DVT bukanlah sejenis enjin kereta. Dia tak macam DVVT (Dynamic Variable Valve Timing) - enjin yang dipakai kat produk Perodua. DVT adalah singkatan kepada Deep Vein Thrombosis. Maknanya dalam bahasa pasar ialah Darah Beku Kat Urat Dalaman atau DBKUD. Sebab apa tetiba aku nak cerita pasal DVT ni? Begini sebabnya:
Pada suatu pagi yang hening, ketika mak aku bangun pagi nak solat subuh, tetiba nafasnya sangat sesak sampai tak boleh nak bernafas langsung. Mak aku nak bangun dan jalan pun tak larat. Memang dia bagaikan tak boleh bernafas. Kami ingat sebab masalah lemah jantung. Itu yang kami jangkakan sebab mak aku memang ada masalah lemah jantung. Kami panggil ambulan dan mak aku dibawa ke Hospital Ampang dengan menaiki ambulan tadi. Dalam ambulan, mak aku dibekalkan dengan gas oksigen bagi membantu pernafasannya.
Bila di hospital, doktor membuat beberapa prosedur dan mendapati sebenarnya kedua-dua pintu paru-paru mak aku tersumbat dengan darah beku (thrombus). Darah beku tu terjadi pasal gejala DVT yang kemungkinan berpunca di bahagian kaki, khususnya di bahagian urat pada otot bahagain betis. Sewaktu mak aku dirawat di wad kecemasan, aku sempat membuat lawak kepada salah sorang doktor yang bertugas dengan bertanya, "Macam mana keadaan mak saya?" Macam kat dalam drama tu. Doktor tu yang agak kehairanan dengan tingkah aku lalu menjawab, mak aku boleh terus pengsan, koma sekiranya liang pintu paru-parunya tertutup sepenuhnya dengan darah beku. Masalah ini sebenarnya sangat-sangat-sangat-sangat serius. Baru aku tau!
Kemudian seorang doktor pakar pula telah merawat mak aku. Dia perlu bertindak cepat, kerana masalah yang dialami mak aku sangatlah serius dan kritikal. Dia panggil kami semua adik beradik dan menjelaskan prosedur yang ingin dilakukan kepada mak kami. Kata doktor tu, walaupun mak aku nampak macam boleh bercakap-cakap, tapi dia boleh collapse secara tiba-tiba sekiranya bekalan oksigen dalam paru-parunya terputus sepenuhnya. Maka dia bercadang nak bagi sejenis ubat yang kuat bagi mencairkan darah mak aku secara drastik. Tujuan ubat ini adalah bagi mencairkan darah beku yang terbentuk dalam paru-paru mak aku. Risiko makan ubat ni pulak ialah, boleh berlaku pendarahan dalaman, atau boleh berlaku pendarahan pada kulit, mata, otak dan sebagainya. Kami macam konfius serta tak tau apakah langkah yang terbaik untuk mak kami. Kata doktor, pengambilan ubat mencairkan darah itu adalah perlu, walaupun berisiko. Akhirnya kami akur.
Setelah dirawat, mak aku nampaknya semakin pulih dari gejala darah beku. Tapi sehingga saat ini mak aku masih tak mampu berdiri sendiri, apa lagi berjalan. Sepanjang harinya, mak aku cuma berbaring di atas katil atau duduk. Dan tiap-tiap minggu mak aku perlu ke hospital untuk diambil sampel darahnya. Semoga mak aku cepat sembuh dah sihat tubuh badannya.
Mak aku dalam ambulan. |
No comments:
Post a Comment