Segalanya bermula petang Sabtu semalam apabila melihat seikat daun kelapa yang dibeli untuk dijadikan sarung ketupat. Anak-anak aku berminat untuk mempelajarinya. Isteriku menyuruh anak-anakku belajar dari Atuk Atan. Atuk Atan tak keberatan. Sebelum tu para peserta diminta untuk mendaftar di kaunter pendaftaran dan mengisi beberapa borang bagi merekodkan keanggotaan para peserta kursus. Isteriku adalah yang paling cekap membuat ketupat, tapi untuk mengajar, suatu tahap kesabaran yang luar biasa perlu ada pada diri si pengajar kerana para pelajarnya semuanya masih terlalu baru dalam jurusan ini.
|
Atuk Atan memulakan demonstrasi. |
Wanie dan Intan nampaknya agak terkial-kial untuk memahami tunjuk ajar Atuk Atan. Syahmie yang telah pun berusia 12 tahun nampak lebih konfiden dan mulai memahami rahsia di sebalik pembuatan anyaman sarung ketupat. Atuk Atan cuma ajar buat ketupat yang paling simple - ketupat sate. Atuk Atan juga sebenarnya mahir jugak membuat ketupat bawang dan ketupat pasar.
|
"Mula-mula ambil daun kelapa. Jangan pulak ambil daun pisang." |
Bermula dengan tiga orang pelajar, akhirnya pelajar Atuk Atan telah meningkat semakin ramai. Semuanya merupakan cucu-cucunya sendiri. Fakehah, Nurin, Nana dan Nabiha antara yang turut mencuba nasib menghasilkan sarung ketupat yang pembuatannya sangat berseni itu.
|
"Gerakkan ekor dia. Jangan gerakkan kepala dia," pesan Atuk Atan. |
|
Atuk Atan hampir hilang sabar mengajar cucunya yang kerap tersalah faham. |
|
Fakehah memerhati dengan tekun lentok tangan Atuk Atan. |
|
Nana meracik daun kelapa halus-halus untuk dibuat bunga rampai versi daun kelapa. |
Antara ramai-ramai pelajar Atuk Atan, nampaknya Syahmie telah melangkah agak terkehadapan. Dalam diam Syahmie telah menghasilkan lapan biji ketupat sate tanpa bantuan sesiapa. Wanie yang agak kecewa kerana tak dapat menyiapkan walaupun satu sarung ketupat walaupun telah berusaha keras sempat menitiskan air mata kesedihan. Aku yang bersimpati terpaksalah memujuknya. Hasil usaha sepetang semalam dapatlah disiapkan kira-kira empat puluh biji sarung ketupat yang akan digunakan pada malam raya. Oh, aku? Aku tau jugak baut ketupat. Tapi aku cuma pandai buat ketupat bawang aje. Itu pun terkial-kial. Dulu aku belajar dari kawan Jawaku, Mughni Bahari ketika di MRSM Kelantan. Masa tu aku tau buat ketupat sate, bawang, pasar (sintok) dan ketupat bantal, yang paling susah. Tapi banyak yang aku dah lupa. "Dr Mughni, tolong ajar balik cara buat ketupat bantal".
|
Ketupat ular lidi, hasil buah tangan Atuk Pon. |
|
Syahmie dengan ketupat sate pertamanya, tanpa bantuan sesiapa. |
|
Wanie dengan ketupat terkecil di dunia yang dibuat bersama dengan mamanya. |
No comments:
Post a Comment