Bahagian 2
6 Julai 2019 - Sejurus selepas makan malam dalam gelap, masing-masing lantas ke bilik untuk berehat seketika. Aku dan keluargaku berbuat perkara yang sama. Melabuhkan tubuh yang letih di atas tilam empuk di dalam bilik. Aaahhh.... lega rasanya. Tak lama selepas itu, isteri dan anak-anakku keluar bilik menghala ke bilik ahli keluarga yang lain. Isteriku ingin berbual-bual dengan kakak-kakaknya. Anak-anak menuruti. Tinggallah aku bersendirian di dalam bilik. Mataku dah mula mengantuk. Aku berbaring sehingga tertidur. Niatku nak tidur awal sedikit agar berasa segar esok hari nanti.
Kira-kira jam 12.00 tengah malam, telefonku berdering. Kuat! Aku terjaga dari tidur yang tak berapa nyenyak. Kalau tak salah aku, Abang Zahid yang telefon aku. Atau mungkin jugak isteri aku. Menanyakan, aku tak ikut memancing ke? Ha? Memancing? Tengah malam? Dalam gelap? Aku tanya pula, memancing di mana? Dan siapa yang sedang memancing? Jawapan yang kuterima, Abang Zahid dan Abang Zai serta beberapa orang anak buah yang lain sedang memancing di kolam ikan. Aku diberi tahu, pemilik kolam, Abang Hasni telah memberi kebenaran untuk kami memancing di kolam ikan peliharaannya. Wow! Mataku terus segar. Hilang terus seluruh rasa mengantuk tadi. Aku capai joran teleskopikku, dan perkakas-perkakas yang lain. Terus bergegas ke kolam ikan dengan perasaan yang sangat teruja!
|
Sabriena masih bersama anak-anak saudaranya. |
|
Masing-masing memberikan kerjasama dengan menuruti arahan Sabriena. |
|
Kesemuanya berasa seronok. Hilang semua masalah. |
|
Abang Zai dan Abang Zahid sedang berbincang apakah aktiviti tengah malam nanti. |
|
Amier masih melayan telefon. |
|
Sepupu-sepupu sebayanya tak dapat hadir pada malam itu. |
|
"Jom kita bertaici," kata Sabriena. |
|
Macam-macam style. |
|
Kreatif dan inovatif - kaedah menerangi kegelapan menggunakan handphone. |
Sesampainya di lapangan, aku lihat Abang Zai, Abang Zahid, Faridz dan Taufiq sedang tekun menanti ikan meragut umpan. Dan di dalam tong dram berisi air, ada beberapa ikan tilapia bersaiz tapak tangan yang telah berjaya dipancing oleh Abang Zai hanya dengan menggunakan joran yang diperbuat daripada buluh kering. Hebat! Malah Faridz dan Taufiq juga memancing dengan menggunakan buluh kering, kerana masing-masing tidak membawa joran sebenar ke Kalumpang. Mungkin pada asalnya tidak berniat untuk memancing. Aku juga tak ada rancangan untuk memancing di kolam ikan peliharaan itu. Aku cuma hendak memancing di sungai yang mengalir air deras dan dihuni oleh ikan-ikan tengas daun.
|
Faridz, Abang Zai dan Abang Zahid menanti umpan digetu ikan. |
|
Taufiq juga menggunakan joran buluh kering. |
|
Lama menanti tarikan ikan. |
|
Akhirnya seekor tilapia gadang berjaya dinaikkan olah Abang Zahid. |
|
Seronok bukan kepalang. |
|
Ikan meronta-meronta. |
|
Seterusnya Abang Zai pula yang menaikkan ikan. |
|
Ikan tersangkut di hujung bibir sahaja. |
Kami menggunakan umpan roti. Dan ikan-ikan di dalam kolam nampaknya memang berselera dengan umpan itu dan sudi pula menjamahnya. Ikan-ikan tilapia di situ agak kasar juga. Ada yang bersaiz lebih besar dari tapak tangan. Selain tilapia, kami juga memperolehi ikan patin, ikan keli dan ikan baung. Saiz ikan keli agak besar juga. Begitu juga dengan ikan baung. Ada yang bersaiz agak kasar, walaupun banyak yang masih kecil. Ikan-ikan patin nampaknya masih kecil-kecil lagi. Ikan-ikan yang kecil ada yang kami lepaskan terus ke dalam kolam. Tetapi ada juga yang kami simpan di dalam tong dram berisi air, agar ikan-ikan yang dipancing masih boleh hidup sehingga esok paginya.
Satu insiden yang aku tak dapat lupa, joran buluh yang digunakan Taufik telah ditarik oleh seekor ikan yang agak besar. Kami tak pasti ikan apa. Joran buluh yang digunakan itu memang nyata tidak dapat menahan asakan sang ikan yang sangat agresif. Taufiq sampai terpaksa naik sampan dan membiarkan ikan itu menarik dan menghanyutkan sampan itu bersamanya. Sampailah joran buluh itu patah! Wow! Bayangkanlah betapa perkasanya ikan itu! Kami memancing sehingga kira-kira jam 3.00 pagi.
Keesokan harinya, kami tinjau di dalam tong dram berisi air. Wah! Boleh tahan banyak juga ikan yang berjaya kami daratkan. Ikan-ikan itu masih hidup lagi nampak gayanya. Anak-anak patin kami lepaskan kembali ke dalam kolam. Namun terdapat juga beberapa anak patin yang telah mati. Mungkin tercekik kail. Yang itu kami bawa ke dapur untuk digoreng dan dijadikan lauk tengah hari nanti. Terima kasih banyak kepada Abang Hasni kerana telah membenarkan kami memancing di situ. Dah lama kami tak memancing bersama dan memperolehi habuan yang lumayan. Harap dihalalkan kami makan ikan-ikan yang dipancing, terutamanya anak-anak patin yang masih belum cukup umur itu.
Bersambung...
|
Faridz berbangga dengan pencapaiannya pada malam itu. |
|
Faridz berazam untuk memasak kari kepala ikan menggunakan ikan ini. |
|
Aku pun dapat ikan tilapia juga. |
|
Antara ikan-ikan yang berjaya didaratkan. |
|
Terus lagi memancing di kegelapan malam. |
|
Mata dah mula berasa mengantuk. |
|
Hasil pancingan semalaman. Ikan keli besar tu Taufiq yang daratkan. |
No comments:
Post a Comment