m y f a m i l y

m y   f a m i l y

Monday, December 1, 2014

Di UIA: Mana ceramahnya?

30 November 2014 - Seminggu sebelum ceramah agama ni berlangsung, aku telah dimaklumkan oleh ibuku akan maksud anak saudaraku, Yana untuk menghadiri majlis ceramah tersebut yang akan dilangsungkan di Universiti Islam Antarabangsa, Gombak. Okay-lah. Aku boleh tolong hantarkan Yana ke sana. Aku pun boleh duduk dengar ceramah tu sekali. Aku diberitahu, Ustaz Sharhan yang pakar pasal perubatan cara Islam tu adalah salah seorang penceramahnya.

Dan semalam, hari ceramah pun tiba. Kami bertolak selepas solat maghrib. Aku dan Syahmie pakai baju Melayu berseluar hitam. Siap bawak kupiah lagi. Wife aku suruh aku pakai jubah. Maklumlah, nak pergi dengar ceramah. Tapi jubah aku tu koyak sikit kat bahagian poket. So aku tak pakailah. 

Sesampainya di UIA, aku nengok kawasan yang sepatutnya ada majlis ceramah tu lengang aje. Bunyi cengkerik pun aku boleh dengar dengan jelas. Aku tanya Yana, "Betul ke ceramah tu malam ni?" Yana membenarkan. Kami tanya seorang pelajar yang bertugas. Dia juga mengesahkan. Okay-lah. Setelah parking kereta, aku pun dibawa masuk oleh petugas tadi.

Dewan majlis yang sangat lengang.
Pentas yang lebar. Siap ada drum set lagi.
Waaahhhh! Bukan main besar lagi stage dia. Siap ada drum set lagi. Oh! Baru aku ingat. Tadi Yana ada kata, kumpulan nasyid UNIC dan Sixth Sense jugak akan membuat persembahan pada malam ni. Mungkin akan diselang-selikan dengan hiburan, di celah-celah ceramah. Trend sekarang memang macam tu. Lagu-lagu yang akan dinyanyikan pun sudah tentulah berunsur keagamaan.

Kira-kira jam 8.30 malam, majlis dimulakan. Dewan masih lengang. Banyak tempat duduk yang kosong. Penonton perempuan jauh lebih banyak dari penonton lelaki. Setelah pembacaan doa, majlis dimulakan dengan persembahan dari kumpulan nasyid UNIC. Ustaz Fakhrul Radhi pun ada. Enjoy jugak kami dengar dendangan dari kumpulan UNIC. Para penonton yang tahu lagu, turut berdendang sama. Dalam fikiran aku, lepas ni mesti ada ceramah. Tapi Ustaz Sharhan nak duduk kat mana? Tak ada kerusi meja pun. Mungkin dia berceramah sambil berdiri kot.

Jangkaanku meleset. Lepas persembahan dari kumpulan UNIC, ada pulak persembahan dari artis-artis lain yang kurang dikenali seperti Rosman dan kumpulan Tonawarna. Seorang penyanyi buta bernama Razman turut membuat persembahan. Kemuncaknya ialah apabila kumpulan penyanyi top tanah air membuat persembahan. Bermula dengan kumpulan Sixth Sense. Yang lebih teruja sudah tentulah penonton wanita, yang kebanyakannya merupakan pelajar UIA sendiri. Lagu-lagu yang didendangkan taklah pulak berunsur keagamaan. Lagu-lagu popular biasa aje. Ada suatu ketika, ketika penyanyi Sixth Sense, Adi cuba untuk mendapatkan seorang penonton wanita untuk menyanyi di atas pentas, aku nengok salah sorang kru kelam kabut mengejar Adi bagi menghalang penyanyi itu menyeret penonton wanita ke atas pentas, kerana itu melanggar etika di universiti yang berlabelkan Islam itu.

Persembahan penutup adalah dari kumpulan OAG. Radhi membuat persembahan dengan santai dan agak lucu. Sebelum membuat persembahan, pihak UIA telah memesan supaya penonton wanita tidak turut sing along dengan artis yang membuat persembahan. Dan para penonton mematuhi arahan itu dengan baik. Radhi menutup persembahannya dengan sebuah lagu popular mereka, 60's TV. Sejurus lagu itu tamat, majlis pun turut bersurai.


Kumpulan nasyid UNIC sedang membuat persembahan.
Penyanyi buta berbakat besar sedang menyanyi. Namanya Razman.
Errrrr.... masa bila nak bagi ceramah ni? Dah pukul 12 malam ni! Hmmmm... memang bukan majlis ceramah rupanya. Ini konsert amal untuk mengutip dana bagi pesakit kanser, dianjurkan oleh Let's Rock Cancer Malaysia & Voices Of Hope. Itulah yang sebenarnya. Imagine-lah kalau aku duduk kat dewan konsert dengan berjubah dan berkupiah sambil mendengar lagu-lagu pop dan rock dinyanyikan. Macam tak kena gaya pulak. Salah info rupanya daaaaa...

Logo Let's Rock Cancer Malaysia.



No comments:

Post a Comment