Pada suatu waktu maghrib, aku pergi ke masjid yang dekat dengan ofis aku untuk solat. Tapi aku terpaksa singgah sebentar ke kamar kecil untuk melunaskan hajat yang dah sekian lama terpendam dan kubukukan di dalam lubuk hatiku. Tetiba... jam tangan yang aku simpan dalam kocek seluar telah melompat keluar dari dalam poket dan terus membuat terjunan papan anjal lalu masuk ke dalam lubang tandas yang sempit. Aku agak terkejut. Aku terus mencari sesuatu galah atau alat untuk menjolok lubang jamban itu dengan harapan dapat mendapatkan kembali jam tangan yang terbenam di dasar lubang jamban tadi.
|
Inilah tempat kejadian tu berlaku. |
Akhirnya aku berjumpa dengan sebatang galah kait kelapa sepanjang dekat 30 meter panjangnya. Aku pun lalu menjolok, dan terus menjolok untuk mengenalpasti tahap kedalaman lubang jamban tadi. Setelah membuat kajian dengan galah tadi, aku dapati galah sepanjang 30 meter itu pun tak dapat mencecah dasar lubang jamban tadi, kerana lubang tu memang sangat dalam dasarnya. Lalu aku mengambil pita ukur dan mengukur kedalamannya, dan alangkah terkejutnya aku bila aku dapati lubang jamban itu adalah sedalam 35 kilometer jauhnya. Patutlah kalau aku menjatuhkan sesuatu ke dalam lubang jamban itu, sayup-sayup kedengaran bunyi benda yang aku jatuhkan tu mencecah air.
|
Menjolok dan terus menjolok. |
Aku bagaikan telah berputus asa kerana bagaikan tak mungkin dapat kucapai dan kuperolehi kembali jam tangan kesayanganku yang telah masuk ke dalam lubang jamban. Aku sedih. Sangat-sangat-sangat sedih. Bukannya aku tak biasa hilang barang. Tapi hilang jam kali ini agak membuat aku berasa sebak. Mungkin pasal jam tangan ni adalah hadiah pemberian isteriku sempena hari jadi aku tempoh lalu. Dan aku cuma dapat pakai jam tu tak sampai seminggu pun. Akhirnya aku akur. Memang hayat jam tangan tu sekadar itu sajalah gamaknya.
|
Lubang jamban tu jadi sempit pasal kontraktor salah pasang jamban. |
Kesokan harinya aku pergi lagi ke masjid sebelum waktu zuhur. Aku perlu datang awal, sebab kalau datang lambat, nanti banyaklah pulak orang ramai menggunakan jamban tadi dan melepaskan hajat berkilo-kilo banyaknya kat dalam lubang jamban tadi. Dan bila di-flush, mungkin jam tangan aku akan turut hanyut dibawa arus deras menuju loji. Kali ini aku datang dengan persediaan yang sangat rapi. Aku telah membawa bersamaku sebatang penyangkut baju yang telah aku modified menjadi pencangkuk serba guna.
|
Jam tangan berjaya dipancing keluar. |
Aku seluk pencangkuk baju tadi ke dalam lubang jamban dengan penuh waspada. Dan aku dapat rasakan ada sesuatu di dasaran yang menggetu penyangkuk baju tadi. Lalu aku sentap. Strike! Dan aku gunakan kemahiranku memancing ikan bersaiz gadang. Aku tarik dengan sepenuh kederat aku, bagaikan menarik ikan marlin biru di Lautan Pasifik yang bergelora. Setelah bertarung agak lama, kira-kira sejam setengah, akhirnya aku berjaya mendaratkan jam tangan kesayangku itu. Yes!! Aku sangat gembira dan terharu. Lalu kucuci jam tangan ku itu bersih-bersih sebelum menyarungkan ke pergelangan tanganku dengan penuh bangga dan waspada. Nampaknya memang rezeki aku untuk masih mendapat pakai jam tangan pemberian isteriku itu. Syukur ke hadrat Ilahi.
|
Berat jam tangan ni dekat tiga kilo. Satu pencapaian yang baik. |
|
Dibersihkan dan dipakai semula. |
Nasib baik Wak Adi pakar memancing.. setakat jam 3 kilo tu apalah sangat.. dengan mata kail, rapala, tali dan batang kail yang sesuai, memang pasti dapat balik! Syabas Wak Adi!
ReplyDelete