Jam hampir 11.30 pagi aku dah beredar dari ofis di Seri Putra menghala ke Kuala Lumpur untuk menjemput anak-anak aku di sekolah. Lepas solat Jumaat, aku jumpa client di Pandan Indah. Kemudian bersama Amier kami menuju ke Tasik Ampang Hilir meninjau keadaan tasik dan ikan-ikannya di sana.
Aku beli roti dan membawa tiga keping ke pinggir tasik untuk diberi kepada ikan. Belum apa-apa lagi Amier dah ambil sekeping dan makan roti tersebut. Nyom nyom nyom... Sedap sungguh nampaknya. Bila aku jengah ke dalam air aku nampak beratus ikan tilapia kacukan menunggu di tepi batu-batu. Dulu saiznya kecil, tapi sekarang dah agak gadang. Geram jugak aku nengok. Rasa nak cabut signboard yang kata "Dilarang Memancing" dan terus melabuhkan kail bersalut umpan. Waktu aku melemparkan roti ke air, bukan saja ikan-ikan yang datang, tapi lebih 5 ekor kura-kura pelbagai saiz, termasuklah beberapa ekor kura-kura gergasi Galagapos dan seekor penyu belimbing datang berebut cebisan roti dengan ikan-ikan yang nakal. Sangat seronok aku melihatnya. Ketika haiwan-haiwan air itu sedang sibuk menyambar roti, tiba-tiba ada satu kocakan yang besar. Semua ikan-ikan yang lebih kecil tergamam seketika sambil mulut mereka ternganga besar. Bagaikan ada seekor arapaima gigas @ ikan naga atau toman raksasa baru melintas menghidu mangsa. Aku juga turut terlopong. Kegeramanku untuk memancing makin memuncak. Tapi papan tanda tak bernyawa itu jugak yang menjadi pematah seleraku.
Sedang aku asyik memberi ikan makan, Amier sibuk mengejar ayam-ayam hitam yang berkeliaran. Seronok aku nengok Amier seronok macam tu. Bila roti habis, kami pun beredar dengan harapan peluang memancing dibuka semula kepada awam, seperti dulu-dulu.
No comments:
Post a Comment