4 Disember 2016 - Kami mendapat jemputan untuk ke satu majlis 'pelbagai' dari Along Yusry. Majlis tu dinamakan Malam Nur Hidayah. Diadakan di kedai makan milik Abang Kamarul AR di Kota Damansara. Menurut Along Yusry, ada majlis tahlil, ada baca puisi, ada lagu puisi, dan makan-makan serta bersantai sesama ahli grup teater Hidayah bagi mengeratkan lagi silaturrahim. Pada awalnya kami sendiri tak pasti akan kehadiran kami. Lalu kami atur kembali jadual utuk malam hari Ahad itu. Dan dapatlah kami meluangkan masa dengan teman-teman teater kami.
Tema pakaian adalah berjubah putih atau hitam. Aku bukak almari baju, dan mencapai sepasang jubah hadiah Allahyarham ayah mentuaku yang dah sekian lama tidak kupakai. Poketnya sedikit robek dan aku sematkan pin baju agar kelihatan lebih kemas.
|
Back-drop majlis pada malam itu. |
|
Syahmie sedang bersiap-siap untuk mengetuai bacaan tahlil. |
|
Syahmie dan Amier berjubah putih. |
|
Abang Brahem - otai dalam grup teater Hidayah. |
|
Amier dah tak sabar-sabar nak menjamah makanan. |
|
Minum-minum sambil tunggu acara selanjutnya. |
|
Sabriena duduk kat pentas persembahan sementara menunggu acara bermula. |
|
Sabriena memonopoli ruang pentas. |
Kami bertolak dari rumah hampir waktu maghrib. Solat maghrib di masjid berhampiran. Dan kami terus ke tempat majlis - kedai makan Family D' Kota (FDK). Kami ingat kami dah terlewat sangat. Tapi rupanya tetamu masih tak berapa ramai. Abang Kamarul AR tiba-tiba mendekatiku. Mintak aku mengepalai bacaan tahlil. Wife aku suruh Syahmie yang jadi tok imam. Okay. Semua orang setuju. Dan Syahmie sendiri pun setuju. Maka Syahmie mengambil tempat di meja hadapan, pakai mikrofon macam DJ, lalu bermulalah baccan tahlil dan doa. Kami, seluruh jemaah menuruti. Antara arwah yang didoakan termasuklah Allahyarham Ahmad Sufiyan, Allahyarham ayahku Hj Matari Rahman, dan Allahyarham abang iparku Hj Khalid Hj Atan.
|
Syahmie memulakan bacaan tahlil. |
|
Tahlil ringkas sahaja. |
|
Untuk semua ahli keluarga yang telah pergi meninggalkan kami. |
|
Memohon doa ke hadrat Ilahi. |
Sesudah selesai berdoa, kami dipersilakan makan. Macam-macam makanan yang disajikan. Setakat yang aku boleh ingat, ada nasi dagang, ada mi kari, ada roti jala, ada pulut kuning dengan sambal bilis, ada kuih muih , ada air teh panas dan air sirap. Tapi yang paling klimaks sekali ialah ada kambing golek. Macam tau-tau aje aku suka makan kambing golek. Tak kiralah kambing jenis apa pun. Baik kambing kampung biasa, baik kambing biri-biri, baik kambing gurun, baik kambing Barbari, kambing Arapawa, kambing Anggora, kambing Alpines, atau apa saja jenis kambing. Pokok pangkalnya spesis kambing. Memang sangat-sangat aku dambakan. Majlis telah menyediakan dua ekor kambing sebenarnya. Tapi oleh kerana korum tak berapa ramai, maka yang digolekkan cuma sekor ajelah. Yang lagi sekor tu nanti aku nak usha kat Abang Kamarul AR, nak mintak tapau satu ekor. Keh keh keh...
|
Wanie makan dengan penuh berselera. |
|
Abang Brahem sedang memilih juadah. |
|
Berpusu-pusu mendapatkan kambing golek. |
|
Penyediaan kambing golek secara profesional. |
|
Kambing golek ini sangat lembut dan enak. |
Sambil makan-makan, acara dimulakan. Pembuka majlis adalah ucapan kata alu-aluan oleh Presiden Hidayah, Abang Kamarul AR. Dan sejurus itu Abang Kamarul AR turut membacakan sebuah puisi dengan penuh beremosi. Penuh semangat. Nazri, selaku pengacara majlis turut mendeklamasikan sebuah puisi tulisan A Samad Said berjudul Tetamu Senja. Nazri turut menyanyikan lagu puisi Tetamu Senja yang pernah dipopularkan oleh kumpulan Kopratasa. Menyusul sesudah itu adalah bacaan puisi oleh Syahmie (setelah didesak oleh isteriku). Syahmie tak keberatan untuk tampil ke hadapan dengan puisi berjudul Sumpah Anak Bangsa nukilan Yusmiyani Yusuf. Syahmie pernah mendapat tempat kedua dalam pertandingan deklamasi puisi di antara sekolah-sekolah MRSM Zon Selatan pada awal tahun ini.
|
Abang Kamarul AR memulakan bicara. |
|
Abang Kamarul AR mendeklamasi puisi. |
|
Penuh penghayatan. |
|
Penuh emosi. |
|
Nazri sebagai pengacara majlis pada malam itu. |
|
Turut melagukan puisi Tetamu Senja karya A Samad Said. |
|
Syahmie dengan sajak Sumpah Anak Bangsa. |
|
Perwakilan Wanita UMNO berbicara. |
Turut ke hadapan membacakan puisi termasuklah Azlansham, Abang Brahem dan Pak Malit. Abang Brahem yang aku kenal memang selalu berada di belakang tabir. Menguruskan hal-hal teknikal dalam satu-satu persembahan. Tapi kali ini ruang dan peluang telah diberikan untuk beliau mengenengahkan bakatnya yang terpendam. Sesudah itu, isteriku pula yang ke pentas persembahan dengan membacakan puisi berjudul Nur Hidayah nukilan Halida Baharuldin. Bacaan yang penuh beremosi. Dan persembahan terkahir pada malam itu ialah dari..... aku! He he he... Aku pun nak enter frame jugak. Tapi aku tak baca puisi. Aku menyanyi lagu puisi karya Abiet G Ade berjudul Berita Kepada Kawan. Liriknya aku tak berapa ingat. Jadi, main hentam sajalah ikut cita rasa aku sendiri. Sebenarnya Nazri dan Abang Kamarul AR turut menjemput para tetamu untuk membuat persembahan lagi pada malam tu. Tapi nampak gayanya, tak ada lagi yang nak ke hadapan. Maka sebagai penutup majlis, sekali lagi Abang Kamarul AR ke hadapan memberikan ucapan penutup.
|
Azlansham memilih sebuah puisi untuk dideklamasi. |
|
Penghayatan yang menyeluruh. |
|
Abang Brahem Dah 10 tahun tak baca puisi. |
|
Selalunya duduk di belakang tabir. Kini di pentas persembahan. |
|
Pak Malit dengan sajak tentang junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. |
|
Intonasi yang bersahaja. Katanya tak pernah sekali pun baca puisi di khalayak ramai. |
|
Isteriku, wakil wanita mendeklamasi puisi perjudul Nur Hidayah. |
|
Setelah sekian lama tak berpuisi. |
|
Sebak dan beremosi. |
|
Ini dia Pak Arab Al Jawa sudah mari. |
|
Mau nyanyi lagu Abiet G Ade - Berita Kepada Kawan. |
|
Lepas tu pekena lagu Ombak Rindu, Anugerah Terindah, Isabela, Nak Pi Mana dan Still Loving You Scorpion. |
|
Along Yusry dan Nazri menonton dari satu sudut pentas. |
|
Abang Kamarul AR dengan penutup bicara majlis. |
Sebelum bersurai, kami bergambar beramai-ramai. Kami tapau makanan yang masih banyak tertinggal. Bersalam dan berpelukan. Terasa lebih akrab kerana tetamu pada malam itu dalam kelompok yang sangat kecil. Kami sangat berterima kasih kepada Abang Kamarul AR dan seluruh warga Hidayah yang telah memberi sumbangan, bertungkus-lumus membuat persiapan untuk majlis. Sayangnya kehadiran tidak seperti yang diharapkan. Tak apalah. Semoga apa yang telah dilangsungkan ini akan diterima Allah sebagai satu amalan kebaktian. Sekali lagi kami ucapkan terima kasih untuk semua (walaupun nama kalian tidak dinyatakan satu per satu).
|
Bergambar beramai-ramai. |
|
Antara sebahagian tetamu yang hadir. Sebahagian yang lain telah pun pulang. |
|
Satu lagi gambar perlu diambil sebagai kenangan. |
|
Bersama Pak Malit, Abang Brahem dan Abang Kamarul AR. |
|
Bersama otai-otai grup teater Hidayah. |
|
Bersama teman akrab Allahyarham ayahku - Pak Malit. |
No comments:
Post a Comment