19 Disember 2016 - Kami dah tak sabar-sabar nak tunggu detik ini. Gemuruh bercampur teruja. Wanie? Tak taulah. Aku tak dapat meneka apa yang terbuku di benaknya. Tapi kebanyakan ibu bapa sudah pasti berbaur-baur perasaan mereka.
Kami bertolak ke SMA Maahad Hamidiah Kajang taklah terlalu awal. Sampai kat sana kira-kira jam 10 pagi. Masa tu Ayahanda Pengetua sedang berucap. Banyak yang diucapkan kami tak sempat nak dengar pasal datang terlewat sedikit. Tak lama menanti, ibu bapa dipersilakan beratur mengikut kelas masing-masing untuk pergi mendapatkan keputusan peperiksaan PT3.
Aku yang pada awalnya tenang, tiba-tiba berasa cemas dan gemuruh. Lebih-lebih lagi bila melihat ada beberapa pelajar lelaki sekelas dengan Wanie mendapat 11A. Ternyata ibu dan ayah mereka sangat gembira. Bagai tak disangka-sangka. Akhirnya sampailah giliran kami untuk mengambil sampul besar berisi sijil peperiksaan dan keputusannya. Guru kelas Wanie bagai tiada reaksi jelas yang boleh membantu kami meneka pencapaian Wanie. Kami buka sampul. Lekas-lekas meneliti sijil keputusan PT3. Banyak A yang tersusun. Cuma ada 1B. Mata pelajaran Sains. Eh! Sama macam keputusan PT3 Syahmie dua tahun terdahulu. Macam dah janji-janji aje. Aku happy. Aku rasa Wani jugak happy dengan keputusan yang diperolehinya. Wanie kata subjek Matematik susah. Dia ingat subjek itu yang dapat B. Rupanya subjek Sains. Ok. Dan kami pun berlalulah dari sekolah dengan perasaan gumbira.
Beratur mendapatkan keputusan PT3. |
Mendapatkan keputusan dari guru kelas. |
Bergambar di luar dewan dengan perasaan bangga. |
Gambar yang sama. Saja letak dua kali. Boleh? |
Sesudah seketika meninggalkan pekarangan sekolah, aku membaca whatsapp Group Sekolah Maahad Hamidiah. Dari situ aku tahu beberapa perkara:
11A - 13 orang pelajar
10A 1B - 44 orang pelajar (termasuk Wanie)
Kemudian dalam whatsapp itu juga ada gambar pelajar-pelajar yang mendapat 11A bergambar di atas pentas bersama Pengetua. Aku tunjukkan gambar ini kepada Wanie. Wanie terlihat ada salah seorang kawan karibnya, Maryam turut berbaris dan bergambar. Tak lama selepas itu, Wanie tiba-tiba berasa sedih. Menitis-nitis air matanya. Bila ditanya kenapa Wanie bersedih, jawabnya "tak tahu". Tapi aku rasa, perasaan itu mungkin timbul bila melihat Maryam berada di kalangan 13 orang pelajar yang mendapat straight A's. Sedangkan dalam peperiksaan hujung penggal tempoh hari, Wanie menduduki tempat ke-3, dan Maryam di tempat pertama. Tak jauh bezanya. Rezeki masing-masing. Allah dah tentukan yang itulah keputusan untuk Wanie. Ada sebabnya. Setelah lama kami memujuk Wanie, barulah perasaan kesedihannya itu berlalu beransur-ansur. Bagi kami pencapaian Wanie itu sudah hebat. Untuk masa akan datang, Wanie perlu berusaha lebih gigih dan tekun berdoa memohon dari Allah. Kemudian bertawakkal. Apa yang Allah akan beri, itulah yang terbaik untuk kita. Tahniah kepada Wanie dan semua pelajar Maahad Hamidiah Kajang.
Keputusan peperiksaan PT3 Wanie. |
No comments:
Post a Comment