29 Julai 2014 - Dari rumah Wak Ros kami telah mendengar sayup-sayup suara memanggil, "Sayur kampung, sayur kampung. Siapa nak beli sayur kampung?" Secara tergesa-gesa kami sekeluarga terus meninggalkan rumah Wak Ros dan bergerak pantas menuju ke arah suara tadi.
Semakin dekat, semakin kuatlah suara itu terdengar, "Sayur kampung! Mari beli sayur kampung!" Tak sampai sepuluh minit, kami telah pun tiba di laman luar sebuah rumah yang sederhana besar. Di suatu sudut terlihat sebuah lori usang diparkir di dalam bangsal.
Lalu kami berdiri di depan rumah dan memberi salam, "Assalamualaikum. Assalamualaikum!" Sebelum sempat aku memberi salam yang ketiga, pintu rumah telah dibuka. Seorang wanita berusia kira-kira separuh abad keluar dan lantas bertanya, "Ya encik. Nak apa? Nak beli sayur kampung ya? Ada macam-macam sayur dijual di sini. Ada pucuk ubi. Ada pucuk paku. Ada pegaga. Ada terung pipit. Macam-macam lagi ada".
"Maaf. Saya bukan nak beli sayur. Sebenarnya saya...."
"Oh! Nak kelapa ya? Kelapa parut atau kelapa muda?"
"Kelapa pun saya tak nak. Saya cuma nak..."
"Encik ni orang Jawa kan? Encik mesti suka makan tempe. Nak beli tempe ya?"
"Bukan, bukan, bukan, bukan bukan!!" Suaraku agak meninggi. Wanita tadi agak tergamam. Menyedari keadaan itu, aku cepat-cepat meminta maaf. "Mintak maaf Mbak. Kami datang ni nak beraya kat rumah Mbak".
"Loh! Nak datang beraya! Kenapa tak cakap siang-siang tadi. Sekarang ni kan dah nak maghrib. Jemput masuk. Jemputlah".
Terdengar suara cengkerik menggesel kepaknya untuk seketika. Kemudian kami pun masuklah ke dalam rumah beramai-ramai.
Duduk santai di ruang tamu. |
Bergambar beramai-ramai setelah solat maghrib. |
Kami terus duduk di atas kerusi sofa di ruang tamu. Di sana sini di dalam rumah, terlihat unsur-unsur pasar tani yang menjadi konsep hiasan dalaman. Di suatu ceruk ada pokok kangkung di dalam pasu kaca lutsinar. Di suatu sudut yang lain ada longgokan tempurung kelapa yang cantik terukir, tetapi masih belum disusun lagi. Di atas meja di ruang tamu pulak, tersusun balang-balang berisi kuih-kuih tradisional seperti pelbagai aneka kerepek. Ada kerepek ubi, kerepek pisang, kerepek tempe, kerepek bayam, kerepek rebung, kerepek pucuk gajus, dan macam-macam kerepek kampung lagi.
"Awak semua nak minum air apa? Sini ada jus mangga muda, ada jus terung, ada jus pegaga".
"Air mineral aje pun dah kira okey", kataku.
"Bapak-eh! Ambilkan air kat perigi dalam teko! Tamunya nak minum air perigi!"
Oh. Baru aku tau. Air mineral tu sinonim dengan air perigi kalau kat kampung. Tergamak ke agaknya aku nak minum air perigi yang tak dirawat tu. Silap-silap boleh kena penyakit taun. Cirit-birit nanti kami sekeluarga.
Ambil gambar lagi. |
Tiba-tiba bahuku ditepuk oleh seseorang. "Loh! Berangan apa kau ni, Adi?" Aku tersentak. Aku menoleh ke belakang. Rupanya tuan rumah, Sutris. Kami bersalaman dan berbual-bual singkat. Jauh betul lamunan aku tadi. Selepas makan kuih-muih, setelah solat maghrib, kami minta diri dari Sutris dan Mira. Walaupun singkat masanya kami di sana, tetapi sudah cukup bagi mengeratkan lagi pertalian yang sudah sedia ada. Aku dah sangat penat. Masa untuk pulang. Selamat Hari Raya orang kampung!
Dan lagi sekali kami bergambar. |
No comments:
Post a Comment