m y f a m i l y

m y   f a m i l y

Wednesday, May 30, 2012

Mengenal jambu

Dia mungkin tak sepopular adik beradiknya yang lain - jambu batu aka guava atau jambu air dan jambu madu. Tapi kewujudannya tak boleh dinafikan. Ia adalah sejenis jambu jugak dari zaman dinosaur. Dulu-dulu, kalau T-Rex tak dapat makan daging, dia dapat makan jambu ni pun dah kira okay. Dia akan senyap dan tak payah sibuk-sibuk nak memburu lagi. Kami namakan jambu ni jambu bol @ jambu ball. Dulu kat kampung aku kat Kuala Selangor, ada pokok jambu ni. Agak besar pokoknya. Buah dia boleh membesar sebesar penumbuk Mike Tyson. Sekarang pokok tu dah kena tebang pasal dah tak produktif.

Semalam aku berkesempatan bertemu kembali dengan spesis jambu yang hampir pupus ini. Jiran aku ada pokok jambu ni rupanya. Jadi dapatlah kami merasa serba sedikit, walaupun buahnya agak kecil dari biasa. Rasanya masam-masam lemak. Memang hebat! Bagi yang nak cuba merasa buah jambu bol ni, carilah kat kawasan kampung-kampung serata Malaya sampai jumpa. Selamat mencari!

Buah jambu bol yang dipetik dari pokok jiran.
Saiz buah ni agak kecil dari kebiasaannya.

Tuesday, May 29, 2012

Di mana burung bertenggek, di situ kemangi bertunas

Bagi yang belum tau, meh aku nak bagi tau. Aku ni memang suka bebenar makan ulam-ulaman. Tak kiralah daun atau pucuk apa sekali pun. Asalkan boleh dijadikan ulam, aku akan makan. Antaranya ialah ulam raja, pegaga, salon, pucuk gajus, daun putat, cemumak, petai belalang serta daun selasih. Malah kacang bendir dan terung pipit pun aku lebih suka makan sebagai ulam dari dimasak. Dan ada kalanya aku akan makan jugak pucuk kepada pokok kayu jati dan cengal. Tak ketinggalan, pucuk kaktus dan pucuk bakau.

Tapi yang nak aku kisahkan kali ni ialah ulam daun tenggek burung dan daun kemangi. Petang semalam, kat depan ofis aku ada pasar malam. Jadi aku mengambil kesempatan ni untuk mencari pepucuk ulaman yang dijual. Aku sempat membeli kedua-dua jenis ulaman tadi. Meh aku kisahkan sikit pasal jenis ulaman yang aku beli kelmarin.

Daun tenggek burung boleh didapati daripada pokok tenggek burung. Yalah, takkan dari pokok kelapa atau pokok durian pulak, kan? Ia mendapat nama sedemikian kerana pokok ini sering menjadi idaman burung-burung se-Malaya untuk bertenggek di atasnya, terutamanya burung kelicap, murai dan burung-burung kecil yang lain. Tapi burung-burung yang lebih besar pun ada kalanya bertenggek jugak di sini seperti burung gagak, helang dan burung hantu serta enggang. Tapi sejak kebelakangan ni burung-burung yang lebih bagak pun ada menumpang sekaki seperti burung ostrich, emu dan kasawari. Malah pernah dilaporkan oleh sumber yang boleh dipercayai, burung penguin jugak pernah dilihat bertenggek kat pokok ni. Pokok pangkalnya, pokok ni memang sangat popular di kalangan burung-burung sedunia.

Pokok tenggek burung boleh didapati di kawasan belukar yang lembab seperti di paya, kebun getah atau tepian sungai. Ia mempunyai banyak khasiat. Tapi khasiat yang telah dikenalpasti agak popular ialah ia digunakan sebagai perubatan untuk menurunkan tekanan darah yang tinggi. Serta ia juga berperanan sebagai ubat kuat untuk orang laki-laki. Aku pun baru je tau benda alah ni dari internet. Entah ya entah tidak. Pokok pangkalnya, aku suka rasanya yang pahit-pahit dan krispi macam biskut.

Daun pokok  tenggek burung.
Daun kemangi pulak memang sangat terkenal dan popular penggunaannya untuk perubatan. Ekstraknya digunakan untuk membuat minyak bagi merawat penyakit pening kepala, muntah-muntah, cirit-birit, dan entah macam-macam penyakit lagi. Ia jugak dapat menghilangkan bau mulut serta bau peluh, menguatkan buah pinggang, meredakan kembung perut, melawan cacing dalam perut serta mengelakkan nyamuk dari datang dekat dengan kita. Tapi satu benda yang aku agak hairan ialah, asal nama ulam aje, mesti berkhasiat untuk bab-bab kelamin. Itulah yang biasa tertulis kat buku-buku atau artikel pasal ulaman. Daun kemangi ni jugak memang selalu digunakan bagi menyedapkan makanan. Bau dia ada ala-ala mint serta pudina sikit-sikit. 

Daun kemangi.
Bagi anda yang memang suka makan ulam-ulam, aku ucapkan tahniah. Bagi yang tak biasa makan, berjinak-jinaklah dengan makanan dedaunan ulaman untuk kesihatan - macam orang-orang tua dulu. Cubalah!

Berselindung di sebalik ulam-ulaman.

Monday, May 28, 2012

Jemput Syahmie kat Gemencheh

Ahad semalam, aku ke Gemencheh ambil Syahmie yang belajar kat MRSM situ. Plan asal nak suruh Syahmie tumpang kawan senior dia balik. Tapi bila aku kontek bapak kawan dia tu, katanya mereka semua balik kampung. Jadi terpaksalah aku jemput dia sendiri kat Gemencheh. Tapi kali ni aku ada co-pilot, anak buah aku si Farid. Kalau rasa macam letih, bolehlah Farid gantikan aku jadi drebar.

Kami bertolak agak lambat, kira-kira jam 12 tengah hari. Jadi sampai sana jam dua lebihlah. Lepas solat kat MRSM, kami pun pulang sambil cari tempat makan tengah hari. Memang tak berapa senang nak cari tempat makan pada hari Ahad siang hari kat Gemencheh. Kebanyakannya tutup. Akhirnya aku ternampak satu kedai makan kecil tepi simpang. Kedai mamak rasanya. Aku order nasi goreng kampung, dan Farid order nasi goreng cina. Syahmie yang masih kenyang cuma minum air sirap aje.

Ready untuk berlepas.

Nama kedai makan tu ialah Restoran Al Baraqah. Mula-mula sampai nasi goreng cina. Tapi rupanya tak macam cina pulak. Warnanya tak berapa cerah. Maklumlah, mamak yang masak. Lebih sesuai dinamakan nasi goreng Cindia! Siap ada cili padi pulak lagi. Memang betul-betul fusion-lah. Lepas tu sampai pulak nasi goreng kampung yang aku order. Yang ini pun tak betul-betul kampung. Kangkungnya tak ada. Cili padinya juga tak kelihatan. Oh ya! Cili padi tadi dah melompat ke pinggan Farid! Tapi rasa masakannya... kira okay jugaklah. Perut dah kebulur, bagi nasi lauk air paip pun rasa sedap.


Restoran mamak kecil tepi jalan.
Dah habis makan.

Lepas makan, kami teruskan perjalanan ke Kuala Lumpur. Aku masih drive dan singgah beli kerepek, pisang goreng dan apam balik. Aku memang suka mengunyah dalam kereta. Kat Alor Gajah, aku suruh Farid take over steering kereta. Farid drive tak berapa lama sangat. Sampai Nilai, aku sambung drive balik pasal Farid pening kepala pulak. Mungkin terlalu panas matahari yang memancar kat muka-muka kami. Kami selamat sampai kira-kira jam enam petang lebih. Gembiranya kami dapat berkumpul enam anak beranak macam selalu.

Lepas ni terus balik.

Jumpa balik geng lama

Telah beberapa sessi aku bermain tenis dalam keadaan tak berapa sempurna. Maksud aku dengan tak sempurna ialah main tak cukup korum, main dengan bebudak kecik, main kelam-kabut dalam masa kurang sejam. Memang tak puas main macam tu. Tapi pada hari Sabtu lepas, aku berjaya buat booking tenis untuk tempoh dua jam kat tempat biasa - Titiwangsa. Aku ajak geng-geng lama. Ingatkan diorang sibuk. Rupanya mereka datang. Syed, Abang Hj Nordin dan Foong jugak ada. Cuma pada pagi tu aku sampai sangat lambat pasal terlalu mengantuk menjaga Sabriena dengan isteriku yang cuma nak tidur pada awal pagi. Jadi aku sampai court cuma sekitar jam 8.45 pagi. Yang lain start main dululah sementara menanti aku tiba. 

Set pertama ketika aku partner dengan Syed lawan Foong dan Abang Hj Nordin, kami kalah 1-6. Memang dijangka kami akan kalah, tapi taklah seteruk tu. Set kedua adalah yang paling best. Aku memang sangat serasi kalau berpasangan dengan Abang Hj Nordin. Jadi bila kami berentap lawan Foong dan Syed, kami pulak menang 6-1. Dan set ketiga, aku dah agak penat. matahari pun dan mula menerik memancar kat ubun-ubun kepalaku. Kami main baru sekerat jalan, dah terpaksa berhenti pasal dah pukul 10 pagi. Ada orang lain pulak nak main. Masa tu aku partner dengan Foong lawan Bob dengan Abang Hj Nordin.

Aku sangat kagum dengan Bob. Bob tu berbadan besar dan gempal. Dulu dia gerak tak berapa laju. Bagi bola jauh-jauh sikit dia akan mengalahlah. Sekarang, walaupun masih berbadan besar, dia dah semakin laju. Semua bola sukar dia dapat return dengan baik. Unforced error yang sangat minimum. Hebat! Top spin yang betul-betul spin macam gasing. Servis out swinger yang sukar diramal. Memang hebat!! Pada hal dulu dia lebih kurang macam aku aje dari segi skill. Tapi kehebatannya telah melonjak hampir 100 peratus. Syabas. Semoga di lain masa, aku dapat main lagi dengan geng-geng yang hebat ini. Aku perlu belajar dengan sifu-sifu ni semua agar permainanku jugak dapat meningkat.

Foong dan Abang Hj Nordin.

Friday, May 25, 2012

Mengenal anjing ganas di persekitaran anda: Anjing terkawal

Bahagian 2

Semalam aku berkisah pasal jenis-jenis anjing yang telah dilarang daripada dibawa masuk ke Malaysia. Maka makna katanya, anjing seperti Pit Bull, American Bulldog, Akita, Japanese Tosa, Neapolitan Mastiff, Fila Braziliero dan Dogo Argentino tak dapatlah ditemui di negara kita ini. Melainkan ada orang yang bawak masuk secara seludup.

Tapi yang sekarang aku nak cerita ni ialah jenis anjing yang ada kat Malaysia, dibenarkan dibawak masuk secara terkawal, dan ada potensi menjadi bahaya. Inilah jenis anjing-anjing yang korang kena berhati-hati bila terserempak di jalanan. Terutama bila bersendirian. Anjing-anjing ini termasuklah Bullmastiff, Canary Dog, Doberman, German Shepherd, Rottweiler dan Bull Terrier. Meh aku kisahkan perihal anjing-anjing tu kat sini.

Bullmastiff
Dia ni jenis anjing pak guard yang sangat peka dengan sekeliling. Kalau kena provoke, memang dia tak takut punya. Dia ada potensi menyerang orang yang menceroboh kawasan kediamannya. Tapi dia ni suka bermesra pulak dengan kanak-kanak. Dia juga sejenis anjing yang setia dan taat. Tetapi dia mempunyai kederat kekuatan yang sangat power! Tuan punya anjing ni mestilah mempunyai sikap yang tegas dan konfiden dalam mengawal anjing jenis ini. Kalau tak, anjing nilah yang akan kawal tuan dia.

Bullmastiff yang perkasa.
Canary Dog
Ia jugak dikenali sebagai Perro de Presa Canario. Agaknya mak dia dulu terkenan dengan orang Latin kot. Ia adalah sejenis anjing yang suka mendominasi. Kena ada cukup latihan penyeliaan. Kalau tak kena gaya, anjing ini akan bersikap agresif terhadap orang-orang yang tak dikenalinya atau terhadap anjing-anjing lain, termasuk anjing jiran-jiran.

Canary Dog - nama dia tak ganas langsung, macam nama burung jer.
Doberman
Anjing ni selalu keluar kat filem cerita hantu. Entah kenapa aku pun tak tau. Mungkin sebab dia suka mengilai kot. Dia adalah sejenis anjing yang garang dan agresif. Kehadirannya boleh membuatkan orang di sekeliling tak senang duduk. Dia sangat berani dan sanggup berjuang mempertahankan tuannya. Tapi dia adalah sejenis anjing yang taat setia terhadap arahan tuannya. Anjing ni selalu jugak jadi anjing polis dan anjing tentera. Tapi kalau nak buat manja-manja, gesel-gesel, ngendeng-ngendeng, lupakan ajelah. Yang itu memang dia tak sesuai.

Doberman - si anjing hantu.
German Shepherd
Sekali nengok aje mesti korang dah tau. Nama glamernya ialah Anjng Polis pasal polis suka benar ambil anjing ni bekerja untuk pasukannya. Dia ni jenis anjing yang bijak pandai dan sangat berdisiplin. Senang ditunjuk ajar. Tapi saiznya agak besar dan mengerikan. Aku dah pernah beberapa kali berselisih dengan anjing ni. Dia nampak okay je. Menyalak pun tidak. Bagi aku dia ni jenis anjing baik. Tapi kat Australia, mengikut rekodnya, ia adalah jenis anjing yang ketiga suka serang manusia. Mungkin orang Australia bau macam tulang kot.

German Shepherd - anjing polis.
Rottweiler
Mendengar namanya pun dah cukup menggerunkan. Apa lagi melihat kelibatnya yang besar gajah dan mempunyai salakan yang super kuat. Aku pernah kena salak dengan anjing ni. Dah nak terkucil jugaklah dibuatnya. Syarikat sekuriti memang suka bebenar ambil anjing ni kerja dengan depa. Tapi dengan tuan dia, aku nengok dia okay aje. Cuma dengan orang asing aje dia garang sikit. Di sesetengah negara seperti Poland, Portugal dan Ireland, anjing ni telah di-ban! Kalau tau orang Portugis takut anjing Rottweiler, mesti Sultan Melaka dan bawak anjing ni banyak-banyak nak perang dengan orang Portugis dulu.

Rottweiler - besar dan mengeriiiiiikan.
Bull Terrier
Alaaahhh. Anjing kecil molek aje. Comel pun comel. Kelakar pun kelakar. Tapi awas! Anjing inilah yang telah menggigit seorang warga emas di Subang Jaya sampai mati tak berapa lama dulu! Tuan anjing ni mestilah bersikap tegas dan dominant. Kalu jenis lembik-lembik ala-ala sotong, anjing ni memang akan buli punya. Dan anjing ni janganlah sesekali ditinggalkan bersama kanak-kanak tanpa pengawasan. Bahaya!

Bull Terrier - comel tapi ada makna.
Biar aku simpulkan sikit cerita kisah anjing ni. Nak kirakan semua anjing pun ada bahayanya. Ia jugak bergantung macam mana kita mengawal selia anjing-anjing tu. Pemilik anjing-anjing ganas janganlah cuai hingga menyebabkan anjing ni terlepas kat luar pagar rumah. Kalau dijaga rapi, mesti okay aje. Anjing jiran aku yang kejar aku masa aku budak-budak sekolah dulu, dia jenis bulu shaggy. Nama dia Bobby. Pernah budak naik basikal dikejar dan digigitnya sampai luka. Tapi tak mati budak tu. Anjing yang macam tulah yang kena selalu duduk dalam rumah. Jiran sebelah rumah aku jugak ada bela beberapa ekor anjing jenis Boxer masa dulu-dulu. Rupa anjing Boxer ni macam anjing ganas yang lain jugak cuma hakikatnya dia tidak ganas. Dia kekadang kalau berak, dia makan balik najis dia. Kekadang suka kejar ekor dia sendiri yang kontot. Dan pernah sekali dia jilat tangan aku masa aku letak tangan aku kat pagar rumah. Yiek! Kawan aku kata, itu maknanya dia suka kat aku. Yalah tu! Apa-apa pun kalau jumpa anjing atau apa saja binatang yang ganas, azan ajelah. Semua haiwan gementar bila mendengar nama Allah diagungkan. Cuma manusia aje yang tak ambil port bila mendengar azan. Renung-renungkanlah.


Thursday, May 24, 2012

Mengenal anjing ganas di persekitaran anda: Anjing terlarang

Bahagian 1

Pernah tak korang terserempak dengan anjing yang garang ketika sedang berjalan bersendirian? Lepas tu anjing tu menyalak-nyalak sampai nak tercabut anak tekak kat korang. Tapi orang kata, anjing kalau kuat menyalak, sebenarnya dia tak berapa garang. Dia suka eksyen jer. Kena gertak sikit nanti dia larilah. Tapi ada anjing tu dia jenis tak banyak cakap. Cakap-cakap tak main. Itu yang lebih menyuspenkan. Pasal mungkin anjing tu anjing jenis psiko! Otak mereng. Ada pulak jenis anjng jalanan ni, dia kalau sekor-sekor dia penakut. Tapi bila dah jumpa geng sampai lima enam ekor, dia mulalah nak tunjuk samseng. Ini pun kena jaga-jaga jugak. Aku? Aku memang pernah kena salak dengan anjing. Banyak kali. Anjing jiran aku sekarang ni pun masih kerap menyalak kat aku. Anjing yang menyalak tu biasanya dia duduk dalam rumah, tak boleh keluar. Dia menyalak sebab dia tension sebenarnya. Dan aku jugak pernah kena kejar dengan anjing masa budak-budak dulu. Kali terakhir aku kena kejar anjing ialah masa aku belajar kat UTM. Masa ni dah besar dah. Bukan budak-budak lagi. Nanti aku cerita lebih detail dalam blog akan datang.


Kali ni saja aku nak sentuh pasal cerita anjing sikit pasal baru-baru ni kan ada warga emas kena serang dengan anjing sampai meninggal dunia kat Subang Jaya. Anjing yang serang dia tu jenis Bull Terrier. Tuan anjing tu lalai. Sepatutnya dia kan tau anjing jenis tu mana boleh biar terlepas kat kawasan awam. Potensi bahayanya tetap ada, walaupun dia pada zahirnya nampak jinak.

Kat Malaysia ni, ada beberapa jenis anjing yang memang telah diharamkan dari dibawa masuk. Antaranya ialah American Bulldog, Pit Bull, Akita, Japanese Tosa, Neapolitan Mastiff, Dogo Argentino dan Fila Braziliero. Aku pun tak berapa jelas kenapa anjing-anjing jenama ni diharamkan dari dibawak ke sini. Lalu aku pun buatlah kajian kat internet sikit pasal sifat-sifat anjing ni macam mana dan perihal tindak tanduknya.

Neapolitan Mastiff
Anjing ni jenis tak takut mati dan sangat prihatin terhadap keluarga dan rumah di mana ia tinggal. Dia ni jenis tak banyak sound. Tau-tau dia sergah aje dari belakang. Hwah!!! Ia sangat pandai dan suka berfikir dengan cara sendiri.  Dengan saiz badannya yang agak besar perkasa, ia mempunyai kekuatan bagaikan badak sumbu Afrika. Anjing ni jugak tak berapa mesra alam dengan orang yang tak dikenalinya. Dan sama sekali berbahaya jika dibiarkan berlegar di lingkungan kanak-kanak. Anjing ini hanya sesuai dibela oleh pembela anjing yang profesional. Kalau beginner baru nak berhasrat bela anjing ni, lupakan ajelah. Mengancam nyawa namanya.

Neapolitan Mastiff mempunyai kulit yang agak gelebeh.
Neapolitan Mastiff ni jugak mempunyai kulit yang gelebeh. Perlu selalu buat pemeriksaan doktor. Kalau tak, kutu pada badannya akan mengamuk dan mula menggigit manusia. Arrrrrgggggmmm!!! Ini teori aku aje.

American Bulldog
Anjing jenis ni sangat sosial, konfiden dan aktif. Ia boleh berinteraksi baik dengan kanak-kanak. Ia juga mempunyai otot kaki yang sangat kuat dan boleh melompat tinggi. Daya tahan sakitnya jugak agak luar biasa. Kena belasah dengan samseng jalanan pun dia masih steady lagi. Pada dasarnya dia tak berapa nak ngam dengan binatang-binatang kecil yang lain. Tapi kalau dah diasuh sejak kecil, dia akan jadi okay aje. Anjing ni jugak selalu keluar kat tv sebagai anjing yang paling popular dalam cerita kartun. Mungkin sebab rupanya yang ganas, tapi pada masa yang sama ia jugak kelakar.

American Bulldog sangat popular sebagai anjing kartun yang ganas.
Akita
Akita ialah sejenis anjing yang agak comel macam serigala yang jugak sangat setia kepada tuannya. Berbadan besar dan kuat perkasa, menyebabkan ia tak sesuai dibela oleh orang yang first time nak bela anjing. Sesetengah negara di dunia ni mengkategorikan anjing jenis ni sebagai anjing yang berbahaya. Anjing ni memang tak boleh ngam dengan anjing-anjing lain yang mempunyai jantina yang sama dengannya. Sebab tulah ia tak sesuai dibawak bersiar-siar keliling taman. Takut-takut terserempak dengan anjing lain dan mereka akan bergaduh. Anjing ni jugak terkenal dengan keberanian dan kebijaksanaannya.

Akita - anjng ni nampak comel dan macam anjng Eskimo sikit-sikit. Bahaya ke dia?
Japanese Tosa
Anjing ni jugak merupakan anjing yang berani gila. Ia sangat responsif dan prihatin terhadap arahan dari tuannya. Peliknya, ia jugak agak pendiam, penyabar dan tenang. Dia sangat sesuai dijadikan anjing untuk menjaga rumah. Dengan berbadan besar bak dinosaur, pastinya ia mempunyai kederat yang kuat. Oleh itu, tuan punya anjing disarankan melatih anjing ini betul-betul, pasal salah asuhan akan pasti mendatangkan bahaya kepada manusia, khususnya kanak-kanak.

Japanese Tosa - macam adik beradik Bulldog jugak.
Dogo Argentino
Anjing ni bolehlah dikategorikan sebagai anjing pemburu. Tapi juga dilatih untuk berlembut dengan tuannya. Ia sesuai dijadikan anjing polis dan anjing tentera pasal ia memang suka menembak menggunakan M-16 dan menaiki kereta kebal. Kenapa ia bahaya? Entahlah. Sebab ia suka pergi berperang kot?

Dogo Argentino - pandai main bola macam Lionel Messi.
Fila Braziliero
 Anjing ni sangat sesuai dipelihara untuk menjaga ladang. Dia sangat penyayang dengan tuannya, malah dengan ahli keluarga tuannya serta binatang-binatang peliharaan tuannya yang lain. Cuma satu je, dia tak suka tetamu keluar masuk rumah dia. Tetamu tu dia kira macam orang asing jugaklah. Dan kalau dia rasa macam ada orang nak mengapa-apakan tuannya, ia akan berusaha sedaya upaya untuk menjaga keselamatan tuannya dengan bersikap agresif terhadap orang asing tadi. Anjing ni perlu kerap dibawak jalan dan excercise. Kalau tak ia akan frust menonggeng dan menjadi agak bahaya.

Fila Braziliero - anjing yang besar dan gagah.
Pit Bull
Perlukah aku ceritakan lagi perihal anjing Pit Bull ni? Semua sedia maklum, anjing ni memang agak mereng sikit. Tapi lebih baik anjing mereng daripada orang  yang mereng. Mengikut rekod, dalam banyak-banyak kes orang mati diserang anjing, anjng Pit Bull nilah yang baling tinggi sekali peratusnya dikenali sebagai penyerang manusia. Ia akan bersikap sangat agresif terhadap orang yang tak dikenalinya. Ada beberapa kes, penceroboh atau pencuri habis mati lunyai dikerjakan oleh anjing Pit Bull ni. Badannya tak lah besar mana, tapi kederat dan kedegilannya sangat tinggi. Dah lama dah anjing ni di-ban di Malaysia dan beberapa negara yang lain. Ia memang sangat berbahaya jika tidak dikawal selia dengan baik oleh tuannya.

Pit Bull - sangat paling bahaya dan ganas. Serta psycho jugak gamaknya. Lihat sajalah ototnya yang macam body builder.

Tuesday, May 22, 2012

Diserang pemakan yang lahap

Pada hari Sabtu lepas, ketika aku tengah mencari-cari kasut untuk dipakai dari dalam almari kasut kayu kat depan rumah, aku telah terlihat kesan kedahsyatan serangan oleh tentera bawah tanah secara tidak kami sedari. Ya! Perajurit anai-anai yang berjuta, bilion dan trilion banyaknya telah menyerang, menggigit dan melompongkan kayu pada rak hingga rapuh. Pada waktu tu aku sekadar dapat melihat kesan-kesan serangannya dalam keadaan tercengang dan terlopong.

Almari kasut yang teruk diserang anai-anai.
Kayu ni memang sangat sedap rasanya. Patutah anai-anai suka!
Esok harinya, pagi-pagi lagi aku dah ke kedai hardware untuk mencari racun anai-anai. Aku cari di beberapa kedai. Tak jual. Akhirnya aku temui jugak kat sebuah kedai hardware yang agak besar di Bukit Indah. Aku beli complete set dengan topeng muka, alat penyembur dan sarung tangan. Memang tekad aku untuk membuat counter attack terhadap tentera bersekutu si anai-anai putih yang rakus.

Kasut dilonggok dan diasingkan sebelum semburan racun dilakukan.
Orang gaji aku telah terlebih dulu mengosongkan rak kasut dengan menempatkan semua kasut di satu longgokan depan rumah. Aku suruh anak aku Wanie membantu aku menyusun kasut-kasut itu biar senang dicari dan dipadankan. Dan aku pulak, terus mencampur racun anai-anai tadi dengan air dan campur racun tikus sekali serta racun dari pokok ipoh, dan racun sulfur serta racun lalang bagi menambahkan power dia. Baunya saja sudah boleh membuatkan seekor gajah pengsan tak sedarkan diri untuk beberapa hari. Setelah menggauli ramuan tadi bagaikan saintis, aku pun lalu menyembur racun tadi ke segenap lantai yang terlibat dan ke setiap sudut almari tadi. Rupa-rupanya tentera anai-anai telah menyorok di bahagian dalam kayu hingga terpaksa aku korek bahagian kayu yang telah lompong sebelum menyemburkan racun tadi. Mula-mula aku ingat nak pakai balik almari tadi. Tapi menengokkan yang anai-anai tu masih banyak lagi berkeliaran kat situ, dan masih banyak yang tak mati lagi, akhirnya aku pecahkan almari tu dan campakkan kat depan rumah untuk dibuang.

Kasut yang terpalit dengan tanah akibat aktiviti bawah tanah sang penyerang.
Bersiap siaga untuk berjuang.
Inilah racun yang sangat power rangers!
Ada beberapa kasut yang telah rosak akibat dimakan anai-anai. Dan sebahagian yang lainnya kotor comot terkena palitan tanah yang dibawak oleh anai-anai. Setelah almari kayu tadi dibuang, kenalah pulak fikir kasut-kasut yang selambak tu nak letak kat mana pulak. Last-last lepas bincang anak-beranak, kami setuju untuk beli almari kasut baru yang diperbuat daripada besi. Kalau dapat nak pakai besi titanium. Aku, isteriku, ibuku dan Amier pergilah ke kedai perabot berdekatan selepas solat asar untuk mencari almari baru.

Macam nak buat garage sale lah pulak.
Almari kasut besi nampak gayanya tak dijual di situ. Yang ada semuanya made of kayu. Jadi aku tanya pada budak kedai tu, "Ada tak apa-apa almari yang diperbuat daripada besi?" Budak tu jawab, ada. Tapi filing cabinet-lah. Aku okay aje. Setelah berkenan dengan almari fail besi tu, kami pun membuat bayaran sebanyak RM400 dan meminta orang kedai tu hantar almari kat rumah. Lepas maghrib, lori pun datang dan menghantar barangan kami. Malam tu jugak aku susun semua kasut kat dalam almari besi. Barulah nampak kemas sikit. Aku harap, tak ada pulak nanti geng anai-anai yang makan besi nanti. Kami memang perlu lebih berhati-hati, kerana anai-anai memang selalu ada berkeliaran di sekitar kawasan perumahan kami. Mereka sedang memerhati dan menanti peluang untuk membuat serangan balas lagi.

Almari besi yang baru dibeli.
Menyusun kasut di almari baru.

Ish ish ish... dah ber-dating dia

Masih ingat tak pada anak-anak kucing aku? Mak dia bernama Snowcat. Dia beranak dah ada sepuluh ekor kat rumah aku. Batch pertama empat ekor. Batch kedua enam ekor. Yang nak aku kisahkan sekarang ialah batch yang pertama. Dari empat ekor anak dia, satu kena langgar kat kaki dan terus hilang. Satu mati keracunan makanan. Dan satu mati kena langgar motor. Tinggallah lagi satu yang bernama Brownie. Brownie ni kucing betina, dan dah berusia muda remaja, kira-kira dalam lingkungan lewat belasan tahunlah. Tau-tau ajelah. Bila anak dara dah meningkat dewasa, ada ajelah kekucing jejantan yang mula nak mengendeng-ngendeng. Yang mengendeng tu pulak kucing yang dah separuh abad. Selalu menyibuk aje kat rumah aku. Tumpang makan sekaki pulak tu. Memang tak tau malu betul. Tu nanti kalau kahwin dengan kucing aku, macam manalah pulak dia nak bagi makan. Sekarang ni pun dia tak kerja. Asyik melepak aje kat rumah aku. Rimas kami dibuatnya. Dah halau pun dia tetap berdegil. Kucing jantan miang tu kami namakan Apin.

Aku nengok gaya si Brownie ni, dia ni macam tomboy sikit. Selalu dia buat dirt dengan si jantan tu. Tapi kekadang melayan jugak dia. Brownie memang suka betul action dengan kucing jantan tu. Maklumlah, dia kan ada tuan. Kucing jantan tu kucing jalanan.

Brownie si kucing betina tomboy.
Apin - si jantan yang tak tau malu.
Bila malam menjelang, mulalah si dua ekor ni ber-dating. Tapi aku pernah jugak nengok diorang berdating waktu siang. Tapi diorang tak buat apa-apa, pasal aku selalu pesan kat Brownie, "Boleh pandang-pandang, jangan pegang-pegang, duduk renggang-renggang, semakin sayang..." Si Brownie ni memang mendengar kata sikit. Pesan aku pada si Apin, kalau dah nak benar kahwin dengan si Brownie tu, kahwinlah. Tapi jangan bawak lari ke Lombok sudah!

Time mereka sedang ber-dating di atas Exora.

Monday, May 21, 2012

Main pukul-pukul bola pakai reket tenis

Memang betul sejak kebelakangan ni sangat sukar nak buat booking court tenis kat Titiwangsa. Tapi pada Sabtu lepas aku masih berkesempatan untuk dapatkan satu court selama satu jam. Pagi-pagi lagi aku dah sampai kat sana dengan penuh semangat. Tapi sebelum aku teruskan cerita pasal kejadian selanjutnya, ada baiknya aku kisahkan dulu apa yang telah berlaku sebelum tiba hari Sabtu. 

Beberapa hari sebelum hari Sabtu, aku telah melihat kat You Tube akan teknik-teknik memukul bola tenis dengan betul dan berkesan. Semangatku semakin membara. Aku belajar teori pukul forehand dan backhand top spin. Belajar pukul slice, belajar serve, belajar volley, belajar lob, dan belajar cakap bahasa Rusia (pasal banyak juga pemain handalan tenis berasal dari Rusia). Pada malam hari Jumaatnya pula, aku memang kurang tidur pasal asyik terjaga kerana Sabriena selalu menangis malam, sama ada dia lapar, atau diaper kotor, atau kesejukan, atau kepanasan, atau tilam tak selesa, atau sesaja nak kejutkan ayah dia bangun buat solat tahajjud. (Tapi aku tak buat pun... ) Jadi bila aku bangun pagi pada hari Sabtu tu, memang aku agak laloque sikitlah macam zombie. Tapi aku gagahkan jugak pasal nak main tenis punya pasal.

Dengan Rahman dan Izat. Firdaus telah beredar lebih awal.
Sesampai di gelanggang, seperti yang aku jangka, court masih kosong. Abang Aziz tak datang. Budak-budak yang ikut coaching pun belum sampai. Jadi aku sorang-sorang ambil bola tenis dan practice buat serve berkali-kali sampai aku naik bosan. Kira-kira jam 8.30 pagi, barulah aku ternampak kelibat budak-budak kecil bawak reket tenis. Aku ajak bebudak tu stroke dengan aku. Aku ingatkan bebudak ni terer macam Ulwan atau Rahman. Mereka ni walaupun kecil, tapi main tenis handal jugak. Rupanya bebudak dua orang yang join aku tu baru nak menjinakkan diri dengan tenis. Jadi pukul bola pun masih melayang-layang. Adus!!! Apa nak buat. Layan ajelah. Sorang tu nama dia Izat - darjah lima. Sorang lagi nama dia Firdaus - darjah dua. Tak lama kami stroke, datanglah Rahman. Lalu aku pun stroke dengan Rahman. Okaylah sikit performance Rahman. Rahman pun baru darjah lima jugak kalau tak silap aku. Bila jam 9 pagi, datanglah ramai bebudak dan coach masuk ke gelanggang. Aku terpaksa beredar pasal tempoh untuk aku menggunakan gelanggang telah tamat. Memang aku tak puas main. Tapi nak buat macam mana. Nak cari players pun dah semakin payah kebelakangan ni.

Rahman (berbaju merah) tererlah jugak main tenis.
Sebelum balik, aku terserempak dengan kawan lama aku, Suza. Lalu aku lepak kejap kat kantin dan berbual dengan Suza pasal kerja, keluarga dan menukar-nukar resipi keluarga. Suza ditemani anaknya yang baru darjah dua. Suza sangat peramah macam dulu. Kami bersembang dekat dua puluh minit sebelum kami beredar untuk pulang ke rumah masing-masing.

Kawan lama aku - Suza yang sama-sama kerja kat Monorel dulu.

Telur reptilia purba

Sedang aku mengemas bahagian porch rumah sebab telah diserang anai-anai, aku ternampak dua bijik objek yang menyerupai telur ayam di dalam tool box milik ayahku. Rupanya macam telur ayam, tapi saiznya jauh lebih kecil. Lalu aku ambil dan meneliti dengan penuh konsentrasi yang sangat luar biasa tahap fokusnya. Setelah aku membuat kajian yang terperinci, dan berpandukan kepada pengalaman aku sebagai pengkaji haiwan purba dan archaeologist, aku sangat yakin itu adalah telur dinosaur yang terkecil di dunia. Macam mana ia boleh berada di situ, aku pun belum dapat pastikan lagi. Untuk memastikan aku tidak salah, aku telah memecahkan telur berkenaan, dan alangkah terkejutnya aku apabila yang keluar dari telur itu ialah seekor dwarf tyrannosaurus rex (t-rex). T-rex kecil itu sempat pergi ke arah ku dan menggigit jari manis ku sampai berdarah. Aduh! Jeritku yang bergema di seluruh ruang angkasa kawasan Ampang. Lalu aku cepat-cepat spray dengan ubat nyamuk. Dan terus K.O. t-rex tadi. Kalau masih hidup, tentu saja aku boleh hantarkan spesis haiwan purba itu ke muzium negara dan kalian semua sudah pasti dapat bersemuka dengan nya - eye to eye!

Inilah telur yang dipercayai milik dwarf t-rex.

Sabriena jumpa doktor

Semalam umur Sabriena kira-kira 25 hari. Tiba masa untuk dibawa jumpa doktor kat Pusat Rawatan Prince Court. Appoinment patutnya jam 12.45 tengah hari. Tapi aku tengah banyak kerja kat ofis, jadi balik rumah agak terlewat sikit. Akhirnya jam 2 petang lebih baru sampai hospital. Menunggu giliran untuk jumpa doktor memang agak lama. Isteri aku, maid aku dan Amier turut datang ke hospital. Kira-kira jam 3.30 baru dapat jumpa doktor. Doktor check, kira semua okay. Syukur. Sabriena tak apa-apa. Beratnya pun dah bertambah jadi empat kilo sekarang. Patutlah lenguh kalau dukung dia lama-lama. Lepas Sabriena dah jumpa doktor kanak-kanak, wife aku pulak kena jumpa doktor dia, sebelum kami pulang agak lewat jugak semalam.

Wajah terbaru Sabriena. Sabriena memang suka kerut dahi pasal banyak fikir kot.

Friday, May 18, 2012

Makan-makan dibelanja Pak Menteri Besar

Hari ni hari terakhir dua orang pelajar Politeknik Port Dickson, Fadli dan Zafran buat praktikal di ofis kami. Jadi Azni mencuba-cubalah mengecek akauntan kami, Kamal menanyakan kot-kot ada duit lebih untuk belanja bebudak tu makan tengah hari. Kira makan farewell-lah. Tapi sebenarnya kami yang permanent staff yang dah kebulur nak makan pakai duit ofis. Check punya check, Kamal kata adalah sikit untuk buat makan-makan. Jadi dia pass RM100 kat Azni untuk acara makan-makan tengah hari ni.

Pelajar Fadli dan Zafran ni memang sangat murah dengan senyuman. Senang hati, senyum. Susah hati, senyum. Tengah tak ada apa-apa emosi pun mereka boleh senyum. Memang tak susah nak nengok mereka senyum. Berserilah sikit ofis tu kalau mereka berdua ni ada.



Kami pergi cari makan lepas solat Jumaat kat Bandar Baru Bangi. Mula-mula Azni suggest makan western style kat restoran D'One Steak. Sampai-samai aje kat situ, restoran tu macam tengah tutup aje. Bila tanya orang kedai tu, dia kata bukak pukul 4 petang nanti. Alamak! Kena tukar kepada plan B lah nampaknya. Ahmad pulak cadang makan nasi beriyani kat kawasan berdekatan situ jugak. Kami pun terus menghala ke situ. Kedai memang terbuka luas. Dan kami pun masuklah kat dalam. Bila masuk aje, kami ternampak kelibat Menteri Besar Pahang - Dato' Sri Hj Adnan Hj Yaakob. Aku rasa macam nak tegur, tapi seganlah pulak. Dia ditemani dua orang rakan. Masa kat restoran tu aku tengah lapar sangat. Maklumlah, dah pukul 3 petang. Aku, Ahmad dan Zafran order nasi beriyani kambing. Fadli order nasi beriyani ayam. Dan Azni, dia kurang gemar makan nasi beriyani, jadi Azni order chicken chop.

Depan kedai Bangi Biryani House.
Kami makan tengah hari tadi berlima orang aje.
Zafran dan Fadli sangat gembira dapat makan kambing dan ayam beriyani. Mantoppp!!!
Bila makanan datang, aku tak tunggu lagi. Terus mencedok nasi masuk ke mulut dan menolak sampai ke tembolok. Memang aku tengah lapar sangat. Orang kat Afrika pun tak pernah lapar macam aku lapar. Meh aku buat review sikit pasal makanan kat sini. Nasi dia memang enak walau dimakan begitu saja. Masakan kambingnya pun mempunyai rasa yang  agak sederhana. Amat sesuai dipadankan dengan nasi tadi. Acar buahnya jugak sedap. Harga sepinggan beriyani kambing ialah RM13 lebih. Kambingnya agak fresh. Mungkin baru disembelih pagi tadi. Malah masa aku gigit daging kambing tadi, daging tu masih mengembek pulak lagi, menandakan ia masih segar. Secara keseluruhannya, juadah nasi beriyani kat sini sedap, tapi tidaklah terlalu hebat. Tapi memang lebih sedap dari beberapa tempat yang pernah aku kunjungi. Airnya pulak aku order air teh tiga rasa. Dia macam three layer tea atau teh-C special jugaklah. Benda yang sama tapi gelaran lain-lain. Agak sedap. Tapi aku rasa sedap lagi yang dijual di Restoran Sekinchan Ikan Bakar. Harga segelas air teh tiga rasa panas ialah RM4 lebih. Gelasnya memang besar. Boleh berenang-renang dalam gelas tu.

Inilah sepinggan nasi beriyani kambing.
Inilah teh tiga rasa panas dalam gelas besar. Enak jugak.
Bila dah habis makan, kami pun nak pergi bayarlah menggunakan duit RM100 yang Kamal bagi pagi tadi. Bila sampai kat cashier, dia kata makan tengah hari kami tu dah pun dibayar oleh Dato' Sri Adnan. Alamak! Kami berasa sangat bersyukur dan bergembira. Tapi agak ralat pasal tak sempat nak ucap terima kasih kerana belanja kami makan. Aku cuma ucap terima kasih dalam FB ajelah. Bagi pak-pak menteri atau mana-mana ahli politik yang teringin nak belanja orang makan, carilah kami. Mulut dan perut kami sentiasa terbuka luas untuk dibelanja. Rezeki hari Jumaat yang Allah bagi melalui orang-orang tertentu.

YAB Dato' Sri Adnan Yaakob belanja kami makan secara kami tak sedari.