Ahad lepas, 5 hb Mei 2013, hampir seluruh rakyat Malaysia keluar mengundi. Memilih pemimpin dan wakil tempat mengadu nasib. Aku pun tak terkecuali. Kami mengundi di sebuah sekolah menengah SMK Dato' Ahmad Razali. Kenapa sekolah ni dipilih untuk menjadi tempat mengundi? Sebab dekat dengan rumah aku lah! Kami keluar rumah dekat nak pukul 11 pagi. Lima orang naik kereta pergi ke destinasi. Kat sekolah ramai sungguh orang beratur menunggu giliran untuk memangkah jawapan yang difikir betul. Dalam banyak-banyak orang tu, aku rasa ada jugak yang pergi tanda 'right' jawapan pilihan. Begitulah yang sering diajar guru di sekolah.
|
Lokasi tempat kami mengundi. |
|
Had kawasan untuk mengundi. |
|
Tengoklah berapa punya ramai orang beratur kat koridor untuk mengundi. |
|
Mak dan kakakku bersemangat nak memangkah parti pilihan. |
|
Beratur untuk mendapatkan nombor lorong. |
Lepas turunkan mak, ayah, kakak dan isteriku, aku terus parking kereta. Terpaksa parking jauh sikit pasal luar sekolah agak sesak dengan kenderaan. Bila masuk di perkarangan sekolah, aku dan isteri terus memimpin kedua orang tuaku ke laluan khas warga emas. Lorong nombor 1 adalah untuk warga tua. Tak ramai orang kat situ. Mak dan ayah aku tak payah menunggu langsung untuk mengundi. Aku ada jugak menyamar jadi orang tua dengan berjalan terbongkok-bongkok. Tapi bila diperiksa kad pengenalan, ternyata kantoi. Aku kena jugak beratur di lorong yang panjang. Lorong orang muda belia!
|
Ibuku sedang memangkah kertas undi. |
|
Giliran ayahku pulak membuat pilihan. |
Kebetulan aku beratur di belakang kakak aku. Kakak aku tak larat beratur lama-lama pasal kakinya sakit. Jadi aku tolong beraturkan untuk dia. Lama jugak kena berdiri dan berjalan perlahan-lahan. Aku siap ukur dengan tali pita untuk mengetahui jarak sebenarnya yang kami kena beratur. Ada dekat lima kilometer jugaklah! Dan kami terpaksa menunggu giliran sampai dekat tiga hari sebelum tiba giliran kami. Bila tiba giliran aku, aku pun masuk. Kad pengenalan aku hulurkan. Juru semak memeriksa wajah aku sebegitu terperinci sekali. Berkali-kali wajahku dibuat perbandingan dengan gambar yang terpampang di kad pengenalan. Takut-takut ada mirip wajah Bangla atau Arab atau Mat Saleh kot. Setelah berpuas hati, barulah aku ke meja sebelah, untuk dicalitkan dakwat kekal ke jari telunjukku. Aku hulurkan pulak jari telunjuk kiri. Dan dakwat dicalitkan ke jariku. Petugas tak puas hati. Ditiup-tiupnya jariku yang telah terpalit dakwat. Petugas tadi siap mengambil roller cat dan mencat seluruh tangan kiri aku sampai lengan. Lepas tu barulah dia puas hati. Dan aku diberikan dua keping kertas untuk memangkah undi. Bila aku lihat kertas kecil tadi, aku pun berkata, "Eh, puan! Ini macam tiket wayang cerita Ironman 3 aje?" Petugas tadi mengambil kertas kecil tadi. "Eh, yalah. Sorry. Ingatkan lepas ni nak pergi nengok wayang dengan suami. Salah bagi kertas pulak. Nah! Ini kertas mengundi yang sebenarnya". Aku pun beredar ke petak undi.
|
Aku dan kakakku mula beratur panjang. |
|
Semua orang dalam keresahan. |
|
Panjangnya barisan! |
|
Nombor siri isteriku. |
|
Kalau ikutkan alamatnya, di sinilah tempat isteriku perlu mengundi. |
|
Lepas ni dah tak boleh berkempen lagi. |
|
Aku masih beratur lagi. Ini dah masuk hari ketiga aku beratur. |
Di petak undi, aku jadi blur kejap. Aku rasa aku dah study malam tadi. Tapi soalan yang aku spot tak mengenalah pulak. Aku jadi menggelabah seketika. Lama jugak aku kat petak undi. Dekat dua jam aku tersadai kat petak undi, sampaikan petugas kat bilik mengundi siap sound aku suruh cepat-cepat beredar. Akhirnya aku ambil dadu buatan sendiri dan baling. Dan jawapanku bergantung kepada buah dadu tadi. Lepas memangkah kertas undi, aku pun keluar bilik dengan perasaan berdebar. Dalam hatiku terfikir-fikir, apakah aku boleh score 'A' dengan jawapan yang aku berikan tadi.
|
Jariku telah dicalit dakwat kekal. |
Lepas mengundi, aku cium kat tempat jariku dicalit dengan dakwat kekal tadi. Wah! Boleh tahan jugak bau dia. Macam bau tempoyak masam kena peram seratus hari. Aku jilat pulak sikit, nak tau rasa dia macam mana. Alamak, macam asam-boy tiga rasa. Siap dengan pedas-pedas lagi. Setelah semua ahli keluargaku siap mengundi, kami pun pulanglah ke rumah dengan perasaan senang hati. Petang tu kami makan roti tisu gergasi kat kedai mamak berdekatan.
|
Semua sudah mengundi. |
|
Berehat sejenak sebelum pulang. |
|
"Satu Malaysia!!!" |
|
Hmmmm... busuk jugak bau dakwat ni. |
Simpulan pilihanraya: Ini dah masuk kali ke dua ratus sebelas aku mengundi untuk kerajaan Malaysia. Aku pernah memangkah geng kerajaan. Aku pernah jugak memangkah geng pembangkang. Malah aku jugak pernah pangkah satu geng gomen, dan satu lagi geng pembangkang. Aku okay je. Aku bukan bereksperimentasi. Tapi aku memilih mengikut strategi yang telah aku rancang dalam benak aku. Sama ada strategi tu yang terbaik atau paling teruk, aku pun tak tau. Cuma pada setiap kali memilih tu, aku memang mengharapkan natijah yang baik untuk diriku dan seluruh rakyat Malaysia. Parti yang aku pangkah, tak bermakna aku fanatik dengan parti tu. Parti yang aku tak pangkah, tak bermakna pulak aku benci pada parti tu. Aku okay je. Aku boleh duduk dalam mana-mana kelompok sambil tersenyum panjang bila parti lawan dibidas dalam perbualan. Aku okay aje, walaupun dalam kepala otak aku dah ada satu pilihan yang dibuat. Sebab aku tak benci atau suka sangat pada satu parti secara khusus.
Aku harap semua orang okay je. Boleh rasional bila membuat pilihan. Aku terima apa pun alasan yang diberikan. Kawan-kawan rapatku pun terdiri dari kedua belah pihak. Yang paling aku sedih bila handai taulan, adik beradik, malah bapak dan anak bertegang urat, melantangkan suara cuba menegakkan satu fahaman politik yang dirasakan paling baik. Cikgu aku pernah pesan, salah satu subjek yang jangan dibawak berbincang ialah pasal kelainan fahaman politik. Boleh bergaduh kalau tak kena caranya. Aku pegang cakap cikgu aku tu. Bagi 'kaki-kaki debat', tak boleh nak cakap apalah. Mereka ni memang akan terus berdebat.
|
Jom balik. |
Senario 1:
"Tuan-tuan sekelian, kedai sebelah tu masak kari letak kepala monyet dengan daging biawak! Kalau korang makan, korang akan dapat sakit demam denggi. Kari kat kedai aku ada tonik kuat dan tonik sihat. Siapa makan pasti jadi awet muda!"
Senario 2:
Kedai kami masak kari menggunakan kari buatan sendiri dari rempah ratus terpilih. Tiada perasa tiruan, tiada msg. Kepala ikan yang digunakan adalah dari jenis ikan kerapu dan jenahak yang segar. Kalau tuan-tuan nak makan kari kepala ikan tenggiri dan ikan merah, kami tak ada. Tapi tuan-tuan boleh pergi ke kedai sebelah."
Pensyarah aku dulu berkata, susah nak menang politik kalau nak cakap pasal kekuatan sendiri aje tanpa memburukkan pihak lawan. Aku rasa betul jugak cakap pensyarah aku tu. Tapi sekarang aku fikir lain pulak. Kita yang mencorak budaya tu. Sudah tentu kita boleh mengubahnya kalau kita mahu.
Aku okay aje...
|
Menuju ke rumah. |
No comments:
Post a Comment