Baru aje aku melangkahkan kaki ke rumah menghala ke dapur untuk minum air, tiba-tiba aku ternampak kelibat Snowcat turun dari tangga bilikku. "Apa yang Snowcat buat kat atas?" bisik hatiku. Mungkin dia sekadar nak beralih angin kerana dah bosan terlalu lama duduk kat luar rumah kena habuk dan tempias hujan. Aku biarkan kisah itu berlalu begitu saja.
Selepas solat maghrib aku terdengar sedikit keriuhan di aras bawah rumahku. Tak lama kemudian terlihatlah Snowcat menggonggong anaknya yang masih belum terbuka matanya masuk ke kamarku. Lalu menyelinap ke bawah katil yang semak dengan joran, reket tenis dan badminton serta keyboard lamaku. Oh! Rupanya Snowcat nak memindahkan anak-anaknya ke dalam bilikku. Jadi, tadi petang dia baru membuat lawatan sambil memilih-milih lokasi terbaik untuk menempatkan anak-anaknya yang kecil dari bahaya musuh. Aku biarkan Snowcat meletakkan anaknya di situ.
Tak lama kemudian, dua lagi anak kucing dipindahkan ke bawah katil penuh habuk. Snowcat kemudian berehat sambil termengah-mengah. Aku tak pasti ada lagi atau tidak. Kalau ada pun, mungkin lagi sekor. Memang kami ada mendengar suara anak-anak Snowcat yang barangkali telah ditempatkan di atas siling rumah sebelum ini. Jangkaan kami tepat. Setelah berehat seketika, Snowcat beredar sebentar dan datang kembali membawa seekor lagi anaknya yang comel.
Lalu kami kumpulkan kesemua anak Snowcat dan masukkan ke dalam kotak yang telah dilapik dengan suratkhabar lama. Dan Snowcat mula berbaring dan menyusukan anak-anaknya yang kehausan. "Dulu anak dia empat ekor. Sekarang pun empat jugak", kataku kepada anak-anakku.
Setelah setengah jam berlalu, Snowcat keluar bilik dan memanjat siling, dan membawa bersamanya dua ekor lagi anak-anak kucing miliknya. Menjadikan jumlah anak Snowcat kali ini sebanyak enam ekor. Wow! Banyak tu!!! Seronok kami melihat keletah anak-anak kucing berenam itu bersama ibunya berebut minum susu. Tapi kami tak dapat membiarkan mereka terus berada di dalam bilik, walaupun di dalam kotak, atas faktor-faktor kebersihan dan kesihatan. Akhirnya kami setuju untuk membebaskan empat ekor anak Snowcat yang telah remaja dari dalam sangkar, dan memasukkan anak-anak Snowcat yang baru lahir ke dalam sangkar pula. Kalau Snowcat nak masuk atau keluar sangkar, dia memang pandai memberi tahu kami. Jadi kini keenam-enam mereka kami biarkan bersantai di dalam sangkar sehingga mereka cukup besar untuk dibebaskan. Tapi dari riak air muka Snowcat, aku tau dia masih tak puas hati dan masih mengintai peluang untuk memindahkan anak-anaknya ke dalam rumah.
Enam ekor anak Snowcat. |
Sedang menyusu. |
Comel-comel anak-anak Snowcat. |
Snowcat keletihan setelah memindahkan anak-anaknya. |
No comments:
Post a Comment