Malam Khamis lalu, aku dapat panggilan telefon dari kakak aku. Waktu tu aku dan isteri masih kat hospital melawat bonda yang sedang tenat. Suara yang kedengaran dari seberang sana tak berapa jelas. Yang aku dapat tangkap cuma, "Snowcat kena langgar!" Kebetulan kami memang dah nak balik, jadi aku tak mempedulikan butiran mesej yang nak disampaikan oleh kakakku tadi.
Bila sampai rumah, aku nampak ada suatu objek terbungkus dengan jeket hujan warna kuning di porch kereta. Aku selak. Memang sah itu Snowcat yang dah tak bernyawa. Aku tanya anak buahku, Farid, siapa yang langgar. Katanya, jiran kami kat sebelah bawah nampak kucing mati tepi jalan. Dan dia kenal kucing tu ialah kucing kami. Lalu dibawa bangkai Snowcat ke rumah kami untuk ditanam. Kami kesian nengok Snowcat. Perutnya tengah sarat mengandung. Entah berapa ekor pulak anaknya kali ni. Ayah dan ibuku yang selalu memarahi Snowcat kerana masuk ke dalam rumah dan menyelongkar tudung saji pun turut berasa sedih dan simpati. Wanie malah menangis dengan kematian Snowcat. Cuma aku yang barangkali tengah terlalu penat pada malam tu, langsung tak berperasaan apa-apa. Sedangkan akulah orang pertama dalam keluarga kami yang memberi Snowcat makan ketika ia mula-mula meminta makanan dari kami.
Harimau mati meninggalkan belang. Manusia mati meninggalkan nama. Snowcat mati meninggalkan anak tujuh ekor yang telah remaja. Tapi enam ekor anaknya masih kami simpan dalam kandang, sebab aku khuatir perkara seperti ini akan berulang lagi - langgar lari! Kebetulan pulak rumah kami berada di bawah bukit. Kereta yang dipandu dari atas bukit memang ada kalanya menyusur agak laju dan gagal mengelak kucing-kucing yang sedang melintas jalan. Snowcat ditanam di belakang rumah keesokan paginya oleh orang gajiku.
Snowcat yang telah tak bernyawa. |
No comments:
Post a Comment