m y f a m i l y

m y   f a m i l y

Tuesday, July 6, 2021

Cameron Highlands: Malam yang menyeramkan!!!

Bahagian 9

25 Disember 2015 - Malam ini memang malam yang menyeramkan. Ada sesuatu yang mistik berlaku di tempat penginapan kami. Tapi tunggu dulu. Kalau nak tahu apa kisahnya, bacalah episod ini sehingga habis.

Di Taman Lebah, tidak ada apa-apa yang terlalu menarik di situ. Kami ke Taman Orkid dan Ros yang terletak tidak jauh dari situ dan barangkali juga lebih membuatkan kami berasa teruja. Isteri aku memang suka melilhat bunga ros. Allahyarham Ayah pula minat orkid. Aku minat tumbuh-tumbuhan yang aneh seperti periuk kera dan venus flytrap (tumbuhan yang macam monster). Kami berlegar-legarlah di situ sampai puas. Dan sempat membeli buah tangan untuk dibawa pulang ke Kuala Lumpur nanti.

Amier berbangga dapat memegang lobak putih raksasa.

Allahyarham Ayah duduk menghadap epal Cameron.

Venus flytrap yang mengerikan.

Mulut-mulut yang terbuka sedang menanti mangsa masuk untuk dimakan.

Sekali ia menggigit, tak akan dilepas sehingga berdentum guruh berbunyi. Hehehe...

Cantik betul ros ini.

Sudah melawat dan membeli, kami keluar untuk pulang.

Berehat dulu di pekarangan Taman.

Nasib baik anak-anak tak banyak meragam.

Amier pun nampak happy aje.

Wanie nak bersin ke tu?

Tunggu driver datang pickup.

Duduk di bawah teduhan pohon cendawan gergasi.

Beg sandang diletakkan di atas potongan balak dari hutan Pahang.

Allahyarham Ayah yang kesejukan membalut diri dengan jaket tebal.

Syahmie terperangkap dalam periuk King Kong. Tetapi berjaya melepaskan diri selepas itu.

Bunga pink yang cantik.

Macam morning glory dan macam lili juga.

Kami berehat secukupnya di hotel. Berjalan-jalan pada sebelah siang tadi agak meletihkan. Walaupun tak berpeluh. Walaupun dalam suasana dingin, sedingin 18 darjah Celcius. Kami tetap letih. Setelah solat jamak maghrib dan isyak, kami bersiap-siap untuk makan malam. Kami memang tidak ada panduan untuk menjamu selera di mana. Apa-apa pun, pandu kereta dulu, pergi ke pekan, dan carilah mana-mana kedai makan yang buka, dan halal. Suasana malam di Cameron Highlands memang agak kelam dan muram. Tak banyak aktiviti yang berlaku. Tetapi kebun-kebun sayurnya terang benderang kerana lampu-lampu dipasang. Dari jauh nampak sangat menarik, seperti dalam movie Blade Runner (lakonan Harrison Ford). 

Waktu itu hujan renyai-renyai. Menambah kedinginan yang sedia ada. Kami terlihat sebuah kedai makan kecil yang menyediakan menu steamboat. Wah! Macam sesuai sangat makan steamboat pada waktu-waktu begini. Allahyarham Ayah juga memang peminat steamboat. Dengan persetujuan semua, kami pun masuklah ke kedai itu. Pengunjung tak begitu ramai. Jadi kami tidak perlu menggagau-gagau untuk mencari tempat duduk. Kami order set yang ada dalam senarai menunya. Menarik juga juadah yang disajikan. Ada ketam bunga, ada udang harimau Malaya, ada sotong, ada fish ball dan macam-macam ball lagi, ada sayuran, ada telur dan bihun. Makan seperti ini memanglah tak begitu mengenyangkan. Kami pun bertujuh semua sekali. Tetapi kira buat alas perut ajelah. Kami makan sampai licin. Dah settle, kami pulang ke hotel.

Di bilik menanti waktu makan malam.

Syahmie mencuba membaiki permainan "coil" yang dah tersimpul.

Sabriena dah tak sabar-sabar nak keluar makan.

Amier makan jajan dulu.

Kami dah sampai kedai makan steamboat.

Menanti pesanan tiba.

Periuk dan dapur memasak telah diberikan.

Sekarang tunggu makanan tiba pula.

Eh! Masa bila chipmunk ni join kami makan. Dan di mana Amier?

Lauk-pauk untuk steamboat dah sampai. Mmmmm.... Sedapnya...

Wanie geram aje tengok udang harimau Malaya yang disajikan.

Makan seorang sedikit. Memang menyelerakan.

Meratah ketam bunga.

Ketam ini masih meronta-ronta walaupun telah dipotong dan dimasak.

Wap steamboat ini turut membantu menghangatkan tubuh kami.

Amier menghirup kuah sup yang enak.

Sebelum pulang dari tempat makan, sempat juga kami menyinggah dan melihat-lihat jualan yang ada di sekitaran pekan. Allahyarham Ayah memang sangat teruja bila melihat sayur-sayuran segar yang ada dijual di situ. Kalau tak silap aku (maafkan aku, sebab kisah ini dah berlalui lebih lima tahun dulu, dan aku kurang ingat perinciannya), kami singgah di sebuah pasar yang menjual produk pertanian. Ada yang keluar, ada yang duduk di dalam kereta. Kami berjalan merentas kabus yang mulai naik dari jalan tar yang panas. Suasananya seperti di London pada tahun 1800an. Di pasar kami ada membeli keledek kerdil yang aku tahu memang digemari oleh Allahyarham Ayah. Keledek ini memang sedap dimakan bila direbus. Kami tak lama di pasar. Kami terus ke hotel untuk berehat panjang. 

Oleh kerana badan kami sudah keletihan, dan tambahan pula dilingkung oleh kedinginan malam, di tanah tinggi, kami tidak memerlukan masa yang lama untuk terlena dibuai mimpi. ...dan di sinilah bermulanya kisah seram yang ingin aku kisahkan...

Entah jam berapa agaknya, tidurku tiba-tiba terganggu. Aku tersedar setelah digugah oleh mimpi yang sangat menyeramkan. Butir mimpinya tak dapat aku ingat. Namun yang masih segar dalam ingatan aku adalah dadaku berdegup kencang kerana keseraman yang luar biasa yang aku rasakan. Tetapi aku tak ternampak apa-apa kelibat di kamar kami. Mataku melilau-lilau juga sebenarnya. Lantas membaca ayatul Kursi. Rupanya bukan aku saja yang merasakan keseraman ini. Isteriku juga turut terkejut dan terjaga dan sejenak berada dalam situasi ketakutan. Aku tak pasti pula bagaimana perasaan anak-anak kami pada ketika itu. Kami sama-sama membaca surah-surah dalam Al Quran sebelum menyambung tidur sehingga waktu subuh menjelang. 

Sebenarnya pada waktu itu aku sekadar menganggap ianya adalah sebuah mimpi seram yang biasa saja. Tetapi setelah anak saudara kami yang juga ke Cameron Highlands beberapa tahun setelah kunjungan kami itu menceritakan pengalaman seram mereka ketika menginap di hotel yang sama, barulah aku mula memikirkan satu teori yang berlainan. Mungkin hotel itu memang "keras". Atau keluar pada waktu malam berkabus dengan hujan renyai-renyai mengundang tetamu tak diingini masuk ke kamar tidur. Wallahu a'lam. Yang penting, ke mana saja kita pergi, perlu selalu beringat dan dindinglah diri dengan membaca ayat-ayat Al Quran dan zikir-zikir yang diajar oleh Rasulullah (S.A.W.) dan ulamak-ulamak yang muktabar. 

Bersambung...

Produk pertanian yang dijual di gerai dan di pasar.


No comments:

Post a Comment