m y f a m i l y

m y   f a m i l y

Saturday, June 30, 2012

Jalan menuju Roland Garros dan Wimbledon

Semalam aku bawak lagi anak-anak buahku, Faiisal, Ali dan Hidayat pergi training tenis kat Tasik Titiwangsa. Bukan training dalam tasik. Training atas court tenis lah. Kami sampai lewat sikit dari jam 8 pagi. Stretching lebih kurang, lepas tu aku terus bagi muqadimah pasal cara membuat hayunan maut untuk memukul bola. Dan kemudian terus praktikal. Masa buat training forehand top spin, aku nengok yang paling konsisten dan steady sekali ialah Hidayat. Dia kontrol bola cantik. Faiisal kekadang okay, dan kekadang tak okay. Ali pulak masih banyak latihan kena buat. Koordinasi tubuh dengan lantunan bola masih belum difahami. Lepas tu buat praktikal pukul backhand top spin pulak. Ketiga-tiga anak muridku masih tak berapa faham kaedah pegang reket dan gaya hayunan yang sepatutnya dilakukan. Bola pukulan banyak yang pergi liar. Cuma Faiisal aje yang sesekali membuat pukulan backhand slice yang agak cantik. Pukul slice aku tak ajar diorang. Yang ni aku nak diorang belajar sendiri semasa bermain nanti.

Abang Hj Nordin tengah nak buat servis mautnya.
Foong dengan servis spin lencongnya.
Lepas tu kami pun mainlah. Faiisal geng dengan Hidayat, dan aku geng dengan Ali. Permainan sangat sengit. Bola yang di-serve oleh anak-anak buahku selalu sangkut kat net. Selalu team lawan dapat markah percuma. Namun demikian, ada sekali Faiial berjaya mengenakan service ace kat aku. Terkejut jugak aku pasal aku tak jangka Faiisal akan buat servis laju yang sukar diambil. Kedua-dua pasukan saling saing bersaing sehinggakan pemenang perlu ditentukan dengan "tie-breaker". Akhirnya team aku dan Ali menang tipis. Jadi kami menanglah set tadi 7-6.

Para pemain sedang beraksi.
Hidayat menanti bola volley untuk dihentam.
Lepas tu geng-geng tenis aku, Abang Hj Nordin dan Foong pulak datang join main sekali. Kami pun bermain beberapa set dengan enjoy sekali. Aku memang cukup suka bermain tenis dengan kedua-dua jagoan tenis yang bermain dengan teknik yang baik ni. Aku jugak memberi peluang kepada Faiisal dan Hidayat untuk bermain dengan pemain-pemain tenis yang hebat ini. Bermain dengan orang-orang yang hebat, kita akan cepat jadi hebat.

Daripada pemerhatian aku, Hidayat dapat pukul bola dengan lebih relaks dan kontrol bola dengan baik. Malah Hidayat jugak telah dapat bermain volley dengan baik walaupun aku tak ajar lagi pasal volley dengan lebih terperinci. Hidayat jugak dapat return bola servis spin Foong dengan baik. Aku pun masa mula-mula main dengan Foong tak dapat ambil servis lencong dia dengan kemas. Tetapi Hidayat dapat melakukannya. Faiisal jugak ada kelebihan dia sendiri. Bola top spin lob yang Abang Hj Nordin bagi sebelah kiri court, Faiisal berjaya smash dengan baik. Dua kali dia buat macam tu. Dan Faiisal jugak ada membuat beberapa pukulan return yang hebat ketika bermain. Cuma yang peliknya, kalau bagi dia bola simple, dia kantoi. Kedua-dua Faiisal dan Hidayat cuma ada problem dari segi servis. Servis asyik sangkut kat net aje. Rugi markah kalau asyik dapat double fault aje. Dan kedua-dua mereka jugak agak gabra bila nak ambil servis pihak lawan, especially Faiisal. Walau bagaimana pun, aku bangga dengan kedua-dua mereka kerana cepat belajar apa yang aku ajar. (Nengok siapa yang ajarlah kan, kan, kaaaannnnn... he he he). Shot of the day pada hari semalam telah dilakukan oleh Faiisal ketika return servis kencang aku yang sukar. Tetapi Faiisal dapat membalas dengan pukulan cantik yang jugak kencang dan tak dapat aku return.

Ali balik awal pasal kena pergi Hari Sukan sekolah dia.
Okay! Dah cukup kena puji. Minggu depan Pak Usu (akulah tu) nak nengok Faiisal, Hidayat dan Ali improve top spin. Setakat semalam, bola yang korang pukul masih tak ada spin lagi. Pemain tenis kalau nak jadi pro mesti pakar buat top spin. Okay? Ada faham? Okay, sekarang korang boleh lari keliling tasik Titiwangsa sepuluh round, pumping seratus kali dan lepas tu balik jalan kaki sampai rumah. Jumpa lagi minggu depan, dan jumpa pulak kita kat gelanggang Roland Garros dan Wimbledon lepas ni.

Faiisal, Hidayat dan Ali.
Bersama Abang Hj Nordin dan Hidayat.
Abang Hj Nordin sedang bagi perangsang kepada kedua-dua Faiisal dan Hidayat.
Abang Hj Nordin suruh anak-anak buahku tinggalkan badminton, main tenis aje sepanjang hayat.
Banyak kami boleh belajar dari Abang Hj Nordin yang murah ilmu ni.

Friday, June 29, 2012

Graduasi yang serba sempoi

Kali pertama aku melalui acara gemilang bergraduasi ialah selepas aku tamat belajar selama empat setengah tahun membuat Bachelor of Sciences in Architecture di University of Nebraska, Lincoln pada tahun 1986 (atau 1987, aku pun tak ingat). Masa tu tengah musim panas atau orang putih panggil summer. Graduate musim summer ni macam tak berapa glamer-lah. Banyak orang bercuti, suasana tak meriah. Malah lagu iringan ketika kami ambil sijil ijazah pun tak sehebat ketika kawan-kawan aku yang senior bergraduasi. Aaaahhh... Tak kisahlah tu. Janji dah habis belajar dan boleh balik Malaysia tanam kacang.

Dewan konvokesyen yang agak lengang.
Aku tengah ambil ijazah. Hoorrreyyy!!! Aku telah berjaya!!!
Aku ni masa kat Amerika memang selekeh habis. Pergi kelas pakai selipar jepun jamban, baju serabai. Malah masa nak graduate pun aku masih lagi selekeh. Meh aku kisahkan sikit apa yang terjadi sebelum aku naik pentas angkat itu ijazah.

Petang sebelum tu aku basuh kasut. Pasal aku cuma ada satu kasut aje untuk dipakai. Itulah kasut jalan, itulah kasut main tenis, itu jugaklah kasut yang akan aku gunakan untuk graduate. Itulah kasut sport Adidas yang dah berlubang pasal kerap benar aku main tenis kat sana. Kalau tak dibasuh, nanti terlalu kotor. Jadi aku basuh jugaklah walaupun aku tau belum tentu kasut tu sempat kering pada waktu malam. Memang betul pun. Kasut yang aku basuh tu masih lencun lagi. But what to do. Kena pakai jugaklah. Takkan nak pakai selipar jepun kot.

Masa aku ambil jubah dengan topi, aku langsung tak test pakai. Main ambil dan cabut je. Nasib baiklah jubah tu muat. Tapi tang topi tu..... Alahai, macam nak tergolek dog bila aku letakkan atas kepala aku yang lebih besar dari kepala mat saleh. Tertenggek ajelah topi tu bila dipakai. Aaaahhh... pedulikan aje. Bukannya ada orang-orang kenamaan nak datang nengok aku. So, aku pun happy ajelah pakai topi kecik tu. Masa pagi hari konvokesyen tu, aku sebenarnya bangun agak terlambat sikit. Kelam kabut mandi dan drive dengan laju (selaju 388 km/jam) di bandar Lincoln untuk sampai ke tempat tujuan. Nasib baik masih sempat beratur ikut giliran.
Tengoklah topi aku yang senget tu. Tak macho langsung.
Aku dan Chaan, dan kasut Adidas ku yang koyak dan basah.
Walaupun dewan konvokesyen agak lengang, tapi teman-teman kami yang senior dan junior turut datang menengok kami ambil ijazah. Kami bergambar kenangan sebelum beredar. Aku dah tak sambung buat Master. Jadi lepas ni memang aku kena baliklah. Ada jugak kengkawan aku yang sambung Master. Jadi mereka melepak lagi dua tahunlah kat sana. Aku pun tak ingat aku buat apa lepas graduate. Yang aku tahu kemungkinan besar aku masih main tenis dan masih pergi mancing kat tasik-tasik di Lincoln dan sekitarannya. Lepas tu baru aku balik kampung. Bye-bye Nebraska. Ada rezeki aku datang lagi. Kali ni dengan anak beranak aku sekali.

Nasa Din, Mazlan, aku, Dato' Dr Prof Noorazlan Ghazali, dan housemate aku orang Sabah yang aku dah lupa nama dia. Teruk betul aku!
Antara yang ada kat gambar: Mahzan, Badri, Mali, Azlan, Amba, Aziz, Raja, Azman, Bakar dan Saiful. Yang aku tak sebut tu maknanya aku tak ingat namalah.
Bergambar dengan teman-teman seperjuangan.
Bergambar dengan Mr Robert Duncan. Kengkawan aku yang lain dalam gambar ni sambung buat Master.
Antara kengkawan graduan kat sini dah jadi orang-orang yang hebat. Aku jer yang tak berapa nak hebat.

Thursday, June 28, 2012

Ikan apa ada di Bangi?

Ingat tak aku  pernah cerita hari tu, pasal aku pergi nengok Syahmie kat Gemencheh? Masa tu aku ada beli cengkerik RM2 untuk dijadikan umpan pancing ikan. Sekali tak sempat pergi mancing kat Gemencheh. Jadi umpan cengkerik tu tak digunakanlah. Nak buang rasa sayang. Kalau dulu aku ada bela ikan puyu, bolehlah jugak aku bagi ikan puyu tu makan cengkerik. Jadi cengkerik yang aku simpan dalam bekas plastik tu aku bawaklah kat ofis, jadikan haiwan peliharaan kejap. Dari hari ke hari, lebih banyak cengkerik yang mati. Dan bangkai cengkerik tu pulak baunya amat semerbak. Agaknya bau yang macam tulah yang menambat hati ikan-ikan seantero Malaya untuk menjamahnya. Maka aku fikir, mungkin aku kena gunakan cengkerik-cengkerik tu sebagai umpan mancing sebelum dia mati.

Dua batang joran teleskopik yang aku gunakan.
Aku pun mencari-cari port-lah untuk memancing kat sekitar tempat kerja aku. Akhirnya aku dapat satu idea. Dekat Bangi, dekat dengan UKM ada satu kolam. Kat situ memang aku biasa nengok orang mancing. Tapi tak taulah aku diorang pancing ikan apa. Lalu aku pun menghalalah ke sana selepas waktu pejabat. Saja nak try port mancing baru. Dapat pancing kejap pun jadilah. Masa aku sampai sana, aku nampak dah ada beberapa orang sedang mancing. Kat kawasan tu banyak bom-bom buatan sendiri oleh lembu-lembu peliharaan. Ada dua brader muda sedang casting spinner dengan spoon. Baling tarik, baling tarik (cast & retrieve). Aku rasa dia nak pancing arapaima gigas kot. Walaupun suasana kolam tu macam dihuni oleh para haruan sedunia, tapi aku tak nampak walau kelibat sekor haruan pun. Riak toman pun aku tak nampak. Ada sorang brader yang dah senior sikit tu dia mancing pakai cacing. Duduk steady aje kat satu sudut. Ada lagi sorang brader muda jugak, siap pakai pancing layang (fly fishing). Aku memang respect betul orang yang pandai mancing kaedah yang bagi aku sangat kompleks ni. Ada jugak yang menjaring dan menjala.

Kolam ni memang menjadi tumpuan pemancing-pemancing seluruh kawasan Bangi dan Kajang.
Aku lantas melabuhkan joran berumpankan cengkerik tadi dan membaling ke tengah kolam. Tak ada getuan langsung. Aku pasang satu lagi joran, dengan mata kailnya berumpankan cengkerik jugak. Yang ni aku baling dekat sikit kat tebing, pasal kekadang ikan-ikan suka bersembunyi di balik tumbuhan yang melata di gigi air. Aku baling dan tarik umpan cengkerik tu, nak bagi ikan main kejar-kejar sikit. Tak bersambut. Lepas tu aku pasang satu lagi set pancing. Kali ini aku gunakan umpan tipu, jig soft plastic. Baling tarik, baling tarik. Tak ada respond. Aku tukar pulak pakai soft plastic spinner combo. Baling tarik, baling tarik. Cenggitu juga hasilnya - tak ada hasil. Tapi tiba-tiba aku ternampak kelibat dua ekor ikan saiz tapak tangan berkejaran tak jauh dari tempat aku berdiri. Ikan tu warna kekuningan sikit. Tak taulah aku itu ikan apa. Aku cuba campak umpan kat situ. Lama aku tunggu, tapi tiada sambutan.

Kolam ni rupanya agak luas jugak.
Aku berhenti memancing sebelum jam 7 malam. Nanti nak balik jemput wife aku kat ofis pulak. Nampak gayanya kali ni tak ada hasil. Biasalah tu. Kalau pergi padang pancing yang baru, biasanya kita kena buat round satu kolam untuk mengkaji kat sudut mana ikan suka bermain dan lepak-lepak. Dan kena kaji jugak makanan kegemarannya serta kaedah memancingnya. Kekadang siap kena buat tesis dan kertas kerja lagi. Dah kaji semua tu, barulah jerat boleh mengena! Lepas aku simpan barang dalam kereta, aku sempat jugak jumpa brader yang senior tadi melihatkan perkembangannya. Aku nengok dalam baldinya ada lima ekor ikan bersaiz tapak tangan. Kira okaylah tu. Dia pakai umpan cacing, maka dapatlah tiga ekor anak belida atau selat, seekor kerapu lombong dan seekor ikan perisa oren. Brader-brader yang lain nampak gayanya masih belum berhasil. Cengkerik yang balance tu semua aku lepaskan kat tepi kolam. Kot-kot ada ikan yang berhajat nak makan cengkerik, bolehlah dia melompat kat tebing kejap. Aku balik dengan perasaan senang hati pasal dapat jugak aku gunakan cengkerik peliharaanku itu.

Menanti umpan digigit ikan toman gergasi.
Ikan yang dipancing brader senior. Lima ekor semuanya.

Tuesday, June 26, 2012

Menyantap si raja musang

Hari dah lewat petang. Perjalanan dari Gemencheh ke Kuala Lumpur masih diteruskan. Sebelum kami masuk semula ke highway Plus, kami singgah dulu kat kawasan Simpang Ampat. Kat sini ada orang jual durian dekat kebun dia. Kami pun masuk ke dalam dusun, nak tengok ada lagi tak durian yang dijual. Tadi siang memang kami nampak ramai sungguh orang orang yang datang. Sekarang gerai dalam dusun tu dah semakin muram. Tapi durian masih ada lagi.

Kami tanya penjual durian kat gerai tu, "Durian apa ada jual lagi?" "Semua dulian sulah habih. Ada dulian Sultan sama Musang King saja. Mau try aahh? Sikalang kita bagi diskaun lagi." Aku nengok harga durian Sultan. Woww! Mahalnya.....! Tarik nafas panjang, aku sekejap. Patutlah mahal, Sultan punya durian, fikir hatiku. Aku nengok pulak harga durian Musang King. Hwoooaaaahhhkggg!!! Mak datok moyang tan sriiiiiii... Mahal ya ampuuuuunnnn!!!!! Aku siap kena pinjam inhaler ayah mentuaku untuk menarik nafas dalam-dalam kerana terlalu terkejut dengan harga durian yang sangat mahal itu. Setelah aku dapat bernafas dengan normal kembali, aku pun berkata kepada penjual durian, "Kasi bungkus semua durian. Gua mau beli habis". Penjual tadi bukan main happy bila aku cakap macam tu. Dekat 40 bijik semua durian kat gerai tu. Kalau aku borong, mestilah dia boleh dapat untung ribuan ringgit. Lalu aku tanya penjual durian tadi, "Credit card boleh pakai ka?" Penjual tadi menengok aku dengan wajah sinis dan bosan. Dan aku pulak tersengih melihat riak wajah mereka. Untuk tidak menghampakan penjual durian tadi, kami beli jugak sebijik buah durian Musang King berskala 2 kilo. Dan kami bawak pulang ke Kuala Lumpur.

Gerai durian dalam dusun.
Yang bergantungan tu durian Musang King, yang kat bawah tu durian sultan.
Ini bukan Musang King, tapi ini Amier King.
Kami tiba di KL selepas maghrib. Kami terus naik atas ke rumah flat Ayah Atan. Dan durian Musang King kami kupas. Dan terlihatlah isinya yang sangat kuning. Durian ni jugak dipanggil durian raja kunyit atau D197. Dan kami ambil sorang satu buat rasa dulu. Mmmmmm... memang sedap... Patutlah raja musang suka sangat makan durian jenis ni. Setidak-tidaknya bila orang bercerita pasal Musang King, kini kami dah tau rasanya macam mana. Hebatnya macam mana. Enaknya macam mana. Tapi aku tak payahlah nak ceritakan macam mana sedap rasanya tu kan? Sebab imaginasi aku ni memang lain macam sikit. Nanti daripada korang nak try, langsung bertukar jadi tak nak jamah langsung. Nak tau rasa dia, kenalah beli sendiri.

Isinya menarik, rasanya menawan.

Monday, June 25, 2012

Kenapa ramai sangat orang makan cendol?

Hari Ahad lepas kami ke Gemencheh melawat Syahmie yang belajar di MRSM di situ. Balik ke Kuala Lumpur agak lewat petang jugaklah. Kami semua belum makan tengah hari lagi (kecuali Ayah Atan). Jadi perut agak kelaparan jugaklah. Selepas berbincang, wife aku suggest kami makan kat suatu gerai yang menjadi tumpuan ramai di kawasan Pulau Sebang. Aku setuju. Nak jugak tau, apa yang menyebabkan ramai orang datang makan kat situ. Gerai Pulau Sebang ni terletak kira-kira 2 kilometer dari pintu masuk utama A-Famosa Resort.

Iklan gerai cendol yang popular.
Bila kami sampai, kami nengok masih ada banyak jugak kereta yang parking kat situ. Maksudnya masih ada ramai lagi pelangganlah. Kami pun turun kereta mencari tempat duduk dan meja kosong. Setelah duduk, kami pun meminta pesanan makanan. Yang aku tahu, kat sini memang popular dengan cendolnya. Jadi aku dan isteri aku pun order-lah cendol, walaupun pada masa tu aku lebih teringin nak minum air panas. Tapi aku nak tau jugak sedap tak sedapnya cendol yang dijual. Kerana itulah juadah yang paling popular di sini. Masing-masing membuat order masing-masing. Aku yang kelaparan turut order nasi goreng kampung. Dan sementara menanti makanan siap dimasak, kami turut order keropok lekor goreng sebagai starter.

Atuk Atan dan Faiisal menanti pesanan sampai.
Bersama Salleh yang turut serta dalam rombongan ini.
Sementera menanti tiba nasi goreng yang dipesan.
Faiisal dan bukit rimba.
Tak lama kemudian, sampailah makanan yang kami pesan. Yeah! Nasi goreng kampungku telah sampai. Aku mula menjamah....Nyam nyam nyam. Okay. Masakannya tak mengancam langsung. Sedikit di bawah par. Keropok lekornya, biasa-biasa aje. Tetapi... cendolnya... Biar aku kisahkan dari segi rupa bentuk cendol tu dulu. Dari segi fizikalnya, cendol tu tak nampak menarik langsung. Isi cendol tu sendiri putus-putus dengan warna hijau yang tak menawan sanubari. Tetapi bila aku mencedok kuah cendol tu, terdengar kocakan air kuah cendol di dalam sudu yang sebegitu gemersik sekali. Itu belum rasa lagi tu. Bila aku rasa aje, aku hampir pitam menahan perasaan. Rasa cendolnya sangatlah... (Bersambung selepas iklan sabun basuh cap Kambing Hitam).

Okay, nasi dah sampai. Jom makan!
Masing-masing sedang mengisi perut yang kosong dengan makanan.
(Kita bersambung dari episod lepas). ...dan rasa cendolnya sangatlah enak! Bukan kuah dia yang enak. Tapi isi cendol tu sendiri yang sedap. Ia lembut, tak rasa esen, halus, suci, bagaikan menghirup cacing tanah yang telah dibasuh dengan sabun Dettol dan direndam dalam cecair pelembut Softlan. Korang pernah makan cacing yang macam tu? Memang macam tulah rasa isi cendolnya. Sebijik! Aku rasa itulah isi cendol paling sedap yang aku pernah makan. Nampak gayanya, gerai ni memang pakar buat cendol, tapi tak pakar buat masakan lain. Tak apalah. Janji ada satu kepakaran yang unik pun sudah memadai untuk melonjakkan tahap populariti gerai ini. Yang jugak agak best ialah, gerai ini terletak sebelah dusun durian yang aku rasa memang milik tuan kedai ni. Maka suasananya sangatlah aman damai, walaupun terletak di tepi jalan. Setelah makan dan minum, kami pun beredar dengan perasaan yang sangat puas.

Amier habis makan nasi goreng cina satu pinggan.
Di dusun durian bersebelahan gerai.
Buah durian banyak yang dah gugur. Kat pokok dah tak banyak buah.


Ramai-ramai lawat Syahmie di Gemencheh

Pada hari Ahad lepas kami bercadang nak pergi melawat Syahmie di MRSM Gemencheh. Jadi kami telefon Syahmie suruh stand-by dan bagi tau ada nak kirim apa-apa barang tak. Syahmie tulis dalam sms-nya, dia cuma nak penebuk lubang untuk kertas, hanger (pasal banyak dah hilang) dan penyapu (untuk sapu bilik). Okaylah. Kami pun belikan barang-barang tu termasuk bekalan biskut dan air sekali sebelum kami berangkat ke Gemencheh. Kami jugak ajak Ayah Atan supaya dia tak bosan dan termenung duduk sorang-sorang kat flat di Cheras. Dan aku pulak ajak Faiisal sebab kebetulan hari tu dia cuti, dan kami pulak baru berlatih tenis pada paginya tadi. Dan secara sepontan pulak, isteriku mengajak Salleh yang kebetulan tak ada apa-apa aktiviti untuk dilakukan pada hari tu. Jadi satu kereta tu ada enam orang, termasuk Amier sekali. Wanie tak ikut sebab dia ada homework sekolah yang masih belum dibuat. Aku jugak turut membawa beberapa batang joran, perkakas memancing yang lain serta umpan cengkerik. Manalah tau, kot-kot sempat singgah kat mana-mana sungai atau parit, bolehlah memancing keli, puyu atau haruan.

Alamak! Ada jambatan runtuh pulak. Kenalah buat lencongan.
Kami bertolak ke Gemencheh agak lewat jugak sebenarnya. Masa azan zuhur, kami masih lagi berada di KL. Jadi kami sampai sana kira-kira time solat asar. Perjalanan kami ke Gemencheh tergencat sedikit pasal ada jambatan runtuh kat suatu lokasi yang biasa kami lalui. Jadi kami terpaksalah buat de tour. Jauh sikitlah kami kena pusing. Sesampai di MRSM aje, kami dengar azan asar. Jadi kami pun terus solat asar kat surau. Lepas tu barulah duduk sembang-sembang dengan Syahmie. Itu pun kejap aje pasal hari dah semakin lewat. Kami sempat tunjuk kat Ayah Atan akan kolam tadahan air yang terdapat di tengah-tengah MRSM sini. Ada banyak ikan kat sini, tapi dipagar dan tak boleh memancing. Yang itu yang buat aku semakin geram tu. Yalah, takut bahaya kat budak-budak. Tapi Syahmie kata kekadang ada jugak staf MRSM yang turun pergi mancing. Nanti aku suruh Syahmie pujuk warden dia suruh bagi permit khas untuk aku, supaya dapat aku mengaut hasil lumayan dari kolam tadahan air di sini.

Tengah nengok kolam yang dihuni ikan-ikan bersaiz mega.
Semua orang nengok kolam dengan penuh minat dan ghairah.
Berehat kat kereta sementara Syahmie naik asrama simpan barang.
Salleh dan Faiisal turut serta pada trip kali ini.
Selepas bersembang dengan Syahmie dekat perkarangan MRSM, dan bagi barang-barang yang dia pesan sebelum ni, kami pun berangkat pulanglah. Sessi memancing memang tak dapat dilakukan kerana time dah lewat. Kalau datang awal sikit mungkin boleh sempat jugak nak cari lubuk-lubuk ikan sawah kat sekitar Gemencheh dan Gemas. Tak apalah. Next time kalau ada peluang, kami akan pergi mancing. Kami pergi meninggalkan kawasan MRSM kira-kira dalam jam enam petang.

Dah nak balik masa ni.
Syahmie bergambar dengan Atuk Atan.
Bergambar kenangan dengan Syahmie.
Ish ish ish... Makin membesarlah perut aku. Maklumlah, kuat makan sejak kebelakangan ni.

Meninjau perkembangan Sabriena

Sekarang umur Sabriena dah nak masuk dua bulan. Suara dia dah semakin kuat, selepas mulutnya dibelah dengan manisan kurma tempoh hari dulu. Nak-nak bila malam, masa dia nak minum susu. Memang kuat sungguh suara dia kalau menangis. Sabriena suka senyum, tak kiralah dalam tidur atau dalam jaga. Lesung pipit ada kat kedua-dua pipi. Tapi kalau tak tengok betul-betul memang tak perasan. Sekarang ni kegemaran Sabriena ialah menggeliat ke kiri dan ke kanan. Kalau terlebih menggeliat, nanti dia akan terus muntah. Uweeeeeekkkk.... Habis basah satu badan kena muntah susu adik!

Foto Sabriena terkini.

Ke End Lot dengan Ayahanda Atan

Hari Sabtu sebelah malam, kami lawat Ayah Atan kat flat di Cheras. Dia duduk sorang-sorang kat situ. Siangnya, dia menziarahi kubur Arwah Bonda Rahmah dan turut singgah di kawasan Menara Tinjau Ampang dengan anak-anak lelakinya yang lain sebelum pulang ke flat. Malam tu kami ajaklah Ayah Atan makan kat luar, kat Taman Tenaga. Kami nampak satu gerai yang macam menarik. Nama gerai tu ialah End Lot. Kami masa tu tengah tak lapar sangat. Tapi dah time makan, maka kami makanlah jugak. Kami order nasi goreng dan sup. Tempatnya memang cantik terhias, tapi makanannya biasa-biasa aje. Lebih-lebih lagi bila makan waktu tengah kenyang, mestilah tak terasa nikmat makan tu sendiri.

Menunggu makanan dengan sabar.
Tempat ni memang agak cozy.
Amier kebosanan.
Selepas makan, kami balik kat flat hantar Ayah Atan. Lepas tu kami pun balik. Malam nanti ada bola Spain lawan France. Kalau larat memang aku nak tengok. Kalau tak larat, pedulikan dia ajelah. Lagi pun esok paginya aku kena bangun awal pasal nak main tenis dengan anak-anak buah.

Jom kita makan!
Aku share makan dengan Wanie, isteriku share makan dengan ayahnya. Amier makan sorang-sorang.
Dah kenyang. Masih tersisa sedikit makanan dalam pinggan Amier.