Banner yang kata Ustaz Don akan datang bagi ceramah kat surau tempat aku dah lama terpampang kat simpang-simpang utama kat Ampang Jaya dan Kampung Melayu Ampang. Tapi aku tak pernah perasan pun. Sampailah wife aku dan anak-anak saudaraku memaklumkan hal ini kepada aku semalam. Aku ingat Ustaz Don nak bagi ceramah kat masjid yang lebih glamer seperti Masjid Taman TAR atau Masjid Bukit Indah. Rupanya dia nak bagi ceramah kat surau yang sederhana besar tempat aku biasa pergi. Cantiklah tu. Maka awal pagi lagi aku dah siap, sebab menurut poster-nya, ceramah akan bermula jam 9 pagi.
|
Banner Ustaz Don Daniyal Don Biyajid. |
|
Para jemaah sedang memberikan tumpuan dan fokus. |
Aku, isteri dan anak buahku, Yana sampai kat surau jam 9 pagi lebih. Ustaz masih belum sampai. Rupanya Ustaz Don salah time. Dia ingatkan ceramah bermula jam 10 pagi. Ketika Ustaz Don sampai, terasa auranya kat seluruh surau. Macam artis lalu, semua orang teruja dan tak sabar-sabar nak dengar ceramah tazkirahnya. Ustaz Don minta maaf kerana datang lewat. Memang beliau salah time. Tak apalah. Semua ahli jemaah okay aje. Pagi Ahad bukan ada aktiviti apa-apa pun. Dan Ustaz Don pun memulakan tazkirah dengan membaca surah Ad-Dhuha dengan suara yang sangat lunak. Tazkirahnya kali ni ialah pasal Nuzul Quran. Semua jemaah mendengar dengan penuh khusyuk dan fokus.
|
Bermesra dengan anak-anak yatim setelah habis tazkirah. |
|
Masih dengan anak yatim. |
|
Tak ubah macam selebriti. |
Tazkirah yang disampaikan oleh Ustaz Don memang hebat. Jelas penceritaannya. Ada selitan humor, dan yang lebih penting adalah isi kandungannya yang kalau dihayati bersungguh-sungguh akan memberikan kesan pada nubari setiap jemaah yang mendengar. Antara kandungannya ialah kisah pertemuan Nabi Muhammad s.a.w. dengan Malaikat Jibril a.s. Menyedari betapa hebatnya malaikat Jibril a.s., Israfil a.s. serta lapan orang malaikat yang memegang arasy Allah s.w.t. Dan seterusnya menyedari betapa kerdilnya kita berbanding para malaikat seluruhnya, tetapi masih sering mengingkari perintah Allah s.w.t. sedangkan malaikat yang hebat itu terus-menerus mentaati perintah Allah s.w.t. sejak dari penciptaannya sehingga hari Qiamat.
|
Anak-anak yatim turut teruja dengan kehadiran Ustaz Don. |
|
Ustaz Don. |
Satu lagi kandungan tazkirah ialah galakan agar kita membanyakkan bersedekah secara yang tulus dan dilakukan dengan sepenuh hati dan sebaik mungkin. Yakinlah yang Allah s.w.t. akan membalas dengan yang lebih baik dari apa yang telah kita sedekahkan dari sumber yang kita tak jangka. Semua ahli jemaah memang nampak terhibur dan terkesan dengan tazkirah Ustaz Don. Aku tak terkecuali.
|
Sessi bergambar dengan peminat. |
|
Masing-masing mengambil gambar menggunakan telefon bimbit. |
|
Anak buahku Yana turut hadir. |
Lepas habis tazkirah setelah kira-kira satu jam setengah, ahli jemaah pun mengelilingi Ustaz Don untuk mengambil gambarnya. Memang macam selebriti gamaknya. Ustaz Don tak sumbang melayan kerenah ahli jemaah yang teruja dengan kehadirannya. Setelah beramah mesra dengan anak-anak yatim yang turut dijemput khas sempena perjumpaan ini, barulah Ustaz Don beramah mesra dengan para jemaah seluruhnya. Pada majlis ini juga, anak-anak yatim yang hadir diberi sedikit saguhati berupa duit raya yang jumlahnya dirahsiakan. Setelah puas bergambar dan bersalaman, barulah para jemaah meninggalkan perkarangan surau dengan berasa puas hati. Semoga Ustaz Don dijemput lagi pada lain-lain masa untuk memberikan tazkirah kepada para jemaah.
|
Aku pun nak bergambar dengan Ustaz Don jugak. |
|
Aku sebenarnya tak sure, para jemaah sedang berebut-rebut nak bergambar dengan Ustaz Don atau nak bergambar dengan aku. |
No comments:
Post a Comment