Ini kisah lama. Kisah bulan Februari dulu. Ingat tak pada tarikh 3 hingga 7 Februari? 5 haribulan hari Ahad. Masa tu hari Maulidur Rasul. 7 haribulan pulak hari Selasa. Cuti hari Thaipusam. Cuti panjang macam ni memang jarang-jarang berlaku. Jadi kami dah plan sesuatu untuk diisikan pada masa cuti empat hari tu. Beginilah perancangan kami:
Pada 3 Februari (Jumaat) - kami bercadang nak off setengah hari. Nanti wife aku akan naik komuter dari KL sampai Bangi, dekat dengan ofis aku. Dan lepas solat Jumaat kami akan bertolak dari Bangi ke MRSM Gemencheh ambil Syahmie balik rumah bercuti.
Pada 4 Februari (Sabtu) - paginya ada mesyuarat PIBG Sekolah Ampang. Aku memang tak pernah miss datang mesyuarat. Pada hari berkenaan aku sepatutnya akan menyatakan dua cadangan hebat untuk didengari oleh sekelian ibu bapa dan guru-guru yang hadir. Suatu cadangan yang akan mengubah persepsi masyarakat dunia terhadap Sekolah Ampang ni. Suatu cadangan yang besar. Sangat besar. Hebat. Dan sangat hebat!!! Malah aku juga akan mencadangkan untuk menjadi salah sorang dari AJK persatuan PIBG. Dan lepas tu aku nak kempen supaya guru-guru sekelian memilih aku untuk jadi Guru Besar Sekolah Ampang yang baru. Eh! Boleh ke buat macam tu ek? Aaaahhh!!! Tak kisahlah. Aku memang plan nak rebut kuasa dari Guru Besar sedia ada. Huwaaa ha ha ha ha!!!
Pada 4 Februari (Sabtu) - malamnya kami bercadang nak ke rumah pakcik aku kat Shah Alam untuk meraikan anak beliau yang berkahwin. Walaupun majlis kahwin tu dibuat pada hari esoknya, Ahad, tapi kami memang plan nak datang awal pasal hari Ahad kami ada program lain.
Pada 5 Februari (Ahad) - kami akan bercuti di Ayer Keroh Melaka. Nak bercuti di Ayer Jerneh takut tak jumpa cari. Jadi Ayer Keroh pun kira jadilah. Kat Ayer Keroh kami nak pergi Taman Buaya dan Taman Rama-rama. Aku memang dah plan nak bergambar dengan rama-rama yang warna-warni tu. Dan aku juga nak bergasak dengan buaya-buaya ganas sungai Melaka dan mengambil kulit mereka untuk dibuat tali pinggang, wallet dan jeket kulit yang hebat.
Pada 6 Februari (Isnin) - kami bercadang nak ke Bandar Hilir Melaka. Nak pergi naik cruise kapal kat Sungai Melaka. Orang kata hebat pemandangannya. Waktu siang boleh nampak biawak, buaya, ular air, naga Tasik Cini, apatosaurus (dinosaur yang suka main air), ikan paus dan penguin. Kalau waktu malam pulak boleh nampak lampu yang berwarna-warni sampai berpinar bijik mata kalau tenung lama-lama. Itulah kecantikan kat Sungai Melaka yang nak sangat kami lihat dengan mata kepala mulut kaki tangan betis perut kami sendiri. Dan seterusnya kami akan menghantar Syahmie balik ke MRSM Gemencheh pada pagi hari Selasa 7 Feburari sebelum pulang ke Kuala Lumpur.
Tapi apa yang terjadi adalah sesuatu yang berbeza dan di luar dugaan sama sekali. Pada malam hari Khamis 2 Februari, Amier sakit perut muntah-muntah sampai keluar segala muntah kuning dan hijau. Badannya jadi kering pasal banyak air dah keluar. Kami hantar Amier ke hospital dan doktor tahan Amier dalam wad pasal keadaanya agak teruk. Jadi aku dan isteri pun temanlah Amier yang terlantar sakit di hospital Ampang Puteri.
Keesokan harinya, aku pulak dilanda muntah-muntah setelah pulang dari mengambil Syahmie di Gemencheh. Keluar semua isi perut termasuk usus dan pankreas..... okaylah, usus dengan pankreas tak keluar, yang keluar hanya muntah aje. Tapi tak seteruk Amier, sebab Amier kena cirit birit pulak lepas dia muntah. Isteri aku menyusul penyakit yang sama. Kami sama-sama jumpa doktor mendapatkan rawatan. Aku diberi ubat sebagai pesakit luar. Isteri aku yang lebih teruk dimasukkan jugak ke dalam wad. Duduk satu wad dengan anak aku. Rupanya kat rumah, mak aku pun kena muntah-muntah dan cirit birit yang teruk. Kami kesemuanya kena demam jugak dan pening kepala.
Penyakit tu tak berhenti di situ saja. Orang-orang lain kat rumah pun turut kena jugak penyakit yang sama. Tapi pada tempoh yang berbeza-beza. Termasuklah ayah aku, kakak aku yang memang selalu lepak kat rumah kami, serta anak kakak aku, Yana. Dan yang terakhir kena ialah orang gaji aku. Satu penangan kuman yang sangat hebat dan dahsyat. Kami tengok penyakit ni pada asalnya sebagai keracunan makanan. Tapi bila dia mula menjangkit dari satu orang ke satu orang yang lain, kami rasa ia disebabkan oleh virus yang memang sinonim dengan penyakit macam ni iaitu "ROTA VIRUS". Tapi doktor tak pernah declare pun ia berpunca dari Rota Virus. Tapi seminggu selepas kami kena penyakit ni, kena pulak kat Perak wabak Rota Virus ni sampai melibatkan kanak-kanak seramai dua ribu lebih orang. Dan ada dua orang bayi yang maut.
Masa ni cuma Amier yang sakit. Itu pun dia dah ada tenaga sikit. |
Masa ni isteri aku pula yang sakit teruk sampai perlu dirawat di wad. |
Pada hari yang sepatutnya kami hantar Syahmie pulang ke asrama di Gemencheh, tiba-tiba Syahmie pula mengadu sakit kepala dan sakit perut. Rupanya Syahmie pun dah terkena jangkitan kuman ni. Kami telefon pihak sekolah minta extend cuti Syahmie hingga dia sembuh. Permohonan kami diperkenankan. Maksudnya dalam rumah tu semua orang kena serangan Rota Virus, kecuali Wanie. Sampai wabak ni selesai, Wanie masih bebas dari serangan virus yang berbisa ni.
Itulah, manusia merancang. Allah juga merancang. Perancangan Allah-lah yang terbaik. Dan ketentuan Allah itu sangat banyak hikmahnya, walaupun kita selalu tak nampak atau mengetahuinya. Setelah berusaha, seringlah berdoa, bertawakkal dan redha. Baru hati jadi tenang dan mudah untuk kita bersabar dan bersyukur.
Giliran Syahmie pulak dirawat sebagai pesakit luar. |
No comments:
Post a Comment