m y f a m i l y

m y   f a m i l y
Showing posts with label pt3. Show all posts
Showing posts with label pt3. Show all posts

Wednesday, December 21, 2016

PT3 dan Wanie

19 Disember 2016 - Kami dah tak sabar-sabar nak tunggu detik ini. Gemuruh bercampur teruja. Wanie? Tak taulah. Aku tak dapat meneka apa yang terbuku di benaknya. Tapi kebanyakan ibu bapa sudah pasti berbaur-baur perasaan mereka.

Kami bertolak ke SMA Maahad Hamidiah Kajang taklah terlalu awal. Sampai kat sana kira-kira jam 10 pagi. Masa tu Ayahanda Pengetua sedang berucap. Banyak yang diucapkan kami tak sempat nak dengar pasal datang terlewat sedikit. Tak lama menanti, ibu bapa dipersilakan beratur mengikut kelas masing-masing untuk pergi mendapatkan keputusan peperiksaan PT3.

Aku yang pada awalnya tenang, tiba-tiba berasa cemas dan gemuruh. Lebih-lebih lagi bila melihat ada beberapa pelajar lelaki sekelas dengan Wanie mendapat 11A. Ternyata ibu dan ayah mereka sangat gembira. Bagai tak disangka-sangka. Akhirnya sampailah giliran kami untuk mengambil sampul besar berisi sijil peperiksaan dan keputusannya. Guru kelas Wanie bagai tiada reaksi jelas yang boleh membantu kami meneka pencapaian Wanie. Kami buka sampul. Lekas-lekas meneliti sijil keputusan PT3. Banyak A yang tersusun. Cuma ada 1B. Mata pelajaran Sains. Eh! Sama macam keputusan PT3 Syahmie dua tahun terdahulu. Macam dah janji-janji aje. Aku happy. Aku rasa Wani jugak happy dengan keputusan yang diperolehinya. Wanie kata subjek Matematik susah. Dia ingat subjek itu yang dapat B. Rupanya subjek Sains. Ok. Dan kami pun berlalulah dari sekolah dengan perasaan gumbira.

Beratur mendapatkan keputusan PT3.
Mendapatkan keputusan dari guru kelas.
Bergambar di luar dewan dengan perasaan bangga.
Gambar yang sama. Saja letak dua kali. Boleh?
Sesudah seketika meninggalkan pekarangan sekolah, aku membaca whatsapp Group Sekolah Maahad Hamidiah. Dari situ aku tahu beberapa perkara:
     11A - 13 orang pelajar
     10A 1B - 44 orang pelajar (termasuk Wanie)

Kemudian dalam whatsapp itu juga ada gambar pelajar-pelajar yang mendapat 11A bergambar di atas pentas bersama Pengetua. Aku tunjukkan gambar ini kepada Wanie. Wanie terlihat ada salah seorang kawan karibnya, Maryam turut berbaris dan bergambar. Tak lama selepas itu, Wanie tiba-tiba berasa sedih. Menitis-nitis air matanya. Bila ditanya kenapa Wanie bersedih, jawabnya "tak tahu". Tapi aku rasa, perasaan itu mungkin timbul bila melihat Maryam berada di kalangan 13 orang pelajar yang mendapat straight A's. Sedangkan dalam peperiksaan hujung penggal tempoh hari, Wanie menduduki tempat ke-3, dan Maryam di tempat pertama. Tak jauh bezanya. Rezeki masing-masing. Allah dah tentukan yang itulah keputusan untuk Wanie. Ada sebabnya. Setelah lama kami memujuk Wanie, barulah perasaan kesedihannya itu berlalu beransur-ansur. Bagi kami pencapaian Wanie itu sudah hebat. Untuk masa akan datang, Wanie perlu berusaha lebih gigih dan tekun berdoa memohon dari Allah. Kemudian bertawakkal. Apa yang Allah akan beri, itulah yang terbaik untuk kita. Tahniah kepada Wanie dan semua pelajar Maahad Hamidiah Kajang.

Keputusan peperiksaan PT3 Wanie.



Monday, March 14, 2016

Lafaz ikrar di Maahad Hamidiah

19 Februari 2016 - Pada hari Jumaat ini kami ke sekolah Wanie di Kajang. Ada majlis khusus buat pelajar-pelajar dan ibu bapa para pelajar yang bakal menduduki peperiksaan PT3 dan SPM pada hujung tahun ini. Majlis diadakan di Dewan Al-Syafie kira-kira jam 3 petang. Ibu bapa yang datang cuma segelintir. Yang lain semuanya para pelajar.

Kami masuk dewan agak lewat. Bonda Pengetua sedang memberikan taklimat mengenai pencapaian pelajar-pelajar pada tahun-tahun yang lepas. Dan taklimat mengenai target untuk tahun 2016 ini. Aku mendengar dengan memberikan separuh perhatian. Kami duduk agak terkebelakang. Kurang dapat menjiwai apa yang dituturkan oleh panel di sebelah hadapan. Setelah sessi ucapan selesai, menyusullah sessi ikrar. Bermula dengan pelajar-pelajar. Semua pelajar bangkit, mengangkat tangan kanan. Dan ikrar dilafazkan. Berjanji untuk berusaha bersungguh-sungguh demi mencapai kecemerlangan. Setelah para pelajar, giliran para guru pula yang berdiri dan berikrar. Berjanji akan mendidik anak-anak Maahad Hamidiah dan membantu mereka memburu kegemilangan.

Sebelum majlis ditutup, para ibu bapa pula yang diminta berdiri. Aku tidak terkecuali. Ketika ibu bapa berdiri, anak-anak bertepuk tangan dengan gemuruh. Gamat dewan seketika. Tepukan anak-anak bagaikan meraikan ibu bapa mereka. Bagaikan mengharap sokongan padu, restu dan doa yang tak putus-putus dari ayahanda dan bonda. Ketika ini aku berasa sebak. Bukan saja aku, malah ibu bapa yang lain juga berperasaan sedemikian. Dan kami pula yang melafazkan ikrar. Berjanji untuk membantu anak-anak kami sedaya mungkin demi sebuah kejayaan. Sesudah ikrar dibacakan, aku terlihat ada sebahagian para ibu yang mengesat air mata mereka.

Setelah majlis bersurai, kami mengambil kesempatan berjumpa dengan beberapa orang guru yang mengajar Wanie untuk membincangkan soal strategi pembelajaran yang berkesan bagi Wanie. Kami pulang setelah azan asar dikumandangkan. Semoga anak-anak Maahad Hamidiah akan mencapai kejayaan yang diharap-harapkan - di dunia dan di akhirat.

Pemandangan di dalam Dewan Al-Syafie, Maahad Hamidiah Kajang.

Saturday, December 27, 2014

Keputusan PT3 dah keluar!

22 Disember 2014 - Tarikh yang dinanti-nanti telah pun tiba. Keputusan peperiksaan tingkatan 3 format baru telah keluar. Kami agak teruja. Tapi.... sebenarnya kami, dan terutamanya Syahmie telah pun tahu markah yang diperolehi sebelum Syahmie pulang bercuti panjang kira-kira sebulan lalu. Syahmie kata kesemua mata pelajaran yang diambilnya, kecuali satu mendapat markah melebihi 80%. Cuma subjek Sains saja yang kurang dari 80%. Itu pun 75%, kurang 5 markah aje. Kami semua berharap agar geraf pencapaian akan diselaras dan diatur agar gred para pelajar lebih setabil. Itu harapan kami, sebelum kami bertolak ke Gemencheh.

Guru-guru yang bertugas untuk memberikan sijil keputusan peperiksaan PT3.
Penolong Pengetua, Tn Haji Kadir Dewa sedang berucap.
Pengetua, Tn Haji Mohd Ghazi Shamsudin pula memberi ulasan pencapaian peperiksaan PT3.
Para pelajar menanti keputusan dengan penuh debaran. Errr.... mungkin jugak tak berdebar, pasal mereka semua dah tau markah masing-masing.
Terima ajelah apa-apa pun keputusannya.
Masih menanti dengan penuh sabar.
Kami bertolak dari rumah kira-kira jam 8.30 pagi, dalam keadaan keletihan kerana pulang ke rumah agak lewat malam kelmarin. Jalan raya dan lebuhraya banyak kenderaan. Tapi pergerakan masih lancar. Sesekali aku memecut melebihi had laju. Mencapai hingga kira-kira 350 km sejam. Fuh! Mengalahkan F1.

Kami tiba di MRSM Gemencheh kira-kira jam 10.30 pagi. Nampak dari luar macam banyak jugak kereta yang parking kat tepi jalan. Tapi bila sampai di kawasan lobi pejabat, macam agak lengang pulak suasananya. Aku anggarkan pelajar-pelajar yang hadir untuk mengambil result PT3 tak sampai 30 orang. Semua orang macam tak excited aje! Aku terdengar Penolong Pengetua, Tn Hj Kadir Dewa berkata, kat MRSM lain pun macam tu jugak. Memang sambutan tak meriah. Tak semacam nak ambil keputusan PMR pada tahun-tahun sebelum ini.

"Errr... bila nak bagi kitorang ambil result ni?"
Ibu bapa yang hadir sangatlah tidak ramai. Tak meriah langsung. Di MRSM lain pun macam ni jugak.
Aku terlihat kelibat Ustaz Muslim sedang bertugas. Terus aku menghampiri Ustaz Muslim. Berbual-bual ringkas dengannya. Aku selalu mintak tolong Ustaz Muslim tengok-tengokkan Syahmie. Tapi aku memang jarang sangat dapat berjumpa dengannya. Tak lama kami menanti, Penolong Pengetua pun memulakan bicara di ruang legar sebelah pejabat. Sementara menanti Pengetua, Tn Hj Mohd Ghazi Shamsudin tiba, Penolong Pengetua mula memberikan bayangan tentang apa yang telah berlaku. Maksud aku bayangan pencapaian pelajar PT3 pada tahun ini.

Syahmie, ditemani mamanya mengambil sijil keputusan peperiksaan PT3.
Ustaz Muslim sedang mencari nama Syahmie.
Menanti dengan tenang.
Pelajar sedang beratur.
Bila Pengetua sampai, beliau terus ambil alih mikrofon dari Penolong Pengetua. Memulakan sepatah dua kata dengan muqaddimah yang macam tak berapa menceriakan. Tapi semua ibu bapa macam dah maklum apa yang bakal diumumkan nanti. Kemudian Pengetua membacakan ulasan pencapaian pelajar PT3 pada tahun ini. Aku pun dah tak berapa ingat apa yang Pengetua cakap sebenarnya. Tapi kalau tak silap aku, lebih kurang beginilah senarionya. Yang dapat 11A cuma ada sorang. Pelajar lelaki tu memang selalunya 4 pointer dia punya CGPA. Yang dapat 10A 1B ada lebih kurang dalam 30 orang kot. Yang paling teruk adalah mata pelajaran Sains. Cuma 11 orang aje yang dapat A. Subjek yang banyak dapat A adalah Kemahiran Hidup, Pendidikan Agama Islam, dan Bahasa Arab. Dan Pengetua jugak ada memberi tahu bahawa gred mata pelajaran adalah berdasarkan kepada cara penggredan yang biasa dilakukan setiap semester. Maksudnya, 80% ke atas baru dapat A.

Dah ambil keputusan.
Mama bangga Syahmie dapat 10A 1B. Okay-lah tu.
Syahmie pun turut bersyukur.
Aku pun...
Setelah beratur mendapatkan keputusan, Syahmie pun bukalah envelope yang diberikan. Dan dalam sijil tersenarai gred bagi subjek-subjek yang diambil. Syahmie dapat 10A 1B. Dan yang B itu adalah subjek Sains. Kami tak kecewa. Malah kami sangat bersyukur dan berbangga dengan pencapaian Syahmie. Persepsi aku mengenai peperiksaan PT3 ini, aku rasa lain sekolah sudah tentu lain tahap kesukaran soalan yang diberikan kepada pelajar. Dan aku rasa kertas soalan MRSM memang sangat susah. Barangkali lebih susah dari sebahagian sekolah yang ada kat Malaysia ni. Tapi pihak guru sudah pasti lebih maklum akan kemampuan anak-anak didik masing-masing. Dan Gred PT3 ini bukanlah kayu pengukur yang mutlak untuk menilai mereka. Apa-apa pun, terima kasih banyak kepada semua guru-guru yang telah menyumbang bakti dan ilmu kepada anak-anak kami. Semoga Allah membalas budi kalian dengan kebaikan di dunia dan di akhirat. Amin.

Banner tergantung yang menunjukkan wajah-wajah calon-calon PT3 tahun 2014.
Bersama Penolong Pengetua dan Guru Homeroom.
Syahmie bersama Tn Haji Kadir Dewa dan Ustaz Muslim Ilyas.