Satu agenda yang wajib bagi aku dan isteri bila bercuti adalah memperuntukkan masa untuk memancing. Malahan kalau kami pergi bercuti di gurun Mesir pun akan kami cari jugak tempat memancing. Kalau dah tak ada sangat, mancing cicak dhab pun kira okay jugaklah tu. Di Cyberview Lodge kami sengaja menempah tempat di pinggir tasik, biar lebih mudah bagi kami melabuhkan umpan siang dan malam. Di sini joran boleh ditempah dengan harga RM10 sebatang untuk tempoh sejam. Kalau lebih lama kita sewa, lebih banyaklah yang perlu dibayar.
Aku memang telah membawa 4 batang joran untuk tujuan ini. Yang kami pakai cuma 3 aje. Satu untuk aku, satu untuk isteriku, dan satu untuk Syahmie. Syahmie adalah orang pertama yang membaling kail, tapi tanpa umpan. Barangkali ikan tilapia yang menghuni kolam terlalu lapar. Kail kosong pun dibaham penuh rakus lantas terjeratlah ia dengan tipu daya Syahmie. Aku dan isteriku kemudian bergilir-gilir menaikkan tilapia berskala 5 kilo ke atas. Banyak ikan-ikan kecil dengan berat sekitar 1 kilo terpaksa kami lepaskan kerana kami hanya memburu ikan yang bagak-bagak dan bersaiz mega. (Harus diingat, pemancing memang suka buat cerita lebih-lebih biar nampak gempaq. Jangan sesekali terpedaya).
|
Ikan pertama Syahmie, dipancing tanpa menggunakan umpan. |
|
Ikan pertama isteriku. |
|
Ikan pertamaku yang menyebabkan aku terharu dan berucap di atas batu. |
Dari darat kami perhatikan ikan-ikan di air siap membaham daun-daun kering yang gugur. Macam kebulor sangat. Kalau aku buat jigging pakai soft plastic pun sudah pasti akan naik ikan-ikan segar dari lubuk. Teringat pulak waktu memancing crappie kat Nebraska dulu. Waktu petang dan senja memang ikan galak memakan. Kami terpaksa berhenti ketika nyamuk dan agas mula bertandang.
|
Wahai ikan, si ikan kaloi. Tapi ikan tilapia jugak yang menyahut. |
Esok hari selepas bersarapan pagi kami mengunjungi lagi tasik yang letaknya tak sampai sepelaung jauhnya. Umpan roti gardenia dan palet ikan memang tak dapat ditolak ikan. Walaupun memancing di pagi hari tak sehebat memancing di sebelah petang, namun masih banyak ikan-ikan naif yang menyambar umpan kami.
Sebelum kami pulang, seekor kucing betina meminta makan dari kami. Kami ingatkan ia mengidamkan ikan yang kami pancing. Rupanya ia lebih berminat untuk menjamah roti Gardenia yang sedap dimakan walau betiu saja. Dan hujan pun mula turun renyai-renyai. Kami pulang ke bilik dan berkemas untuk pulang ke KL.
|
Kucing mintak roti. |
Jumlah ikan yang kami bawa pulang ada kira-kira 25 ekor. Itu tak masuk beberapa ekor kura-kura, seekor tuntung, seekor labi-labi, seekor penyu dan dua ekor dugong yang akan dimasak kari lemak pedas. Yeah! Misi kali ini telah berjaya!
|
Hasil tangkapan seharian. Sekor masak sup, sekor goreng, sekor masak lemak, seko barbeque, sekor ........ |
terbaik
ReplyDelete