Bila freezer kat rumahku dibuka, nampak jelas kandungannya telah berkurangan. Kelibat ikan-ikan berenang-renang dah tak kelihatan. Maka kami tau bahawa telah tiba masanya untuk aku, seorang nelayan turun ke 'laut' mencari rezeki yang halal berupa ikan-ikan segar dari pelbagai spesis.
Maka pada hari Sabtu lepas, aku telah ke 'laut' yang terletak di Selayang. 'Laut' tidak bergelora pada pagi tu. Ombak setinggi seinci pun tak kelihatan. Para nelayan nampak bersesak-sesak mendapatkan ikan di perairan terbuka. Bermacam-macam ikan telah aku dapatkan, termasuklah siakap, kembung, sardin, kerisi dan keli. Ingatkan nak tangkap great white shark dan ikan paus biru. Tapi memandangkan bonet kereta aku terlalu kecil, maka aku batalkan saja niat asalku itu. Udang agak kurang di perairan, maka harganya agak melambung.
Bila sampai di rumah, aku punggah semua hasil tangkapan ku yang seberat puluhan kilo dan mula menyiang ikan-ikan itu. Kepala-kepala ikan kembung aku asingkan untuk direbus dan dibagi kepada kerabat kucing-kucingku di luar sana. Kepala ikan yang telah dicuci bersih menggunakan sabun Breeze dan sedikit Clorox, dimasukkan ke dalam periuk kecil. Ditambah pulak dengan air paip dari Syabas yang telah ditapis menggunakan penapis Diamond. Pergh! Menengoknya saja telah mengundang seleraku untuk menjamah kepala ikan tadi.
Bila siap direbus, kepala-kepala ikan itu diadun pulak dengan nasi putih keluaran tempatan dan diramas menggunakan tangan yang berbau hanyir ikan. Dan bila disuakan aje kat kucing-kucingkku, berebut-rebut mereka makan sampai tak perasan mak mentua kucing tu lalu kat belakang. Aku yang melihat kucing-kucingku berselera makan, terus terbuka pulak seleraku untuk menjamah sama. Siap berebut-rebut dan bertolak-tolak antara aku dan kucing-kucingku agar masing-msing dapat merasa kehebatan dan kelazatan kepala ikan rebus bersulam nasi. Lepas makan, semua kucing kepuasan. Aku juga kepuasan dan terus lentok untuk seketika sampai tiba waktu asar.
Kepala ikan kembung yang menjadi idaman kucing-kucing se-Malaya. |
No comments:
Post a Comment