Aku masih beraya di Kalumpang pada hari ke-6 Syawal. Beraya di tepi sungai. Sungai yang airnya sangat deras dan jernih. Sungai yang berpenghuni. Penghuni yang pandai berenang-renang. Dan aku sangat suka nak tangkap itu penghuni sungai menggunakan kail dan joranku, berumpankan sesuatu yang mampu memperdaya mereka. Dan ini adalah satu lagi sebab kenapa beraya di Kalumpang ini sangat menyeronokkan.
|
Syahmie turut teman aku memancing. |
Tanpa mempedulikan orang di sekelilingku, aku yang berpakaian lengkap seperti lelaki Malaya terakhir telah menyinsing seluar untuk terjun ke sungai dan menduga kehebatan para penghuninya yang memang dikenali sangat cekap bermain air dan pintar bermain sembunyi-sembunyi. Aku bawak 3 batang joran teleskopik. Cuma dua batang aje yang aku gunakan. Aku siap bawak cacing tanah gila yang telah kubeli lama masa kat Ampang dulu. Aku cucukkan cacing-cacing ini ke mata kail udang yang halus. Cacing-cacing itu menggeliat tanda seronok dapat membuat regangan badan setelah lama bermukim dalam tanah yang sempit dan padat. Lalu aku balingkan umpan ke dalam air sungai yang sejuk. Cacing-cacing lebih kegembiraan kerana dapat berenang-renang dengan bebas. Lalu aku tunggu sambil bertenggek atas batu.
|
Ikan tilan - ikan pertamaku pada trip kali ini. |
|
Tersangat bangga dengan ikan tilanku. Aku sangat bangga macam Mr Bean lagakku. |
|
Lubuk berbatu ni memang sangat strategik. |
Abang Zahid jugak ada kat sebelah aku. Ketika aku tengah asyik memerhatikan sungai, tiba-tiba Abang Zahid kata joranku melendut membentuk huruf 'C'. Aku jadi tertanya-tanya, kenapa dia buat huruf 'C' dan bukan huruf-huruf lain seperti I, A, Q, Z atau M? Tekaanku, mungkin kerana 'C' mewakili Cacing kot? Lalu ku karau kekili bagi menggulung tali. Dan di hujung tali telah tersangkut seekor anak ikan tilan pergunungan yang berwarna cokelat (mungkin sesuai untuk dibuat chocolate fountain). Tilan adalah ikan jenis belut jugak yang mempunyai sirip yang berduri tajam. (Aku baru tau dari Abang Zahid). Aku bagi tau Abang Zahid, kalau dia nampak joran melendut lagi, tak payah tunggu aku, dia pun boleh tarik terus.
|
Abang Zahid memperagakan ikan tilan ke segenap perkampungan Kalumpang. |
|
Teman memancingku - Abang Zahid. |
Tak lama lepas aku bercakap macam tu, tiba-tiba joranku melendut lagi. Kali ni ia membuat bentuk huruf X. Ahhh... Tak kiralah bentuk huruf apa pun. Janji ada yang menarik di hujung tali. Abang Zahid yang nampak kejadian itu terus aje mencapai joran dan menggulung tali. Seekor tengas telah tersangkut pada mata kail. Inilah ikan yang aku idam-idamkan selama ini. Ikannya tak besar mana, sekadar dekat lima kilo aje.. Seronoknya kami bukan kepalang.
|
Ikan tengas pertama kami. |
|
Ikan tengas ni Abang Zahid yang naikkan. |
|
Ikan tengas yang aku naikkan pulak. |
Sedang aku memancing di bawah jembatan, aku ternampak kelibat empat ekor katak sungai yang sangat besar. Setiap sekor aku agak beratnya dekat dua kilo setengah. Itulah katak sungai yang menjadi idaman ular anaconda sungai yang merayap di situ pada malam-malam hari. Ngeri jugak aku melihatkannya.
|
Sang katak sedang bercengkerama. |
Ikan selanjutnya yang aku perolehi ialah ikan tengas dan kemudian ikan tilan lagi. Abang Zahid pula yang beralih ke port lain telah memperolehi seekor ikan tilan jugak. Jadi jumlahnya untuk petang itu ialah enam ekor ikan semuanya - empat tilan dan dua tengas. Kami sangat berpuas hati dengan perolehan itu. Tapi tak dinafikan, kali terakhir aku ke sana, aku nampak jauh lebih banyak ikan berenang-renang kat sungai. Boleh nampak dengan mata kasar! Mungkin populasinya telah sedikit berkurangan akibat aktiviti menuba ikan yang dilakukan di sebelah hilir sungai beberapa ketika dulu.
|
Ikan tilan lagi. Dia memang suka betul dengan cacing tanah. |
|
Adam dan Kamilia menemani ayah mereka memancing pada malam hari. |
Waktu malam kami sambung memancing, walaupun dalam kegelapan malam. Waktu malam aku ditemani oleh Koas dan Abang Karim. Umpan cacing yang aku bawa telah kehabisan. Jadi kami gunakan umpan pallet ikan, umpan cengodok, hirisan ayam dan yang paling mengancam sekali ialah umpan perut ayam yang baunya dah semakin semerbak. Bila aku pegang aje perut ayam tu untuk dicangkukkan pada mata kail, terhidu sangat mendalam akan keharumannya. Dan bau "harum" yang dahsyat itu telah melekat padu dan sebati dengan tangan aku yang menyentuhnya tadi. Tak hilang baunya walaupun aku telah membilasnya dengan sabun, Chlorox, Softlan, minyak wangi atar, dan air mawar. Terpaksalah aku redha aje dengan bau yang melekat kat tangan aku tu.
|
Memancing pada waktu malam, lain pengalamannya. |
|
Abang Karim menanti renggutan ikan. |
Waktu malam tak membuahkan hasil. Sorang pun di antara kami tak memperolehi ikan. Terus kami bungkus dan terpaksa mengaku kalah. Ikan-ikan berenam ekor tu aku bawa pulang ke rumah keesokan harinya. Aku terus siang. Kemudian kuletakkan kunyit garam dan lada hitam. Terus aku goreng garing-garing, dan kemudian menjamahnya beramai-ramai, pekena dengan nasi himpit (sebab nasi panas tak ada). Amboiiiiiihhhhh.... hmmmmm.... sedapnya bukan kepalang!!! Barangkali ikan tilan tak begitu menggegar jiwa, tapi ikan tengas yang masih bersisik tu..... sangatlah mengancam sanubari kerana terlalu sedap yang amat sangat! Dan aku memang menanti aje peluang untuk berkunjung lagi ke sini untuk mendapatkan khazanah dari Sungai Inki ini di Kalumpang.
|
Enam ekor ikan yang telah berjaya dipancing. |
|
Setelah disiang dan diletakkan kunyit dan garam. |
|
Menggoreng ikan segar. |
|
Siap digoreng. Masa untuk makan!!! |
No comments:
Post a Comment