangat teruja bila dapat menjejakkan kaki di masjid yang bagi aku sangat 'legend' ini. Selalu nampak gambar masjid ini di merata tempat. Baru kali ini dapat peluang untuk menunaikan solat di dalamnya.

Selesai solat dan bergambar, kami pun menghala ke kereta untuk meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur. Tapi tiba-tiba aku terlilhat salah satu tayar keretaku telah pancit. Terpaksalah aku berusaha untuk menggantikan tayar yang kempis itu dengan tayar spare. Mujur ada beberapa orang di situ telah dengan sukarela membantu aku untuk menukar tayar kereta. Aku sangat-sangat berterima kasih kepada mereka semua. Belum sempat kami meneruskan perjalanan, kereta yang dipandu Yaya pula ada masalah bateri. Kereta tak boleh start. Ada seorang pemuda menghubungi kenalannya untuk membawa bateri baru bagi menggantikan bateri lama yang telah mati. Setelah menanti seketika, akhirnya bateri kereta pun digantikanlah dengan jayanya. Barulah kami dapat meneruskan perjalanan untuk pulang ke rumah masing-masing. Sekali lagi kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada warga Kuala Kangsar yang sangat baik hati membantu kami dalam kesusahan pada ketika itu. Ada kesempatan, kami akan ke sini lagi pada lain masa.

T A M A T

Masjid Di Raja Ubudiah.

Bagi aku ini adalah antara masjid yang cantik di Malaysia.

Ada rekabentuk dalaman baru.

Amier di koridor.

Permaidaninya dengan design radial.

Amier membaca sejarah pembinaan masjid ini.

Satu lagi sudut masjid yang cantik.

Selamat tinggal Kuala Kangsar.



Syauqi bertunang di Perak: Jom buat labu sayong

Bahagian 9

Dari Sayong Resort, kami bertolak ke pekan Sayong, ke kampung-kampungnya untuk melihat pembuatan labu sayong di kilang-kilangnya. Pekan Sayong memang terkenal dengan pembuatan labunya. Labu untuk menyimpan air diperbuat daripada tanah liat yang terpilih. Air yang disimpan di dalam labu sayong ini akan kekal dingin dan menyegarkan bila diminum. Kami pernah membeli dan menggunakan labu sayong ini. Cuma aku secara peribadi memang belum pernah melihat labu sayong ini dibuat dan dibentuk. Inilah misi kami pada kali ini. Ingin menambah pengalaman dan pengetahuan tentang pembikinan labu sayong.

Wanie dan Amier sedang memerhatikan beberapa biji labu sayong peninggalan Dinasti Ming.

Ini ialah sebahagian contoh labu untuk menyimpan air dingin.

Ada juga pasu kecil yang cantik diukir dan diwarna.

Bergambar dulu sebelum explore kedai ini.

Banyak hasil tanah liat yang cantik tersimpan dan terpamer.

Ini adalah sebahagian dari pasu tanah liat yang sangat cantik.

Sabriena terpikat dengan patung Mamee Monster. Juga dari tanah liat.

Sedang menyoal Sabriena tentang kraf tanah liat yang mana menjadi idamannya.

Sesampainya kami di salah satu tempat pembikinan labu sayong yang terpilih, kami berlegar-legar melihat kecantikan produk tanah liat ini yang sangat mempesonakan. Bukan saja labu air yang dihasilkan, tetapi juga pasu bunga, pinggan mangkuk dan macam-macam lagi hasil tanah liat yang dipamerkan di galeri jualan. Yang paling simple tidak ada sebarang ukiran atau warna. Yang paling complex, penuh dengan ukiran dan corak warna yang pelbagai. Memancar-mancar kecantikannya. Rambang mata kami nak memilihnya. Semuanya cantik-cantik. Kalau boleh angkut semua bawak balik KL mesti ohsem. Tapi kami tak terus membeli. Kami lebih berminat untuk melihat bagaimana labu-labu ini dibentuk dari kepalan-kepalan tanah liat.

Kami ke belakang kedai. Terlihat oleh kami seorang laki-laki yang sedang membentuk sebiji pasu dari tanah liat. Nampak macam mudah untuk menghasilkan sebuah kraf tangan. Sekejap saja sudah siap sebiji pasu kecil. Kami memerhatikan lagi dengan teliti. Memang nampak mudah. Laki-laki tersebut membenarkan kami mencuba. Memang pelawat dibenarkan mencuba untuk membuat hasil kraf dengan tanah liat menggunakan mesin putar khas. Kami tak sabar-sabar nak mencuba sesuatu yang nampaknya begitu senang untuk dihasilkan. Orang yang pertama mencuba ialah isteriku.

Melihat pakar membuat pasu tanah liat.

Ketepatan dalam membentuk menghasilkan sesuatu yang menarik.

Sangat tekun ketika bekerja.

Nampak macam mudah.

Sambil membuat pasu, brader ini turut memberi penerangan.

Semua memerhati dalam kekaguman.

Aku memerhatikan cubaan isteriku untuk menghasilkan sebuah karya dari tanah liat yang diberi. Nampak ketekunan dan kesabarannya membentuk sebiji pasu. Agak memakan masa. Tapi hasilnya boleh tahan juga. Cuma ada sedikit ketidakseimbangan dalam bentuknya. Tetapi untuk first timer, itu sudah cukup hebat. Orang yang kedua mencuba ialah Amier. Amier dipakaikan apron agar bajunya tidak kotor terkena tanah liat. Dan  misi menghasilkan sebuah pasu pun bermulalah. Agak kelam kabut juga pada mulanya. Namun dengan arahan-arahan yang diberikan olah Mamanya, akhirnya berjaya juga Amier menghasilkan sebuah pasu mini. Walau ada senget di sana-sini, tapi kira okay jugalah. Tahniah juga kepada Amier. Dan yang turut menanti untuk mencuba membentuk pasu dari tanah liat ialah Wanie, Syura, Sabriena dan aku. Sudah pasti aku tak mau kalah, kan?

Bersambung...

Isteriku ingin mencuba.

Apron telah dipakai. Lengan baju telah disingsing.

Masa untuk menerjah!

Sabriena merakam setiap gerak-geri Mamanya dalam membuat pasu tanah liat.

Memberi sepenuh fokus.

Mengimplementasi ilmu yang telah dipelajari.

Tak boleh gopoh-gopoh.

Biar lambat asal menjadi.

Tadaa! Siap sudah sebiji pasu kecil.

Boleh tahan juga hasilnya.

Amier sudah tak sabar-sabar nak mencuba.

Lets do it! Sabriena memerhatikan abangnya bertungkus-lumus membuat pasu.

Tidak semudah yang dijangka rupanya.

Kalau tekan kuat sangat, nanti dia akan penyet.

Perlu slow and steady.

Pasu Amier sudah siap.

"Lawa tak pasu bunga saya?"