Semasa aku bermastautin di negara orang putih Amerika, ada dua kegilaan aku: 1. memancing dan 2. main tenis. Tetapi kegilaan ini tak pulak tersulam dengan ilmu yang bersesuaian yang boleh meningkatkan prestasi pancingan atau permainan tenisku.
Ini adalah satu kisah yang berlaku pada petang hari di sebuah tasik bernama Conestoga, Nebraska. Aku ke Conestoga selepas asar secara bersendirian. Meluap-luap semangatku nak menaikkan ikan yang besar-besar. Tak kiralah ikan apa, kap atau keli. Aku cari satu lokasi terpencil yang tak dikunjungi ramai pemancing lain. Memang di tempat tu aku sendirian. Tiada pemancing lain. Sesampainya aku di gigi air, aku terlihat beratus-ratus ikan entah dari jenis apa menghempas di pinggir tasik, berenang-renang mengikut laluan renangan yang seirama. Aku kegeraman. Ya Tuhanku, adakah ini yang dinamakan rezeki harimau. Lalu aku pun mengaumlah sekuat hati sehinggakan binatang-binatang kecil bertempiaran ketakutan.
Aku labuhkan pelbagai umpan adunan sendiri. Tiada yang sudi menjamah. Lalu aku gunakan gewang. Pun tiada yang mengusik. Aku hampir putus harap. Akhirnya terlintas dalam fikiranku akan cara beruang Amerika Utara menangkap ikan salmon yang berenang mudik ke hilir dengan menggunakan kaki depannya.
Aku lantas menyelukkan tangan ku ke dalam air. Dalam hati masih terdetik bahawa ikan-ikan itu mungkin memilik sengat seperti keli, atau bergigi tajam seperti piranha. Aku gagahkan semangatku. Bila ada saja ikan yang berenang melanggar tanganku, akan kutangkap, sauk dan melemparkan ke darat. Satu demi satu ikan kubawak naik. Sejumlah 9 ekor semuanya yang berjaya kutawan.
Ikan yang kutangkap ku bawak pulang, kusiang dan ku goreng. Oh, rupanya banyak tulang-tulang dan duri halus di seluruh tubuhnya, dan rasanya juga taklah begitu enak. Aku rujuk kitab ikanku, baru ku tau jenis ikan itu. SHAD nama ikan itu, dan bukanlah merupakan ikan yang diidam-idamkan oleh pemancing-pemancing Amerika. Sebab itulah populasinya begitu banyak.
No comments:
Post a Comment