Minggu lepas tiba-tiba tekak terasa teringin nak makan dim sum - sejenis makanan Cina yang popular. Kami nak cari yang versi halal. Lalu kakak aku mencadangkan pergi ke Taman Melawati. Ada satu restoran Cina Muslim berjudul Restoran Masakan Cina Muslim Mohd Chan Abdullah. Kat situ memang ramai pelanggan dari keturunan Melayu yang teringin nak makan masakan Cina. Ini sebenarnya masuk kali kedua kami makan kat sini. Tapi pengalaman yang kedua ini agak berbeza.
Dibuka sampai jam 11 malam. |
Sebelum masuk ke kedai, kami sempai belajar cakap Mandarin melalui kitab-kitab purba zaman Dinasti Ming. Ini adalah bagi memudahkan proses memesan makanan nanti. Tapi bila kami sampai aje kat kedai, rupanya pekerjanya semua bukan dari keturunan Cina, tetapi Melayu dan Indon. Okay-lah. Waktu kami datang tu orang tak berapa ramai. Jadi agak senang jugaklah kami nak memesan makanan. Kami order dim sum, wantan goreng, sup taufu, nasi itik, nasi goreng kampung dan nasi goreng ada udang.
Syahmie dan nasi itiknya. |
Dim sum yang disajikan kepada kami ada dua jenis. Rasanya agak sedap jugak Aku suka cecah sambal merah. Sambal cokelat aku tak berapa suka. Tak kamcing. Wantan gorengnya juga agak sedap. Tapi perlu dimakan panas-panas. Untuk memastikan ia masih panas ketika disajikan, aku sempat merampas dari pelayan pinggan berisi wantan tadi sejurus ia siap digoreng. Dan memang tepat agakan aku, waktu panas-panaslah ia paling mengancam dari segi perasaannya. Maksud aku dari segi rasanya. Bagi penggemar sup seperti aku, sup taufu nya juga agak enak. Banyak halia dan kobis jeruk. Tapi aku okay aje. Semua aku hirup sampai licin. Nasi goreng yang di-order oleh Wanie dan Amier boleh tahan jugak rasanya. Tetapi tiada sebarang keunikan berbanding dengan nasi-nasi goreng di tempat lain. Kini tiba pulak nasi itik yang telah dipesan oleh Syahmie. Dia macam nasi ayam jugak. Tapi tempat ayam telah diambil alih oleh itik. Daging itik agak liat sikit macam dodol. Kuah kicap yang dituang atas itik tu bagi aku kurang kaw lah. Jadi aku memang kurang minat nasi itik tu. Kalau nasi angsa mungkin lebih sedap kot.
Amier gembira dapat air tembikai. |
Harga makanan agak murah berbanding dengan sesetengah restoran Cina Muslim yang lebih tersohor. Kami makan tak terlalu kenyang. Sedang-sedang elok aje. Kami pulang pun dengan perasaan puas hati. Bagi anda yang nak cuba masakan Cina Muslim, datanglah ke sini. Kelebihannya, anda tak perlu berbahasa Mandarin untuk memesan makanan. Toche...
Sedang menikmati wantan goreng. |
No comments:
Post a Comment