Ahad 27 Mac 2011 adalah hari bersandingnya Ardi & Zila di Dewan Komuniti Bukit Damansara yang telah dihias indah semalaman oleh kami semua. Suasana sangat meriah dengan adanya tetamu yang datang dengan berpakaian cantik, iringan muzik Melayu asli, flower girls, tarian Melayu, persembahan silat, dan bacaan pantun. yang dibacakan oleh pengacara.
Bercakap pasal pengacara, ini adalah kali kedua aku menjadi pengacara majlis perkahwinan. Kali pertama dulu sewaktu majlis Zuan & Sri. Ini pulak adalah kali ketiga isteri aku jadi pengacara. Kali pertama ketika majlis Aniza & Pian. Pengacaraan kali ni agak kelam kabut, sama seperti yang pertama kali jugak. Tak apalah. Masih belajar. Kalau dah biasa buat mesti jadi expert kan. Orang kuat kami ketika pengacaraan adalah Hafez. Hafez perlu beri tahu kami masa apa nak buat apa. Masa nak umum pengantin sampai, masa nak jemput tetamu menepung tawar, masa nak panggil penari, masa nak berpantun, masa nak ke tandas, malah masa nak batuk ehem pun Hafez kena bagi tau jugak.Tetapi sebagai Pengurus Lantai @ Floor Manager, aku nengok lantai agak bersepah sikit. Patut Hafez jangan bagi flower girl tu baling bunga kat lantai. Kalau baling jugak kena denda.
Berbalik kepada pengacaraan. Ketika menepung tawar aku dan isteri ada membacakan pantun-pantun yang aku karang sejak malam buta sampai pagi. Tapi aku gerenti tak ramai yang ambil perhatian sebab suasana dewan ketika tu agak gamat dan meriah. Jadi di sini aku lampirkan naskhah pantun yang telah dibaca pada hari bersejarah itu:
Kita ini satu pasangan,
Terasa serasi bila bersama,
Bukankah kita sama sepadan,
Bagaikan pinang dibelah dua.
Dinda terfikir soalan yang satu,
Di manakah tarikan pada adinda,
Kalau memang dinda nak tahu,
Jelingan manjamu kanda tergoda.
Di manakah tampan pada kekanda,
Katakanlah dinda, kanda nak tahu,
Tampan kekanda memanglah ada,
Kilauan wajahmu memikat kalbu.
Ingatkah kanda lagu kita,
Lagu Kasih Hetty Koes Endang,
Mana mungkin kekanda terlupa,
Kan sewaktu dinda tergolek di longkang.
Kanda inginkan cahaya mata,
Biar ramai penyeri taman,
Ku rela berkorban apa saja,
Anak sedozen pun boleh kuberikan.
Dinda ini pemasak yang hebat,
Makanan barat pun boleh disajikan,
Burger dan pizza kanda tak lihat,
Masakan Melayu juga yang kanda idamkan.
Main sms sewaktu mula,
Lama-lama terpaut di jiwa,
Macam mana hati tak tergoda,
Ayat kanda semua power-power.
Dinda ini anak yang manja,
Peluk-peluk, belailah selalu,
Peluk dan belai mainan kanda,
Bantal dan tilam kujadikan dirimu.
Ingat tak dulu suatu ketika,
Dinda jual mahal kepada kekanda,
Kanda tak ingat kata orang tua-tua,
Usik mengusik membawa bahagia.
Kanda ini tak banyak bicara,
Sekadar menjadi pendengar setia,
Kalau dah dua-dua sama bersuara,
Bingitlah rumah, huru-haralah keluarga.
Kulit licin lembut bak salju,
Bagai sutera menyentuh wajahku,
Aduhai kekanda terlebih pujimu,
Kulit yang kasap kusental selalu.
Aduh kanda, sakit kakiku,
Tesepak batu, dinda mengeluh,
Cis batu, bedebah dirimu,
Nanti kusepak, kelempar jauh.
Wahai adinda, kanda terharu,
Melihat dirimu sayang padaku,
Masakan dinda tidak begitu,
Kandalah seorang idaman kalbu.
Kanda, kanda yang kukasihi,
Sukakah adinda di sisi selalu,
Dinda ini seringnya wangi,
Angin yang terlepas pun harum kuhidu.
Zahir baik, batin pun baik,
Suami tercinta dinda raikan,
Wajah cantik pekerti pun cantik,
Isteri tersayang kanda dambakan.
Kanda inginkan ikatan yang sejahtera,
Diredhai Allah, dirahmati sentiasa,
Dinda mohon pada yang Esa,
Biarlah kita bahagia sampai ke syurga.
No comments:
Post a Comment