Soalan yang kadangkala aku tanyakan pada diri aku adalah sejak bila dan mengapa aku minat memancing. Seingat aku, sejak kecil lagi, sebelum aku kenal erti joran dan mata kail aku telah mendapat mimpi-mimpi indah tentang ikan dan aktiviti menangkap ikan. Bila terjaga dari tidur aje, aku akan merasa sangat gembira, tenang dan hari aku akan menjadi sangat ceria sampailah ke malam.
Bila aku mula bersekolah rendah, aku sering mendengar pakcik-pakcikku (pakcik Md Shah, paman Sujai & arwah pakcik Basari) bercerita pasal keseronokan pergi memancing. Di luar sekolah ada sebuah pasar basah yang ada menjual mata kail. Kadang-kadang aku ke sana membeli mata kail tersebut tanpa ada perancangan bila untuk pergi memancing. Kali pertama aku memancing bersama-sama 2 orang rakan Cina ku Choong Kai Leong & Lim di sebuah lombong yang tak jauh dari rumahku di Ampang Jaya. Aku dan Lim sekadar memakai tali tangsi dan kail tanpa joran. Kawan-kawanku memperolehi 3 ekor ikan tilapia sedangkan aku tak beroleh apa-apa. Waktu tu aku masih tak tau macamana rasanya ikan menggetu umpan dan macamana pulak rasa tarikan ikan yang telah mengena kail.
Sewaktu balik kampung di Kuala Selangor pada hujung-hujung minggu, aku dan sepupuku Mizul akan bermain di parit-parit air berdekatan dengan rumah datukku memburu ikan pelaga dan ikan lampu (ikan yang seperti ikan bilis dan terdapat kilauan di kepalanya) menggunakan upih dan pelepah pinang. Dengan peralatan yang serba daif, selalunya kami tak beroleh apa-apa selain kegembiraan bermain di semak dan parit.
Joran pertama yang aku miliki aku beli di Ampang Park dengan harga RM17.00 ketika bersekolah menengah. Dan kali pertama aku memancing menggunakan joran dan kekili berumpankan dedak hong adalah di tasik yang sekarang terletak Hotel Flamingo di Ampang. Aku dan Mizul tak beroleh apa-apa selain basah lencun pakaian Mizul kerana terjatuh dalam air.
Aku ke Lincoln, Nebraska, USA pada tahun 1983 bagi menyambung pelajaran. Selain belajar, aku mula lebih aktif dengan kegiatan memancing ikan. Bermula dengan mengikut rakan-rakan memancing ikan bluegill menggunakan umpan hirisan ikan minnow di tasik Oak Lake. Minat aku mula berkembang pesat macam bandaraya Kuala Lumpur. Aku mula banyak menonton rancangan memancing di tv, membeli buku dan majalah-majalah pancing serta banyak meneroka lubuk-lubuk ikan di tasik-tasik besar di Nebraska bersama rakan-rakan seperti Chaan @ Shahar dan Shamwel. Lama kelamaan aku mula memancing sorang-sorang setelah aku memiliki kereta sendiri kerana aku rasa lebih bebas menjalankan aktiviti kegemaranku. Di Lincoln-lah aku mula membentuk minat yang mendalam terhadap aktiviti memancing. Kalau hujung minggu musim bunga dan musim panas, aku akan pastikan masa terluang banyak di tasik-tasik seperti Pawnee, Conestoga dan Branch Oak Lake.
Ilmu memancing sebenar aku perolehi setelah aku berkahwin pada tahun 1996. Sifu-sifuku adalah ayah mentuaku, dan abang-abang iparku khususnya abang Khalid, abang Leman dan abang Karim, serta tak ketinggalan isteriku sendiri yang juga merupakan kaki pancing. Itu pun aku rasa baru satu per sepuluh ilmu yang aku pelajari dari mereka. Ilmu pancingan laut dalam, pancingan hulu sungai (bagi menawan kelah & tengas) serta pancingan ikan-ikan brutal seperti toman dan sebarau masih belum aku dalami. Ilmu pancing ikan kat kolam bayar pun masih tak pass lagi. Selalu jugak aku pulang tangan kosong.
Waktu aku tengah kemaruk nak memancing, aku memang tak boleh tengok ada lopak air, tali air, paya atau apa saja jenis takungan air. Mesti aku akan berimaginasi tentang pelbagai jenis ikan yang menduduki takungan air itu. Selalunya aku akan terbayang ikan haruanlah - game fish kegemaranku.
Sekarang aku masih memancing, tetapi kerana komitmen keluarga dan kerja, aktiviti ini dah jauh berkurangan berbanding sewaktu aku masih bujang atau ketika aku masih baru berkahwin. Dulu aku dan isteri biasa memburu tilapia saiz tapak tangan di Tasik Ampang Hilir. Sejak tasik itu dikawal rapi oleh pihak DBKL, peluang memancing bagi kami sudah semakin tipis. Tapi aku masih membeli majalah-majalah pancing seperti Sirip, Pancing dan Rod & Line bagi mengubat kerinduan untuk pergi memancing. Dan adakalanya aku membeli gewang-gewang yang pelbagai sebagai koleksi peribadi yang aku sendiri belum pasti akan menggunakannya kelak. Kepada semua kaki pancing yang aku hormati, selamat memancing, jagalah solat, jagalah keselamatan, jagalah kebersihan alam sekitar dan pulanglah dengan membawa habuan yang lumayan.
No comments:
Post a Comment