m y f a m i l y

m y   f a m i l y

Sunday, July 31, 2011

Tenis menyambut Ramadhan

Ahad semalam aku gagahkan badan memandu ke Tasik Titiwangsa untuk bermain tenis sebelum Ramadhan tiba. Kawan-kawanku yang lain tak datang melainkan abang Haji Nordin yang sedang mengajar anak didiknya bermain tenis. Lalu masuk ke gelanggang adik kepada Ulwan - jaguh tenis Selangor bawah 12 tahun. Kalau di Gombak adik kepada Ulwan rank nombor 2, satu tahap di bawah abangnya. Permainannya memang hebat walaupun bertubuh kecil. Tapi tak sehebat abangnya. Setelah puas stroke, aku ajak main game tie breaker 10 point. Siapa dapat markah 10 dulu dia yang menang. Adik kepada Ulwan pun bersetuju.

Kami main sangat sengit. Saling kejar mengejar. Point jadi 5-5. Selepas tu kesilapan demi kesilapan dibuat oleh pihak lawan dan akhirnya aku menang 10-6. Horrey!!!! Aku menang! Aku menang! Meloncat-loncat aku macam kera kena belacan Melaka. Padahal budak tu umur dia baru je 10 tahun. Kalau nak dikirakan aku ni bolehlah dikategorikan seperti mendera budak jugak. Tapi aku tak kisahlah. Yang penting aku dapat kalahkan jagoan Gombak. Dan tak lama lepas tu hujan pun turun, seakan mengesahkan kemenangan aku tadi.

Abang Haji Nordin dan anak bongsunya, sementara menanti hujan reda.

Majlis perkahwinan di Subang

Jemputan ke majlis perkahwinan yang yang dianjurkan oleh kakak sepupuku dah seminggu berlalu. Cuma baru sekarang aku dapat kisahkan  pasal agak sibuk dengan hal-hal penting yang pelbagai seperti mandikan kutu kucing, cari daun manggis kat pokok jambu, masak gulai kawah pakai lighter dan pancing ikan jerung kat lopak jalan.

Ibu dan pakcikku menunggu saat makan dengan tabah.
Ayah dan adikku turut tabah menghadapi saat-saat menanti detik makan.
Aku dan isteri cekal tabah walau haruman makanan telah mula menggoda selera.
Syahmie dan kakakku juga tabah sambil sesekali mata melirik ke arah nasi.
Wanie sentiasa tabah, lebih-lebih lagi setelah dia menghabiskan kerepek ubi yang terhidang.
Majlis diadakan di Holiday Villa Subang. First time aku bertandang ke hotel tu. Satu keluarga aku pergi. Kira rombongan 10 oranglah. Masa tu perut dah lapar pasal bau makanan dia memang menusuk ke kalbu lantas mengusik jantung. Itu yang buat kami tak sabar nak makan tu. 

Amier membaca menu makanan dengan tekun.
Tak lama lepas tu, pengantin pun masuk. Lalu berlakulah insiden naik pentas salam pengantin dan bergambar bersama keluarga. Tepung tawar takda (pasal harga tepung dah naik). Satu approach baru yang boleh dilaksanakan oleh semua penganjur majlis perkahwinan. Juga ada video show yang agak menarik. Semua berjalan lancar dan tanpa menunggu lama pengerusi majlis mengumumkan waktu makan telah tiba.

Tiba-tiba masuk 4 orang panglima menjunjung seorang perempuan, dan bila perempuan tu diturunkan dari usungan lalu dia bawak persembahan untuk raja sehari yang menandakan semua orang boleh makan. Bila penutup dome dibuka, aku dan para tetamu yang lain terus membuat lompatan harimau menerkam ke arah makanan yang terhidang tanpa sedikit pun merasa malu, segan mahupun bermuram durjana. Lauk-pauk yang dihidang memang sangat sedap dan hebat. My personal favourite is the ayam pandan. Itu baru ayam pandan, belum ayam pandan masak Kampung Pandan kat Pulau Pandan lagi. Kami makan semua sampai licin pinggan dan bekas lauk. Penanggah yang datang nak kutip pinggan lepas kami habis makan ingatkan pinggan mangkuk semua telah dibasuh. Padahal kami jilat kilat pasal terlalu sedap makanan yang disajikan.

Empat panglima menggalas tuan Puteri Saji.
Semua orang tersangat gembira bila dapat makan.
Syahmie sedang mengganyang tulang ayam.
Air sirap limau memang penyegar di kala kehausan.
Lepas makan ada pulak pertunjukan tarian yang beraneka jenis termasuklah joget, zapin, inang, ngajat, hip hop, breakdance, shuffles dan twist. Sangat menghiburkan. Lepas tu pengantin potong kek. Kek dia sangatlah tinggi. Itulah kek kahwin  yang paling tinggi aku pernah nengok. Dari bawah nak sampai ke puncak kek tu kena naik lif 10 tingkat, lepas tu kena beli tiket kapalterbang naik helikopter baru boleh sampai kat puncak dia. Memang tinggi sangat! 

Tarian ala-ala Jawa dari kepulauan Maldives.
Tarian Minang.
Persembahan tarian yang mengasyikkan.
Kek pengantin yang sangat tinggi. Puncaknya tak kelihatan.
Bila kek dah dipotong, tamatlah acara. Kami dapat gift cup cake yang siap ada kapalterbang remote kecil lagi yang boleh dimakan. Pengantin lelakinya pilot. Pengantin perempuannya peramugari. Pasal tu konsep dia macam tu. Memang sangat relevan. Kami pulang dengan perasaan puas hati. Balik rumah nanti aku nak main dulu dengan kapalterbang mainan mini sebelum membuat keputusan untuk makan dia bila perut aku lapar. Terima kasih ibu dan ayah pengantin - Abang Yazid & Kak Elita.


Gift berupa sebuah kapalterbang remote control yang boleh dimakan.

Bergambar dengan makcik pengantin lelaki.

Bergambar bersama mak pengantin lelaki yang juga sepupuku.

Wednesday, July 27, 2011

Bila cicak dah melekat

Setiap kali aku ke meja makan untuk menjamu selera, pasti ada mata-mata kecil melirik ke arahku dan ke arah makanan yang terhidang. Bila malam menjelang, atau bila suasana lengang dari kehadiran manusia, mereka ini mula mengintai peluang mendekati tudung saji dan mencari lubang untuk masuk dan menjamah apa saja yang terhidang. Barangkali mereka sudah biasa mendapatkan makanan cara ini, kerana dari susuk tubuhnya yang agak gempal dan gebu, sudah pasti usaha mendapatkan makanan selalunya berakhir dengan kejayaan. Lalat-lalat nakal juga memang selalu mengerumuni makanan dan ini juga menjadi tarikan.

Kami memang cukup geli dengan mereka. Merekalah sang cicak yang hidup berleluasa di rumah kami. Di lantai, siling, atas meja, celah almari, penuh dengan cicak. Terlalu banyak cicak di mana-mana. Selak cicak baru nampak jubin lantai. Banyak sungguh! Macam-macam cicak ada, termasuklah cicak gecko yang harganya puluhan ribu. Pakcik kayo! Pakcik kayo! Tapi bukan itu matlamat kami. Tanda hitam putih yang ditinggalkan sang cicak memang merimaskan. 

Kami fikir ikhtiar untuk membasmi cicak-cicak durjana ini. Kakakku lalu membeli pelekat cicak yang sangat hebat dari kedai berhampiran. Hari pertama kami hamparkan di atas meja makan telah membuahkan hasil yang lumayan. 5 hingga 7 ekor cicak telah terjerat. Besar-besar belaka. Bukan saja cicak yang kena perangkap, tetapi juga beberapa ekor biawak yang berlegar-legar di belakang rumah mengendeng ayam jiran turut terjerat sama. Malah seekor buaya tembaga sebesar kereta Kancil yang selalu mundar-mandir kat dalam longkang rumahku turut menjadi mangsa jerat ini. Sungguh hebat perangkap ini. Dengan hanya menggunakan gam super melekit buatan orang asli, telah berjaya memperdaya serangga dan seterusnya cicak. Ha ha ha... Kami ketawa kepuasan. Yahhhhhh!!! Mana lagi cicak, biar kami hapuskan mereka semua.

Dinasihatkan sesiapa yang penggeli jangan menonton aksi mengerikan cicak-cicak ini.

Sarapan menyambut Ramadhan

Tiba-tiba Azni tanya pada semua orang di pejabat, "Besok semua orang datang kan?" Pertanyaan itu tak memerlukan jawapan. Maka tak seorang pun di antara kami yang menjawab kerana kami semua memang akan datang ke pejabat esok harinya seperti biasa.

Dan hari esok pun tiba. Azni membawa bersamanya beberapa bekas pelbagai saiz berisi makanan. Kami semua dijemput untuk makan sarapan. Aku masih kenyang kerana telah bersarapan di kereta. Jadi aku makan ala kadar aje. Sekadar menjamah. Menu pagi tu adalah nasi himpit, kuah kacang, rendang daging (tapi kata Azni bukan masak rendang), dan keropok dua jenis berserta buah rambutan gading. Makanan yang dibawa agak banyak. Jadi waktu tengahari kami ulang makan sekali lagi. Siang tu tak seorang pun di antara kami yang turun makan di luar. Jimat sikit duit. Kami tak sempat tanya jamuan ini sempena apa. Tapi agakku ialah sempena menyambut Ramadhan kot. Okaylah. Moga murah rezki pada semua yang menjamu. Giliran aku menjamu? Aku pun tak tau. Nengoklah nanti lepas-lepas puasa.

Masing-masing sedang menjamu dengan penuh selera.

Terbahak berempat

Macam dah janji-janji aje minggu ni kena datang minimum 4 orang. Waktu abang Zai, abang Zahid dan Kois tak dapat datang kerana ada urusan lain, datang pulak si Taufik bersama adiknya Hidayat. Dan of course Faiisal pun ada sama. Maka cukuplah kami berempat hadir untuk memanaskan gelanggang.

Semalam main tak penat langsung. Okaylah, penat sikit adalah. Tapi main tak berapa serius dan banyak ketawa pasal buat pukulan bodoh. Geng court sebelah nengok kitorang pun macam tak sampai hati pasal serba huru-hara permainan kami semalam. Maklumlah, ini game terakhir sebelum Ramadhan tahun ni. Jadi tak nak tension-tension. Kira main happy go lucky je. Dalam pada tu terkeluar jugak jurus-jurus profesional yang boleh menggugat keegoan dan kemachoan pemain-pemain ternama seperti Lin Dan dan Chong Wei. Dan kami nampaknya semakin handal dan mahir memukul tangkis pakai frame reket. Susah nak ambil tu pasal penuh trick. Musim puasa akan menjelang. Dan musim puasa adalah musim ping-pong pulak.

Tiga serangkai.

Tiga bersaudara.

Tuesday, July 26, 2011

Mencantas lalang di kepala

Ahad lalu aku tiga beranak pergi kedai gunting rambut untuk menogelkan kepala kami. Aku memang agak malas nak sikat rambut. Jadi dengan berkepala botak maka lebih selesalah rasanya. Syahmie pulak rambutnya taklah panjang sangat. Cuma nak bagi lebih kemas aje sempena nak nyambut bulan puasa ni. Amier pulak kepalanya macam berkerak sikit. Macam ada kelemumur. Kena bagi botak biar lebih senang nak merawat masalah kulit kepalanya.

Mula-mula Amier dulu yang dipotong rambutnya. Sejurus tukang gunting memesin rambut Amier hingga botak, Amier pun terus memegang kepalanya. Dalam hati berkata, "Oh tidak!!! Kepalaku. Rambutku!!" Berkali-kali kepalanya dipegang dan digosok-gosok. Mungkin perasaannya berbaur antara sedih, kesal dan malu. Syahmie dan aku pulak cukup gembira dengan perubahan style rambut kami. Kami tak mengeluh, mau pun merungut.

Hari Isnin apabila Amier ke sekolah tadikanya, dia merasa malu. Kawan-kawan ada yang mentertawakannya. Seorang cikgu yang perasan Amier kerap menutup kepalanya dengan tangan lalu memanggilnya. Kata cikgu tu Amier kelihatan lebih hensem berkepala botak. Kata-kata itu memberi Amier sedikit konfiden dan peransang. Bak kata kawan karibku Hj Noris, "Dalam kotak ada asam, walaupun botak tetapi hensam".

Amier menahan asakan mesin potong rambut yang terus menerus mencantas rambutnya.

Syahmie merelakan rambutnya dipotong tanpa ragu-ragu.

Aku gembira.

Syahmie pun gembira.

Amier turut gembira, tetapi dalam keterpaksaan.

Bersama Widi di gelanggang

Aku jemput sepupuku, Widi datang main tenis dengan kami kat Jalan Jelatek, Keramat pasal dia ada cakap keinginannya untuk mengasah bakat dalam sukan yang telah 2 tahun ditinggalkannya. Widi datang agak lewat. Cuma sempat main satu set aje partner dengan aku. Aku baru lepas main dua set dan agak pancit jugaklah. Tapi pasal takda orang lain nak main, aku terpaksalah mengisi kekosongan tu. Lawan kami adalah dua orang jagoan tenis - Syed Hakim dan abang Md Nor. Seperti dijangka, kami tewas 1-6. Tak kisahlah tu. 

Widi sebenarnya lebih hebat bermain badminton. Walaupun badannya agak besar, tapi pergelangan tangannya cekap dimanipulasikan ketika berentap di gelanggang badminton. Nak adjust tangan dari badminton ke tenis memang makan masa sikit. Lebih kerap main, maka lebih cepatlah otak memberi arahan-arahan yang lebih tepat kepada anggota tubuh ketika bertukar-tukar jenis sukan.

Tak sampai seminggu lagi ummat Islam akan berpuasa Ramadhan. Tenis akan berhenti seketika. Fokus kepada ping-pong pulak. Itulah kebiasaan kami sejak beberapa tahun yang lepas ni. Mana bat ping-pong? Perlu kuasah sebelum Ramadhan tiba.

Kalumpang Family Day: Siapa lebih kuat menarik

Acara sukaneka Kalumpang yang mendapat sambutan hebat di kalangan artis dan pihak media ialah acara tarik rambut. Maaf, maksud aku tarik tali. Lapan lawan lapan. Sama gagah, sama perkasa, sama hebat. Tak siapa dapat menduga sama ada Team A atau Team B yang akan meraih kemenangan.

Tali sebesar peha gajah diangkat tanda bersedia. Mak Long dalam keadaan uzurnya pun memerah kederat untuk berjuang bersama adinda-adinda dan anakanda-anakandanya. Akid menjadi anchorman di sebelah sini. Dan Kois menjadi anchorman di sebelah sana. Team A diterajui Abby yang gagah dan hensem. Team B diterajui pula oleh Siti yang pantas dan ayu. 

Bila wisel berbunyi, prrreeeeeeeeeetttttt.... semua peserta menarik sekuat tenaga. Beberapa kali tali putus kerana kehebatan tarikan yang sangat dahsyat itu. Akhirnya diganti dengan tali besi yang dibuat dari titanium yang diperkasakan pulak lagi dengan urat waja dari Ivory Coast. Dan peserta terus menerus berjuang. Round pertama milik Team A. Round kedua milik Team B. Dan round ketiga adalah yang paling sengit. Setelah berhempas pulas, dan berlaku adegan tarik-menarik selama 3 hari 3 malam, akhirnya kejuaraan milik Team A! Dari segi strateginya, Team A berada di sebelah bawah cerun, manakala Team B berada di sebelah atas cerun. Kemenangan Team A turut dibantu dengan kelebihan graviti serta doa Mak Long yang berterusan. Selepas bertarung, semua peserta keletihan, dan menanti pula acara yang selanjutnya.

Team B yang gagah macam Badang.

Team A yang perkasa macam Dinosaur.

Bersiap siaga menanti wisel ditiup.

Peneraju Team A, Abby sedang mengkaji kelemahan pihak lawan.

Team A sempat tersenyum sambil berkata "cheese" ketika menarik tali.

Team B kegembiraan ketika menang round kedua.

Terserlah kegembiraan walaupun tewas. Itu tanda sporting.
Juara Tarik Tali - Team A.

Naib Juara Tarik Tali - Team B.

Monday, July 25, 2011

Kalumpang Family Day: Jagoan bowling kampung beraksi

Acara sukaneka hari keluarga di Kalumpang Resort berterusan dengan acara ten pin bowling padang. Bezanya cuma kami perlu menggunakan buah kelapa bagi menjatuhkan botol-botol yang tersusun rapi. Satu orang cuma satu peluang mencuba. Dan akhirnya tibalah giliran aku untuk membuat balingan. 

Lalu kupilih sebiji buah kelapa yang terbaik, yang diimport khas dari Selatan Thailand. Aku adjust kedudukan jemariku. Ibu jari, jari hantu dan jari manis kupastikan berada pada posisi yang paling wajar. Aku uji tiupan angin. Aku renung permukaan lorong menuju buah-buah bowling. Lalu ku berundur beberapa langkah ke belakang. Tangan kuhayun tinggi, dan bola buah kelapa kulorongkan tepat pada sasaran, tak seinci lebih, tak seinci kurang. Kelapa bergolek lancar menuju ke sudut yang telah kuacukan. Yaaahhh... Lagi beberapa sentimeter mencecah buah bowling. Hentaman tepat akan berlaku. Satu strike akan terhasil. Aku bakal bergelar juara. Hadiah lumayan bakal menjadi milikku. Bibirku tanpa dipaksa mula menguntum senyuman yang sinikal sifatnya. 

Tahap konfidenku kini berada di puncak. Tatkala menanti beberapa detik untuk bola menghentam bowling, tiba-tiba melintas seekor tupai gadang memintas buah kelapa tadi dan membawanya lari jauh untuk dijadikan habuan juadah tengah hari nanti. Aku menjerit sambil mengaduh. "Aduh!" kataku. Pencabar terdekatku, Yaya tersenyum puas. Aku terkandas, dan Yaya lah yang layak bergelar juara. Hu hu hu hu hu...

Isteriku membuat balingan penuh fokus.

Perhatikan gaya profesional yang aku serlahkan ketika membaling buah kelapa. Semua mata merenung ke arahku dengan penuh kekaguman.

Wanie kehausan, ambil sebiji kelapa untuk diminum airnya.

Yaya - juara bowling padang buah kelapa.

Kalumpang Family Day: Budak-budak punya mainan

Pagi hari Sabtu selepas sarapan rupanya pihak penganjur telah siapkan acara sukaneka untuk kami. Kanak-kanak dan orang besar semuanya terlibat. Anak-anak kecil main acara tiup tepung dan tiup belon. Masa tiup tepung muka anak-anak semua jadi comot tak menentu. Sampaikan kami sukar untuk mengenali anak masing-masing yang telah penuh mukanya bersalut tepung. Juaranya kalau tak silap aku ialah anak abang Karim -Eeka.

Comel jugak anak-anak bila didandan dengan tepung gandum.
Para peserta tiup tepung. Semua ceria kerana baru dapat hadiah hebat.
Sejurus selepas tiup tepung ada pertandingan tiup belon pulak. Amier jugak ingin cuba tiup belon. Tapi belonnya sampai sekarang tak besar-besar jugak. Sampai lencun belon tu dengan air liur Amier. Sebaliknya Wanie telah berjaya meniup belon dengan tenang dan kesudahannya Wanie muncul sebagai juara kerana berjaya tiup belon paling besar. Syabas kepada Wanie dan kepada semuanya.

"Fuh! Fuh! Fuh! Tak mau besar pun. Belon ni bocorlah".

"Yaaah... Akulah juara peniup belon.

Mak Long menghulurkan hadiah buat pemenang.

Kalumpang Family Day: Memancing di lubuk berbatu

Kisah Kalumpang belum berakhir lagi. Ini ingin aku kisahkan pasal aktiviti memancing yang dah memang sebati dengan keluarga kami. Kami sampai Kalumpang resort dekat jam 12 malam. Lepas makan barbeque, abang Leman ajak kami memancing kat jambatan berhampiran dengan tempat kami makan. Umpannya ialah nugget ayam. Aku dan isteriku lantas mencapai joran dan melabuhkan umpan. Main baling je kat sungai. Memang tak nampak apa-apa pasal dah gelap. Dalam masa yang singkat abang Leman berjaya menaikkan 2 ekor tengas daun dan seekor keli limbat. Aku dan isteriku tak beroleh apa-apa. Kami bungkus dan pergi tidur kat bilik yang disediakan. Besok pagi sambung lagi.

Abang Leman dengan keli limbatnya, berumpankan nugget ayam.
Awal-awal pagi lepas sarapan aku dan isteriku dah mula memancing di sungai. Geng-geng husband yang lain yang terdiri dari ayah mentuaku, abang Zai, abang Leman dan abang Karim telah pergi ke pekan Kerling untuk memancing di kolam bayar. Aku tak dapat join pasal terlibat dengan aktiviti anak-anak. 

Memancing atas batu memang sangat mengujakan.
Isteriku menangkap ikan dari spesis alien menggunakan tangan aje.
Bila menjenguk ke sungai, tak pernah aku nengok ikan tengas daun sebanyak tu bermain-main di celahan batu. Kuak ikan baru nampak air. Macam jinak je. Dulu masa aku datang Kalumpang, nak nampak sekor pun susah. Ketika kami memancing, kami ternampak seorang penembak ikan sedang menyelam lama dalam sungai. Siap pakai scuba suit dan tangki oksigen lagi tuuu... Orang tu menembak ikan pakai senjata pistol buatan sendiri. Mula-mula dia kata pakai M-16, tapi bila tembak, bukan aje ikan tengas yang mati, tapi ikan lumba-lumba dan layaran juga turut menjadi mangsa. Untuk target yang lebih tepat, dia pakailah pistol kecil buatan sendirinya tu. Aku nengok ikan yang dia dapat boleh tahan jugak. Saiz tengas dia agak kasar berbanding dengan yang aku nampak. Rupanya ikan yang besar-besar ni dia sembunyi bawah batu.

Amier baca mantera pancing ikan.
Syahmie dan Wanie cuba memerangkap ikan menggunakan botol.
Ikan-ikan tengas kat sini memang suka benar makan daging ayam atau apa saja yang ada kena-mengena dengan ayam. Antara umpan yang terbukti efektif termasuklah KFC, Twisties ayam, nugget ayam, malah ayam kari pun dia bedal (abang iparku berjaya menambat tengas yang agak kasar menggunakan ayam masak kari). Tak ketinggalan ayam masak cili. Lebih pedas maka lebih berseleralah tengas-tengas tu meragut umpan. Nasib mungkin tak begitu menyebelahi aku dan isteriku, kami cuma dapat sekor je tiap sorang. Tarikannya memang ganas walaupun cuma ikan kecil. Aku mula-mula ingatkan seekor kerbau sedang menarik tali pancingku. Aku siap pasang kuda-kuda bagi menahan asakan tarikan yang sangat luar biasa tu. Tapi bila aku tarik habis-habisan barulah muncul makhluk yang menjadi dalang, iaitu seekor tengas berskala tak sampai 100 gram. 

Inilah tengas daun yang  menyebabkan keringat jantanku mencucur deras dan aku terpaksa bertarung hampir sejam sebelum berjaya menjinakkannya. Fuh!
Mak bapak pergi mancing, anak-anak main air.
Salleh dan Amier tak lepaskan peluang bersantai di gigi air ketika kami sedang asyik memancing.
Pada malam hari diadakan penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan memancing. (Sebelum tu aku tak tau pun yang pancing ini akan dijadikan pertandingan). Pemenag pertama ialah abang Karim yang berjaya menaikkan seekor patin di kolam Kerling. Naib johan ialah abang Leman dengan ikan Rohunya. Hadiah khas juri milik ayahanda Atan. Yang lain dapat hadiah saguhati.

Ikan-ikan yang kami pancing semua siap dipotong dan digoreng. Dan yang paling menyelerakan ialah ikan tengas sungai Kalumpang. Walaupun kecil tetapi rasanya sangat menusuk kalbu. Lain masa akan kukunjung lagi dengan membawa ayam hidup untuk dijadikan umpan yang lebih berkesan.

Hadiah khas juri pertandingan memancing - ayahanda Atan.

Para peserta pertandingan memancing.

Juara dan naib juara ber-posing dengan ikan masing-masing.

Ikan tengas yang dah digoreng. Memang luar biasa sedapnya.