18 Julai 2015 - Setelah
beraya di rumah Nek Wok, kami terus menuju ke Asam Jawa untuk beraya di rumah Wak Ros pulak. Wak Ros ialah abang kepada ibuku. Kami telah diberitahu bahawa jalan menghala ke sana agak sesak teruk. Jadi kami pun bersiap-siaplah pasang application Waze untuk mengesan jalan yang tak berapa sesak, walaupun sedikit jauh.
Menurut applikasi Waze, jalan yang tak sesak untuk ke Asam Jawa adalah mengikut jalan dalam. Aku memberi sepenuh kepercayaan kepada Waze untuk memanduku ke jalan yang benar. Mula-mula kami dibawa mengharungi sebatang jalan yang kecil. Muat sebuah kereta aje. Kanan dan kiri adalah semak-samun dan belukar. Dan disebungi kebun kelapa sawit. Aku terpaksa meneguhkan imanku. Dan meneruskan perjalanan mengikut tunjuk ajar Waze. Kemudian Waze membawa kami meredah kebun getah, sawah bendang, dan hutan rimba khatulistiwa yang sarat dengan haiwan-haiwan buas seperti harimau Malaya, orang utan, babi hutan, tenuk, badak air, gajah Afrika, singa, chimpanzee dan zirafah. Imanku dah mula goyah. Betulkah arah ini akan membawa kami ke matlamatnya? Aku teruskan perjalanan sambil menutup sebelah mataku. Kemuncak keraguanku ialah apabila Waze membawa kami melencong ke jalan-jalan yang aneh, seperti di Jalan Karak lama, jalan ke Grik, dan jalan ke Gua Musang. Memanglah jalan yang kami harungi itu tak sesak langsung, sehinggakan aku boleh memecut kenderaanku sehingga ke kelajuan 320 km/jam. Akhirnya, setelah bergerak dan berpusing-pusing mengikut telunjuk Waze selama tiga hari tiga malam, kami sampai juga di pekarangan rumah Wak Ros dengan selamatnya. Syukur!!!
|
Geng motor kampung datang beraya dalam acara 'baraan'. |
|
Seronok nengok geng 'baraan' datang. |
|
Barulah terasa suasana kampung kalau macam ni. |
|
Bukan setiap tahun kami berpeluang untuk terserempak dengan mereka. |
|
Sepupuku, Hakim turut serta dalam rombongan 'baraan' ini. |
|
Amier mendendangkan lagu Selamat Hari Raya dengan angklung menggunakan key A# minor 7. |
Kami memberi salam. Semua orang ada kat dalam rumah. Wak Ros, Wak Bunirah, dan beberapa orang anak-anak mereka (yang juga merupakan sepupuku) juga sedang bersantai di rumah. Aku bersalaman dengan mereka. Semua nampak sihat. Cuma Wak Ros sahaja yang kelihatan agak lesu. Memang Wak Ros tak berapa sihat katanya. Dan ahli keluarga pun tak berjalan-jalan beraya kat mana-mana pasal nak menjaga Wak Ros.
|
Rombongan baraan minta diri untuk pulang. |
|
Bersalam-salaman dan bermaaf-maafan. |
Tak lama kami di sana, geng motor kampung pun datang beramai-ramai ke rumah Wak Ros untuk beraya. Budaya ini memang dah lumrah kat kampung-kampung. Ianya dipanggil 'baraan'. Datang dalam kira-kira lima puluh orang, naik motor (biasanya, sebab senang bergerak), datang bagi salam, minum sedikit air, bersalaman dengan tuan rumah sambil mengucapkan selamat hari raya, lalu beredar. Dengan cara ini, hampir seluruh rumah kat dalam kawasan kampung tu dapat diziarahi pada musim raya. Tetapi biasanya yang join grup 'baraan' ialah orang lelaki. Yang datang ke rumah Wak Ros tempoh hari ada kira-kira 30 orang semuanya. Mungkin sebab dah tengah hari, mereka rehat kat rumah Wak Ros agak lama jugaklah sambil berborak dan minum-minum. Kira-kira setelah 10 atau 15 minit, mereka pun beredar. Sepupuku, Hakim turut menyertai rombongan 'baraan' ini. Bukannya selalu dapat bertembung dengan geng 'baraan' ini. Kami sangat beruntung dapat bertemu mereka pada kali ini.
|
"Selamat hari raya. Aku njalok ngapuro, yo". |
|
Geng baraan mula nak berangkat pergi. |
|
Selepas ini mereka akan ke rumah lain pulak. |
|
Tuan rumah mengiringi geng baraan pergi meninggalkan pekarangan rumah. |
|
Amier layan i-phone. |
|
Amier masih melayan i-phone. Trend raya tahun ini, begitulah. |
|
Wak Ros kurang sihat pada lebaran kali ini. |
|
Bersama Wak Ros dan Wak Bunirah. |
|
Ayahku bermaaf-maafan dengan Wak Ros. |
Setelah geng baraan pergi, kami terus duduk kat bahagian rumah bawah untuk menjamu selera dengan kuih-muih dan minuman. Setelah agak lama di sana, kami pun bersalaman dan bermaaf-maafan kerana ingin bergerak pergi. Ketika kami nak menyarungkan kasut ke kaki kami, tetiba kami telah dipanggil semula. Sepupuku, Redha dan Ina telah menyiapkan mi bandung rupanya. Kami dijemput untuk makan mi bandung dulu. Okaylah. Kami masuk balik ke dalam rumah. Makan dulu mi bandung. Lepas makan, salam lagi dan bergerak pergi.
Ketika kami baru nak masuk ke dalam kereta, tetiba kami dipanggil sekali lagi. Rupanya di dapur telah disediakan nasi beriyani, nasi Arab dan nasi Afrika untuk kami jamu. Terpaksalah kami masuk balik ke dalam rumah. Makan dulu kesemua nasi-nasi tu. Bersalaman lagi. Dan lalu bergerak pergi.
Ketika kereta kami baru nak meninggalkan pekarangan rumah Wak Ros, sekali lagi kami telah dipanggil semula. Kali ni ada kambing, rusa dan seladang panggang pulak yang telah disiapkan untuk kami jamu. Terpaksalah lagi sekali kami berpatah balik dan makan dulu kambing, rusa dan seladang panggang tadi. Kali ni kami tak terus balik. Kot-kot nanti ada juadah lain pulak yang kami perlu makan. Setelah menunggu kira-kira hampir seminggu di rumah Wak Ros, kami dapati tiada lagi pelawaan baru yang diajukan kepada kami. Lalu kami bersalaman sekali lagi, dan terus meninggalkan rumah Wak Ros untuk beraya di rumah Makcik Mini pulak yang terletak tak berapa jauh dari situ.
Kepada seluruh ahli keluarga Wak Ros, kami mengucapkan banyak terima kasih. Dan jangan ambil hati dengan gurauan saya ini, ya? Mi bandung hari tu memang yang terbaik.
|
Ibuku dengan Wak Bunirah. |
|
Sabriena asyik berlegar-legar di dalam rumah. |
|
Sabriena berpeluh kepanasan. Tapi dia tetap happy. |
|
Adik dan isteriku. |
|
Duduk berehat memenuhi masa terluang. |
|
Ayahku dengan gaya 60an. |
|
Wanie happy pasal dapat rehat dan makan kuih raya. |
|
Yana di tangga rumah. |
|
Farid dan yang lain-lain menanti waktu untuk bergerak pergi. |
|
Farid mencedok mi bandung yang dihidangkan kepada kami. |
|
Menonton tv Astro rancangan karaoke sambil kena elektrik shock. |
|
Amier sangat enjoy makan mee bandung. Siap bertambah lagi. |
Oh! Lupa pulak aku nak cerita. Kali ini kami tak pergi bersiar-siar di luar rumah untuk bergambar dengan alam semulajadi. Pasal kat luar sangat panas pada hari itu. Kami lebih selesa duduk dalam rumah, di bawah bumbung. Kalau cuaca redup, sudah pasti kami akan ber-posing sakan kat halaman rumah Wak Ros seperti pada tahun-tahun sebelumnya.
|
Naik kereta untuk ke destinasi seterusnya. |
|
Lepas ni kami berangkat ke rumah Makcik Mini pulak. |
No comments:
Post a Comment