Bahagian 7
Sesampainya saja di Kampung Pasir Putih, pak Andak terus melabuhkan umpan ayamnya ke lubuk berjeram. Joran teleskopiknya yang sepanjang 15 kaki dihulur perlahan-lahan di kegelapan malam. Tak sampai beberapa minit, seekor tengas berbadan bulat terjerat dengan tipu daya pak Andak. Saiz tengas tu agak kasar juga. Goreng pun sedap. Betul! Aku pernah mengoreng dan menjamahnya dulu! Makan dengan nasi panas memang terangkat.
|
Pak Andak dan tengas pertamanya. |
|
Tengas yang enak jika digoreng. |
Pak Andak meneruskan aktiviti memancingnya bersendirian. Tak perlu lama menunggu, seekor keli batu pula terjerat. Ini membuatkan ahli keluarga yang lain teruja untuk mencuba nasib memancing di tengah malam. Tapi kebanyakannya pulang tangan kosong. Cuma pak Andak aje yang dapat hasil. Bak kata orang tua, tangan ada penghanyir.
|
Giliran keli batu menjadi mangsa pak Andak. |
Esok paginya, pak Andak teruskan perjuangannya memburu sang tengas. Dan dia berjaya menaikkan beberapa ekor dengan saiz yang agak kasar. Selain tengas, seekor baung turut berjaya dibawa naik. Dan aku sempat merasa keenakan daging baung segar yang digoreng. Saiznya kecil, jadi kami kena berkongsi ramai-amai untuk menjamah baung tadi.
|
Tengas lagi. Yang ini untuk dibela. |
Selain aktiviti memancing, pak Uda pulak lebih cenderung untuk menembak ikan menggunakan senapang M-16 nya. Nasib baik pak Uda terlupa bawak M-16, kalau tak mesti para tetamu dan orang ramai dah bertempiaran lari takut terkena peluru sesat yang berterbangan keluar dari muncung senapang. Senapang yang pak Uda ada hanyalah senapang ikan yang diperbuat dari kayu. Nampak macam simple, tapi senapang ini boleh menumbangkan jet MIG buatan Rusia dan jet Stealth buatan Amerika.
|
Pak Uda memburu jerung putih gergasi yang telah membaham berbelas-belas ekor anak kambing. |
Pada mulanya pak Uda menyorok di balik pokok untuk menghendap ikan-ikan besar seperti killer whale dan ikan layaran. Peluru harpoon senapang ini boleh pergi sejauh beberapa kilometer sebelum terbenam ke perut mangsa. Setelah kami ingatkan kat pak Uda bahawa kat sini tak ada ikan-ikan seperti killer whale mahu pun ikan layaran, barulah pak Uda menukar strategi memburu ikan. Lubuk-lubuk di celah-celah batu diselami bagi mencari kelibat ikan yang berenang-renang. Tapi air terlalu deras dan pandangan mata menjadi kabur dan tidak jelas. Lalu aktiviti menembak ikan ini terpaksalah dihentikan kerana ternyata tak bersesuaian untuk dipraktikkan di sini.
|
Pemburuan tanpa hasil. Agak mengecewakan. |
Pak Andak turut menebar jala pada lubuk-lubuk ikan. Dengan dibantu oleh pak Uda, dapatlah hasil yang agak memberangsangkan. Cukuplah buat makan anak beranak untuk dijadikan lauk tengah hari. Aku turut merasa kagum dengan kegigihan nelayan alaf baru ini. Demi mencari rezeki yang halal, mereka menahan terik mentari dan dingin air untuk menyara keluarga. (Macam cerita Bersamamu lah pulak kan.)
|
Hasil dari menjala agak lumayan. |
|
Membelek-belek hasil tangkapan. |
|
Pemburu ikan gergasi. |
Ketika bapak-bapak pergi memburu ikan, mak Tam tak ketinggalan, turut memburu haiwan-haiwan yang boleh dijadikan lauk makan tengah hari seperti udang galah, sotong, ketam, belut dan kuda laut. Mak Tam pulak lebih selesa menggunakan jaring hikmatnya. Sekali sauk, dua tiga ekor udang berjaya dinaikkan. Sauk lagi, naik lagi udang. Syahmie membantu mak Tam menyimpan udang-udang yang ditangkap di dalam botol. Tak semena-mena, ketika mak Tam membuat satu saukan mendalam di satu lubuk yang dikenali sebagai lubuk puaka, tercedoklah seekor katak puru sebesar penumbuk Mike Tyson. Bila terlihat kelibat katak puru itu, anak-anak yang mandi kolam lari bertempiaran. Amier naik ke darat dan langsung tak nak turun ke air lagi. Rupa katak itu agak misteri. Kami telah memanggil anak-anak dara seperti Ika, Yaya, Syura, dan Nicha untuk mencium katak itu. Manalah tau kot-kot dia boleh bertukar menjadi putera raja yang hensem lagi kaya. Rambut lebat paras bahu, dengan wajah yang macho dan badan berketul-ketul macam body builder. Semua anak-anak dara yang dipanggil tak nak cuba cium katak itu kerana geli geleman. Tapi kami ada juga mendapat permintaan dari Nana untuk mencuba cium katak tadi. Tapi kami tak benarkan pasal Nana masih bawah umur. Oleh kerana tiada sambutan, katak itu pun dilepaskanlah semula ke habitat asalnya. (Tapi aku rasa katak tadi kalau digoreng pun sodappp!!)
|
Mak Tam dengan katak purunya yang dipercayai jelmaan putera raja. |
No comments:
Post a Comment