m y f a m i l y

m y   f a m i l y

Saturday, July 11, 2015

TTC lawan UIA friendly: Mengenalpasti kekuatan diri

Bahagian 2 (Akhir)

Lanjutan dari pertembungan terdahulu pada perlawanan persahabatan TTC lawan UIA, bersambung pulaklah kisah perlawanan di antara gandingan The Alyas Brothers (TTC) dengan lawan yang hebat dari UIA. Pada pandangan aku, perlawanan ini sangatlah seimbang. Kedua-dua pasukan mempamerkan permainan yang konsisten dan bertenaga. Mungkin mereka telah meminum air Milo yang menyebabkan mereka kesemuanya sangat sihat dan kuat. Servis-servis laju bak F1 terus menerus diajukan kepada pihak lawan. Pukulan-pukulan drive yang kencang dan penuh spin berbalas-balas di antara keduanya. Kemudian siap ada berbalas-balas pantun pulak lagi di antara mereka.

"Bola tenis bulat bentuknya,
Dipukul pemain, deras perginya,
Pukulanku ini dahsyat top spin-nya,
Kalau berani, silalah membalasnya."

"Aku ini malas nak cakap,
Setakat bola cenggitu, pejam mata pun boleh kubalas,
Kalau engkau mengaku cekap,
Amekaw bola yang kulibas!"

Begitulah lebih kurang kata-kata yang telah dihamburkan oleh kedua-dua pihak yang sempat kurakam di dalam tape recorder yang kebetulan aku bawak bersamaku. Dalam perlawanan yang sengit itu, kemenangan berpihak kepada Team UIA. Beza mata hanyalah sedikit. Namun memang tetap menang, dan kalah tetap kalah. Tahniah kepada team UIA. Tahniah juga kepada The Alyas Brothers kerana persembahan yang sangat bertenaga itu. Tak rugi penonton yang telah membayar tiket mahal untuk menontonnya.

Faizal dalam mode berjaga-jaga.
Raket Ashraf terlalu berat - 4.5 kilogram. Maka Ashraf terpaksa meletakkannya kat atas lantai dulu pasal tangan dah lenguh.
Sekarang baru angkat reket dan bersedia menanti sebarang kemungkinan.
Game dah tamat. Kemenangan bagi pihak UIA.
Abang dan adik berpegangan tangan sebagai lambang air dicincang tak akan putus.
Baru aku nampak Ashraf tersenyum. Bila kalah baru senyum. Mungkinkah Ashraf memang suka kepada kekalahan?
Perlawanan selanjutnya adalah di antara gandingan Faiz-Amir menentang double dari UIA. Aku berasakan Team TTC boleh menang dalam perlawanan ini. Mungkin. Itu adalah tanggapanku pada awalnya. Lalu aku terus menyaksikan keseluruh permainan ini. Memang sangat sengit. Sangat-sangat sengit, sampai berpeluh-peluh badanku ketika menyaksikannya. Aku sampaikan terpaksa pinjam baju swimming suit dari Arafat bagi membolehkan aku berenang dengan selesa dengan air peluh yang keluar mencurah-curah dari tubuhku ini.

Faiz sedang bersedia untuk membuat serang hendap di jaring.
Pihak lawan nampak gayanya tak perasan ketika Faiz bersembunyi di balik jaring.
Gandingan Azizul-Eman menentang Team UIA.
Yang baju oren tu pensyarah. Yang baju purple tu kalau tak silap aku staf UIA. Selebihnya adalah pelajar.
Berkobar-kobar untuk memulakan perlawanan.
Perlawanan bermula.
Amir agak tertekan dalam perlawanan ini.
Amir bersedia untuk bertarung.
Perlawanan telah pun tamat.
Saling berjabat tangan dan memberi 'give me 5'.
Kemenangan tipis berpihak kepada Team UIA.
Persaingan di antara Faiz-Amir dan pencabarnya dari UIA sangatlah mendebarkan. Mereka saling berkejaran. Mata demi mata. Sebijik bagaikan polis mengejar pencuri. Bagaikan Lewis Hamilton mengejar Fernando Alonso dalam F1. Bagaikan orang kampung mengejar ayam untuk masak rendang di malam raya. Aku yang bagai nak pitam menyaksikannya. Sesekali mentor/kapten Team UIA-Issyam memberikan pointer pasal strategi permainan. Keadaan menjadi semakin sengit apabila kedua-dua team terikat dengan mata 7-7. Mata ke-8 perlu ditentukan melalui tie-breaker. Masa persaingan tie-breaker itu lebih lagi mencemaskan. Beberapa biji ambulan telah dipanggil, bersedia untuk sebarang kemungkinan yang berlaku nanti. Setelah kedua-dua pasukan berhempas-pulas beraksi di gelanggang, maka pada akhirnya kemenangan berpihak kepada Team UIA dengan kemenangan yang sangat tipis. Kalau tak silap aku kiraan tie-breaker pada hari itu adalah 218 UIA berbalas 217.99 TTC. Sangat rapat! Tahniah kepada Team UIA. Dan tahniah juga kepada Faiz dan Amir yang telah berjuang bermati-matian.

Perlawanan yang membabitkan Azizul dan Eman turut berakhir. Kalau tak silap aku yang ini dimenangai oleh Team TTC.
Giliran aku pulak bergambar untuk keluar dalam majalah Mangga dan URTV.
Aku digabungkan dengan Aril (berbaju merah).
Beberapa perlawanan lain telah jugak berlangsung. Tapi aku kurang menyaksikannya. Sehinggalah aku ditanya sama ada nak bermain mewakili Team TTC. Aku okay aje, walaupun menyedari kesakitan yang amat sangat pada lengan kananku. Aku digandingkan dengan Aril Salleh. Aril menanti kedatangan lawan kami di gelanggang dengan penuh bersemangat. Aku pulak menanti dengan separuh semangat pasal mengetahui kekuranganku pada hari itu. Akhirnya muncullah pemain-pemain UIA yang bakal menentang kami. Nampak muda-muda. Macam pangkat anak-anak kepada aku. Tapi kekadang yang muda-muda ni main dia boleh tahan jugak. Jadi aku tak naklah under estimate kebolehan mereka.

Bila permaian bermula, aku menyedari bahawa permainan mereka lebih kurang sama taraf dengan permainan kami. Tidak terlebih atau terkurang dari segi skil permainan. Memang pertembungan yang agak adil. Tapi aku tak dapat memukul bola dengan baik. Aku sekadar tap bola, dan bukan hit dengan drive yang padu. Aril pulak nampak gayanya tak dapat meng-cover kelemahan permainan aku. Aku rasa pihak lawan telah menyedari kekurangan ini. Dan seorang dari mereka mengambil kesempatan dengan membuat pukulan jurus Naruto bila aku membuat servis lemah. Acap kali keadaan ini memerangkap kami sehinggalah kami tewas dengan jarak mata yang agak besar. Tahniah kepada Team UIA. Dan tahniah jugak buat aku dan Aril yang telah mencuba sedaya upaya melakukan yang terbaik.

Para pemain sedang berehat.
Aksi istimewa dari TTCians.
Presiden Faizal sedang buat gerak tarian ballet dengan mengangkat sebelah kaki.
Coach Atok Baktiar sedang membuat kelas cara-cara bermain tenis dengan betul.
Kini Coach Atok Baktiar sedang menunjukkan kaedah membuat pukulan double handed forehand yang padu.
Setakat yang aku tahu, kutipan mata pada masa itu adalah TTC menang 4 set dan UIA jugak menang 4 set. Tapi ada lagi permainan susulan yang aku tidak menyaksikan pasal dah balik. Inilah satu perlawanan yang sangat sengit ketika menentang UIA. Post mortem kami, yang telah diketuai oleh Inspektor Sahab Azizul mendapati kekuatan TTC adalah terletak pada taraf 'Antarabangsa' nya dan jugak kerana mereka pelajar dan pensyarah universiti banyak menggunakan segala macam teori, seperti Theorem Pythagoras, Theory Physics Newton, dan Theory Relativity Einstein E=mc2. Teori-teori itu telah mengelirukan kami sehingga keadaan menjadi kelam-kabut buat Team TTC. Kerana kebanyakan kami SPM Matematik dan Fizik sekadar dapat keputusan P8 (bagi yang senior) dan D (bagi yang junior).

Kapten Issyam baru nak beraksi.
Aku jangka perlawanan ini pasti sengit.
Tapi sayangnya aku tak tunggu lama untuk menyaksikannya.
Apa-apa pun, matlamat untuk meluaskan lagi jaringan persahabatan dalam sukan tenis telah tercapai. Dengar khabarnya, sejak terjalinnya keakraban Team TTC dangan Team UIA, beberapa member kami di TTC yang telah mengulang ambil peperiksaan SPM kali ini telah mendapat keputusan A dan A+ dalam mata pelajaran Matematik dan Sains. Tahniah buat mereka. Sebelum berpisah, kami bergambar beramai-ramai sebagai kenangan. Aku tak ada dalam gambar bukan sebab aku jadi cameraman. Tapi sebab aku dah lama balik ke rumah. Dan barangkali tengah makan tengah hari berlaukkan daging kijang panggang. Anyway, terima kasih dah tahniah buat semua!

TAMAT.

Bergambar beramai-ramai setelah tamat permainan.
Tinggal yang ini saja di gelanggang. Yang lain dah balik kampung untuk beraya.
Free style dari semua. Bye-bye!


No comments:

Post a Comment