m y f a m i l y

m y   f a m i l y

Friday, November 30, 2012

Kenduri selamat di Assam Jawa

Bulan haji dah berlalu. Jemaah yang nak pergi haji, dah pun pergi. Dan dah pun pulang ke tanah air dengan nur pada wajah-wajah mereka. Ini cerita lama. Lamaaaaaaaa sangat. Tapi taklah terlalu lama sampai ke zaman dinosaur. Ia berlaku ketika makcik aku yang kami panggil Wak Bun, dan sebahagian daripada keluarganya masih belum pergi ke tanah haram lagi. Macam kebanyakan bakal haji yang lain jugak, pasti ada buat kenduri dan doa selamat semoga segala urusan ketika di tanah suci berlangsung dengan mudah dan selamat. Dan yang paling penting, para jemaah mengharapkan haji yang mabrur.

Para jemaah sedang khusyuk berwirid di depan meja kosong.
Masih berwirid dan bertahlil.
Kami pergi ke rumah makcik aku tu kat Assam Jawa, Kuala Selangor. Masa kami sampai tu, ruang makan kat bahagian laman rumah telah dipenuhi oleh sanak saudara dan orang-orang kampung dari segenap pelusuk desa yang terpencil. Semua orang dok menghadap meja yang kosong, dengan pertanyaan di dalam hati - bila time nak makan ni? Aku join mereka semua - duduk di atas kerusi sambil merenung meja kosong. Tak lama kemudian, majlis tahlil dan doa selamat yang serba ringkas pun dimulakan. Kami sama-sama berwirid dan berdoa. Tak sampai beberapa minit, semua dah selesai. Memang aku rasa cepat sungguh. Itulah acara bacaan doa selamat yang paling pendek dalam dunia yang pernah aku alami.

Sedang berdoa selamat.
Doa selamat semoga semuanya selamat.
Bila dijemput makan, semua para jemaah kembali besemangat. Masing-masing mencedok makanan kegemaran masing-masing ke dalam pinggan. Dan makanlah kami masakan lauk kampung yang sangat enak yang disajikan kepada kami. Aku punya peberet adalah kuih kasui. Bertalam-talam kuih kasui tu aku bedal tanpa mengingatkan orang kat belakang. (Sebab masa aku toleh belakang, tak ada pulak nampak kelibat sesiapa).

Khairil sedang memikirkan sesuatu.
Inilah acara yang diidam-idamkan oleh seluruh penduduk kampung - makan time!
Juadah tengah hari tu memang sangat menyelerakan.
Ayah aku dihurung segala macam ulam yang wujud di muka bumi ini.
Giliran wife aku pulak untuk makan.
Kuih kasui yang dihidangkan memang sangat sedap. Seolah-olah makanan untuk Maharaja Alien. Baby Sabriena pun terliur menengok kuih kasui tu.
Wanie dan kakak aku sedang makan.
Anis melayan Amier.
Lepas dah makan dan bersembang begitu begini, barulah kami jumpa Wak Bun, bersalaman dan mendoakan yang terbaik buat beliau dan seluruh jemaah haji yang akan ke Makkah pada musim haji kali ini. Semoga aku, isteri dan anak-anak kami jugak akan dipermudahkanlah urusan untuk mengerjakan haji suatu hari nanti. Amin.

Sesudah makan, semua orang nampak happy.
Wadi dan Makcik Norizan.
Pakcik Rizali dan Muhaimin.
Sabreina geram tak dapat makan nasi. Dia makan tangan mama dia lah.

Wednesday, November 28, 2012

Spectrum Idol

Cuba nengok kat tv. Mesti korang perasan ada banyak sungguh rancangan tv realiti yang bertujuan mengenengahkan bakat-bakat baru dalam bidang nyanyian. Dulu ada Malaysian Idol, ada One In A Million, ada Akademi Fantasia, ada Bintang RTM. Sekarang ada Mentor, ada Bintang Nescafe, ada Suara Emas, ada Idola Kecil, ada Vokal, dan sebenarnya ada banyak lagi rancangan yang seumpama ini kat siaran tv kita. Mau tak mau, aku pun dok layan jugak kebanyakan siri yang dipertontonkan kepada umum ni. Malah aku belajar nyanyi pun melalui rancangan ni jugaklah. Oops! Maksud aku tau cara diorang menyanyi. (Cover line sikit).

Minggu lepas, semasa aku ke sebuah pasaraya kebanggaan orang Ampang dengan dua orang anak bujang aku, aku ternampaklah poster ni ditampal kat dalam lif. Ish ish ish. Supermarket yang tak berapa tersohor ni pun ada hati nak buat pertandingan menyanyi jugak? Pentas dia nampak hebat jugak. Masa aku lalu, aku nampak ada sebilangan anak muda dah siap menunggu kat kerusi depan pentas. Tak taulah aku sama ada untuk mendaftar atau untuk tunggu turn menyanyi. Pokok pangkalnya, akan lebih ramailah penyanyi kat kawasan Ampang ni. Tak hairan nanti, kedai runcit Kak Leha pun akan anjurkan pertandingan "Kedai Kak Leha Idol". Siapa nak daftar?

Poster yang menarik perhatian golongan "artis in the making".

Tuesday, November 27, 2012

Good luck, Kevin

Salah sorang boss kat ofis wife aku dah nak kena transfer tempat kerja hujung bulan November 2012 ni. Kalau tak silap aku pasal dia kena pindah kat branch lain. Jadi, macam biasalah, kalau ada orang nak tinggalkan ofis, mestilah ada jamuan sikit-sikit, hadiah kenang-kenangan sikit-sikit. Jadi macam biasa jugak, aku kenalah lukis muka boss wife aku ni mewakili department tempat wife aku kerja. Semoga dia happy bekerja kat tempat baru tu.... (walau di mana pun lokasinya).


Monday, November 26, 2012

3/4

Ada satu minggu tu, kami turunlah main badminton macam biasa. Tapi yang ada cuma aku, Abang Zahid dan Ali. Yang lain tak dapat hadir kerana masalah kesihatan dan hal-hal kekeluargaan yang perlu diutamakan. Itu pun Abang Zahid masih demam lagi. Kami cuma bertiga orang aje. Tak cukup lagi sorang untuk main double. Kira kalau ikut nisbah macam 3/4 lah. Bukan tiga suku jenis yang sewel tu! Tapi nasib baik jugak court sebelah banyak players. Jadi kami memang dok pinjam players dari court sebelah ajelah sampai jam menunjukkan pukul 12 malam. Memang puaslah main, tapi penat macam nak pengsan.

Ini aku dengan teh haliaku.
Lepas main, kami pergilah kat gerai berdekatan. Kali ni ketiga-tiga kami bukan saja order minum, tapi jugak order makan. Maklumlah, cuma bertiga. Kalau nak belanja pun taklah banyak sangat. Habis makan minum, barulah kami balik.

Ini Ali dengan air apa pun aku tak tau. Mungkin air apple campur asam boy kot.
Ini kembar Ali dengan.... Eh! Ini Ali jugak. Macam mana boleh keluar gambar dua kali ni?
Ini Abang Zahid yang demam dengan bihun gorengnya.

Menghijau...

Sempat baru minggu lalu aku singgah sebentar kat tempat permainan aku kat Tasik Ampang Hilir. Lokasi inilah aku dan isteri aku dok mancing ikan tilapia hitam, dan memperolehi hasil yang agak lumayan. Pemancing-pemancing kat kanan kiri semuanya jeles dengan kami. Dan kami semakin berlagaklah macam gaya ala-ala Mr Bean sikit-sikit.

Balik dari hantar mak dan kakak aku jumpa tabib homeopathy, aku sesaja singgah kat lokasi port lama aku. Aku nengok air dia bukan main hijau lagi. Semacam ada sejenis lumut air yang menyeliputi permukaan air. Seolah-olah macam ada sejenis alien yang nak menakluki tasik ni. Aku jugak pernah dengar yang memang ada sejenis tumbuhan atau lumut air yang kalau kuantitinya banyak sangat, akan mengurangkan kadar oksigen dalam air. Ini akan menyebabkan ikan dalam air kelemasan. Memang pernah ada kes macam ni. Beratus, malah beribu ikan mati tak bernesan. Aku sebenarnya tak tau lumut air ni jenis yang berbahaya atau pun tidak. 

Hijau dia sangat mengerikan, macam air spirulina.
Walaupun sekarang orang ramai dah tak dibenarkan lagi untuk memancing di sini, tapi aku masih lagi prihatin terhadap nasib tasik ni. Semoga satu hari nanti, DBKL bagi ajelah orang ramai memancing kat tasik yang penuh cerita dan sejarah ni. Dulu ada orang main water ski. Lepas tu penuh dengan kiambang menutup tasik. Lepas tu toman membiak jadi bagak-bagak. Lepas tu DBKL bagi cantik dan bersih. Lepas tu dah tak boleh mancing. Lepas tu ikan makin giat membiak. Tapi dah tak ada orang nak mengaut hasil dari dalam tasiknya. Tapi aku jugak berharap, kaki-kaki pancing lain kali kalau nak pergi mancing, janganlah mengotorkan tasik. (Ini memang tabiat buruk kaki pancing yang susah nak dikikis). Sisa umpan, puntung rokok, sisa makanan, semua dibaling kat tepi tasik. Memang geram betul aku. Kalau masalah ini dapat di-settle-kan, aku rasa, jangankan Tasik Ampang Hilir, Tasik Titiwangsa dan Tasik Perdana pun DBKL bagi mancing untuk umum.

Tapi tak nampak pulak ikan mati kat kawasan ni.

Wednesday, November 21, 2012

Budak dan buih

Ketika kami di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya, isteriku sempat membeli dua biji pistol penembak buih. Satu untuk Amier, dan satu lagi untuk Salleh. Jadi, setelah kami pulang, kami singgah sebentar di tadika Kidz Cabin di Ukay Heights. Di sana, kedua-dua Amier dan Salleh bermainlah tembak-menembak menggunakan buih sabun yang beroperasi menggunakan bateri. Pistol buih yang digunakan Amier nampak gayanya tak berfungsi dengan baik. Rupanya Amier yang terlebih kreatif telah menggoncang-goncangkan pistol tadi sampai menjadikan sistem pengaliran air sabun ke muncung pistol tersumbat. Terpaksalah aku bersihkan dulu perkakas permainan itu seluruhnya sebelum boleh digunakan oleh Amier dengan lebih efektif. 

By the way, sekarang pistol buih tu entah ke mana, aku pun tak tahu. Sama ada masih boleh pakai lagi ke tidak, aku pun tak tahu. Barang murah memang untuk pakai buang aje gamaknya.

Pistol buih berkuasa bateri ni memang hebat.
Salleh mencuba buat bentuk lampu kelip-kelip hari raya.
Salleh tembak Amier. Amier cuba mengelak.
Okay. Dah penat. Boleh rehat kejap...

Tuesday, November 20, 2012

Mengejar waktu, memburu pesawat haji

Kenduri doa selamat untuk mengerjakan haji telah diadakan pada sebelah malam di Kalumpang Resort. Pada esok harinya, pada sebelah siang, Abang Hasni dan Kak Ogie telah berangkat ke Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya sebelum berangkat ke tanah suci. Mereka perlu mendaftar masuk pada sekitar jam 12 tengah hari. Kami serta Kak Timah pun bergegaslah dari rumah untuk turut menghantar mereka di Kelana Jaya. Kami bertolak dari rumah agak lewat. Memang kalau ikut tempoh perjalanan normal, kami macam tak sempat nak berjumpa dengan Kak Ogie sebelum mereka masuk ke dalam dewan pendaftaran. Kalau dah masuk ke dalam dewan, maknanya mereka dah tak boleh keluar lagi. Untuk memastikan isteriku dan Kak Timah dapat berjumpa dengan Kak Ogie, aku telah memecut kereta yang kupandu selaju kira-kira 455 km/j. Mencelah-celah di tengah kesibukan Bandaraya Kuala Lumpur bukanlah suatu perkara yang mudah. Tapi, dengan semangat cekal dan berjiwa kental, aku redah jugak jalan-jalan sempit seperti Jalan Chow Kit, Jalan Sultan Ismail, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Lorong Haji Taib, dan Lebuhraya Persekutuan sebelum kami meluru laju ke Kelana Jaya.

Koas dan Intan.
Inilah pintu dewan pendaftaran. Kalau dah masuk, pegawai Tabung Haji tak bagi para jemaah keluar balik.
Sesekali Kak Ogie akan menelefon dan bertanya, "Jauh lagi ke?" Kami lantas menjawab, "Masih on the way. Dah nak sampai, dah". Dan aku terus menekan pedal minyak sampai maksimum. Dengar ceritanya kapalterbang dah pun berlepas. Kami tak putus asa. Kami terus aje mengejar. Dan dalam proses nak sampai ke destinasi, kami telah ditahan oleh tak kurang daripada sepuluh peronda polis. Tapi dengan kepakaranku memandu kereta selama dekat 50 tahun, aku telah berjaya meloloskan diri sehinggakan pihak polis kebingungan, macam mana kami boleh hilang lesap lenyap di celah-celah kesesakan lalu-lintas.

Bergambar sebelum pulang.
Walau pun kapalterbang dah berlepas, aku masih nekad untuk mengejar kapalterbang itu. Lalu kutekan enjin turbo menggunakan kuasa plutonium, dan kereta yang kupandu pun meloncat tinggi mencapai awan. Dan adegan kejar-mengejar kapalterbang pun berlaku. Aku sempat potong kapalterbang itu dan berhenti betul-betul di depannya. Pilot kapalterbang terpaksa menekan brake emergency bagi mengelakkan berlakunya perlanggaran. Pilot pun keluar dari kapalterbang dan bertanya, "Ada apa korang blok kapalterbang aku, ha?!" Nadanya cukup marah. "Kami nak jumpa Puan Salamah dan suaminya," jawab kami. "Dia belum terbang lagi. Dia masih kat Tabung Haji!" jawab pilot tadi. "Sorry-lah bro. Salah information-lah". Kami angkat tangan kat pilot tadi, dan terus ke Tabung Haji Kelana Jaya.

Koas, Ika, Kak Esah dan Kak Timah.
Amier macam tak puas hati aje.
Apabila sampai di destinasi, aku pun menurunkan isteri serta Kak Timah. Dan aku terpaksa cari parking kereta kat lokasi yang agak berjauhan. Setelah parking kereta, aku pun bergegas masuk kat halaman Tabung Haji. Bila aku jumpa wife aku, dia kata Kak Ogie dah masuk dalam dewan. Isteriku dan Kak Timah sempat jugak berjumpa, bersalaman dan peluk cium sesama adik beradik. Aku bersyukur, mereka sempat mengucapkan selamat jalan. Apa lagi yang perlu ditunggu, kami pun terus beredar dari situ. Aku ada satu jemputan di rumah kawan sekolah ku di Sungai Buloh.

Ramai sungguh orang yang hantar para jemaah haji.
Koas dan Ika bersama mama mereka - Kak Esah.

Kenduri selamat haji di Kalumpang

Ini kisah kakak ipar aku dan suaminya nak pergi haji. Lama tak lama aku simpan entry ni, sampaikan kakak ipar aku dah pun balik dari Makkah, dan pulang ke tanah air pada minggu sudah. Tapi tak apa. Aku akan kisahkan jugak persediaan beliau dan suami, Abang Hasni, sebelum berangkat mengerjakan haji di tanah suci Makkah.

Ayah Abang Hasni membaca potongan ayat-ayat Al-Quran.
Rasul mendukung anaknya.
Macam kelaziman bakal-bakal haji, mestilah buat kenduri doa selamat sikit, supaya perjalanan pergi balik selamat. Supaya dipermudahkan ketika membuat haji. Supaya sihat walafiat. Dan yang paling penting, supaya mendapat haji yang mabrur. Jadi kenduri doa selamat telah diadakan di Kalumpang Resort yang terletak di Kalumpang. (Ya lah, takkan terletak di Kuala Kangsar pulak kan?) Majlis diadakan selepas maghrib. Jadi, selepas habis ofis hour, kami terus keluar pejabat dan jemput dua orang kakak ipar aku dan terus menghala ke Kalumpang. Tiba di Kalumpang kira-kira dah nak masuk waktu isyak.

Belah mulut denga air zam-zam.
Abang Hasni memotong jambul anak saudaranya.
Selepas solat isyak, kami berkumpul di suatu ruang besar untuk menghadiri majlis doa selamatnya. Rupanya adik Abang Hasni, Rasul ada nak buat cukur jambul untuk anaknya. Jadi upacara itulah yang dijalankan dulu. Bacaan selawat ke atas Nabi s.a.w. dibacakan sambil rambut anak digunting sedikit dan dimasukkan ke dalam buah kelapa. Sesudah acara ni selesai, barulah buat tahlil dan doa selamat sikit. Ayah Abang Hasni mengetuai pembacaan tahlil. Bacaannya sangat sedap. Rupa-rupanya ayah Abang Hasni ialah seorang qari. Patutlah bacaannya mantop.

Koas dengan perasaan gementar mencuba menggunting jambul baby.
Giliran Abang Zai menjalankan tugas.
Abang Karim (a.k.a. Ustaz Pilihan) menggunting jambul baby.
Along Fahmi dan Is terliur menengok telur rebus dan pulut kuning yang ditatang.
Masih menggunting jambul.
Ayah Abang Hasni terus berselawat.
Abang Hasni dan salah seorang pekerjanya.
Di kalangan kaum keluarga.
Ibu Abang Hasni dan Kak Uda. Kak Uda nampak lain sikit kali ni. Oooohhh... dia bukan sedang makan.
Suraya, Nana dan Ika sedang menanti Syakira mengeluarkan barang ajaib dari poket Doraemon-nya.
Membaca doa penutup.
Lepas habis baca doa, kami semua dijemput makan. Makanan malam tu boleh tahan jugak kaw dia. Dan yang paling aku favourite-kan ialah dia punya sup daging. Memang mengancam. Malumlah, lepas jalan jauh dari KL, mestilah lapar! Aku makan dengan agak banyak jugak. Sambil tu, Abang Hasni terus mencapai mikrofon dan memberi sedikit ucapan kepada hadirin yang terdiri dari ahli keluarga serta para pekerja di resort. Ucapannya sedikit sebanyak menyentuh kalbu. Sayu jugak aku mendengarnya.

Antara barangan yang disediakan.
Makan dengan penuh berselera.
Abang Hasni memberikan ucapan.
Bersama Kak Long.
Kak Uda dan Kak Esah.
Yes! Ini barulah Kak Uda yang sebenarnya. Makan dan kak Uda bagaikan tak dapat dipisahkan.
Kak Ogie (yang nak pergi haji) dan Kak Timah.
Abang Zai sedang menjamu selera.
Lepas tu, kami pun teruskan makan dan bersembang. Sambil tu pulak, ayah Abang Hasni sesekali akan bertaranum, berzanji dan bermarhaban. Semua hadirin enjoy dengar bacaannya yang merdu. Aku yang duduk semeja dengan ayah Abang Hasni, Abang Zai dan Abang Karim, tak sudah-sudah mengusik Abang Karim. Kebetulan pulak pada malam tu Abang Karim pakai dressing macam Ustaz Pilihan. Jadi kami bagi tahu kat ayah Abang Hasni yang Abang Karim ni juara. Maka tak sudah-sudahlah Abang Karim didesak oleh ayah Abang Hasni untuk berzanji dan bertaranum. Aku dan Abang Zai pulak tak habis-habis gelakkan Abang Karim. He he he... Sorry...

Suraya dan Syakira.
Nana dan Ika.
Kamelia dan Kak Saba.
Sesudah semua majlis selesai, kami mintak diri untuk pulang awal sedikit dari tetamu yang lain. Majlis yang diadakan pada malam tu memang lain dari kebiasaannya. Kalau selalu, ruang angkasa dipenuhi dengan nada lagu serta nyanyian suara-suara sumbangsih tatkala berkaraoke, tapi pada malam tu, suara merdu melafazkan ayat-ayat Allah pulak yang kedengaran. Suasana pada malam tu memang sangat-sangat hebat!

Intan sedang makan sup kepala gajah.
Adam malu dengan kamera. Dia tutup muka.
Ika dan Shahira. Eh eh, Adam enter frame-lah!
Ardy dan Zila.

Itik-itik ini gembira dan bersyukur pasal tak dijadikan lauk untuk santapan pada malam itu.