m y f a m i l y

m y   f a m i l y

Saturday, July 18, 2015

1 Syawal 2015 - Tragedi di pagi raya

17 Julai 2015 - Setelah pulang dari menziarah kubur di Taman Kosas, dan setelah bermaafan di pagi raya, kami pun berangkatlah ke Kampung Baru untuk beraya dan melawat ibu saudaraku, Wak Chong. Di rumah Wak Chong, ramai sungguh sepupu-sepupuku yang ada di sana. Wak Chong pula masih terlantar di atas katil. Tapi nampak tubuhnya lebih sihat dari selalu. Wak Chong tinggal bersama anaknya, Kak Hashimah sekeluarga.

Di rumah Wak Chong, aku tak berasa seperti nak makan apa-apa. Perutku tiba-tiba berasa sangat menikam kalbu. Mungkin terlalu banyak makan makanan yang macam-macam pada malam semalam. Semakin lama menunggu, semakin ia memulas-mulas. Bagaikan buah pulasan yang dipulas-pulas. Dengan segera aku terus meminta diri. Tak mahu lebih lama berada di situ. Khuatir isi perutku akan terburai di tengah jalan.

Dengan pantas kami terus naik ke kereta. Dan pemanduan bak F1 pun bermulalah. Dalam keadaan sakit perut yang sangat hebat, aku terpaksa menekan pedal minyak sekuat hati. Sampai nak tercabut pedal minyak tu. Keretaku meluncur laju membelah lebuhraya AKLEH. Kulihat pada meter had laju, mencecah 765 km/jam. Kebetulan Lewis Hamilton ada memandu F1 untuk beraya di rumah seorang temannya, agak terkejut bila aku berjaya memintasnya dengan selamba.

Pemanduanku yang sangat laju, tetapi masih berhemah itu akhirnya membuahkan hasil apabila kami telah berjaya sampai ke rumah dalam masa kurang 2 minit. Aku terus parking kereta betul-betul kat tengah jalanraya. Dan berlari pantas bak Usin Bolt menghala ke tandas. Dan melunaskan hajatku yang telah lama terpendam. Lama jugak aku bermukim di dalam kamar kecil. Bila keluar tandas, tubuhku menjadi agak lemah dan letih. Tapi aku cukup lega pasal perutku telah berasa agak selesa.

Rupa-rupanya, sewaktu aku di tandas, ada sebuah kereta yang telah menghon sekuat hati kerana keretaku telah menghalang perjalanannya. Lama dan pangjang sungguh bunyi hon keretanya. Semua jiran-jiran tetangga siap menjenguk keluar. Tertanya-tanya apa yang sedang berlaku. Marrrrrraaaaahhh sungguh orang itu, walaupun pada pagi raya. Bila ditanya, rupanya orang itu pun sakit perut macam aku jugak. Dia pun tengah kelam-kabut nak pergi ke tandas jugak, pasal dah nak masuk 7 kali dia nak terkucil. Anak saudaraku, Farid dengan tenang dan tersenyum, lantas mengalihkan keretaku itu sambil mengucapkan Selamat Hari Raya. Itulah semangat hari raya yang wajar dipamerkan. Kepada pemandu tadi, aku memohon maaf pasal meletakkan kenderaan di tempat yang menghalang laluan. Bukannya sengaja. Tapi dah terdesak. 

Selamat Hari Raya. Maaf Zahir dan Batin.


No comments:

Post a Comment