m y f a m i l y

m y   f a m i l y

Friday, June 19, 2015

Bangsawan Kota Lukut: Iktibar dari sebuah kisah

Babak 2

Auditorium DBKL digemparkan seketika dengan aksi peperangan secara tiba-tiba di antara pencinta Lukut dan pengkhianat Lukut. Percikan bunga api yang terhasil apabila parang dilagakan, menambahkan lagi detik dramatik suasana yang sangat tegang itu. Amier menyelinap di balik kerusi kerana berasakan adegan itu sangat ganas. Amier jadi cemas dan sangat takut. Isteriku lantas menerangkan kepada kepadanya bahawa aksi yang sedemikian telah dilakukan oleh orang-orang yang ahli dan sangat terlatih. Bayangkan keberkesanannya adegan itu bila ditatap penonton.

Aksi tempur yang menggemparkan.
Pahlawan-pahlawan Lukut bersatu.
Adijaya mengajak teman-temannya menggalas kesetian kepada Lukut.
Mengatur langkah seterusnya.
Orang-orang Cina menyatakan perasaan tidak puas hati mereka terhadap Tengku Wangsa.
Amier yang ketakutan ketika babak perang, telah berselindung di sebalik kerusi.
Sebelum babak terakhir, Wan Shade telah mengisi ruang extra-turn dengan nyanyian lagu-lagu medley yang pernah popular suatu ketika dulu. Lagu-lagu seperti Malam, dan Jangan Kau Ucap Selamat Tinggal, sedikit sebanyak telah menggamit memori penonton. Dan sayup-sayup terdengar suara penonton menyanyi, mengiringi nyanyian Wan Shade yang masih berbisa itu.

Wan Shades mengisi slot extra-turn dengan menyanyikan lagu-lagu medley.
Nyanyiannya masih mampu memukau penonton.
Babak terakhir adalah yang paling menyentuh jiwa. Kelekaan dan kejahilan Paduka Raja telah mengakibatkan takhtanya, hartanya, dan seluruh tanah Lukut tergadai. Keinsafan Paduka Raja, dan ketabahan pahlawan-pahlawannya adalah sekelumit penawar yang menjadi bekal buat kehidupan baru warga Lukut di daerah terbuang.

Babak akhir di balairong seri.
Paduka Raja sangat kesal dengan tindakannya sendiri.
Pahlawan-pahlawan Lukut datang menghadap.
Paduka Raja mengiktiraf kesetiaan yang dipamerkan oleh pahlawan-pahlawan Lukut. Namun semuanya bagai telah terlambat.
Aku, sebagai penonton yang tiba lewat, telah tidak membenarkan walau apa pun di sekelilingku, malah di benakku, mengganggu tumpuan penuhku terhadap persembahan bangsawan ini. Berkali-kali panca inderaku dipanggil, dan diajak-ajak untuk meneliti bait-bait perkataan yang dilafazkan, reaksi wajah-wajah suka, duka, benci, merintih, yang dipamerkan. Dan bagai turut mengajakku berperang di medan juang mempertahankan Lukut!

Paduka Raja pergi membawa diri.
Meninggalkan warga Lukut yang masih setia.
Atau mereka juga harus mengikut jejak langkah Paduka Raja untuk pergi meninggalkan Lukut.
Walaupun sahabat kami Roslan Mohammad adalah Adijaya, teraju utama dalam kisah ini, namun setiap watak yang wujud telah berjaya menyerlahkan peranan dan kepentingan mereka walaupun beraksi singkat, walaupun tanpa melafazkan sebarang dialog. Jobot menyumbangkan humor. Putih melahirkan ketaatan tak terbatas ke atas Lukut. Datuk Mamanda Angkasa dengan jiwa antagonisnya. Jeneral Anson, selain kuasa yang ada padanya, juga seorang kaki perempuan. Dan pembesar-pembesar istana yang tidak berkata-kata itu pun memberikan impak yang besar dengan keberadaannya di situ.

Muzik latar pimpinan Rosman Md Nor turut memberikan roh agar penonton sedar akan perasaan yang wajar didampingkan bersama babak yang dipersembahkan. Dan segunung tahniah kepada tunjangnya, Kamarul A.R. yang telah terlebih dahulu melihat senario ini seluruhnya di dalam fikiran, sebelum diluahkan dalam bentuk Bangsawan Kota Lukut untuk tontonan umum. Tahniah kepada Kamarul A.R. Tahniah kepada seluruh kru dan warga produksi yang sangat ramai, yang membuktikan bahawa penghasilan sebuah karya yang bermutu, bertunjang dari kebersatuan ahli-ahlinya dan keterampilan pemimpinnya.

Aku, secara peribadi, sangat terkesan dengan Bangsawan Kota Lukut!

Bersambung...

Persembahan telah tamat.
Seluruh warga produksi dan para pelakon naik ke pentas.
Empat orang Cina Lukut.
Mardiana Alwi sebagai Kesuma Wati.
Pengarah Bangsawan Kota Lukut - Kamarul A.R.
Warga produksi meraikan penonton.
Lebih separuh pentas dipenuhi dengan warga produksi.

No comments:

Post a Comment